Monday, October 20, 2014

CINA, INDIA DAN ORANG INDONESIA ADALAH PENDATANG

Seorang kawan baik aku (Melayu totok) pernah bergaduh dengan rakan satu kelas berbangsa Cina ketika kami sama-sama belajar di Clifford School Kuala kangsar. Punca pergaduhan adalah disebabkan mulut celopah rakan berbangsa Cina yang mengatakan rupa paras kawan aku seperti Senoi, Sakai ( kini dipanggil orang asli). Walaupun permusuhan itu tidak lama tetapi kedua-duanya dapat jugalah ‘habuan’ dari Pengetua. Itu tahun 1960an. Sampai kini apabila ada pertemuan di majlis-majlis khenduri misalnya, kami akan ketawa terbahak-bahak mengenangkan peristiwa demikian. Jelas kemesraan terjalin.

Sepatutnya tidak langsung menjadi isu pada ketika itu. Sememangnya kami dari keturunan orang asli. Apabila disusur galur keturunan aku (misalnya) tidak ada langsung unsur pendatang asing dalam darah keturunan aku. Begitu jugalah titisan darah keturunan rakan ku itu. Orang Melayu totok. Keturunan orang asli (Senoi, Sakai). Mungkinlah agaknya datuk nenek kami yang mendiami di gua-gua Gunung Pondok berhampiran dengan pekan Padang Rengas. Mungkin…

Tetapi soalnya mengapa rakan ku dan begitu juga aku begitu marah dipanggil Sakai atau Senoi? Sepatutnya kami berbangga menjadi orang asli yang sudah berjaya membuktikan kebolehan kami belajar bersama-sama dengan kaum Cina dan India di sekolah yang seratus peratus aliran Inggeris. Itu tahun 1960an. Sekiranya kami berada pada Kurun ke 21 tentulah kami berbangga menjadi anak negeri ( orang asli) yang berjaya. Maknanya golongan seperti kamilah yang boleh mendakwa bahawa sebenarnya kami adalah Bumiputera tulin yang mana ibu bapa kami adalah anak negeri asal dan bukan datang dari Sumatera atau Jawa atau Sulawesi.

Kini persoalan ‘pendatang’ menjadi persoalan yang hangat dibincangkan. Dan tentulah aku hairan mengapa isu ini dengan tiba-tiba menjadi ‘hangat’ sedangkan sebelum ini, perbincangan yang menyentuh soal kaum di negara ini cuba dielakkan demi untuk mengelakkan perbalahan dan perselisihan kaum. Tentulah amat malang bagi negara ini yang sudah sekian lama memendamkan isu sensitif daripada diperbincangkan secara terbuka. Dan seolah-olah ada ‘suara ghaib’ yang mendesak NGO-NGO tertentu supaya menimbulkan isu yang sensitif ini dengan harapan dapat menimbulkan keadaan ‘gelisah’ dikalangan kaum-kaum di Malaysia.

Amat tidak wajar  isu sebegini ‘diperhangatkan’.

Aku hanya dapat mengenengahkan pandangan dari sudut sejarah mengenai ketiga-tiga golongan yang diistilah sebagai ‘Pendatang’. Awal Kurun ke 18, Daeng Parani (Bugis) bersetuju membantu Raja Kechil menewaskan Sultan Abdul Jalil !V, Bendahara yang menjadi Sultan Johor selepasa kemangkatan Sultan Mahmud Shah 11 yang tidak mempunyai waris. Bugis mula campurtangan dalam hal ehwal negeri Johor bermula dari tahun 1717. Ini bermakna golongan pendatang dari Sulawesi ini mula datang ke Tanah Melayu pada awal kurun ke 18.

Mengikut satu sumber pula, Orang Jawa yang datang dari Jawa Tengah telah ‘berhijrah’ ke Tanah Melayu antara tahun 1880- 1930. Mereka datang ke sini untuk mencuba kehidupan baru yang lebih selamat daripada pentadbiran zalim penjajah Belanda pada ketika itu. Kini terdapat ramai orang Jawa yang tinggal di negeri-negeri Perak, Selangor dan Kedah. Malah ramai juga orang keturunan Jawa yang telah terlibat dalam politik di negara ini.

Mengikut “Encyclopedia of Diasporas: Immigrant and Refugee Cultures Around the World..” edited by Carol R. Ember, Melvin Ember telah menyatakan bahawa orang Cina sememangnya mempunyai sejarah yang panjang dalam hal hubungan dengan Asia Tenggara. Ketika Portugis menakluki Melaka pada awal Kurun ke 16, sememangnya telah terdapat komuniti kecil orang Cina di Melaka. Namun kedatangan beramai-ramai orang Cina ke Tanah Melayu tentunya pada  Kurun ke 19 selepas bermulanya kegiatan perlombongan bijih timah di tanah Melayu.

Sumber ini juga menyebut bahawa,’ the period of modern Indian immigration dates from the foundation of Penang (1786), but it became  significant in Malayan demography only in the latter half of the nineteenth century following the consolidation of British power in Malaya and the opening up of the country’

Paparan di atas adalah merupakan fakta sejarah yang tidak dapat disorok dan diselindungkan. Tidak dapat dinafikan bahawa telah ada ‘manusia’ yang tinggal di negara ini sebelum kedatangan orang Cina, India dan orang dari Indonesia ke negara ini. Dan tentunya ‘manusia’ yang ada ‘menunggu’ kedatangan orang Cina, India dan orang Indonesia itu ialah orang Melayu totok seperti aku ketrunan Sakai dan Senoi yang sentiasa merupakan punca pergaduhan antara aku dan rakan-rakan kakum Cina ketika bersekolah dulu.

Aku amat berbangga kini bahawa sebenarnya aku adalah keturunan Bumiputera sebenar yang memiliki negara ini yang dulunya sentiasa dihina sebagai pemanjat pokok petai dan apabila mundar-mandir di Pekan Kuala Kangsar sentiasa dihina oleh orang lain yang kononnya lebih mden. Rupanya negara ini sebenarnya milik orang Melayu seperti kami.

Aku boleh samakan kedudukan orang Melayu totok seperti aku itu seperti Red Indian di Amerika. Di Amerika Syarikat kini setiap warganegara menggelarkan diri mereka sebagai Amerikan walaupun mereka pada asalnya golongan pendatang. Dan mengambil iktibar dari keadaan yang ada di Amerika itu, aku merasakan bahawa setiap warga Malaysia seharusnya menganggap yang kita sebagai satu bangsa Malaysia. Lupakanlah  panggilan ‘pendatang’ yang sentiasa dilaung-laungkan itu. Sejarah telah membuktikan bahawa golongan yang dianggap ‘pendatang’  itu telah memainkan peranan yang bukan kecil dalam memajukan negara dan bangsa Malaysia. Bermakna bahawa Malaysia tidak akan maju seperti hari ini sekiranya tidak ada sumbangan dari golongan ‘pendatang’ ini – samada Cina, India ataupun golongan pendatang dari Indonesia.

Sebenarnya kita mencari perdamaian dan perpaduan bukan keadaan yang berpecah-belah.

abuhassanadam

20 Oktober 2014

1 comment:

  1. rakyat malaysia walaupun ada segelintir yg rasis tentang bangsa..
    tapi tetap bersatu padu terutamanya dalam bab makan.kira raikan pelbagai makanan pelbagai kaum...
    sampaikan pd hari raya puasa pun ada yg hidangkan putu mayam...

    ReplyDelete