Tuesday, October 14, 2014

PANGGILAN DAN GELARAN BOLEH MENGERATKAN HUBUNGAN ANTARA KAUM

Entah macam mana terpanggil pula aku untuk memperkatakan tentang hal yang tidak begitu penting ini. Maksud aku isu yang akan dibincangkan bukanlah isu nasional atau isu antarabangsa. Bukan juga isu yang berkaitan dengan politik dan masyarakat di Malaysia.

Memang sudah lama terpendam hasrat untuk menulis tentang perkara ini tetapi sengaja dilengahkan disebabkan isu yang akan aku tulis ini tidak akan ‘basi’, malah akan terus segar dibenak siapa saja yang membacanya, khususnya bagi mereka yang lahir dan dibesarkan di negeri Perak. Namun mungkin juga merupakan ‘jumpaan’ baru bagi anak-anak muda negeri Perak yang tidak begitu peka dengan kewujudan berbagai panggilan di negeri Perak.

Orang Putih tidak menggunakan gelaran-gelaran manja untuk memanggil orang yang lebih tua dari mereka. Samada di Amerika atau di United Kingdom, jarang sangat aku dengar orang memanggil golongan yang lebih tua sebagai ‘uncle’ atau ‘untie’ sebagaimana yang biasa digunakan oleh masyarakat Malaysia (yang kononnya terpelajar). Orang putih tidak memanggil bapa saudaranya dengan panggilan ‘Uncle’ atau ‘Untie’ tetapi sebaliknya hanya memanggil dengan menggunakan nama sahaja.

Bagi orang Melayu,memanggil orang yang lebih tua dengan hanya memanggil menggunakan nama sahaja adalah satu perbuatan biadap. Dengan sebab itulah masyarakat Malaysia kini (Melayu dan bukan Melayu) sudah pandai menggunakan panggilan-panggilan seperti makcik, pakcik, abang, kakak ataupun menggunakan gelaran ‘uncle’,’ untie’ dll.

Orang Perak menggunakan gelaran yang lebih ‘mesra’ untuk memanggil golongan yang lebih tua dari mereka. Anak-anak buah akan memanggil bapak saudara dengan panggilan Ayah Yeop, Pak Long, Pak Ngah, Ayah Ngah (Ayah Nyah), Pak Uda, Pak Teh, Pak Alang ( Ayah Alang) dan lain-lain. Bagi ibu saudara pula mereka akan menggunakan panggilan seperti Yong, Mak Yong, Mak Long, Wah, Mak Ngah (Mak Nyah), Mak Teh, Mak Tua ( Mak We), Mak Andak, Mak Alang, Mak Uda dan lain-lain.

Sebenarnya dengan menggunakan panggilan sedemikian akan ‘mengikat’ hubungan mesra antara saudara. Panggilan Pak Ngah adalah sama dengan panggilan Ayah Nyah dan jelas menggunakan pangggilan ‘Ayah Nyah’ nampak lebih manja dan lebih mengakrabkan hubungan persaudaraan itu. Serupa juga dengan panggilan Mak Ngah untuk ibu saudara. Ramai juga yang menggunakan panggilan ‘Mak Nyah’ atau “nyah’ sahaja yang dirasakan lebi mesra dan lebih manja. Tidak kurang juga yang menggunakan panggilan ‘Wah’ untuk memanggil ibu saudara.

“Wah’ mungkin singkatan daripada perkataan ‘juah’ yang membawa maksud ‘manja’. Seorang anak saudara akan memanggil ibu saudaranya dengan panggilan “Wah”. Aku masih teringat akan arwah ibu saudara aku yang bernama Robeah. Dan aku memanggilnya dengan panggilan ‘Wah Beah’. Terlalu manja dan terlalu ikrab rasanya.

Anak muda yang bukan berbangsa Melayu harus mengetahui dan mempelajari mengenai gelaran-gelaran yang diamalkan oleh orang Melayu ini terutama yang berada di negeri Perak. Kini masih terdapat pelajar-pelajar bukan Melayu yang menggunakan perkataan ‘kamu’ apabila bercakap dengan orang yang lebih tua darinya. Orang Melayu sememangnya ‘tidak selesa’ apabila ada anak-anak yang memanggilnya dengan panggilan ‘kamu’. Sekiranya orang Melayu yang menggunakan perkataan ‘kamu’ untuk bercakap dengan orang yang lebih tua darinya, maka ‘hukuman’ yang dijatuhkan tentulah perkataan ‘biadap’.

Sejarah telah menunjukkan bahawa salah satu punca pembunuhan James Birch di Perak pada tahun 1875 adalah berpunca daripada keadaan beliau yang tidak tahu berbahasa Melayu. Lebih tegas lagi ialah bahawasanya beliau tidak mengetahui adat istiadat dan budaya Melayu. Tindakannya menghapuskan sistem ‘orang suruhan’ (bukan perhambaan) telah menyebabkan beliau dibunuh oleh pembesar negeri Perak.

Beliau telah digantikan oleh Hugh Low yang telah mempelajari bahasa Melayu dan adat istiadat Melayu terlebih dahulu di Singapura sebelum menjalankan tugas Residen di Perak. Lalu pentadbirannya di Perak dapat diterima oleh pembesar Perak yang menyebabkan negeri Perak terus ‘tergadai’ dan dijajah oleh British.

Slogan kata, ‘Kejor Yeop Kejor’ adalah merupakan slogan yang amat berpengaruh dan besar kesannya ke atas orang Perak. Ia juga bermakna ,’ kejar abang kejar’. Tetapi tentulah memberikan impak yang begitu kuat kepada orang Perak sekiranya digunakan slogan ‘Kejor Yeop Kejor’ dalam sesuatu perlawanan bola sepak.

Segala panggilan dan gelaran yang digunakan oleh orang Perak hendaknya akan terus segar dan diamalkan bukan sahaja oleh orang Perak tetapi juga oleh kaum bukan Melayu yang meminati budaya negeri Perak dan bangsa Melayu umumnya. Tidak rugi sekirang kaum bukan Melayu tahu dan mengamalkan budaya Melayu sedemikian kerana dengan demikian akan mengeratkan lagi hubungan antara kaum di negara ini disamping orang Melayu juga mempelajar sedikit sebanyak tentang budaya dan amalan kaum bukan Melayu lain seperti budaya Tionguhua dan India.

abuhassanadam
14 Oktober 2014





No comments:

Post a Comment