TS KHALID: JANGAN DIJADIKAN
‘PRECEDENT’
Barisan Nasional dilihat agak tertib menguruskan
krisis apabila timbul kemelut sebagaimana yang berlaku di Selangor kini.
Sekurang-kurangnya ahli parti (UMNO) sentiasa patuh kepada arahan pihak atasan
ataupun pengurusan pusat apabila sesuatu keputusan dibuat. Misalnya DS Ahmad
Said, bekas Menteri Besar Terengganu
‘patuh’ kepada pucuk pimpinan apabila diarahkan mengosongkan jawatan
berkenaan untuk digantikan oleh orang lain. Tentulah timbul juga perasaan tidak
puas hati diatas ‘arahan’ sedemikian, namun dalam beberapa jam sahaja kemelut
itu dapat diselesaikan dengan jayanya.
Dan banyak lahi contoh-contoh yang menunjukkan
kepatuhan ahli parti UMNO kepada pucuk pimpinan, apabila sesuatu keputusan
dibuat oleh pucuk pimpinan. Pastilah wujud perasaan tidak puas hati. Namun
dapat diredakan. Dan akhirnya semuanya berjalan dengan baik. “Biduk lalu
kiambang bertaut’. Sekurang-kurangnya dilihat dari mata kasar. Umum tidak tahu
apa yang sedang berlaku. Mungkin rakyat dapat melihat suasana seperti melihat
dua ekor itik sedang ‘mengangguk-anggukkan’ kepala di permukaan air sedangkan
kaki mereka sedang bercakaran di dalam air (yang tidak dapat dilihat oleh
masyarakat umum). Mungkin begitu keadaannya.
Tidak seperti apa yang berlaku di Selangor
apabila kelihatan seolah-olah TS Khalid enggan mengundurkan diri dari jawatan
Menteri Besar Selangor sedangkan beliau sudah tidak mendapat kepercayaan lagi
dari parti Pakatan Rakyat yang melantik beliau ke jawatan berkenaan. TS Khalid
masih berpaut kepada dahan yang agak rapuh. Dan seolah-olah TS Khalid sudah
hilang malu dan aim demi mempertahankan jawatan yang sepatutnya sudah lama
dilepaskan.
Sekiranya TS Khalid merasakan bahawa amat perlunya
beliau berpaut kepada jawatan berkenaan demi untuk menjaga hati rakyat Selangor
yang ‘menyokong’nya, maka tentulah timbul pula persoalan yang mungkin
dibangkitkan. Apakah asas dan bukti yang menunjukkan majoriti rakyat Selangor
menyokong beliau? Tidak ada ‘referendum’ yang dilakukan untuk meguji sokongan rakyat
Selangor sepertimana yang dilakukan oleh Lee Kuan Yew ketika meminta pandangan
rakyat Singapura samada menyokong atau tidak kemasukan Singapura dalam Malaysia
suatu ketika dulu. TS Khalid tidak ada asas untuk mendakwa keadaan sedemikian
wujud di Selangor.
Sekiranya TS Khalid bersandarkan kepada pandangan
TG Haji Hadi Awang dan TG Nik Aziz yang merasakan bahawa TS Khalid tidak perlu
ditukar atau diganti, maka asas yang sedemikian juga agak rapuh. Itu hanya
merupakan pandangan peribadi mereka sedangkan kepimpinan PAS telah pun
bersetuju untuk bersama dengan PKR dan DAP menggantikan TS Khalid dengan
pemimpin lain dari PKR.
Mungkin TS Khalid memikirkan bahawa Tuanku Sultan
Selangor merasakan bahawa MB Selangor yang ada tidak perlu ditukar dan perlu
dikekalkan. Mungkin begitu pandangan TS Khalid. Namun demikian dalam sistem
Raja Berperlembagaan, Sultan hanya menyetujui apa yang telah diputuskan oleh parti
yang mendapat sokongan majoriti. Maknanya pihak Baginda Sultan akan bersetuju
dengan keputusan yang diambil oleh Pakatan Rakyat yang mendapat sokongan
majoriti rakyat Selangor.
TS Khalid harus memikirkan tentang masa hadapan
negara dan negeri sekiranya sesuatu yang berlaku di luar batas perlembagaan
negeri atau perlembagaan negara. Katakanlah TS Khalid terus menerus ‘berdegil’
dan tidak mahu melepaskan jawatan yang dipegang ( disebabkan oleh sesuatu
keadaan yang membolehkan beliau terus menerus berpaut kepada jawatan
berkenaan), maka keadaan itu merupakan satu ‘precedent’ yang akan dirujuk pada
suatu ketika nanti yang menyebabkan prinsip-prinsip perlembagaan dan parti
diketepikan. Dan apabila sampai keadaan sedemikian ‘ law of the jungle’ pasti
akan dipraktikkan dan tentulah memalukan jika diamalkan disebuah negara yang
kononnya negara maju seperti negara Malaysia.
Apakah ‘option’ yang masih ada kini untuk
membolehkan beliau terus menerus berpaut kepada jawatan MB Selangor?
Mungkin juga TS Khalid mengambil keputusan untuk
membubarkan Dewan Undangan Negeri Selangor dan mengadakan pilihan raya sekali
lagi. Mungkin keputusan itu tidak dipersetujui oleh DYMM Sultan Selangor kerana
sudah ada ‘precedent’ di negeri Perak yang mana DYMM Sultan Perak tidak mahu
memperkenankan hasrat DS Nizar Jamaluddin (Menteri Besar Perak ketika itu) untuk
membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak dan mengadakan pilihan raya semula pada
suatu ketika dulu. Sebaliknya DYMM Sultan Perak telah memperkenankan pelantikan
MB Baru dar Barisan Nasional. Baginda Sultan Selangor tentunya berhati-hati
dalam melaksanakan pemerintahannya, supaya beliau dipandang tinggi oleh rakyat.
Agak keterlaluan sekiranya aku mengutip kenyataan
seorang rakan penulis blog yang merasakan bahawa kedudukan TS Khalid adalah
seperti yang digambarkan dalam peribahasa Melayu seperti ‘hidung tak mancung,
pipi tersorong-sorong’
Mungkin sebahagian kecil rakyat Selangor yang
berpandangan sedemikian terhadap TS Khalid Ibrahim. Dan aku yakin bahawa masih
ramai lagi yang memberikan penghormatan yang tinggi kepada TS Khalid. Dan
seeloknya biarlah golongan yang berpandangan tinggi terhadap TS Khalid itu
berterusan penghormatan mereka kepada beliau. Janganlah dibiarkan luntur
pandangan mereka terhadap TS Khalid.
Dan yang paling penting ialah agar apa yang
berlaku di Selangor tidak dijadikan ‘precedent’ untuk dijadikan contoh untuk
diikuti pada masa-masa yang akan datang samada di Selangor atau di
negeri-negeri lain.
Biarlah perlembagaan sebagai tempat rakyat
berpaut.
abuhassanadam
5 Ogos 2014
No comments:
Post a Comment