JANGAN DIPERSALAHKAN PELAJAR UNIVERSITY MALAYA
Han Suyin seorang penulis yang pernah
menghasilkan novel terkenal, ‘A Many Splendoured Thing’ pernah menyatakan
bahawa,‘hati manusia adalah seperti anak sungai yang mengalir….akan terus
mengalir dan mengalir walaupun diempang dan disekat…’ Aku teringatkan kata-kata
ini apabila melihatkan tentang peristiwa sejarah yang baru tercipta semalam
apabila melihatkan tentang tindakan pelajar-pelajar UM yang telah begitu berani
melakukan sesuatu yang tidak pernah berlaku semenjak empat puluh tahun yang
lalu. Dan semacam satu perkembangan baru telah tercetus dalam sejarah
perkembangan pemikiran pelajar di negara ini.
Betul kata Han Suyin. Hati dan perasaan
manusia adalah seperti air sungai yang mengalir. Begitu jugalah hati dan
perasaan pelajar-pelajar di pusat pengajian tinggi di Malaysia. Semenjak
terlaksananya Akta Kolej dan University ( pertengahan 1970an) seolah-olah para
pelajar yang berada di pusat pengajian tinggi di negara ini telah dikongkong
oleh pemerintah, walaupun pihak pemerintah kerap kali mengatakan bahawa para
pelajar diberikan kebebasan sepenuhnya untuk menyuarakan pandangan dan
pendapat. Para ibu bapa di kampung-kampung sentiasa dipantak ke dalam benak
mereka supaya memantau anak-anak mereka yang berada di pusat pengajian tinggi
supaya menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran mereka semata-mata dan
jangan sekali-kali melibatkan diri dalam politik tanah air. Dan yang agak
malangnya lahirlah para graduan ‘without soul’ sebagaimana yang pernah
dikatakan oleh salah seorang bijak pandai barat.
Dan diingatkan juga bahawa kejayaan
anak-anak mereka itu ( dari kampung khususnya) adalah di atas pertolongan pihak
kerajaan yang memberikan biasiswa atau pinjaman pelajaran kepada anak-anak yang
berjaya. Sudah sekian lama anak-anak ‘orang kampung’ diajar untuk ‘terhutang
budi’ kepada kerajaan yang memerintah walaupun sudah ramai yang menyedari
bahawa wang yang diberikan oleh kerajaan itu adalah hasil cukai yang dikutip
daripada rakyat.
‘Kebangkitan’ yang berlaku semalam ( 27
Oktober 2014) ketika hadirnya Saudara Anwar Ibrahim di kampus University Malaya
adalah merupakan menifestasi kepada pembendungan perasaan pelajar yang begitu
lama tentang keadaan mereka yang tidak dibenarkan secara bebas menyuarakan
pandangan mereka terhadap sesuatu isu yang cuba diluahkan oleh mereka. Walaupun
tindakan mereka itu dianggap oleh setengah pihak sebagai keterlaluan, namun
apakah lagi ‘option’ yang ada pada mereka ketika berhadapan dengan keadaan
sedemikian.
Aku tetap merasakan bahawa pelajar UM
tidak bersalah apabila mereka melakukan tindakan sedemikian. Pihak penganjur
perhimpunan, “DSAI : 40 Tahun dari UM
ke Penjara” telah
mengemukakan permohonan lebih awal kepada pihak pentadbir university agar
membenarkan mereka menganjurkan majlis berkeanaan. Seolah-olah tidak ‘dilayan’.
Malah ‘jawapan’ yang diberikan oleh pihak pentadbir university dalam menangani
peristiwa ini ialah dengan menutup semua pintu pagar masuk ke kampus Univeristy
Malaya, menggelapkan kampus dengan alasan telah berlaku kerosakan pada
janakuasa letrik (alasan yang mungkin hanya sesuai untuk pelajar Darjah 1 di
sebuah sekolah rendah di pendalaman Sarawak).
Tentunya pelajar-pelajar UM merasa amat
‘terhina’ apabila sebuah kampus university diperlakukan sedemikian. Seolah-olah
pusat pengajian tinggi yang ternama ini, telah bertukar sebagai ‘war zone’ yang
mana para pelajarnya telah dihalang dan dilarang untuk bergerak bebas di kampus
mereka sendiri. Persoalannya ialah mengapa pihak pentadbir university ‘tergamak’
untuk melakukan tindakan sedemikian kepada anak-anak cerdik dan pandai yang
sedang menimba ilmu. Mengapa?
‘Kesalahan’ yang diletakkan kepada
mereka adalah disebabkan mereka mahu mendengar ucapan dan penjelasan daripada
abang kandung mereka yang terainaya. Salahkah? Apakah salah bagi adik-adik yang
mahu melihat dan mendengar sendiri kata-kata abang kandung mereka yang pernah belajar
di university tercinta ini dan juga merupakan pemimpin pelajar yang paling
dihormati dan ‘ditakuti’ pada tahun-tahun 70an. Apakah itu merupakan satu
kesalahan?...
Walau ditinjau dari sudut mana pun,
tindakan yang dilakukan oleh pihak pentadbir university dalam menangani
peristiwa semalam adalah amat tidak bijak. Apakah pihak pentadbir university
yang hanya ‘beraja di hati’ tidak dapat ‘membaca’ hati dan perasaan anak muda
yang dahagakan ‘kebebasan’ cara berfikir yang sudah sekian lama diimpikan. Apakah
pihak pentadbir university hanya tahu bahawa segala jawapan kepada segala persoalan
hanya melalui peraturan dan kekerasan?
Keangkuhan pihak pentadbir amat jelas
apabila mereka tidak langsung peka dan peduli tentang keadaan yang berlaku.
Mereka seolah-olah seperti robot yang hanya bergerak mengikut ‘arahan’ yang
diberikan oleh pengemudinya. Mereka juga seolah-olah tidak langsung faham dan
mengerti tentang adat dan adab yang sepatutnya diamalkan oleh masyarakat
Malaysia. Apakah pihak pentadbir university tidak langsung mengambil kira dan
menghormati taraf seorang Ahli Parlimen yang cuba menenangkan suasana tegang
dengan mengambil tindakan membuka pagar misalnya.
Pihak pentadbir university begitu angkuh
sekali mempertahankan ‘prinsip yang diperjuangkan’nya sehinggakan para pelajar
seolah-olah tidak ada pilihan lain, melainkan merempuh untuk memasuki kampus
yang boleh dianggap sebagai milik mereka juga.
Apakah pelajar UM yang patut
dipersalahkan?
abuhassanadam
28 Oktober 2014
No comments:
Post a Comment