Saturday, October 18, 2014

OSA: RAKYAT PERLU TAHU APA YANG SEBENAR BERLAKU

Aku hanya sebagai ‘penyambung’ apa yang dikatakan oleh YBM Tengku Razaleigh Hamzah apabila menyarankan hal berkaitan dengan Akta Rahsia Rasmi kerjaan yang dikatakannya melindungi ribuan dosa.Aku petik kenyataannya dari Malaysiakini bertarikh 16 Oktober 2014 yang berbunyi,’ Bekas menteri kewangan Tengku Razaleigh Hamzah mencadangkan agar Akta Rahsia Rasmi (OSA) dikaji semula bagi menangani masalah rasuah di negara ini”

Masyarakat Malaysia seharusnya menghormati pandangan tokoh-tokoh sedemikian kerana mereka lebih tahu apakah yang tersirat dari apa yang tersurat terutama yang berkaitan dengan rahsia kerajaan. Tentulah ada rasionalnya mengapa akta OSA diperkenal dan diluluskan oleh parlimen. Namun tentu juga ada buruknya akta sebegini sekiranya disalahgunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Serupa jugalah dengan Akta Hasutan yang sedang hangat diperbincangkan kini.

Bukan penentangan dari phak-pihak tertentu sengaja diada-adakan demi untuk menentang apa saja yang diperkenalkan oleh kerajaan. Yang menjadi persoalan kepada ramai kini mengenai Akta Hasutan ialah tentang dakwaan berpilih yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu. Anggota masyarakat memerhatikan bahawa hanya golongan tertentu sahaja yang dikenakan tindakan sedangkan ada pihak yang lebih lantang dan lebih ‘garang’  (mengikut pandangan dan persepsi ramai orang) melanggar akta demikian hanya dibiarkan begitu sahaja. Ini yang merupakan kerunsingan setengah pihak mengenai akta yang ada.

Begitu juga dengan Akta Rahsia Rasmi kerajaan. OSA. Ada baiknya tetapi mungkin banyak buruknya. Kenyataan YBM Tengku Razali yang menyatakan,’ "Saya minta supaya semak semula kerana OSA ada menyembunyikan ribuan dosa. Kalau benda itu melibatkan pembiayaan rasuah, saya rasa sesiapa boleh dedahkan.Kalau pendedahan tak betul, boleh dakwa. Janganlah segala-galanya mesti dirahsiakan.Saya tak marah kerajaan tapi ini adalah kelemahan yang ada dalam sistem kita, kerana kita salah guna kuasa yang ada. Saya tahu akta ini (Akta Prosedur Kewangan) kerana saya gunakan kuasa ini semasa saya di Kementerian Kewangan dulu”

Semalam dilaporkan tentang Bajet Bandaraya Kuala Lumpur diletakkan dibawah OSA. Tentulah agak pelik masyarakat melihat keadaan sebegini. Apa perlunya ‘disembunyikan’ sedangkan bajet yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan pun diheba dan disiarkan secara langsung oleh media arus perdana. Tidak usahlah pihak-pihak berkenaan cua menyembunyikan sesuatu berkaitan dengan Bajet Dewan Bandaraya ini. Peribahasa Melayu ada menyatakan, ‘ jikalau tidak ada-ada takkan tempua bersarang rendah’. Jelas dan tidak perlu dipertikaikan lagi. Berikanlah walau alasan macam mana sekalipun, masyarakat tetap akan merasa sangsi dan curiga tentang tindakan sebegini.

Apakah agaknya ‘ribuan dosa’ yang telah disembunyikan oleh Akta OSA ini yang tidak diketahui oleh rakyat umum terutamanya rakyat marhaen di kampung-kampung yang sentiasa memberikan kepercayaan kepada pihak BN untuk terus memerintah negara ini. Golongan ini sememangnya tidak tahu dan sedar bahawa mereka seolah-olah tertipu dan ditipu tentang banyak perkara yang diselindungkan melalui akta OSA.

