Wednesday, April 29, 2015

GEMPA BUMI KATHMANDU: KERAJAAN MALAYSIA SEMACAM  LAMBAT BERTINDAK

Anak aku adalah antara yang terperangkap di sebuah hotel di bandar Kathmandu ketika gempa bumi 7.9 pada skala Richter melanda Nepal di kawasan antara ibu negaranya Kathmandu dengan bandar Pokhara pada 2.56 petang (waktu Malaysia) pada Sabtu (25 April 2015)

Barulah aku ‘sedar’ sebenarnya satu ‘penyiksaan’ yang terpaksa dideritai ketika malapetaka itu menimpa anak sendiri. Dulu aku bukan tidak bersimpati dengan mangsa beberapa gempa bumi, mangsa banjir yang melanda Pantai Timur, persitiwa malang MH 370 dan MH 17. Tetap bersedih dan bersimpati dengan nasib yang menimpa mangsa. Namun seperti kata orang tua-tua, betapa berat mata memandang lagi berat bahu memikul’.

Aku tidak mengalami apa yang dialami oleh anak aku dan ‘anak-anak’ Nepal yang ditimpa malapetaka di Kathmandu itu. Mendengar kisah yang diceritakan oleh anak aku yang ‘terselamat’ sudah cukup menyedihkan apabila mengenangkan penderitaan yang dialami oleh jutaan anak-anak Nepal yang terpaksa mengharungi kehidupan masa hadapan yang amat gelap ekoran daripada peristiwa yang meragut ratusan ribu nyawa manusia yang tidak bersalah ini.

Anak aku terpaksa menunggu ‘penyelamat’ dari Malaysia selama empat hari sebelum beliau boleh ‘diselamatkan’. Dan selama itulah aku dan keluarga turut menderita mengenangkan nasib yang menimpa. Dan ‘penderitaan’ yang aku alami tentulah tidak sama dengan derita yang menimpa keluarga MH 370 yang terpaksa dengan penuh debaran sentiasa menunggu berita daripada pihak berwajib tentang ‘nasib’ MH 370. Aku tidak dapat membayangkan ‘derita’ yang mereka rasakan apabila aku sendiri telah merasakan ‘derita’ menanti ketibaan anak dari Kathmandu. Dan sekurang-kurangnya derita aku ‘terubat’ apabila anak aku pulang ke pangkuan aku berbanding dengan derita kaum keluarga yang menunggu kaum keluarga MH 370 dan MH 17 yang tidak akan pulang. Kini aku boleh bayangkan derita mereka kerana aku juga telah mengalami derita hampir sedemikian.

Yang agak menyedihkan (mengikut cerita anak aku) ketika beliau berada di lapangan terbang Kathmandu, menunggu bantuan dari negara kita yang tercinta Malaysia, satu demi satu bantuan sampai ke lapangan terbang berkenaan dari negara-negara luar yang agak perihatin tentang rakyat mereka yang malang. Tetapi bukan dari negara kita. Negara-negara lain datang dan pergi sedangkan bantuan dari negara Malaysia belum juga sampai. Dari India, Australia, Thailand dan negara-negara lain yang perihatin.

Dan yang sentiasa diperkatakan dan mendapat pujian ialah keperihatinan negara Singapura yang sanggup menghantar kapal terbang ke Kathmandu untuk menyelamatkan rakyatnya, walaupun bilangan rakyatnya yang terlibat tidak ramai. Ada yang mengatakan bahawa Singapura sanggup menghantar sebuah kapal terbang demi menyelamatkan seorang rakyatnya yang terkandas. Sekiranya betullah keadaan sedemikian berlaku, maka negara-negara lain harus angkat tabik ‘spring’ kepada Singapura.

Berdasarkan pengalaman yang dilalui oleh anak aku itu, aku teryakin bahawa sememangnya kerajaan Malaysia agak lambat bertindak untuk menyelamatkan rakyat yang terkandas di Kathmandu. Hal ini aku dasarkan kepada pengalaman seorang rakyat Malaysia yang terpaksa menempah tiket Thai Airways untuk pulang ke Malaysia melalui Thailand disebabkan kegagalannya mendapatkan penerbangan ke Malaysia dengan menggunakan pesawat MAS. Tentulah agak menyedihkan mendengar cerita sedemikian.

