KEBANGKITAN ASIA – APAKAH MALAYSIA AKAN
KETINGGALAN
Telah ‘riuh-rendah’ diperkatakan oleh cerdik
pandai tentang isu mengenai kebangkitan Asia – tentang zaman yang akan datang
ini adalah ‘kepunyaan’ Asia khususnya China dan India.Kishore Mahbubani dalam
bukunya,’ The New Asian Hemisphere’ menyatakan,’ The rise of Asia will be good
for the world. Hundreds of millions of people will be rscued from the clutches
of poverty……it is clear that the rise of Asia has brought more ‘goodness’ into
the world. In purely ethical terms, the West should welcome the transformation
of the Asian condition”
Dan tentang kebangkitan negara China dan India
yang pastinya akan menggugat negara-negara Barat lain terutamanya Amerika
Syarikat dan negara-negara Eropah telah menjadi bualan masyarakat dunia kini.
Dan yang agak mengejutkan juga laiah tentang kemungkinan kebangkitan Indonesia
yang dijangkakan akan menyamai kemajuan yang dicapai oleh China dan India tidak
berapa lama lagi. Diramalkan dalam masa kurang daripada 30 tahun Indonesia juga
akan berada di tempat sebagaimana yang dinikmati oleh China dan India ketika
ini. Sama ada betul atau tidak kemungkinan demikian berlaku, hanya waktulah
yang akan menentukan.
Yang pasti merunsingkan kita dan yang sepatutnya
difikirkan oleh rakyat Malaysia ialah apakah Malaysia akan bersama-sama
‘berlumba’ untuk meletakkan diri kita ditempat sebagaimana China atau India itu
ataupun kita hanya sebagai ‘pemerhati’ dan ‘penonton’ melihat tentang kemajuan
yang dicapai oleh negara-negara berkenaan disamping negara-negara lain seperti
Singapura, Jepun, Korea dll. Malah Vietnam yang dulunya dianggap negara msikin
yang sentiasa berperang, kini telah mula mengorak langkah untuk sama-sama
berlumba dalam ‘perlumbaan’ ini.
Pada tahun-tahun 1990an, Malaysia telah pun
berada bersama di barisan hadapan dengan Singapura, Hong Kong, Taiwan dan
hampir menyamai Korea Selatan dan Jepun. Sehingga negara kita juga telah
mendapat jolokan dan digelar sebagai ‘harimau Asia’ yang baru muncul. Itu dulu.
Dan kini menampakkan bahawa negara kita sudah agak terkebelakang dan tidak lagi
‘digeruni’ oleh negara-negara lain yang sedang membangun. Dan jarang sekali
disebut di arena antarabangsa sebagai sebuah negara yang sedang menuju ke arah
sebuah negara maju.
Tentulah
sedih mengenangkan keadaan demikian.
Dan mengapa pula terjadi begitu keadaannya.
Mengapa pula apabaila kita hampir-hampir berada di hadapan tiba-tiba kita
berada ditempat yang hampir tercorot, walaupun media arus perdana kita sentiasa
‘mendendangkan’ yang kita sedang bergerak maju. Rakyat sentiasa ‘dihiburkan’
dengan cerita-cerita yang mengembirakan tetapi sebenarnya cerita kita adalah
cerita ‘luka’
Ramai juga yang merasakan bahawa Malaysia kini
menumpukan perhatian kita kepada ‘tempat’ yang tidak sepatutnya. Maksudnya
semacam apa yang dipentingkan oleh pemimpin dan masyarakat di negara ini agak
berbeza dengan penumpuan yang dilakukan oleh kepimpinan negara Asia lain yang
sedang bergerak maju. Satu hal yang amat ketara yang berlaku di negara ini
ialah isu yang berkaitan dengan politik merupakan agenda sepanjang masa yang
diperkata dan dibincangkan oleh masyarakat Malaysia. Isu politik di Malaysia
bukan sahaja ‘rancak’ pada ketika menjelang sesuatu pilihanraya tetapi terus
rancak sepanjang tahun. Seolah-olah ‘politik’ adalah merupakan ‘darah daging’
masyarakat Malaysia.
