SAUDARA ANWAR ‘……..THE LAST STRAW….”
Peribahasa Inggeris ada menyebut, ‘ it is the
last straw that breaks the camel’s back’. Lebih kurang maknanya adalah sesuatu
keadaan yang pada mulanya dianggap kecil akan bertukar menjadi sesuatu yang
besar disebabkan sesuatu peristiwa yang dianggap remeh atau tidak mendatangkan
kesan yang mendalam.
Perbicaraan mengenai rayuan Saudara Anwar Ibrahim
yang akan datang bukan merupakan peristiwa ‘ditelan mati emak dan diluah mati
bapak”. Bagi aku tidak ada ‘dilemma’nya dalam menentukan keputusan perbicaraan
itu. Namun demikian segala keputusan terletak di atas kebijaksanaan para hakim
yang mengendalikan kes berkenaan. Bagi ‘orang luar’ seperti aku sekiranya
Saudara Anwar ‘dihumban’ ke penjara bermakna akan lahir seorang lagi ‘Nelson
Mandela’ di negara kita Malaysia.
Itulah senario yang dapat aku bayangkan yang akan
terjadi di Malaysia dan tentang bagaimana reaksi rakyat Malaysia secara
keseluruhannya terhadap pemenjaraan Saudara Anwar adalah diluar kemampuan aku
untuk menggambarkannya. Berbagai spekulasi telah diutarakan oleh penganalisis
politik tanah air. Sekiranya Saudara Anwar dipenjarakan begini jadinya dan
sekiranya ‘dilepaskan’ begitu pula jadinya.
Bagi aku tidak ada ‘kalau’nya. Minat aku terhadap
perjuangan Nelson Mandela dan Martin Luther King tidak ada batasnya. Dan
mengikut pengamatan aku perjuangan Saudara Anwar Ibrahim juga adalah lebih
kurang sama dengan perjuangan kedua-dua tokoh ini. Mungkin agak keterlaluan
bagi setengah pihak apabila aku membuat perbandingan sedemikian. Namun setelah
mengikuti sekian lama perjuangan Saudara Anwar Ibrahim tidak syak lagi bahawa
‘langkah’ Anwar adalah lebih kurang sama dengan ‘langkah’ Mandela dan Martin
Luther Kings.
Ada pihak yang merasakan bahawa Pakatan Rakyat
akan menghadapi masalah sekiranya ketiadaan Saudara Anwar. Apakah ‘padam’ api
perjuangan rakyat Afrika menentang Apartheid setelah Mandela dipenjarakan
selama 27 tahun? Apakah malap perjuangan rakyat kulit hitam di Amerika Syarikat
setelah Martin Luther King di tembak. “I have a dream’nya terus menjadi mimpi
dan igauan rakyat kulit hitam sehingga akhirnya berjaya juga meletakkan Obama
(kulit hitam) ditakhta Presiden Amerika. Dan sekiranya kita beranjak ke
belakang lagi melihat sejarah perjuangan Jose Rizal menentang Sepanyol, akan
dapat lihat bahawa obor perjuangan tokoh-tokoh ini tidak akan padam. Berbagai
tindakan dilakukan oleh Sepanyl namun gagal juga akhirnya.
Begitu jugalah dengan perjuangan yang telah
dilancarkan oleh Saudara Anwar Ibrahim. Sebagaimana yang pernah aku katakan
dalam blog terawal bahawa ‘Anwar’ sudah berada di mana-mana dalam hati sanubari
rakyat Malaysia, samada di bandar, di kampung, golongan elit, pemuda,wanita dan
yang paling menakjubkan lagi ialah beliau telah menjadi ikon rakyat Malaysia
dari semua bangsa dan keturunan. Lebih jauh dari itu perjuangan beliau telah
diketahui oleh kebanyakan penduduk dunia yang mengikuti siaran CNN, BBC,
Aljazeera, dan puluhan akhbar dunia yang menyiarkan ucapan dan temuramahnya.
