AKTA HASUTAN: "TAK BOLEH DITEGUR TAK BOLEH
DILARANG"
Masih terdengar di telinga aku biduan R.Azmi
(penyanyi tahun 50an) menyanyikan lagu melalui Radio Malaya yang liriknya lebih
kurang,
‘Pemuda
pemudi zaman sekarang
Tak
boleh ditegur tak boleh dilarang’
Kini kenyataan, ‘tak boleh ditegur tak boleh
dilarang’ masih terpakai, terutama kepada pihak-pihak tertentu yang merasakan
bahawa apa yang mereka lakukan semuanya betul dan benar belaka. Pihak berwajib
kini mengenakan berbagai-bagai tindakan melalui Akta Hasutan kepada individu
yang menyatakan sesuatu perkara yang dianggap betul dan benar tetapi dikira bertentangan
dengan hasrat dan aspirasi pihak tertentu. Lantas diambil tindakan dibawah Akta
Hasutan.
Aku tak begitu faham mengapa pihak tertentu
mengambil langkah sedemikian? Aku tak begitu faham. Aku tidak pula mahu menuduh
dan membuat anggapan negatif terhadap tindakan pihak tertentu itu. Cuma hati
kecil aku berkata-kata bahawa sudah lenyapkah agaknya nilai tegur-menegur
antara sama lain dikalangan pihak berwajib. Maksud aku bahawa sudah sampaikah
agaknya masa dan ketikanya yang pihak berwajib sudah tidak boleh ditegur dan
dilarang langsung, sehinggakan jikalau ada pihak yang menegur
( walaupun teguran itu membina) akan diambil
tindakan dibawah Akta Hasutan.
Sepatutnya pihak berwajib menganggap yang setiap
teguran yang dilemparkan kepada mereka itu dianggap sebagai satu cabaran. Dan
tugas pihak berwajib pula untuk berdepan dengan tuduhan yang dilemparkan dan
bukan mengambil tindakan dibawah Akta Hasutan. Tindakan sedemikian boleh
dianggap sebagai ‘pengecut’. Aku yakin rakyat begitu gembira sekiranya setiap
tuduhan dan kenyataan yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu terhadap pihak
kerajaan atau individu tertentu yang dikategorikan sebagai pemimpin dijawab dengan
cara yang beradab juga.
Terlalu banyak ruang kini yang boleh digunakan
untuk menjawab atau memperbetulkan sesuatu kenyataan yang salah. Apatah lagi
dipihak pemerintah yang boleh menggunakan berbagai saluran media untuk
menangkis sebarang tuduhan liar yang diketengahkan oleh pengkeritik-pengkeritik. Mereka
seharusnya menggunakan ruang demikian untuk menjelaskan sesuatu keadaan. Dan
lebih beradab lagi sekiranya diadakan perbahasan atau debat untuk meyakinkan
rakyat mengenai sesuatu isu.
Keadaan ‘tak boleh ditegur tak boleh dilarang’
ini sudah semacam ada persamaan dengan keadaan pada zaman-zaman awal orang
Melayu memeluk agama Islam, ia itu ketika tidak ramai guru-guru agama yang
boleh menyampaikan ajaran Islam kepada masyarakat Melayu pada ketika itu. Jikalau
adapun guru-guru agama yang boleh menyampaiakn ajaran Islam, bolehlah dianggap
sebagai ‘akar’ sementara menunggu kehadiran ‘rotan’. Dan kebanyakan guru-guru
agama ini menggunakan ungkapan ‘tok guru jangan disoal…berdosa!!...” untuk
melindungi diri mereka yang jahil tentang agama dari diketahui oleh ‘anak-anak
murid’ yang mengikuti syarahan agama mereka.
Dan sampai kini masih ada lagi saki baki guru
agama sedemikian yang cuba mengelakkan diri mereka dari disoal oleh para
pendengar. Masih terdapat syarahan agama yang diadakan dimasjid-masjid atau di
surau-surau di Malaysia masih lagi mengamalkan bahawa, ‘tok guru jangan
disoal’. Dengan demikian guru-guru agama sedemikian biasanya menutup ceramahnya
dengan tidak memberikan peluang kepada pendengar bertanyakan sesuatu kepada
mereka.
Amat berbeza dengan budaya Barat yang sentiasa
memberikan peluang kepada pelajar-pelajar untuk menanyakan soalan-soalan
disamping memberikan kebebasan seluas-luasnya bagi pelajar menyatakan pendapat
dan pandangan mereka. Aku masih terbayang dan keseronokan suasana belajar
ketika aku menuntut di Stanford University, Palo Alto, California pada suatu
ketika dahulu.
Setiap pelajar akan dipantakkan dengan falsafah
pegangan ia itu, “this is a democratic country…you can express your opinion
freely…’. Oleh itu setiap pelajar diberikan kebebasan untuk menyatakan
pandangan dan fikirannya, samada menyokong atau menentang sesuatu isu. Tidak
pula aku dengar semasa aku menuntut di university berkenaan adanya professor
samada dari university berkenaan ataupun dari university lain yang ada di USA,
yang diambil tindakan disebabkan menyatakan sesuatu pendapat atau pandangan
yang bertentangan dengan pendapat kepimpinan negara. Malah sememangnya
pentadbiran Amerika menggalakkan ‘free speech’ dikalangan rakyat dan khususnya
dkalangan pelajar-pelajar.
Di negara ini ada juga kedengaran tentang
berbagai larangan yang dikenakan ke atas para pelajar pusat pengajian tinggi
terutama yang berkaitan dengan hal kebebasan bersuara. Dengan ikhlas aku
nyatakan bahawa sekiranya pelajar tidak diberikan kebebasan untuk menyatakan
sesuatu maka adalah amat dikhuatiri negara ini pada suatu ketika nanti akan
menjadi negara yang dipenuhi oleh rakyat “pak turut’ yang langsung tidak berani
untuk menyatakan pandangan atau pendapat. Dan yang akan menjadi begitu parah
kepada negara ialah apabila rakyat negara ini akan membiarkan sahaja apa yang
dilakukan oleh pihak pemerintah walaupun disedari bahawa apa yang dilakukan
oleh pihak pemerintah itu merosakkan bangsa dan negara.
Akan terjadikah macam cerita Si Luncai yang
berteriak, “ Si Luncai terjun dengan labu-labunya. Biarkan!….biarkan!.......”
Diharapkah keadaan sedemikian dijauhkan……
abuhassanadam
16 Oktober 2014
No comments:
Post a Comment