Sepanjang tiga hari anak aku berada dalam keadaan ketidaktentuan di Kathmandu, di tengah-tengah kekelam-kabutan suasana di kathmandu, aku cuba juga mendapatkan bantuan dan pertolongan daripada Embassy of Malaysia Kathmandu yang beralamat 2nd Floor, Block B, Karmachari Sanchaya Kosh Bhawan, P.O.Box 24372, Pulchowk, Laltipur, Kathmandu. Sepanjang hari Ahad dan Isnin (26 April dan 27 April 2015) aku menghubungi pejabat berkenaan melalui telefon pejabatnya:  00977-1-5010004 tetapi tidak ada langsung jawapan dari pejabat berkenaan. Aku juga menghubungi melalui talian kecemasannya (Emergency only/ Duty Officer) 00977-9801008000) dan tidak ada juga jawapan yang aku terima. Aku juga menghubungi Wisma Putera dan mendapat jawapan tetapi jawapan yang diterima agak mengecewakan aku kerana tidak menampakkan usaha yang bersungguh-sungguh untuk menolong aku yang betul-betul mengharapkan pertolongan. Mungkin agaknya aku tidak bergelar Dato’ Seri atau Tan Sri yang memungkinkan pertolongan segera dihulurkan kepada aku. Mungkin.

Apabila keadaan sebegini menimpa diri aku barulah akau betul-betul sedar bahawa beginilah rupanya layanan yang diterima oleh rakyat bawahan (yang tidak ada gelaran) terutama rakyat marhaen dari luar bandar. Barulah aku sedar bahawa keadaan sedemikianlah agaknya yang menyebabkan kemarahan kaum keluarga yang menimpa ekoran kemalangan MH 370 dan MH 17 baru-baru ini. Dan derita yang sedemikian jugalah agaknya yang menimpa mangsa banjir di Pantai Timur sehingga hari ini yang masih menunggu dan menunggu bantuan dari pihak yang berwajib.

Kini anak aku telah pun kembali ‘ke pangkuan ‘ku. Selamt. Syukur kepada Allah yang menyelamatkan beliau dan dengan usahanya tersendiri tanpa mendapat bantuan dari pihak kerajaan. Kononnya Kerajaan sedang berusaha untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Kathmandu itu sebagaimana yang dilaporkan oleh BERNAMA.

“Setiausaha MKN, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata pihaknya memutuskan usaha membawa pulang rakyat Malaysia dengan menggunakan sebuah pesawat Hercules Tentera Udara Malaysia (TUDM) C-130 ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kathmandu, yang dijadual berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang petang Ahad….Kami telah mendapat arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pagi tadi ... yang menjadi keutamaan sekarang adalah untuk membawa pulang kesemua rakyat Malaysia yang terkandas," katanya kepada BERNAMA.

Syukurlah akhirnya terlintas juga di hati dan perasaan pihak berwajib untuk menghantar bantuan menyelamatkan rakyat Malaysia yang terlibat dalam gempa bumi di Kathmandu.

Cuma yang agak menghairankan aku ialah apakah keputusan untuk menghantar bantuan ke Kathmandu ini juga memerlukan arahan dari Perdana Menteri?.....

abuhassanadam

29 April 2015

Monday, April 27, 2015

WAYANG NASIHAT

Ada setengah tempat mereka panggil ‘wayang pacak’. Ada sebab-sebab tertentu mengapa diberikan nama sedemikian. Di tempat aku dipanggil ‘wayang nasihat’ disebabkan kedatangannnya ke kampung kami biasanya untuk menyampaikan maklumat dari kerajaan yang dianggap oleh orang kampung sebagai ‘nasihat’. Dikatakan ‘wayang pacak’ pula adalah disebabkan gambar dipancarkan ke atas kain putih dimana screennya dipacak ke atas tanah. Maka dipanggilah ‘wayang pacak’.