Beliau akan terus ‘hidup’ walaupun dipenjarakan.
Sekiranya ada pihak yang merasakan bahawa dengan memenjarakan beliau akan
melemahkan Pakatan Rakyat, bagi aku tanggapan sedemikian merupakan satu
kesilapan yang amat besar.
Saudara Anwar Ibrahim adalah merupakan ‘catalyst’
sesuatu perjuangan. Maksud aku bukan badan tubuh Anwar Ibrahim yang dilihat
oleh rakyat terbanyak, tetapi roh perjuangannya akan ‘menakluki’ hati dan
perasaan rakyat terbanyak. Aku yakin yang musuh politik Saudara Anwar juga
faham tentang hakikat ini. Sekiranya mereka tidak faham, masakan berbagai
langkah dan tindakan yang dilakukan bagi menyekat kemaraan Saudara Anwar dalam
politik tanah air.
Mungkin ada juga yang memikirkan bahawa sekiranya
Saudara Anwar Ibrahim dipenjarakan, pasti akan wujud suatu ‘mercu tanda’ baru
dalam pemikiran rakyat terbanyak bahawa perjuangan yang dilancarkan oleh
Saudara Anwar Ibrahim perlu diteruskan tanpa ada titik noktahnya. Mungkin
keadaan politik kini agak ‘sejuk’ disebabkan tidak ada petanda baru yang
‘menghangatkannya’. Dan sekiranyalah Anwar dipenjarakan maka akan muncul suatu
kesedaran baru dikalangan rakyat sepertimana tindakan mereka terhadap ‘mata
lebam’ pada tahun 1999 dulu.
Barisan Nasional terselamat pada ketika itu disebabkan
kesedaran golongan bukan Melayu terhadap persitiwa demikian kurang meluas
berbanding dengan keadaan yang berlaku kini. Lantas undi bukan Melayu masih
memihak kepada Barisan Nasional disamping belum wujudnya media sosial secara
meluas dan berkesan. Dan dalam masa yang singkat, isu ‘mata lebam’ telah
menjalar seperti ‘api ditiup angin’ keseluruh pelusuk negara.
Itu suasana tahun 1999 setelah Saudara Anwar
dipenjara. Kini adalah tahun 2014, lebih kurang tiga tahun menjelangnya PRU 14.
Pasti isunya adalah ‘ Anwar dipenjara’. Isu sedemikian pasti digembar-gemburkan
dan seolah-olah memberikan ‘peluru’ yang amat berkesan kepada pihak pembangkang.
Jikalau pada tahun 1999, kempenya kurang berkesan tetapi kempen kali ini akan
jauh lebih berkesan daripada keadaan sebelumnya.
Perkembangan terbaru yang membimbangkan pihak
tertentu adalah keberanian yang ditunjukkan oleh setengah pemimpin pelajar dari
pusat pengajian tinggi terhadap perjuangan Saudara Anwar Ibrahim. Hal ini tidak
berlaku sebelum ini. Dan sekiranya para pelajar sudah mula tampil, maka sesuatu
perubahan pasti akan berlaku. Sejarah telah menunjukkan bahawa sesuatu
perubahan biasanya dicetuskan oleh pelajar pusat pengajian tinggi.
Sekiranya ada pihak tertentu yang boleh
berperanan untuk ‘menghalang’ Saudara Anwar dari dipenjara, aku pasti tindakan
sedemikian perlu dilakukan kerana ‘jangan disangka air tenang tiada buiaya’.
Itulah gambaran sebenar di negara ini. Mungkin para pemimpin atasan tidak
melihat ‘kocakan’ yang berlaku ‘di bawah’ dan janganlah meletakkan harapan
begitu tinggi kepada ‘pengaruh’ BRIM, kerana ‘pengaruh’ sedemikian akan lenyap
dalam sekelip mata.
Hanya sekadar mengajak rakyat berfikir…..
abuhassanadam
26 Oktober 2014
No comments:
Post a Comment