Saturday, October 25, 2014

STANFORD UNIVERSITY -  SARAT DENGAN SERIBU KENANGAN

Aku merasa begitu bertuah kerana dapat melanjutkan pelajaran di Stanford University, yang terletak disebuah kampung bernama Palo Alto, lebih kurang 30 kilometer dari San Francisco. Tahun 1986. Satu tahun setengah aku berada di sana. Walaupun seperti sebuah kampung, Palo Alto lebih merupakan ‘university town’ dimana ‘shopping Mall’ yang ternama terdapat di sini. Kawasan ini juga dipanggil Slicon Valley yang amat terkenal dengan Apple computernya. Dan disini jugalah tempat tinggal beberapa penulis bertaraf dunia seperti Peter Drucker yang tinggal di Menlo Park.

Seluruh keluarga ku berpindah ke sana. Isteri (seorang saja) bersama dengan empat orang anak. Kesemuanya perbelanjaan oleh kerajaan Malaysia. Sekiranya tidak dibiayai oleh kerajaan, maka aku pasti tidak dapat aku menjejakkan kaki aku di ‘Ivy-League’ seperti di Stanford University ini. Terlalu mahal perbelanjaan tinggal di sini dan itu merupakan salah satu sebab yang tidak ramai pelajar Malaysia yang mahu menuntut di Stanford atau Harvard. Bukan sahaja mahal tetapi terlalu banyak ‘kerenah’ yang mesti dipenuhi untuk lulus.

Seingat aku tidak ramai pelajar Malaysia yang sezaman dengan aku di Stanford University. Antaranya yang masih aku ingat ialah Saudara Nazaruddin dan Moley Lee dari USM Pulau Pinang. Selain dari itu yang agak rapat dengan aku ialah Saudara Yaakub Ibrahim. Kini belaiu merupakan salah seorang Menteri bagi Singapura . Selain dari itu tidak pula aku tahu tentang ‘kewujudan’ pelajar Malaysia di Stanford pada ketika itu. Mungkin ada pelajar bukan Melayu yang tidak dibiayai oleh kerajaan. Hanya aku yang tidak pernah jumpa.

Satu hal yang amat menyeronokkan belajar di pusat pengajian tinggi di Amerika Syarikat ialah mengenai kebebasan bersuara. Sebebas-bebasnya bagi pelajar mengeluarkan pendapat dan pandangan. Tidak ada halangan langsung bagi seseorang pelajar untuk menyatakan pandangan samada yang pro atau kontra. Bukan sahaja di bilik-bilik kuliah, malah setiap saluran TV di Amerika memaparkan bahan-bahan berita yang tidak disekat dan dihalang. Mungkinkah itu yang boleh menyebabkan mereka maju dalam segala lapangan. Mungkin….

Antara Professor yang masih aku ingat ialah Prof. Hans Weiler, Robert Textor, Martin Carnoy, Nely Stromquest dan beberapa orang lagi. Yang hebatnya professor ini adalah penulis buku disamping berkhidmat sebagai penasihat kerajaan Amerika Syarikat. Misalnya Martin Carnoy adalah merupakan Senior Advisor kepada US Government pada ketika itu. Begitu juga dengan Ted Koppel (yang mengendalikan program ‘Nightline’ ABC ketika itu) pernah juga datang beberapa kali ke Stanford University menyampaikan syarahannya.

Tentulah ada peristiwa yang menggeli hati ketika aku berada di Stanford. Banyak. Tetapi aku hanya akan menceritakan satu peristiwa ‘miracle’ dan mencuit hati yang sampai sekarang tidak akan dapat aku lupakan. Akan aku ceritakan dengan kawan-kawan di majlis-majlis khenduri kahwin atau pun di majlis-majlis Hari Raya Terbuka di rumah kawan-kawan. Cerita yang sebegini yang amat sesuai diperbualkan di majlis-majlis berkenaan disebabkan tidak langsung menyentuh sensitiviti seseorang ataupun fahaman politik seseorang yang kebiasaannya mempunyai fahaman politik yang berbeza.

Ini kisah aku dengan Prof. Martin Carnoy, seorang mahaguru yang sangat aku hormati disebabkan kemahiran dan kepandaiannya menyampaikan ilmu kepada kami ( hanya 25 orang pelajar dalam kelas berkenaan). Perkara yang diajarnya berjodol,’ European Philosophical Thought’. Aku masih ingat lagi ketika dia masuk kuliah pada pagi berkenaan, beliau baru saja pulang dari bermain tennis. Berpeluh-peluh. Terus memberikan kuliah kepada kami. Tidak ada sebarang nota di tangan. Yang dibincangkannya pada hari berkenaan ialah mengenai seorang pemikir dari Itali yang juga seorang ahli politik  bernama Antonio Gramsci (1891-1937).