Adalah merupakan kegembiraan luar biasa bagi penduduk kampung, terutamanya kanak-kanak seperti aku apabila diketahui bahawa ‘wayang nasihat’ akan datang ke kampung. Penduduk kampung menunggunya dengan penuh riang dan debaran. Kebiasaannya kedatangan ‘wayang nasihat’ akan membawa bersamanya filem-filem untuk ditayangkan kepada masyarakat kampung disamping khabar berita yang akan disampaikan. Bagi kanak-kanak bukan berita yang dipentingkan tetap filem-filem yang akan ditayangkan.

Pada sebelah petang sebelum wayang nasihat ditayangkan (biasanya pada sebelah malam), kereta Pejabat Penerangan telah mula menghebah dan mewar-warkan tentang tayangan ‘wayang nasihat’ berkenaan. Kebiasaannya tentulah ada sesuatu berita yang hendak disampaikan oleh Pejabat Penerangan kepada penduduk kampung. Sekurang-kurangnya menasihati penduduk kampung agar tidak bekerjasama dengan pengganas komunis. Kebetulan pula pada ketika itu pengganas komunis sedang mengganas terutama di kawasan Sungai Siput, Grik, Kroh dan Kelian Intan. Jadi satu cara pihak penjajah British menyampaikan maklumat adalah melalu Pejabat Penerangan.

Pukul 5.00 petang aku sudah bersiap sedia untuk ke Kampung Paya Ranggam. Di situ ada satu kawasan lapang berhampiran dengah kedai Pak Ngah Dahaman. Dan di situlah akan direntangkan kain putih untuk tayangan filem. Kawasan itu boleh memuatkan ‘penonton’ sekitar dua ratus orang. Boleh memuatkan penduduk-penduduk dari kampung Paya Ranggam sendiri, Kampung Keroh Hilir, Kampung Sungai Ati, Kampung Keroh Seberang dan berkemungkinan juga ada juga penduduk dari Kampung Keroh Hulu yang akan datang untuk menonton. Kebiasaannya penduduk kampung yang aku sebutkan itu tidak akan melepaskan peluang untuk hadir.

Sesampai sahaja ke situ, ia itu kawasan kedai Pak Ngah Dahaman, aku sudah kelihatan terpacak kain putih rentang yang telah siap sedia terpasang. Maknanya sudah sahlah bahawa akan ada tayangan filem malam itu. Tetapi bukanlah filem-filem yang biasa ditayangkan di panggung yang dilakonkan oleh P.Ramlee atau Normadiah. Bukan.Filem-filem Melayu seperti ‘Aloha’, ‘Panggilan Pulau’ ‘Anakku Sazali’ tidak ditayangkan oleh Pejabat Penerangan tetapi ditayangkan di panggung wayang di Kuala Kangsar. Panggung Rex dan Panggung Grand yang terletak berhampiran dengan stesen bas ‘Red and Yellow’.

Dua jam sebelum ‘majlis’ bermula, kanak-kanak seperti aku sudah mula berkeliaran dan main kejar-kejaran di kawasan tempat tayangan filem, kawasan kedai Pak Ngah Dahaman. Perasaan gembira yang tidak terkira terpancar di muka kanak-kanak kampung. Maklumlah bukan senang berpeluang menonton wayang seperti yang disediakan oleh Jabatan Penerangan itu, walaupun ‘cerita’ yang ditayangkan mengenai pertanian menternak ayam dan kambing.

Waktu maghrib padang kawasan kedai Pak Ngah Dahaman sudah dipenuhi oleh ‘penonton’ dari seluruh pelusuk kampung. Dan pada ketika itu tidak ramai yang mengerjakan sembahayang, apatah lagi berjemaah di masjid-masjid. Terlalu sedikit penduduk kampung yang peduli tentang waktu-waktu sembahayang berbanding dengan keadaan sekarang.

