Thursday, September 25, 2014

KEBOCORAN UPSR: MUNGKINKAH SOP KURUN KE 20 DIGUNAKAN UNTUK  PEPERIKSAAN KURUN KE 21

Sebenarnya pihak berwajib seolah-olah sudah tidak mahu lagi menghebuhkan mengenai kebocoran kertas peperiksaan UPSR baru-baru ini walaupun sudah ada tambahan dua kertas lagi yang bocor. Aku terpanggil pula untuk memberikan pendapat mengenai kebocoran ini apabila ternampak imej YB DS Idris Jusuh, Menteri Pelajaran Malaysia bersama-sama dengan para pemimpin  lain sedang menghadhiri satu perjumpaan di Amerika Syarikat bersama dengan Perdana Menteri Malaysia.

Mungkin agaknya mesyuarat yang dihadhiri oleh YB Menteri Pelajaran Malaysia di Amerika Syarikat itu jauh lebih penting daripada menangani kebocoran kertas soalan UPSR di negara sendiri agaknya. Mungkinlah agaknya YB Menteri Pelajaran Malaysia ‘terpaksa’ juga menghadirkan diri di mesyuarat berkenaan, takut kalau-kalau terbatal mesyuarat berkenaan dengan ketiadaan beliau. Mungkin begitu agaknya.

Aku tergerak hati menulis isu ini disebabkan kesedihan dan pilunya hati apabila melihat ‘kesengsaraan’ yang dialami oleh anak-anak yang terpaksa mentelaah semula buku-buku pelajaran disebabkan kebocoran kertas soalan peperiksaan UPSR. Aku merasa begitu sedih melihatkan anak-anak sekecil itu sudah mula tahu menyebut perkataan ‘stress’ sedangkan pada zaman aku kanak-kanak dahulu tidak pun tahu dan pernah merasakan apa yang dimaksudkan dengan ‘stress’. Mungkin agaknya pada ketika itu ‘stress’ sentiasa menguasai kehidupan kami yang miskin dan tidak dapat merasakan bilakah keadaan yang tidak ‘stress’.

Dan yang peliknya bukan sahaja si anak yang ‘stress’ tetapi ibu bapa yang terpaksa menanggung derita yang amat sangat disebabkan peperiksaan UPSR yang terbatal. Berbagai-bagai keluhan dan rintihan yang aku dengar ekoran daripada keobocoran kertas soalan ini.

Sebenarnya bagi aku kebocoran kertas soalan ini adalah merupakan malapetaka negara seperti juga peristiwa malang MH 17 dan MH 370. Ia sebenarnya membabitkan maruah negara. Apa tidaknya. Maruah dan kredibiliti negara bergantung kepada cara dan bagaimana pepepriksaan kita ditadbirkan. Dan sudah sekian lama peperiksaan yang kita adakan di Malaysia mendapat pengiktirafan dari negara-negara luar. Apatah lagi apabila disedari bahawa sistem peperiksaan yang kita jalankan di Malaysia adalah warisan daripada sistem peperiksaan Cambridge yang telah terbukti keutuhan dan kecekapannya.

Cuma yang terlintas di fikiran aku ialah tentang cara kita melaksanakan peperiksaan itu kini. Apakah SOP (Standard Operating Procedure) yang kita gunakan kini di Lembaga Peperiksaan itu masih lagi mengikuti SOP yang digunakan oleh Lembaga Peperiksaan semenjak tahun 1970an? Sekiranya Lembaga peperiksaan masih menggunakan SOP sedemikian, maka amat wajarlah difikirkan bahagian-bahagia yang sesuai untuk ditukar.

Awal tahun 60an atau 70an tidak wujud lagi telefon atau kamera canggih yang boleh ‘memporak-perandakan’ kehidupan mmasyarakat moden walaupun faedah dan kegunaannya juga banyak. Persoalannya ialah apabila ada diantara masyarakat kita yang menyalahgunakan fungsi alat eletronik berkenaan. Dan keadaan sebeginilah yang telah mencemarkan kredibiliti peperiksaan awam kita kini apabila berlaku kebocoran kertas soalan.

Aku kira penyelesaian kepada masalah ini bukan mudah.

·      Apakah Lembaga Peperiksaan pernah terfikir untuk menggantikan peperiksaan awam seperti UPSR, PMR (sudah pun dimansuhkan) SPM dan STPM dengan bentuk ujian cara moden dengan mengambil kira kwujudan peralatan moden yang boleh menjejaskan kredibiliti peperiksaan apabila berlaku kebocoran.
·       Sekiranya ada tentulah Lembaga Peperiksaan telah pun membuat kajian terperinci dan mengadakan ‘Try-out Project’nya bagi memastikan pelaksanaannya nanti bukan merupakan tindakan yang ‘flip-flop’.
·      Menggantikan peperiksaan PMR dengan ujian bentuk lain telah menimbulkan ‘hiruk-pikuk’ yang bukan sedikit daripada masyarakat yang belum begitu terdidik untuk berdepan dengan perkara-perkara baru. Bukan sahaja ibu bapa yang ‘bising’ dengan kehadiran perkara-perkara baru itu, malah para guru juga turut sama mempersoalkannya.
·      Menteri Pelajaran harus komited dan harus menumpukan sepenuh perhatian ke arah ‘mendaulatkan’ semula sistem peperiksaan negara yang agak tercemar ini. Menteri Pelajaran Malaysia seharusnya berganding bahu  dengan pegawai-pegawai Pelajaran di Kementerian Pelajaran dalam mempersiapkan diri menembusi era baru ini.

Justeru aku fikir, tugas Menteri Pelajaran harus disandang oleh seorang menteri yang betul-betul faham tentang perjalanan pendidikan negara. Tidak pula bermakna aku memperkecilkan kemampuan Timbalan Perdana Menteri kini yang juga menjawat jawatan Menteri Pelajaran. Namun rakyat mengharapkan sangat agar sistem pendidikan di negara kita menepati ertikata yang sebenarnya bahawa kualiti dan integritinya betul-betul terjamin.

Negara ini pernah dipandang begitu tinggi dari segi pendidikan oleh negara luar. Malah kita jauh terkehadapan berbanding dengan negara-negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Filipina. Kedudukan kita adalah lebih kurang sama dengan Singapura yang boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah. Hanya pada akhi-akhir ini sudah kelihatan tentang penurunan itu, walaupun ada pihak yang masih mendabik dada mengatakan bahawa sistem pendidikan kita adalah antara yang terbaik di Asia Tenggara.

Walau apa pun orang lain kata, tugas kita ialah memelihara kredibiliti peperiksaan kita. Kita harus menjaga kedudukan peperiksaan kita disamping kita memastikan bahawa tidak ramai rakyat kita yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah swasta ataupun ke sekolah-sekolah antarabangsa.

Sayup-sayup telah mula kedengaran bahawa ramai para menteri kita telah menghantar anak mereka belajar disekolah swasta. Apakah mereka sudah tidak yakin lagi dengan kemampuan dan  kredibiliti sistem pendidikan yang ada di negara ini, yang mana mereka adalah antara yang menentukan maju mundurnya pendidikan negara.

Kita amat bimbang takut kalau-kalau sistem pendidikan negara ini hanya sesuai untuk golongan yang berpendapatan rendah yang masih ramai lagi tinggal di kampung-kampung….

abuhassanadam

25 September 2014

1 comment:

  1. sengaja buat kot untuk merompak wang negara dari AG negara buat claim soalan kena cetak segera?

    ReplyDelete