Monday, October 27, 2014

KE MANA ‘HANYUT’NYA UNIVERSITY DI MALAYSIA

Bagi aku pandangan yang mengatakan bahawa university itu sebagai tempat belajar dan menimba ilmu semata-mata (dengan tidak mempedulikan hal lain) adalah pandangan yang sudah lapuk dan amat terkebelakang. Setahu aku tidak banyak university di dunia ini yang ‘bermazhab’ sedemikian. Mugkinlah agaknya university di Malaysia sahaja yang bersikap begitu. Mungkin pelajar-pelajar pusat pengajian tinggi di Malaysia sahaja yang mendapat ‘pesanan’ daripada pemerintah agar tumpukan  sepenuhnya perhatian kepada pelajaran dan ajaran guru dan jangan terlibat dalam hal-hal yang berkaitan dengan politik. Belajar dulu dan kemudian baru berpolitik.

Begitulah bunyi pesanan yang diberikan oleh pihak-pihak tertentu, terutama pihak ‘peminjam wang’ yang membiayai pengajaran pelajar di university. Dan pelajar-pelajar ( dari kampung biasanya yang terdiri dari orang Melayu miskin) akan terus patuh kepada ‘pesanan’ demikian walaupun ada diantara mereka yang sedar bahawa satu masa nanti mereka akan mendapat segolong ijazah yang ‘isi’nya seakan-akan ‘kosong’. Mereka ‘belajar’ di university hanya semata-mata untuk mendapatkan segolong ijazah dan bukan bertujuan untuk ‘menimba’ berbagai ilmu dan pengalaman.

Sekiranya kita melihat tentang apakah yang dimaksudkan dengan sebuah university tentulah aku merujuk kepada artikel John Henry Newman, ‘ The idea of a University’ yang mengatakan bahawa University adalah ‘ Studium Generale’ or “School of Universal Learning”…..a place for the communication and circulation of thought, by means of personal intercourse, through a wide extent of country”.

Sepanjang yang aku ketahui tidak ada pun sebuah university samada di Amerika Syarikat atau pun di United Kingdom yang melarang pihak tertentu untuk memberi ceramah di kampus-kampus mereka seperti yang diamalkan oleh university di negara kita. Malah sememangnya digalakkan para ilmuan untuk datang dan menyampaikan buah fikiran mereka (samada yang menyokong atau menentang) untuk dikongsikan bersama dengan para pelajar.

Kini pentadbiran University Malaya dan beberapa university lain di Malaysia melakukan perkara-perkara yang jarang dilakukan oleh university-university lain di dunia,

·       melarang alumninya, DS Anwar Ibrahim untuk hadir dan memberi ceramah kepada ‘adik-adik’ kandungnya. Dan alumni yang dijemput itu bukan calang-calang pemimpin pelajar yang pernah menuntut dan memberi sumbangan yang besar dan mengharumkan nama University ini pada suatu ketika dulu. Kini bekas pelajar berkenaan tidak dibenarkan untuk hadir dan memberikan pandangannya. Terlalu pelik bagi aku memikirkannya.
·      Campurtangan pihak pentadbiran yang melampau terhadap kegiatan mahasiswa juga merupakan sesuatu yang jarang dilakukan oleh university lain di dunia (mungkin ada dan aku yang jahil). Tindakan pihak Naib Canselor mencampuri urusan PMUM ( dulu UMSU namanya) adalah sesuatu yang memalukan, memandangkan PMUM adalah sebuah badan yang mewakili seluruh pelajar di University Malaya dan kewujudan jawatankuasa kerjanya adalah melalui pemilihan pelajar-pelajar university berkenaan. Bukan melalui lantikan.

Aku dapat membayangkan tentang terlalu jauh ‘hanyut’nya University Malaya dan university lain yang juga merupakan tempat aku mendapat segulung ijazah pada suatu ketika dulu. Tentu juga ramai rakan-rakan yang pernah suatu ketika dulu belajar di sini, yang agak malu melihatkan tindakan pihak pentadbir University kini yang amat jauh menyimpangnya dari apa yang dilakukan oleh pihak pentadbir dahulu di bawah pimpinan  Pak Ungku ( Prof Ungku Aziz). Dan yang menyedihkan ialah apa yang mereka lakukan kini adalah ‘janggal’, ‘kelakuan tak serupa orang lain’.

Pelajar kini tentunya teringin benar agar university ini melakukan kegiatan-kegiatan pelajar sepertimana yang pernah dilakukannya oleh pelajar-pelajar awal tahun 1970an ketika menjalankan majlis orientasi untuk kemasukan pelajar baru ke University Malaya. Aku masih teringat tentang kehadiran penceramah-penceramah yang berbagai-bagai fahaman politik datang untuk menyampaikan ceramah mereka di kampus UM. Di situlah para pelajar baru (dan senior) juga dapat menimba berbagai ilmu pro dan kontra tentang berbagai-bagai isu yang boleh menyuburkan pemikiran para mahsiswa baru.

Kegiatan sedemikian dapat berjalan dengan lancar sebelum wujudnya Akta University dan Kolej. Kampus UM pada ketika itu adalah merupakan arena perkembangan ilmu dalam erti kata yang sebenar-benarnya. Ini ditambah pula dengan kewujudan ‘Speakers Corner’ berhampiran dengan perpustakaan yang memberikan peluang kepada pelajar untuk mengasah bakat dalam teknik berpidato. Para pelajar telah mendapat kebebasan untuk menyuarakan pendapat dan pandangan mereka mengenai sesuatu isu yang membabitkan negara dan masyarakat Malaysia secara umumnya.

Pastinya kebanyakan para mahasiswa di negara kini terlalu mengimpikan keadaan seperti itu kini. Mereka pastinya mengharapkan agar pihak kerajaan memberikan kelonggaran kepada mereka untuk menjalankan kegiatan yang membolehkan mereka mengasah bakat mereka dalam berbagai-bagai bidang yang diceburi oleh mereka tanpa disekat dan dihalang.

Langkah awal yang diambil oleh Saudara Fahmi Zainol, selaku Presiden Persatuan Mahasiswa University Malaya menjemput Saudara Anwar Ibrahim menyampaikan ceramahnya di UM  itu harus mendapat sokongan dari pihak university. Biarkan pelajar membuat pengadilan. Dan harus dingati juga bahawa para pelajar adalah golongan yang berpelajaran dan tidak mudah untuk diputarbelit oleh hujah-hujah yang songsang. Pihak pentadbiran university tidak perlu takut kepada ‘bayang-bayang’ yang mungkin ‘menghantui’ mereka.

Berikanlah kebebasan kepada pelajar untuk mereka benar-benar 'belajar' menepati ertikata yang sebenar-benarnya.

abuhassanadam
27 Oktober 2014



No comments:

Post a Comment