Kenyataan YBM Tengku Razaleigh seharusnya diambil perhatian serious oleh rakyat Malaysia terutamanya ahli-ahli parlimen dari kedua belah pihak – kerajaan dan pembangkang. Teguran YBM Tengku Razaleigh itu sepatutnya diambil perhatian segera. Hendaknya janganlah hanya pihak pembangkang sahaja yang bersungguh-sungguh menyarankan agar akta Hasutan dan OSA dikaji semula sedangkan pihak kerajaan seolah-olah berpuas hati dan menyetujui sepenuh hati akan kewujudan akta OSA ini.  Sekiranya mereka benar-benar jujur dan ikhlas untuk menjadikan negara ini sebuah negara yang bebas rasuah, maka inilah masa yang paling sesuai untuk membuat penentuan.

Sehubungan dengan isu ini juga, Tun Mahathr ada juga menulis dalam blognya tentang tajuk “SSK dengan IMDB’ bertarikh 10 September 2014. Tun seolah-olah menyanggah pandangan Dato Saleh Said Keruak yang menyatakan bahawa IMDB adalah bantuan dalam bidang pelajaran. “Yang saya tahu’ kata Tun Mahathir, ‘1MDB diguna untuk membeli tiga buah stesen janakuasa dari YTL, Ananda Krishnan dan pemilik Jimah power plant di Negeri Sembilan. Harga pembelian lebih tinggi daripada harga pasaran. Kos tidak kurang dari 4 billion Ringgit. Baru-baru ini 1MDB akan memiliki sebahagian besar daripada saham stesen janakuasa yang akan dibina oleh Tenaga Nasional dan pihak lain. YTL telah tarik diri. Ramai yang menegur Tenaga kerana projek ini, kerana tidak mengadakan tawaran terbuka”
Maknanya rakyat Malaysia masih bernasib baik kerana masih ada tokoh seperti Tun Mahathir yang sanggup menegur dan cuba memperbetulkan apa yang tidak kena yang dilakukan oleh kerajaan, walaupun Akta OSA ini diperkenalkan pada zaman pemerintahannya dahulu. Pendedahan yang dibuat ini mungkin hanya merupakan ‘tip of the iceberg’ sahaja dan mungkin banyak lagi isu-isu besar yang tersorok dan terselindung disebalik Akta OSA sebagaimana yang didakwa oleh YBM Tengku Razaleigh itu.
Menteri Besar Selangor yang baru, YAB Saudara Azmin Ali telah juga membangkitkan isu akta OSA yang cuba melindungi segala butir Kontrak Penstruktur Air di Selangor. "I wrote the minister last week as soon as I received the three agreements on behalf of the state government. I asked for his permission to disclose the agreements to the public because there is nothing to hide in the agreements,"
Apa perlunya perjanjian sedemikian diletakkan dibawah OSA. Bukankah masalah air di negeri Selangor adalah masalah orang Selangor. Sepatutnya apa saja perjanjian yang dibiat oleh kerajaan negeri didedahkan kepada umum kerana akhirnya pengguna air di Selangor juga akanmenanggung segala bebannya. Apakah isu perjanjian air di Selangor ini juga ada kaitan dengan kisah ‘tempua bersarang rendah…..’
Sepatutnya begitulah apa yang harus dilakukan oleh pihak kerajaan pusat sekiranya pihak pentadbiran betul-betul mahu melakukan apa saja tindakan secara telus. Rakyat perlu tahu apa yang sepatutnya yang berkaitan dengan kehidupan mereka kerana mereka yang menerima kesannya. Rakyat juga faham bahawa ada rahsia-rahsia kerajaan yang tidak sepatutnya diketahui oleh mereka terutama yang berkaitan dengan kesemalamatn negara misalnya. Namun hal-hal yang tidak berkaitan dengan keselamatan, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab kerajaan juga untuk mendedahkannya kepada rakyat umum. Lantas menampakkan sebenarnya keikhlasan kerajaan memerintah negara yang tercinta ini.
abuhassanadam
18 Oktober 2014


No comments:

Post a Comment