Wednesday, October 15, 2014

PEJABAT IMIGRESEN SHAH ALAM SELANGOR DIKENDALIKAN OLEH ‘ROBOT’

Aku dan isteri tiba di Pejabat Imigresen Shah Alam, di Bangunan PKNS lebih kurang pukul 9.30 pagi pada 11 Oktober 2014. Hari Sabtu. Untuk memperbahruai pasport isteri. Di persekitaran bangunan PKNS memang tak ramai orang di situ. Agak sunyi. Banyak kedai yang belum lagi beroperasi.

Kami menaiki lif ke tingkat dua. Pejabat Imigresen Shah Alam. Terus menuju ke tempat mengambil nombor giliran. ‘Dah tutup Pakcik…boleh datang hari Isnin” kata petugas yang bertanggungjawab. Kami merayu dengannya dengan berbagai alasan agar kami (warga emas) diberikan kelonggaran. ‘Kami warga emas’ lah. “Kami sakit lutut’lah. Bermacam-macam alasan diberikan. Akhirnya petugas itu membenarkan. ‘Tapi Makcik kena tunggu selepas 11.30 pagi’ katanya. Isteri aku menerima ‘arahannya’. Bermakna terpaksa menunggu dua jam lagi. Tak apa. Sekurang-kurangnya petugas berkenaan ini menggunakan kebijaksanaannya membenarkan isteri aku memperbahrui pasportnya.

Lebih kurang pukul 12.00 tengah hari sampailah giliran isteriku dipanggil oleh pegawai bertugas. Untuk isi borang. Ambil gambar dan hal-hal lain yang berkaitan. Kemudian diarahkan menunggu panggilan untuk membayar RM180 (warga emas) selama lima tahun. Aku dan isteri terus menunggu dengan penuh setia. Patuh kepada arahan.

Nama isteri aku dipanggil. Bukan untuk membayar tetapi kelihatan seperti telah timbul masalah mengenai pasport beliau. Aku merapati counter, untuk membantu isteri aku menyelesaikan masalah.

“Apahalnya encik?’ aku bertanya

“ Makcik ni warganegara Malaysia ke atau bukan?’ Pegawai berkenaan bertanya.

Aku nampak isteri aku sudah mula mahu ‘melenting’ apabila mendengar soalan berkenaan. Aku sabarkan.
“Mengapa pula?’ tanya aku

‘Dalam komputer kami menyatakan yang makcik bukan warganegara Malaysia”

“Ya ke?” tanya aku pura-pura bodoh dan tolol. Aku pun sudah mula agak ‘panas’ juga dengan soalan yang agak menghina itu.

“ Komputer kami menunjukkan yang makcik bukan warga negara’ kata si “robot’ (selepas ini aku akan menggunakan perkataan ‘robot’ untuk si pegawai (bukan semua) yang bertugas di Pejabat Imigresen Shah Alam)

“ Tapi….pejabat Jabatan Pendaftaran Negara mengesahkan yang Mykad makcik tidak ada cacat celanya” jawab aku. Memang betul. Sebelum sampai ke pejabat ini kami telah tersesat ke Bangunan Plaza Masala, menyangkakan di situ Pejabat Imigresen. Dan di situ seorang pegawai telah memberikan pertolongan untuk mengesahkan Mykad isteri aku. Semua ok katanya. Baik betul pegawai di JPN Shah Alam ni, kata hati kecil aku.

“Komputer kami mengatakan yang makcik ni bukan warganegara. Oleh itu tidak dapat diperbahrui pasportnya” Kata ‘robot’ lagi.

Aku mula mempersoalkan tentang kebijaksanaan dan kewarasan ‘robot-robot’ (ada beberapa orang yang berada di situ) ini. Apakah mereka begitu bodoh sekali untuk membuat penilaian terhadap isteri aku. Apakah si ‘robot-robot’ ini sudah begitu buta hati mereka sehingga tidak dapat lagi mengenali ‘orang tua’ yang memiliki status warga negara dan bukan warga negara. Dari tutur kata dan sikap kami (suami isteri) sudah tentu dapat mengenali yang kami sememangnya orang Melayu totok. Warganegara. Apakah para ‘robot’ ini lebih mempercayai komputer daripada pertimbangan dan ‘discretion’ mereka.

Persoalan yang menerajang kepala aku semakin banyak. Apakah begini rupa sikap para pagawai yang berada di pejabat-pejabat kerajaan kini? Apakah latihan yang diterima oleh mereka sehingga menyebabkan mereka terjadi seperti robot. Apakah mereka sentiasa mengambil jalan mudah untuk menyelesaikan sesuatu isu tanpa memikirkan kesusahan orang lain. Apakah mereka tidak memikirkan sensitiviti yang ditimbulkan oleh soalan mereka itu. Apakah mereka tidak terfikir bahawa soalan itu ‘menghiris’ perasaan ‘orang tua’ ini yang menganggap kami bukanwarga negara. Bagi aku ‘robot’ berkenaan sebagai biadap terhadap orang tua. Mungkin sudah begitu ramai yang telah dimangsakan oleh para ‘robot’ ini sepertimana yang menimpa nasib seperti aku dan isteri.