Apa sahaja yang dilakukan oleh pihak pemimpin
kerajaan seolah-olah ‘berpasakan’ politik. Semacam sudah tidak ada lagi isu
masyarakat yang bebas dari campurtangan politik. Sehinggakan di pusat-pusat
pengajian tinggi pun telah dicampuradukan dengan politik. Sepatutnya pusat
pengajian tinggi adalah tempat para pelajar mengasah bakat menjadi pemimpin
pada masa hadapan. Di sinilah sepatutnya tempat mereka menyuarakan pandangan
dan pendapat secara bebas tanpa rasa takut dan bimbang dengan ancaman
pihak-pihak tertentu. Tetapi malangnya di setengah universiti dan kolej kita
telah ‘dihantui’ dengan berbagai-bagai ancaman yang boleh menyekat perkembangan
intelek pelajar berkenaan.
Aku terbaca tentang berita mengenai sebuah
universiti di Singapura yang menyediakan peruntukan (endowment fund) sebanyak 8
juta dollar Singapura demi untuk membuat kajian tentang kemungkinan China dan
India yang akan menjadi kuasa besar dunia yang mana kesan daripada keadaan
sedemikian akan menyebabkan berlakunya pergeseran antara kedua-dua kuasa besar
itu. Dan menjadi tugas pusat pengajian tinggi berkenaan untuk menyediakan
kajian tentang langkah yang perlu diambil oleh Singapura dalam menyesuaikan
diri menghadapi keadaan sedemikian. Begitu ‘forward looking’ sekali. Mungkin
agaknya pusat pengajian tinggi di Malaysia juga begitu agaknya. Mungkkin.
Begitu jauh sekali pandangan mereka menjangkau
keadaan dan berbagai kemungkinan yang akan berlaku. Mereka telah bersedia untuk menghadapi kemungkinan
sedemikian disamping persediaan-persediaan lain dan kajian-kajian yang berguna
demi untuk penerusan bangsa dan negara mereka.
Sebaliknya di negara kita Malaysia seolah-olah dengan tiba-tiba semacam wujud
keadaan ‘huru-hara’ yang tidak menentu yang membabitkan soal-soal agama dan
hubungan antara kaum di Malaysia. Telah wujud keadaan ‘salah-menyalah’ antara
satu sama lain.Dengan tiba-tiba orang bukan Islam tidak boleh menyebut nama
Allah yang kononnya hanya diperuntukan kepada orang Islam semata-mata.
Disamping itu kelihatan pula para
pemimpin negara hanya berlumba-luma untuk mencari kekayaan untuk diri dengan
melupakan tanggungjawab untuk membina negara dan bangsa seperti mana yang
dilakukan oleh bangsa lain yang bergerak maju di Asia ini. Ada pemimpin negara
kita yang seolah-olah tidak memperdulikan langsung kritikan dari rakyat tentang
tindakan yang dilakukan. Mereka seolah-olah membiarkan sahaja ‘anjing menyalak
bukit’ kerana mereka sedar dan tahu bahawa ‘orang suruhan’ mereka berada di
mana-mana yang akan ‘bertugas’ untuk menjaga kepentingan mereka dan bukan
kepentingan negara.
Persoalannya sekarang ialah selama
mana lagi kita mahu bersikap demikian tanpa ada kesedaran tentang usaha untuk
membangunkan bangsa dan negara secara serious. Slogan ‘untuk membina bangsa dan
negara’ hanya ‘tertanam di bibir sahaja tanpa ada kesedaran untuk betul-betul
berusaha ke arah itu.
Memohon supaya Allah memberikan
petunjuk…..
abuhassanadam
31 Januari 2015