Lebih kurang pukul 7.30 malam, ‘tayangan’ filem dimulakan. Antara tajuk filem yang aku masih ingat yang ditayangkan oleh Jabatan Penerangan di kampung aku ialah berjodol,’ Abu Nawas’ ia itu cerita yang berlatar-belakangkan kegiatan pengganas komunis di Tanah Melayu. Dan sebuah lagi filem yang masih aku ingat ialah berjodol,’ Masjid Washington’ ia itu tentang kisah sebuah masjid di bandar Washington di Amerika Syarikat. Mungkin tujuan pihak kerajaan menayangkan filem itu untuk menunjukkan bahawa Islam berkembang juga di negara-negara Barat seperti di USA.

Tayangan filem hanya lebih kurang 45 minit. Kemudian rehat.  Lampu dipasang. Dan bermulalah majlis penerangan. Majlis penerangan ini yang sebenarnya tujuan Jabatan penerangan datang ke kampung aku, untuk menjelaskan sesuatu kepada orang kampung, terutama tentang pentingnya orang kampung bekerjasama dengan pihak penjajah terutama dengan memerangi bersama pasukan pengganas komunis. Meminta orang kampung jangan memberikan kerjasama dengan pengganas komunis.

Sekarang baru aku tahu apa sebenarnya tujuan kereta Jabatan Penerangan datang ke kampung-kampung pada waktu itu. Pada ketika itu aku tak tahu apa sebenarnya ‘biji-buah’ yang perkatakan oleh pegawai berkenaan, kerana pada ketika tayangan filem ‘berehat’, kami kanak-kanak meneruskan upacara ‘main kejar-kejaran’. Kami tidak peduli apa yang diperkatakan oleh pegawai penerangan itu. Namanya Encik Jumali kata bapak aku.

Selepas menyampaikan mesejnya kepada orang kampung, tayangan filem dimulakan. Cerita lain pulak. Dan kami duduk bersila kembali di hadapan kain putih rentang, memerhatikan dengan penuh minat filem yang ditayangkan. Yang menjandikan aku hairan memikirkan zaman itu ialah tentang ramai rakan-rakan aku yang tidak memakai baju ketika berada di hadapan kain putih rentang itu dan tidak pula digigit nyamuk. Aku mengatakan demikian kerana tidak kelihatan pun mereka menampar nyamuk sekiranya mereka digigit nyamuk. Ataupun mungkin mereka terlalu asyik dengan filem yang ditonton sehinggakan mereka lupa bahawa mereka sedang digit nyamuk. Mungkin……

Yang paling sukar sekali untuk aku melupakan peristiwa tayangan filem Jabatan Penerangan di kampung aku ialah tentang sorakan ‘semangat’ yang diberikan oleh penonton apabila seseorang ‘hero’ dalam sesuatu filem itu berjaya menewaskan ‘crook’ dalam satu pergaduhan. Dalam filem ‘Abu Nawas’ yang ditayangkan, aku masih ingat lagi penonton bertempik sorak ‘kegembiraan’ apabila heronya yang bernama Abu Nawas berjaya menumbangkan crook.

Menampakkan seolah-olah orang kampung aku begitu berpuas hati menonton filem berkenaan. Dan amat berpuas hati ketika dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing. Sepanjang perjalanan pulang mereka akan bercerita dan memberikan ‘ulasan’ tentang cerita yang baru sahaja ditonton oleh mereka. Dan berkemungkinan juga kisah menonton filem ‘Abu Nawas’ oleh Jabatan penerangan itu akan menjadi topik perbualan di kampung buat beberapa hari dan mungkin juga untuk beberapa minggu. Pendek kata di mana sahaja mereka berada, topik itulah yang menjadi tajuk perbincangan mereka.

Begitu hebatnya pengaruh ‘Wayang Nasihat’ pada ketika itu.

abuhassanadam

27 April 2015

Sunday, April 26, 2015

APAKAH RAKYAT HANYA MELETAKKAN HARAPAN KEPADA TUN MAHAHIR?