“ Kami baru sahaja mengesahkan Mykad makcik di JPN sebentar tadi. Mereka kata tidak ada masalah untuk memperbaharui Pasport” Kataku dengan penuh hormat. Merayu lagi agar kes ini diperetimbangkan.

“ Tapi komputer kami kata makcik bukan warga negara. Tak boleh memperbaharui pasport. Dihalang….” Si ‘robot’ mengulangi kenyataannya dengan penuh bangga. Seolah-olah menunjukkan bahawa kami tidak faham peraturan pejabat. Seolah-olah menunjukkan bahawa kami tidak faham bahasa di pejabat kerajaan. Seolah-olah kami baru sahaja datang dari hutan dan sampai ke Shah Alam, Bandar Anggerik.

“Apa yang patut kami lakukan sekarang?’ Tanya aku

“ Pergi semula ke JPN di Plaza Masala dan minta pegawai disana update butiran….cepat sikit. Pejabat tutup pukul 1.00…”. Kata si ‘Robot’ dengan tegas. Semacam tidak boleh menggunakan apa-apa budibicara.

Beredarlah aku dan isteri (warga emas yang sudah hampir mencecah usia 70 tahun) dari pejabat ‘robot’ di tingkat dua Bangunan PKNS menuju ke Tingkat Enam Bangunan Plaza Masalam ( Pejabat JPN Selangor). Sepanjang perjalanan aku memikirkan berbagai-bagai perkara. Aku terfikir tentang bagaimanalah agaknya sekiranya persitiwa sebegini berlaku kepada warga emas (seperti aku) yang datang dari kampung Sabak Bernam atau Tanjung Karang atau dari kawasan pendalam lain yang terpaksa melakukan sepertimana yang aku lakukan. Apakah para ‘robot’ ini tidak memikirkan kesusahan yang terpaksa dialami oleh orang tua seperti aku dan isteri yang mengalami sakit lutut dan penat-penat ketika bergegas untuk mengejar waktu pejabat yang akan tutup pada pukul 1.00 tengah hari. Apakah para ‘robot’ ini tidak memikirkan cara-cara yang sesuai untuk menyelesaikan maslaah yang dihadapi oleh isteri ku ini.

Memang terlalu sukar untuk orang tua seperti kami berkejar ke sana ke mari. Turun dari Tingkat Dua Bangunan PKNS dan kemudian ‘panjat’ pula Tingkat Enam Bangunan Plaza Masala. Itu tidak termasuk usaha mencari tempat letak kereta dan perjalanan dari tempat letak kereta ke pejabat berkenaan.

Di JPN Shah Alam, kami disambut mesra oleh pegawai bertugas. Mereka menanyakan apa yang mereka boleh tolong. Berbeza pula dengan layanan yang diberikan oleh ‘robot’ di Pejabat Imigresen, sedangkan kedua-dua jabatan ini adalah dibawah kementerian yang sama pimpinan YB DS Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Aku menjelaskan apa yang berlaku di Pejabat Imigresen dan meminta JPN mengesahkan butiran dalam Mykad isteri aku.

“ Tidak ada masalah makcik…..warganegara….’ kata pegawai berkenaan setelah dia menyemak komputernya.

“ Tak tahulah Pakcik nak kata apa….Pejabat Imigresen kata makcik bukan warganegara…..” Kata aku sambil tersenyum dalam sindiran.

Pegawai berkenaan kemudiannya memberikan kepada isteri ku ‘print out’ dari komputernya yang menunjukkan tentang butiran yang sahih berkaitan dengan ‘warga negara’. Dan pegawai berkenaan menasihatkan agar kami memberitahu pegawai imigresen sekiranya timbul masalah lagi berkaitan dengan masalah taraf kewarganegaraan ini, maka hendaklah mereka menghubungi JPN Selangor. Kami tidak dapat pergi ke Pejabat Imigresen pada hari itu disebabkan keadaan sudah agak terlewat. Pukul 12.50 tengah hari.

Hari Isnin 13 Oktober 2014, isteri ku pergi semula ke pejabat Imgresen di Shah Alam untuk berjumpa dengan pegawai disana tentang pembaharuan pasport beliau. Beliau mengharapkan para ‘robot’ yang dijumpai sebelum ini sudah menjadi ‘manusia’ semula. Harapannya meleset. Rupanya ‘robot’ yang ditemuinya sebelum ini masih tidak berubah menjadi seorang manusia. Apabila dijelaskan oleh isteriku tentang status kewarganegaraannya seperti yang dijelaskan oleh JPN, si ‘robot’ masih mengatakan bahawa ‘komputer beliau masih mengatakan bahawa isteri ku bukan warganegara’. Dan si ‘robot’ berkenaan mengarahkan beliau ke ibu pejabat JPN di Puterajaya untuk menyelesaikan isu ini.

