BRIM – BUKAN ‘RECIPE’ MEMAJUKAN MELAYU
Hamid kawan baik aku (sekampung) semenjak di
sekolah rendah lagi dengan bangga memberi tahu aku yang dia juga ‘beruntung’
dapat BRIM. “Dulu RM600, sekarang dah naik RM950” katanya pada aku di suatu
majlis khenduri di kampung. Setiap kali aku pulang ke kampung samada menghadiri
majlis khenduri kahwin atau pengkebumian, pasti aku bertemu Hamid. Walaupun
beliau tidak berjaya dalam lapangan akademik, tetapi beliau boleh dikira
seorang petani berjaya di kampung aku.
Aku hanya tersenyum bila Hamid kata begitu. Apa
nak aku katakan lagi. Aku tak mahu menyanggah kenyataannya itu. maklumlah bukan
selalu berjumpa. Takkanlah aku nak ‘berbahas’ tentang isu BRIM dalam saat dan
suasana harmoni yang sedemikian. Lebih baiklah aku bersembang dengan Hamid
tentang perkara-perkara yang mengembirakan.
Namun begitu aku merasakan pemberian BRIM oleh
pihak kerajaan kepada Hamid dan kepada ratusan ribu lagi orang Melayu yang
dikategorikan sebagai ‘miskin’ semacam tak kena. Tak sesuai. Seorang rakan
memberitahu aku bahawa pemberian BRIM
itu adalah seperti memberikan bantal kepada orang yang sedang mengantuk. Pastinya
akan terus ‘tertidur’ dan entah bilalah saat akan bangunnya.
Dan aku teringat pula kata-kata Tuan Lee Kuan Yew,
Perdana Menteri Singapura suatu ketika dahulu apabila beliau mengatakan bahawa,
‘si tidur adalah makanan si jaga’. Walaupun tidak dinyatakan oleh beliau
bahawasanya yang dimaksudkan sebagai ‘si tidur’ itu adalah orang Melayu, namun
kita faham bahawa orang Melayulah yang sentiasa ‘tidur’ dan pada tahun-tahun
1960an, ketika Singapura masih berada dalam Malaysia. Dan ada juga yang
mengatakan bahawa Lee Kuan Yew ‘mengkhayalkan’ anak-anak Melayu di Singapura
dengan menggalakkan mereka terlibat dalam kumpulan gitar rancak (KUGIRAN) pada
tahun-tahun 1960an. Aku tidak dapat mempastikan hakikat sedemikian namun jelas
penyanyi pop yeh yeh 1960an telah mempengaruhi kehidupan anak-anak muda pada
zaman itu. Termasuklah aku……..
Rakyat tentunya berterima kasih kepada kerajaan
kerana memberikan BRIM. Tetapi apakah pihak kerajaan tidak memikir
sedalam-dalamnya kesan daripada pemberian sedemikian. Semua orang tahu bahawa
dengan memberikan BRIM tentulah mengembirakan rakyat (sebahagian kecil) dan
menyebabkan rakyat terhutang budi kepada pihak kerajaan. Tetapi apakah tugas
kerajaan itu hanya untuk mengembirakan rakyat walaupun pada akhirnya hasrat
untuk memajukan orang Melayu itu tidak tercapai. Dan bukankah di bahu kerajaan
juga terletaknya tugas untuk memajukan rakyat khususnya orang Melayu.
Confucius ( ahli falsafah Cina) pernah menyatakan
bahawa, “Give a man a fish, feed home for a day.
Teach a man to fish, feed for a lifetime.”. Maknanya apa yang dilakukan oleh
kerajaan dengan memberi BRIM itu amat bertentangan dengan saranan yang
dikemukakan oleh Confucius itu. Aku tidak pula untuk terus ‘mentaati’ ajaran
Confucius secara membabi buta, namun dari segi lojiknya, berapa lamakah wang
BRIM yang diberikan kepada rakyat itu dapat ‘bertahan’?
Bajet
15 yang dibentangkan oleh DS Mohd Najib tempoh hari telah ‘menyedarkan’ aku
bahawa seolah-olah masih ramai rakyat di Malaysia yang masih hidup dibawah
paras kemiskinan setelah mencapai kemerdekaan lebih daripada satu abad. BRIM
dan berbagai-bagai subsidi masih perlu disediakan oleh kerajaan bagi membantu
rakyat. Seolah-olah tidak banyak bezanya keadaan negara selepas mencapai
kemerdekaan (1957) dengan keadaan sekarang.
Cuma yang agak berbeza ialah dari segi bentuk pemberian dan subsidi
kerajaan. Jikalau dahulu yang dihulurkan oleh kerajaan adalah dalam bentuk
benih dan baja, ayam, kambing,lembu dsb, maka kini kerajaan menghulurkan wang
tunai dalam bentuk BRIM.
Entah
berapa ratus billion ringgit yang telah dibelanjakan oleh kerajaan untuk
memberikan bantuan sedemikian semenjak zaman kemerdekaan sehingga kini. Dan
bagaimana pula tentang kemajuan yang telah dicapai dan diperolehi oleh orang
Melayu khususnya. Apakah pihak berwajib tidak ada statistik yang boleh
menjelaskan keadaan ini.
Satu
hal yang jelas ialah bahawa sekiranya kerajaan masih menyediakan bantuan dan
subsidi seperti BRIM, bermakna juga bahawa rakyat di Malaysia sememangnya masih
miskin walaupun sudah ada sedikit kemajuan yang dicapai. Bermakna juga bahawa
orang Melayu yang kebayakannya berada di luar bandar masih berada ‘di takuk
lama’ walaupun negara sudah mencapai kemerdekaan setelah lebih setengah abad.
Dan
tentulah aku terfikir pula. Apakah BRIM merupakan ‘recipe’ yang sesuai untuk
memajukan orang Melayu.
abuhassanadam
13
Oktober 2014
This comment has been removed by a blog administrator.
ReplyDeleteSalam sejahtera, gembira dapat membaca tulisan tuan semula.
ReplyDelete