Wednesday, September 10, 2014

SALAHKAH DS ANWAR MEMOHON MAAF?

DS Anwar Ibrahim memohon maaf kepada Banginda DYMM Sultan. Itulah merupakan tindakan yang amat sesuai dan selari dengan budaya dan adab orang Melayu apabila merasakan bahawa Raja kita merasa ‘terguris’ dengan tindakan yang dilakukan. Tidak pula bermakna bahawa apa yang dilakukan itu semestinya bersalah atau melanggar peraturan.

Kehalusan budi orang Melayu terhadap Rajanya adalah amat unik dan tidak mudah difahami oleh orang lain yang tidak berada dalam lingkungan kehidupan orang Melayu. Kaum bukan Melayu di Malaysia sudah mula memahami tentang adat dan tatasusila yang dipraktikkan oleh masyarakat Melayu. Dengan sebab itulah YB Lim Guan Eng juga memohon maaf kepada Tuanku DYMM Sultan Selangor diatas ketidaksedaran yang dilakukan . Namun begitu apa yang telah mereka lakukan (PKR dan DAP) bukan merupakan suatu kesalahan, jauh daripada menderhaka kepada baginda Sultan sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Perkataan ‘Derhaka’ begitu longgar sekali digunakan oleh rakyat Malaysia kini, terutama oleh orang Melayu yang sepatutnya amat faham dengan erti dan makna konsep sedemikian. Meletakkan ‘derhaka’ kepada seseorang bukan mudah. Sejarah kesultanan Melaka pernah melabelkan pembesar sebagai penderhaka dan hukuman yang dikenakan amat berat sekali sehinggakan bukan sahaja yang melakukan dibunuh (sula) tetapi rumah kediamannya juga dimusnahkan. Bukan itu sahaja. Tapak rumahnya juga dikorek dan dibuang ke laut. Itulah hukuman yang dikenakan kepada seseorang yang dianggap sebagai penderhaka.

Dalam sejarah orang Melayu, Hang Jebat adalah dianggap sebagai penderhaka bagi masyarakat Melayu lama. Tetapi dalam pemahaman masyarakat kini, Hang Jebat tidak lagi dianggap sebagai penderhaka tetapi lebih merupakan tokoh yang memperjuangkan kebenaran. Hang Jebat ‘menderhaka’ disebabkan oleh tindakan Sultan yang membunuh Hang Tuah ekoran daripada fitnah terhadapnya yang dilakukan oleh pembesar-pembesar negeri yang merasa dengki terhadap beliau.. Lantas Hang Jebat mengamuk mempertahankan kebenaran Hang Tuah.

Itu zaman kesultanan Melayu Melaka yang wujud pada awal kurun ke 15 dimana konsep ‘derhaka’ itu ditafsirkan sebagai konsep yang digunakan dalam menjelaskan hubungan antara raja dengan rakyat, ia itu rakyat mesti taat dan tidak boleh menentang raja.

Ini kurun ke 21. Dan tentulah pengertian ‘taat dan tidak boleh menentang raja’ itu tentunya sudah berubah. ‘Taat’ kepada Raja pada zaman Kesultanan Melaka tentulah berbeza dengan ‘taat’ pada Kurun ke 21. Rakyat tidak sepatutnya menentang Raja selagi raja bersikap adil terhadap rakyat. Ada ungkapan yang menyatakan bahawa “ Raja adil raja disembah’. Dan fahaman yang sebegini akan berterusan sampai bila-bila. Tidak salah ungkapan ini digunapakai. Dan bukan kolot namanya sekiranya orang Melayu terus menerus menggunakan ungkapan sedemikian dan terus menerus taat kepada raja dan pemerintah selagi pemerintah itu berlaku adil.

Dan tentulah tidak derhaka tindakan yang dilakukan oleh PKR dan DAP dalam mengemukakan satu nama sahaja kepada Sultan untuk disahkan sebagai Menteri Besar Selangor. Sebagaimana yang dijelaskan oleh DS Anwar bahawa mereka bertindak sedemikian adalah berdasarkan kepada perlembagaan yang menjelaskan demikian. Lantas tentulah mereka merasakan bahawa mereka tidak bersalah, jauh dari menderhaka kepada Sultan, walaupun baginda ‘terasa hati’ dan ‘terguris’ dengan tindakan sedemikian. Justeru mereka memohon maaf kepada baginda.

Itu cara dan adab yang biasa dilakukan oleh orang Melayu yang tahu dan menghormati adat dan adab Melayu. Tetapi yang mendukacitakan ialah timbul ‘riuh-rendah’ dan ‘hasut-menghasut’ yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu yang dengan sewenang-wenangnya menuduh tindakan PKR dan DAP itu sebagai derhaka kepada Sultan tanpa usul periksa. Dan seolah-olah ada pula pihak tertentu yang menggalakkan agar isu derhaka terus digembar-gemburkan.

Dengan sendirinya merendahkan martabat orang Melayu yang seolah-olah masih dibelengu oleh adat dan adab Kurun ke 14. Seolah-olah orang Melayu masih mementingkan isu remeh yang sengaja diperbesarkan demi untuk kepentingan pihak-pihak tertentu. Dan yang amat sedihnya seolah-olah pihak istana telah diperguna dan diperalatkan demi untuk memenuhi nafsu jahat dan tamak haloba mereka, dengan tidak langsung memikirkan kesucian istana sebagai payung negeri.

Rakyat Selangor khususnya dan rakyat Malaysia umumnya tahu bahawa apa yang berlaku di Selangor kini bukan merupakan angkara baginda Sultan Selangor tetapi rakyat meletakkan kesalahan kepada para ‘penasihat’ Sultan yang sentiasa memberikan nasihat yang boleh merosakkan negeri Selangor dan nama baik DY MM Sultan Selangor.

Pastinya DYMM Sultan Selangor tahu tentang undang-undang dan perlembagaan negeri Selangor yang sepatutnya dipatuhi oleh baginda. Pastinya juga bahawa baginda sedar bahawa sudah ada ‘precedent’ sebelum ini yang boleh diikuti oleh baginda dalam  hal pelantikan Menteri Besar. Namun disebabkan oleh ‘nasihat-nasihat’ (mungkin!) yang tidak bertanggungjawab yang diberikan kepada DYMM telah menyebabkan keadaan agak kusut. Namun rakyat masih yakin bahawa DYMM Sultan akan dapat menyelesaikan isu ini dengan adil dan saksama, walaupun penyelesaiannya adalah ‘seperti mengambil sehelai rambut dari dalam tepung’

Rakyat yakin dengan kebijaksanaan Duli Tuanku…

abuhassanadam
10 September 2014




No comments:

Post a Comment