Nampaknya begitu. Apa yang disuarakan oleh Tun Mahathir kini mengenai isu IMDB, Altantuya dan berbagai isu lain sebenarnya sudahpun disuarakan oleh YB Rafizi dan YB Tony Pua. Bukan Rafizi dan Tony Pua sahaja malah ramai pemimpin lain dan penulis blog lain juga telah menyuarakan perkara yang sama tetapi hanya ‘seperti anjing menyalak bukit’. Pihak kerajaan seolah-olah tidak memandang ‘sebelah mata’ pun kepada apa yang dibangkitkan oleh mereka yang sedar tentang pentingnya menyelamatkan kedudukan negara yang kritikal ini. Seolah-olah hanya ‘cakap’ Tun Mahathir seorang sahaja yang ‘dipakai’ oleh pihak bertanggungjawab.

Akhir-akhir ini kelihatan bahawa rakyat Malaysia dari semua golongan semacam tidak bermaya. Rakyat Malaysia hampir kecewa dan seolah-olah cukup kecewa dengan pihak berwajib yang menjalankan pentadbiran mereka seolah-olah mereka ‘beraja di hati dan bersultan di mata’. Apa saja isu yang dikritik atau dibangkitkan oleh rakyat semacam ‘didiam’kan sahaja dan kelihatan semacam ada pula usaha untuk menutup ‘bangkai’ dengan nyiru.

Rakyat bawahan begitu kecewa tetapi hanya ‘berani’ untuk mendiamkan diri semata-mata kerana itulah cara dan jalan paling selamat. Untuk bersuara berasa ‘takut’ pula, walaupun terlalu banyak perkara yang ‘tidak kena’ berlaku disekeliling yang dapat dilihat dan diperhatikan.Hendak mengadu, tidak ada siapa yang ingin mendengarkan aduan. Jikalau adapun yang sanggup mendengar maka tidak pula ada tindakan yang dilakukan. Lantas rakyat seolah-olah membiarkan sahaja apa yang berlaku kepada pemerintahan negara. Dalam hati mereka seolah-olah berkata, ‘biarkan Si Luncai terjun dengan labu-labunya’….

Satu perkara yang anih yang berlaku (mungkin hanya berlaku di Malaysia sahaja) ialah tentang kewujudan golongan rakyat yang sentiasa membenar dan menyokong pihak berwajib secara membuta-tuli (walaupun jelas tindakan yang dilakukan oleh pihak berwajib itu tidak sesuai). Aku tidak menyalahkan golongan yang menyokong kerajaan. Bukan begitu yang aku maksudkan. Ada terdapat golongan rakyat (orang Melayu khususnya) yang sudah tidak dapat berfikiran secara rasional hanya dengan ‘bantuan’ BRIM atau kain sarung, atau beras sekampit yang ‘dihadiahkan’ oleh kerajaan. Golongan inilah yang sentiasa ‘mengiakan’ sahaja apa sahaja yang dilakukan oleh pihak pemerintah walaupun yang dilakukan itu bertentangan dengan kehendak undang-undang.

Aku merasakan bahawa negara ini telah mengabaikan bakat-bakat besar yang berada ‘di luar’ yang merasakan diri mereka tidak berguna lagi kepada pemerintah. Yang aku maksudkan ialah tentang pengabaian bakat besar, yang terdiri golongan pesara kerajaan dan swasta yang mana kepakaran mereka boleh digunakan sekiranya dipergunakan dengan sempurna. Aku tidak pula mengatakan yang kerajaan tidak langsung menggunakan bakat-bakat ( yang berpengalaman) berkenaan. Ada. Tetapi tidak sampai ke peringkat maximum.

Aku merasakan golongan pesara ini beranggapan pandangan dan buah fikiran mereka tidak lagi diperlukan oleh kerajaan. Lantas mereka sentiasa berada ‘dipinggiran’ memerhatikan golongan ‘bijak pandai’ yang terdiri dari para menteri dan timbalan menteri kabinet menajalankan pentadbiran mereka. Kadang-kadang golongan ‘orang lama’ ini tersenyum sinis apabila melihatkan tindakan golongan ‘yang masih lembut ubunnya’ menjalankan tugas mereka.