Sekali lagi aku tersentak dengan ‘arahan’ si ‘robot’ itu. Apakah segala dokumen yang disertakan oleh isteri ku itu tidak cukup untuk membuktikan bahawa beliau seorang warganegara. Kami terpaksa ‘menggali’ semula surat beranaknya untuk dibuktikan bahawa sebenarnya beliau seorang warganegara Malayisa berketurunan Melayu. Itu pun masih tidak dapat diterima oleh para ‘robot’ di Pejabat Imigresen Shah Alam.

Apabila kami menghubungi JPN Puterajaya, kami bertemu dengan pegawai yang bersifat manusia semula. Pegawai berkenaan telah menghulurkan simaptinya kepada kami yang dianggapnya sebagai ibu dan bapanya yang sudah tua. Beliau menasihati isteri ku supaya tidak perlu ke Puterajaya dan beliau berjanji akan menyelesaikan isu ini dengan Pejabat Imigresen di Shah Alam.

Pada hari ini, lebih kurang pukul 10.00 pagi tadi isteri ku telah memperolehi semula pasportnya yang telah diperbaharui.

Aku berharap dan berdoa agar janganlah perkara seperti yang aku alami ini berlaku kepada warga emas lain. Samada mereka datang dari Tanjung Karang ke, dari Sabak Bernam ke, dari Ulu Terengganu ke, dari Tanah Merah ke, dari Selama Perak ke, dari Keluang ke. Biarlah apa yang aku alami ini tinggal dalam lipatan sejarah pahit yang aku alami apabila berurusan dengan pejabat kerajaan yang bernama Pejabat Imigresen, Shah Alam, Selangor. Mungkin tidak ramai pegawai yang bersikap demikian, tetapi sudah cukup untuk membuat aku merasakan bahawa masih ramai lagi agaknya pegawai kerajaan yang bersikap demikian.

Satu hal lagi yang perlu aku jelaskan juga ialah tentang para ‘robot’ kini yang tidak langsung menghargai dan menghormati golongan warga emas. Mereka langsung tidak peka dan bertimbang rasa akan kesuasahan yang dialami oleh warga emas apabila berurusan dengan mereka.

Dan yang paling menyedihkan aku ialah seolah-olah para ‘robot’ kini tidak langsung menghargai sumbangan warga emas ini yang pada suatu ketika dahulu pernah juga berurusan dengan orang ramai seperti mana yang mereka lakukan sekarang. Malah ramai juga warga emas yang pernah menjadi ‘boss’ dan ketua jabatan dan Pengarah di jabatan-jabatan kerajaan. Apakah mereka ini tidak langsung menghargai sumbangan golongan ini.

Diharapkan peristiwa malang yang berlaku kepada isteri ku ini akan menjadi sempadan dan diambil perhatian serious oleh pihak-pihak yang berkenaan terutama YB Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan menteri yang bertanggungjawab.

abuhassanadam
15 Oktober 2014

  








5 comments:

  1. Tu lah robot-robot yang telah meloloskan berjuta pati ke dalam negara hinggakan lupa rupa rakyat sendiri.

    ReplyDelete
  2. Robot biasanya memerlukan bekalan kuasa AC or DC untuk hidup
    Robot di Imigresen Shah Alam memerlukan bekalan kuasa RM untuk hidup
    Maka...huloq lah RM
    Huloq bro huloq bro huloq..
    BANGLA huloq sebab tu mudah berurusan dengan robot disitu..

    ReplyDelete
  3. Ni la hasil projek perisian kerajaan kita - masuk pintu belakang jutaan ringgit - satu habuk pun takleh pakai.

    Ni software Imigresen ada problem - bukak pulak projek "repair" software - meh sini lagi 100 juta kita kasik "repair" - tahun depan jumpa lagi. You help me I help you.

    ReplyDelete
  4. DA 6X PI..HAMPA.......TGU AWAL2 5.30AM ..HAMPA.....
    ,MNA DTG NYA MNUSIA NTAH RMAI2...SIAN AUNTIE YG KNE TOLAK...BGKA LEBAM ANGKARA MANUSIA...
    buat la sedikit pembaharuan berkaitan giliran no....buat macam bank..letak no...jika ckup no yg ditetapkan...kita da tahu...xd harapn..ni bila beratur panjang2 ...jenoh tgu bpe jam bdiri....last2 barisan kena potong la...no habis la.....sedih tau...buat la cdgan baru utk mmudahkan urusan smua..tq....

    ReplyDelete
    Replies
    1. salam cik, esok saya nk pegi buat passport..pukul 5.30 pun x dapat buat passport? saya baru cdg nk pegi kul 6.45 gitu..masa cik pergi tu hari apa?esok hari selasa hari org kerja..saya ecpect x ramai org la kut pg esok..ke rami jgk hari kerja pun?saya tgh urgent ni,kena buat passport sbb ada program twinning dgn luar negara..yg sakit hatinya diorang bg tempoh seminggu je

      Delete