PERTAMA KALI SAMPAI DI LONDON
Pertama kali aku menjejakkan kaki di bumi
penjajah ini ialah pada tahun 1978. Dalam perjalanan pulang ke Malaysia dari
New York setelah menghadiri satu kursus mengenai ‘Testing and Measurement’ di
Educational Testing Service di Princeton, New Jersey. Kesemuanya perbelanjaan
kerajaan. Jikalau diharapkan perbelanjaan yang keluar dari ‘poket sendiri’ maknanya
‘jauh panggang dari api’ ler.
Pada tahun-tahun 1970an tidak ramai rakyat
Malaysia yang pernah pergi ke London. Boleh dikira berapa ‘kerat’ saja orang
Melayu yang pernah sampai ke London. Itu pun menggunakan perbelanjaan yang
dibiayai oleh kerajaan. Tidak seperti sekarang. Ramai rakyat Malaysia yang
bukan sahaja pergi ke London seperti ‘tempat berulang mandi’ tetapi telah memiliki
rumah dan berbagai harta di sana.
Setibanya aku di Heathrow Airport, ketika mahu
keluar melalui pemeriksaan immiration, aku telah ditahan oleh pihak penguasa
British. Ditarik keluar dari barisan yang berbaris untuk menuju ke kaunter
immigration. Aku terpinga-pinga, tidak tahu mengapa aku ditarik dari barisan
berkenaan. Aku mengikut sahaja arahanya tanpa bersoal jawab. Mungkin ‘perangai’
sedemikian adalah warisan daripada datuk nenek aku agaknya yang sentiasa ‘takut
dan patuh’ kepada perintah orang putih (penjajah). Tetapi ketika itu negara aku
sudah merdeka….
Boss aku pada ketika itu, Puan Hajjah Badiah
Manan datang untuk ‘intervene’, menanyakan kepada pegawai berkenaan mengapa aku
ditahan. Rupanya aku disyakki sebagai salah seorang anggota kumpulan Arab yang
cuba meletupkan Lapangan Heathrow pada pagi hari sebelumnya. Aku jelaskan yang
aku dari Malaysia. Dari New York. Berkursus di sana. Akhirnya aku dibebaskan.
Pada ketika aku disoal jawab, aku merasa begitu
takut dan gentar. Maklumlah tuduhan yang dilemparkan kepada aku ialah sebagai
salah seorang anggota Arab yang hendak meletupkan lapangan terbang Heathrow.
Yang aku geli hati (kini) ialah apakah rupa paras aku pada ketika itu
menyerupai rupa paras orang Arab? Apakah pegawai berkenaan ‘buta’ dan tidak
dapat melihat dengan jelas wajah dan rupa paras aku. Jikalau dikatakan yang
rupa paras aku serupa dengan Sakai atau Senoi (orang asli), mungkin jugalah ada
lojiknya. Dan tentulah amat juah jika rupa paras aku dikatakan serupa dengan
rupa paras orang Arab. Tidak ada setitik pun darah Arab yang mengalir di tubuh
aku.
Aku dan Rick Halil menyewa sebuah bilik (Bed and
Breakfast) di Edgware yang tidak jauh dari Malaysia Hall lama di Bryanston
Square. Rick Halil bukannya orang putih. Kawan se pejabat. Namanya saja macam
nama orang putih. Aku pernah tanya dia mengapa bapa dia beri nama ‘Rick’.
Katanya pada suatu ketika dulu, bapanya bekerja sebagai pemandu kereta orang
putih dan bapanya begitu tertarik dengan nama orang putih seperti John, Peter
dll. Jadi bapanya menamakan dia Rick.
Ketika berada dalam bilik sewaan ( sewanya hanya
tujuh Pound ) aku dan Rick memerhatikan keadaan persekitaran dalam bilik.
Pegang sana, petik sini. Maklumlah baru pertama kali sampai ke London.
Tiba-tiba entah macam mana Rick ‘tersilap’ petik. Switch ‘heater’. Apa lagi
menyalalah ‘binatang’ itu. Kami panic. Maklumlah mana ada ‘binatang’ seperti
itu di negara kita. Kami memanggil tuan rumah meminta pertolongan. Tuan rumah
datang dengan senyuman sambil ‘memadamkan’ semula ‘api’ berkenaan. Agaknya dia
sedang memikirkan tentang bagaimana James Birch yang mula datang ke Perak dan
bertemu dengan orang Melayu pada tahun 1874. Dan agaknya dia memikirkan bahawa
orang Melayu tidak banyak berubah pada tahun 1978. Agaknya ler……
Pada malamnya Kami merancang nak tengok wayang.
Aku lupa nama ceritanya. Tetapi yang pasti bukan cerita ‘Seniman Bujang Lapuk’.
Itu Aku pasti. Nama panggungnya juga aku lupa.Di West End ke atau East End ke,
aku dah tak ingat. Oleh kerana waktu Summer, maka kami hanya memakai T-shirt
saja untuk masuk panggung wayang, sedangkan penonton lain lengkap dengan baju
sejuk mereka. Aku agak hairan mengapa mereka berkeadaan demikian. Rupa-rupanya
walaupun musim panas pada siangnya, waktu malam di London adalah sangat sejuk.
Mana kami nak tahu. Maklumlah perak dan jakun baru sampai di London…
Separuh tayangan filem tu, aku sudah merasakan
kesejukannya. Aku mengajak Rick keluar saja dan balik. Kami keluar dan mencari
teksi untuk pulang ke hotel. Teksi berhenti dan bertanya ke mana kami akan
pergi. Aku terlupa nama jalan tempat kami menginap. Rick pun lupa. Pemandu
teksi menyebut beberapa nama. Cromewell
Road, Liverpool Street, Bryanston Square, Oxford Street ,……..Banyak nama jalan
yang disebutnya. Kesemuanya kami menggelengkan kepala. Tiba-tiba disebutnya
‘Edgware Road’, kami terus ‘menjerit’ menandakan tepat tekaannya itu. Untuk
meringkaskan cerita, kami sampai dengan selamat di hotel tempat kami menginap.
Kisah aku berada di London ini tidak ubah seperti
berbagai kisah orang kampung (di Perak) yang pergi makan angin di Ipoh ketika
harga getah melambung tinggi pada pertengahan Kurun ke 20 dulu. Terlalu banyak
‘cerita-cerita’ lucu mengenai kisah orang kampung (Melayu) yang pergi ke bandar
seperti Ipoh atau Taiping untuk makan angin. Apatah lagi pemergian mereka ke
bandar-bandar berkenaan dengan ‘poket yang tepu’ ekoran dari kenaikan harga
getah.
Mungkin akan aku ceritakan kisah-kisah
sebagaimana yang aku dengar dari orang yang lebih tua dari aku pada masa-masa
yang akan datang….
abuhassanadam
22 Oktober 2014
Dear En Abu Hassan , thank you for a delightful read !
ReplyDeleteI had fun reading this :)
ReplyDeleteHa kita sezaman. Saya last batch Special Malay Class dan Senior Cambridge.
ReplyDeleteSaudari Teres Saint dan CoMMuniCate WiThMe,
ReplyDeleteSaya bersyukur kerana saudara-saudari 'terhibur' membaca kisah sebegini yang sememangnya hasrat saya untuk 'menghiburkan' anak-anak muda seperti saudara. Agar dapat mengetahui pengalaman 'orang tua' seperti saya.
Dan kepada Saudara timor mungkin juga akan tersenyum lebar membacanya disebabkan ia mungkin juga merupakan pengalaman saudara juga. Mungkin!..
Pak Abu