Saranan DS Najib agar golongan tua memberikan peluang kepada golongan muda untuk meneruskan perjuangan membina negara harus disambut dengan hati terbuka oleh rakyat Malaysia. Cuma yang perlu diperbetulkan sedikti tentang saranan DS Najib itu ialah yang dimaksudkan ‘tua’ bukan usianya tetapi ialah tentang cara berfikirnya. Ada terdapat golongan yang muda usianya tetapi tidak relevan tindakannya dengan keadaan dunia tanpa sempadan walau diukur dari segi mana sekali pun. Seolah-olah segala tindak tanduknya membayangkan bahawa golongan muda sebegini amat tidak sesuai menjadi pemimpin dalam Kurun ke 21.

Sebaliknya ada pula golongan tua yang sudah lanjut usianya tetapi bertindak amat relevan dengan zaman global yang penuh cabaran ini. Di negara maju, ukuran ‘tua-muda’ bukan dilihat oleh mereka dari segi umur dan usia tetapi dari segi cara berfikir dan kesesuaian untuk hidup dalam zaman yang sentiasa berubah.
Di negara ini kita masih lagi ‘memiliki’ oarng tua yang begitu lanjut usianya tetapi mempunyai cara berfikir yang terkehadapan dan relevan untuk abad ini. Antaranya Tun Mahathir dan Prof. Ungku Aziz. Mungkin ramai lagi. Walaupun mereka sudah lanjut usia  tetapi pandangan mereka amat terkehadapan.

Dan rakyat Malaysia agak bertuah kerana masih ada lagi Tun Mahathir yang merupakan ‘mata dan telinga’ rakyat dan yang sanggup menyatakan sesuatu yang benar walaupun tidak disenangi oleh pihak pemerintah. Kelihatan kini hanya suara Tun Mahatir sahaja yang ‘diambil’ perhatian oleh pihak berwajib di negara ini dan seolah-olah juga apa saja pandangan yang dikemukakan oleh rakyat, walaupun melalui persidangan parlimen semacam tidak dipedulikan.

Bagaimanalah agaknya negara ini sekiranya Tun Mahathir sudah tidak ada lagi…..

abuhassanadam

26 April 2015

Saturday, April 25, 2015

MEMILIH DR WAN AZIZAH – DAPAT MENGUBATI HATI YANG DUKA LARA

Dengan memilih slogan, ‘Cukuplah, kali ini kami pulak’ menampakkan bahawa Barisan Nasional sememangnya tidak berhati-hati dalam memilih ‘battle cry’ yang oleh menarik perhatian pengundi di sini. Jikalau diteliti dengan sedalam-dalammnya apakah ‘mesej’ yang mendalam yang boleh diselami oleh pengundi yang mendorong mereka untuk mengundi BN. Tidak ada. Kosong. Hanya sebagai ‘permohonan’ kepada pengundi agar mengubah ‘haluan’ untuk tidak mengundi Pakatan Rakyat dan sebaliknya mengundi BN. Itu saja.

Sebaliknya ‘battle cry’ Pakatan Rakyat ialah sesuatu yang amat ‘solid’. ‘‘Say no to GST and 1MDB’. Dan seolah-olah Pakatan Rakyat tidak perlu menjalankan kempen dari rumah ke rumah lagi kerana semua sudah faham baahwa pengenalan GST sememangnya menyiksa rakyat terbanyak. Tidak perlu dijelaskan tentang ‘siksa’ yang dialami oleh rakyat kini ekoran dari pengenalan GST itu. Tidak perlu diterangkan ‘panjang-panjang’. Rakyat tahu. Rakyat bandar tahu. Rakyat luar bandar lagi tahu tentang perit yang dialami oleh mereka selepas pengenalan GST.

Pastinya kesan GST ialah BN (barang naik). Maknanya ‘gandingan’ GST dan BN adalah amat sesuai digunakan oleh Pakatan Rakyat dalam PRK kali ini samada di Rompin atau di Permatang Pauh. Para penceramah Pakatan Rakyat tidak perlu ‘pecah kepala’ memikirkan bahan kempen untuk dijelaskan kepada pengundi disebabkan isu yang ada sekarang sudah berada di hadapan mata. Cukup sekadar melafazkan satu ayat, “GST itu BN”.

