Thursday, October 23, 2014

ANJING…ANJING….ANJING......

Mungkin ramai golongan bukan Islam di luar sana sedang mentertawakan kita tentang gelagat orang Islam (Melayu di Malaysia) yang sedang mempersoal dan mempertikaikan mengenai isu anjing yang sedang hangat diperdebatkan sekarang. Jelas menampakkan kepada mereka bahawa golongan Melayu (Islam) memang berminat untuk meperkatakan isu yang agak remeh dan hanya membiarkan sahaja isu besar dan penting kepada bangsa dan negara ‘hanyut’ begitu sahaja. Tentulah isu besar seperti berleluasanya amalan menerima rasuah di negara kita harus diambil perhatian serious oleh masyarakat tetapi malangnya kelihatan dikesampingkan dan menampakkan sebagai tidak sepenting ‘isu anjing’.

Terus terang aku katakan yang aku tidak mahu terlibat memperkatakan tentang halal atau haram atau harus menyentuh anjing. Semenjak dari kecil aku tidak pernah lagi menyentuh anjing apatah lagi babi. Guru agama (Pak Haji Sulaiman) aku kata anjing adalah najis disentuh sekiranya ‘antara basah dan kering). Maknanya jikalau kita sentuh anjing yang basah bulunya, maka najis hukumnya, kata Pak Haji Sulaiman. Maknanya jikalau kering dibolehkan.

Tetapi emak aku melarang aku ‘mendekati’ anjing. Maknanya mendekati anjing pun ditegahnya apatah lagi memegang dan memeluknya. Dengan sebab itulah kami jarang sekali bertandang ke rumah jiran yang ada membela anjing di kampung aku. Emak memandang anjing sebagai sesuatu yang ‘jijik’. Mungkin ajaran agama yang diterimanya telah meletakkan ‘hukuman’ yang sedemikian. Mugkin guru agama yang mendidik arwah emak tidak menceritakan tentang kisah bagaimana Nabi Muhammad ‘menjanjikan’ syurga kepada seorang pelacur yang sedang memberi makan seekor anjing yang sedang lapar dan dahaga. 

Seingat aku, agak ramai juga jiran-jiran di kampung aku pada suatu ketika dahulu membela anjing. Bukanlah untuk dicium atau diperluk tetapi digunakan sebagai teman untuk menemani mereka pergi ke hutan. Dan emak sentiasa melarang aku supaya jangan mendekati anjing-anjing itu. Mungkin juga takut digigit anjing. Dan tidak pula dikecam oleh tok guru mereka yang membela anjing di kampung aku. Cuma ada juga aku dengar ‘fatwa’ dari guru-guru agama yang mengatakan bahawa sesiapa yang mebela anjing di rumahnya maka tidak akan ‘dilawati’ oleh Malaikat. Aku tak mahu komen juga…….

Kini sudah timbul isu yang agak hangat di negara kita mengenai isu anjing. Sudah ada golongan anak muda yang sudah bersedia berdepan dengan golongan agama untuk membahaskan isu ‘menyentuh dan memeluk anjing’. Golongan muda yang progresif mempunyai alasan yang tersendiri mengapa mereka melakukan tindakan sedemikian dan di pihak guru agama pula mempunyai alasan juga untuk menyatakan sesuatu yang sebaliknya. Dan pastinya ‘perbalahan’ ini sukar untuk diselesaikan dalam masa terdekat. Malah ada juga intelek agama kini yang mempunyai pandangan yang berlainan daripada fahaman yang dianuti oleh guru agama lain. Pastinya akan bertambah kacau disebabkan kerana tidak dapat titik pertemuan.

Aku masih lagi mempersoalkan tentang ‘pendekatan’. Aku masih merasakan bahawa kebanyakan alim ulama yang ada di Malaysia masih melihat masyarakat Melayu (Islam) kini serupa dengan masyarakat tahun 1950an atau 1960an, masyarakat sepertimana yang aku gambarkan di atas. Memang betul bahawa masyarakat pada ketika itu akan patuh kepada apa saja yang ‘diajar’ oleh guru-guru agama. Tidak akan ada yang berani menyoal disebabkan ‘arahan awal’ yang diberikan oleh tuan guru bahawa, ‘ tuan guru jangan disoal…berdosa!” Dengan demikian masyarakat pada ketika itu terus membabi buta mematuhi apa saja ajaran tuan guru sepertimana yang berlaku ke atas diri aku (yang semacam mewakili zaman itu).

Kini adalah Kurun ke 21. Perbezaan jarak masa setengah abad. Tentunya banyak perubahan cara berfikir terutamanya dikalangan anak muda kini yang sudah terdedah dengan berbagai-bagai sumber maklumat. Mereka bukan sahaja mendapat maklumat daripada guru-guru agama yang berada di Malaysia tetapi mereka telah mengkaji pandangan dan pendapat intelektual Islam  bertaraf dunia yang lebih hebat daripada guru-guru agama yang terdapat di negara ini. Lantas apa yang disarankan oleh guru-guru agama disini akan mereka banding dan bezakan dengan pendapat yang dikeluarkan oleh intelektual Islam dunia. Dan akan mereka rujuk pula berbagai sumber maklumat lain yang dapat dicapai dengan mudah memalui internet.

Peribahasa Inggeris ada menyatakan tentang, ‘different strokes for different folks’. Maknanya pendekatan yang harus dilakukan oleh guru-guru agama di Malaysia kini harus juga mengikut peredaran zaman. Janganlah hendaknya menggunakan ‘hukuman’ sebagai jalan penyelesaian untuk menyelesaikan sesuatu isu. Anak-anak muda kini memerlukan hujah dan alasan yang konkrit disamping dapat meyakinkan hujah-hujah yang dikemukakan. Guru-guru agama tidak sepatutnya lagi menggunakan ungkapan, ‘ guru agama jangan disoal…berdosa’ tetapi sebaliknya diadakan forum dan perdebatan bagi membuka minda. Yakinkan mereka tentang apa yang sepatutnya mereka lakukan. Buka ruang seluas-luasnya bagi mereka untuk berdebat. Dengan jalan itulah banyak perkara yang rumit dan kompleks dapat dirungkai.

Peribahasa Melayu pula mengatakan, ‘ sekali air bah sekali pasir berubah…”

abuhassanadam
23 Oktober 2014

No comments:

Post a Comment