Selama dua jam beliau menyampaikan kuliahnya, aku hampir ‘pening’. Maknanya terlalu sukar bagi ku untuk memahami apa yang disampaikannya. Bukanlah aku seorang yang berpendapat begitu. Ron September seorang pelajar dari Africa Selatan juga berpendapat demikian. Kami ketawa berdekah-dekah apabila keluar dari bilik kuliah mengenangkan ‘nasib’ ketika menghadiri kuliah Prof. Martin Carnoy.

Seperti biasa beliau akan memberikan satu tajuk essei untuk ditulis berkaitan dengan falsafah Gramsci. Sekali lagi aku ‘pening’ membaca tajuk esseinya dan belum lagi tentang bagaimana hendak menulis essei berkenaan. Satu hari suntuk aku ‘pening’ memikirkan tentang bagaimana aku akan menghasilkan essei berkenaan. Aku boleh tanya Prof. Carnoy. Dia akan menolong. Tapi ego aku masih tinggi. Peribahasa Melayu ada mengatakan, ‘malu bertanya sesat jalan’. Namun nak bertanya Prof Carnoy merasa malu. Aku akan cuba sedaya upaya menghasilkannya.

Oleh kerana hujan rintik-rintik pada petang itu, dalam perjalanan pulang ke rumah di Escondido Village, aku singgah sebentar di perpustakaan di Fakulty Undang-Undang. Di Stanford, setiap faculty mempunyai sebuah perpustakaan lengkap. Aku membelek-belek buku di rak-rak yang tersusun rapi. Entah macam mana ternampaklah aku buku berjodol ‘ANTONIO GRAMSCI’ antara buku-buku yang tersusun itu. Secepat kilat aku mencapai buku berkenaan dan terus membelek-beleknya. 100% isi kuliah Prof Carnoy dari buku berkenaan. Aku tersenyum lebar.

Dua hari kemudian, dengan penuh yakin aku menyerahkan essei aku kepada Prof. Carnoy. Sepenuh keyakinan, sementara rakan-rakan lain masih terkial-kial mencari bahan untuk ditulis. Kisah aku ‘terjumpa’ buku ‘Antonio Gramsci’ di perpustakaan Fakulti Undang-Undang adalah ‘rahsia’. Prof Carnoy pastinya tidak terduga yang aku boleh terjumpa buku yang ‘amat berharga’ itu buat aku dalam keadaan terdesak sedemikian.

Pada minggu berikutnya, ketika mahu memulakan kuliahnya, Prof Carnoy telah memberitahu kelas bahawa essei yang aku tulis mengenai Gramsci adalah terbaik dan patut dibaca oleh semua pelajar. Ditulisnya pada essei aku perkataan,”EXCELLENT…..CONGRATULATIONS!...A…” Aku tidak ketawa. Senyum pun tidak. Tetapi geli hati kerana essei itu sebenarnya adalah merupakan semacam ‘karya sadoran’. Walaupun bukan merupakan karya ciplak tetapi idea yang aku sampaikan diambil dari buku ‘Gramsci’. Tidak banyak buku yang dirujuk. Hanya satu buku sahaja tetapi dalam senarai buku rujukan berpuluh buku aku tulis. Biasalah….Dan essei ini masih dalam simpanan aku…hingga sekarang!!......

Kisah essei ini tidak ‘tamat’ setakat itu. Dalam satu majlis makan-makan di rumah Prof. Robert Textor, sekali lagi Prof. Carnoy ‘buat hal’. Dia membuat ‘pengumuman’ kepada yang hadir bahawa aku telah berjaya ‘menewaskan’ beliau kerana berjaya menulis essei dengan baik berkaitan dengan falsafah Gramsci. Begitulah ‘gila’nya Professor Martin Carnoy. Sehingga sekarang aku masih berhubung dengannya. Mungkin masih ‘gila’ atau terus ‘menggila’….Kebolehannya tetap aku sanjungi.

Dan aku yakin sehingga kini beliau tidak tahu apa yang telah berlaku kerana itu merupakan ‘Rahsia Besar’!!......

abuhassanadam
25 Oktober 2014



1 comment:

  1. Nie lawak hahaha biar diorang tahu orang malaysia Melayu nie hebat2 haha

    ReplyDelete