Kali ini juga pihak pembangkang agak beruntung disebabkan ada ‘penceramah’ yang tidak diundang ia itu Tun Mahathir sendiri. Beliau telah memulakan ‘kempen’ ini beberapa minggu yang lepas dengan menempelak pelaksanaan IMDB oleh kerajaan. Dan telah dijelaskannya tentang ‘malapetaka’ yang ditimbulkan oleh IMDB kepada rakyat Malaysia yang mana kesannya yang amat mendalam ialah tentang rakyat Malaysia dari beberapa generasi yang akan datang yang terpaksa menanggung hutang yang berbilion ringgit.

Pemilihan Dr Wan Azizah sebagai calon Permatang Pauh adalah tepat disebabkan banyak faktor.  Aku merasakan bahawa pemilihan Dr Wan Azizah ini adalah sebagai untuk ‘menjaga hati dan perasaan’ pengundi Permatang Pauh. Sekurang-kurangnya hati pengundi di sini ‘terubat’ juga dengan pemilihan Dr Wan Azizah yang merupakan isteri kepada Saudara Anwar Ibrahim yang merupakan ‘darling’ rakyat Permatang Pauh.

Antara Anwar Ibrahim dengan Permatang Pauh adalah seperti Nelson Mandela dengan kampung Qunu di Afrika Selatan. Anwar Ibrahim adalah anak jati Permatang Pauh. Dan ke mana sahaja beliau pergi dan berada, nama ‘Permatang Pauh’ tidak akan lekang daripada sebutannya. Menampakkan bahawa antara Anwar Ibrahim dengan Permatang Pauh adalah seperti Aur dengan tebing, seperti isi dengan kuku. Bermakna pengundi Permatang Pauh akan sentiasa diingati dalam masa senang dan dalam masa susah.

Justeru aku mengatakan bahawa pemilihan Dr Wan Azizah adalah pemilihan yang tepat. Dan sekiranyalah pihak kepimpinan Pakatan Rakyat tersilap membuat percaturan dan meletakkan calon lain untuk Permatang pauh, maka besar kemungkinannya PRK ini kehilangan banyak undi walaupu masih dapat mengekalkan kemenangan di sini.

Aku masih yakin antara pengundi Permatang Pauh dengan Anwar Ibrahim ‘dihubungkan’ antara hati dan perasaan. Bagi pengundi Permatang Pauh Anwar Ibrahim adalah ‘anak kandung’ mereka dan sebagai ‘anak’ mereka akan terus mempertahankan Anwar. Dan bagi mereka yang boleh ‘menggantikan’ Anwar adalah isteri Anwar ataupun anak Anwar atau pun mungkin pada suatu ketika nanti cucu Anwar. Mungkin.

Perasaan sebegini adalah perasaan orang Melayu yang diwarisi turun temurun. Pernah diceritakan dalam sejarah Kesultanan Johor di mana ‘Orang Laut’  tidak memberikan taat setia mereka kepada keturunan Bendahara selepas kemangkatan Sultan Mahmud mangkat dijulang. Walaupun Sultan Mahmud dianggap sebagai zalim, dan dibunuh oleh Bendahara yang kemudiannya menjadi Sultan di Johor namun ‘Orang Laut’ yang secara tradisinya memberikan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada keturunan Sultan enggan memberikan taat setia kepada Bendahara yang bukan berasal dari “Bukit Seguntang Mahamiru’

Itulah perbandingan yang hampir sama yang dapat aku berikan tentang suasana yang ada di Permatang Pauh mengenai hubungan ‘hati dan perasaan’ antara pengundi Permatang pauh dengan Anwar Ibrahim. Semacam mereka tidak mahu ‘renggang’ dengan Saudara Anwar Ibrahim. Tiada “Aur’ tebing akan runtuh dan robohnya ‘tebing’ Aur tidak boleh tumbuh…

Sekurang-kurangnya Isteri Anwar Ibrahim ( Dr Wan Azizah)  dapat ‘mengubati’ hati yang luka lara pengundi Permatang Pauh…

abuhassanadam
25 April 2015