Sunday, April 12, 2015

 ‘MAHSURI’ BERCAKAP LOGHAT PERAK

Di kampung aku ada juga pertubuhan belia. Tahun 1959. Tak mahu ketinggalan seperti kampung-kampung lain pada ketika itu. Rayuan Kencana Ikatan Belia (RKIB) namanya. Hampir semua yang bergelar belia di kampung menjadi ahli. Ada juga golongan beliawanis yang menyertainya tetapi tak ramai. Maklumlah pada ketika itu adalah agak janggal di mata orang kampung melihat anak perempuan terlibat dalam kegiatan yang melibatkan golongan lelaki. Berdosa, kata Ustaz Salleh yang merupakan guru agama yang mengajar di masjid kampung aku. Dan aku tidak boleh jadi ahli kerana belum ‘cukup umur’. Baru Form One.

Suatu hari aku mendapat tahu yang RKIB akan mementaskan drama di kampung aku. Bukanlah drama sebagaimana yang dipentaskan oleh Sriwana di Panggung Negara di Singapura pada ketika itu. Jauh sekali pementasan drama sebagaimana yang dipentaskan di Istana Budaya Kuala Lumpur kini. Jauh panggang dari api. Namun begitu ia masih merupakan sebuah pementasan. Ada pelakon, ada pengarah, ada pentas. Semua lengkap sebagai sebuah pementasan.

Lebih kurang sebulan mereka berlatih melakonkan drama pentas berkenaan. Tajuknya ialah ‘Mahsuri’ dan pelakon utamanya Putih Said. Yang melakonkan watak Mahsuri ialah Saidin namanya. Lelaki. Saidin terpaksa berpakaian perempuan disebabkan tidak ada pelakorn perempuan yang sanggup tampil untuk berlakun dan melakonkan watak Mahsuri. Orang kampung aku masih belum ‘membenarkan’ anak gadis di kampung aku menjadi pelakon pada ketika itu. Oleh itu Saidin, yang sedikit sebanyak ada ‘memiliki’ watak wanita dijadikan pelakon wanita, memegang watak Mahsuri.

Putih Said memainkan peranan pelakon utama dalam drama Mahsuri berkenaan. Watak Dahaman. Putih Said memang boleh berlakon tetapi disebabkan beliau tidak boleh membaca dan menulis maka disitulah terletaknya ‘masalah’ yang dihadapi oleh pengarah dama tersebut, Encik Yahaya namanya yang ‘didatangkan khas’ dari Kampung Buaiya ( tidak jauh dari kampung aku). Oleh kerana tidak ada orang lain yang sanggup mendokong watak utama maka Putih Said jugalah berperanan memegang watak utama. Dan bayangkanlah kesusahan yang dihadapi oleh Pengarah untuk mengarahkan sebuah drama dimana pelakon utamanya tidak boleh membaca dan menulis.

Olehkerana ketiadaan tempat untuk latihan berlakon, maka secara kebetulan ada sebuah pondok kosong di tepi bendang Pak Ngah Tengin dijadikan sebagai ‘dewan’ untuk mereka berlatih. Hampir setiap malam, para pelakon yang menjayakan drama ‘Mahsuri’ akan memahirkan lakonan mereka supaya persembahan mereka nanti tidak memalukan. Mereka menjalankan latehan sehingga larut malam dengan menggunakan dua lampu ‘gasoline’.Mereka cukup gigih dan bersungguh-sungguh menjalankan latehan berkenaan.

Dua minggu sebelum pementasan diadakan telah ‘heboh’ diperkatakan tentang pementasan ‘Mahsuri’ yang akan diadakan pada hari dan masa yang telah ditetapkan. Pendek kata seluruh penduduk kampong Keroh Hilir, Keroh Hulu, Paya Lintah, Sungai Ati, Kampung Lalang, Laneh, Paya Lintah, Gapis, Repuh sudah tahu dan menunggu tarikh pementasan anjuran RKIB. Penghebahan dilakukan melalui ‘poster-poster’ yang merupakan kertas bertulis tangan yang dilekatkan di pokok-pokok ataupun di dinding-dinding kedai disamping hebahan melalui mulut penduduk kampung.

Tempat diadakan pementasan telah ditetapkan di kawasan tanah lapang berhadapan dengan rumah Pak Kulup Gagap dan berdekatan juga dengan rumah Pak Haji Ariffin. Kawasan lapang berkenaan tidaklah begitu luas seperti padang bola tetapi boleh memuatkan lebih kurang 500 orang penonton. Di tengah-tengah kawasan lapang itu terdapat sebatang pokok kelapa dan amat sesuai sebagai tempat menggantungkan ‘speaker’ untuk upacara malam pementasan berkenaan.

Malam yang ditunggu-tunggu untuk mementaskan drama ‘Mahsuri’ pun sampai. Semua ‘artis’ yang mengambil bahagian pada malam berkenaan telah tersedia berkumpul di rumah Hassan Haji Jene. Teraju utama bermain accordian ialah Jama Mat Bilal, yang bermain biola ialah Ayah Cik Hamzah, yang bermain drum Ta Salleh (juga sebagai penyanyi). Semuanya sudah bersedia untuk memlulakan persembahan. Pelawak pun ada juga. Che Li dan Yahaya Sulung.

Para artis yang akan menjayakan drama ‘Mahsuri’ juga sudah bersedia dengan ‘make-up’ masing-masing kecuali Puteh Said yang memegang watak utama sebagai Dahaman yang akan menikam Mahsuri dalam drama berkenaan. Pengarah Encik Yahaya sudah mula resah melihat ketiadaan Putih Said. Tidak lama kemudian datang berita mengatakan yang Putih Said tidak dapat hadir kerana diserang sakit muntah-muntah dan demam panas yang amat teruk. (dikatakan yang menyebabkan Putih Said diserang penyakit berkenaan kerana tidak ‘bertabik’ dan mendapat ‘kebenaran’ daripada datuk nenek Mahsuri untuk mementaskan drama berkenaan). Begitulah kata mereka pada ketika itu. Tak pandai aku hendak mengulasnya.

Walaubagaimana pun keadaan yang kelam kabut dapat diselamatkan dengan kehadiran anak Encik Yahaya, ia itu Cikgu Yadzri yang boleh mengambil peranan Putih Said yang uzur itu. Secara kebetulan pula Cikgu Yadzri (mengajar di Sekolah Kebangsaan Bukit Gantang, Taiping) baru sahaja selesai melakonkan drama bertajuk ‘Mahsuri’ juga di sekolahnya. Oleh itu amat sesuailah Cikgu Yadzri digandingkan dengan Saidin yang memegang watak Mahsuri. Lantas semuanya berjalan dengan lancar dan sempurna.

Apabila aku kenangkan semula peristiwa berkenaan aku senyum sendirian kerana mengenangkan ‘Mahsuri’ bercakap loghat Perak sedangkan gadis Langkawi itu dari Kedah…….

abuhassanadam
12 April 2015






No comments:

Post a Comment