Monday, December 2, 2019

BUKAN SALAH ANWAR DAN BUKAN SALAH AZMIN



BUKAN SALAH ANWAR DAN BUKAN SALAH AZMIN

            Reading between the lines, aku mula yakin bahawa tercetusnya kemelut politik dalam PKR bukan diletakkan ke bahu DS Anwar Ibrahim ataupun DS Azmin Ali. Aku merasakan bahawa ‘pengikut’ yang baru ‘tumbuh tanduk’ dan ‘berubun lembut’ kedua-dua pihak yang menjadikan keadaan dalam PKR terus ‘menjadi kelamkabut’. Yang menyebabkan aku terus membuat kesimpulan sedemikian adalah apabila ada ura-ura yang datangnya dari pengikut Azmin untuk mengadakan kongres yang berasingan selain dari Kongres Nasional yang akan diadakan di Melaka pada hujung minggu ini.

            Merancang mengadakan satu lagi perhimpunan pada hari yang sama adalah merupakan tindakan kumpulan yang ‘baru tumbuh tanduk dan berubun lembut’ yang tidak memikirkan kesan buruk yang akan menimpa parti PKR kemudiannya. Kumpulan sedemikian sebenarnya tidak langsung memikirkan betapa ‘gembiranya’ pihak lawan melihatkan apa yang telah berlaku dalam PKR itu. Dan yang paling menyedihkan ialah sikap segelintir golongan sedemikian yang tidak langsung memikirkan ‘jerih payah’ golongan reformis ( Otai Reformasi) untuk menubuhkan parti keramat ini.

            Mungkin pada tahun 1998, golongan yang ‘baru tumbuh tanduk’ ini masih kanak-kanak dan tidak tahu apa sebenarnya erti perjuangan. Mereka tidak tahu jerih payah yang dialami oleh golongan reformis yang sentiasa meneriakkan slogan ‘Reformasi’ dan berarak di jalan-jalan raya setelah DS Anwar ditangkap, dimalukan dan dipenjara. Pada ketika itulah lahirnya dan berputiknya Parti Keadilan Rakyat yang diasaskan oleh ‘golongan tua’ seperti Azmin, Syed Hussein Ali, Tien Chua, Sivarasa dll. DS Wan Azizah ‘terpaksa’ mengorbankan diri menceburkan diri dalam politik bersama-sama dengan Nurul Izah yang masih dalam belasan tahun. ‘Mengorbankan’ masa remajanya demi perjuangan menegakkan keadilan.

Golongan ‘yang baru tumbuh tanduk’ tidak dapat merasakan pedih payahnya golongan reformis ( golongan tua (kini) yang pada ketika itu masih muda dan bertenaga) ‘berjuang’ untuk menegakkan kebenaran tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran. Malah bukan ganjaran wang yang diharapkan tetapi ada kalanya terpaksa mengorbankan wang ringgit demi meneruskan perjuangan. REFORMASI!

            Anak muda yang kononnya berjuang dalam PKR kini tidak dapat merasakan jerih payah yang dideritai oleh Otai Reformasi pada ketika itu. Mungkin golongan muda tahu dan mendengar kisah perjuangan Otai Reformasi itu. Dan yang anihnya ramai juga golongan Otai Refformasi itu tidak menjadi ahli PKR tetapi merupakan pengikut yang amat setia perjuanagan yang dilakukan oleh PKR.

            Bayangkanlah sekiranya berlaku perpecahan dalam PKR kini dan beberapa hari lagi, tentulah hancur luluh hati dan perasaan golongan Otai Reformis yang kebanyakannya hanya menghabiskan sis-sisa usia mereka untuk melihat tokoh Reformasi – Saudara Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri ke 8. Itulah impian dan harapan golongan Otai Reformasi yang berselerak di seluruh negara kini. Mereka merupakan ‘Wira yang tidak didendang’ – The Unsung Hero!

abuhassanadam
2 Disember 2019

Sunday, December 1, 2019

ANTARA ANWAR DAN AZMIN



ANTARA ANWAR DAN AZMIN

            Aku mengenali rapat DS Anwar dan DS Azmin Ali dan dengan sebab itulah aku terpanggil untuk memperkatakan sesuatu mengenai kemlut yang berlaku kini. Secara jujurnya dapat aku katakan bahawa aku tidak tahu punca ‘sebenarnya’ berlaku perselisihan faham (politik) antara kedua-dua mereka sehinggakan cukup ‘merunsing dan membimbangkan’ rakyat yang sentiasa menunggu-nunggu DS Anwar menjadi Perdana Menteri Kelapan.

            Hendak aku katakan pertarungan Anwar –Azmin ini sebagai pertarungan Hang Tuah dan Hang Jebat tidak pula begitu kerana hubungan antara mereka berdua ( walaupun semacam persahabatan yang akrab) adalah sebagai ‘tuan /pesuruh’. Pada asalnya Azmin adalah sebagai Pegawai Khas kepada DS Anwar ( 1986) yang pada ketika itu sebagai Menteri Pendidikan Malaysia yang berpejabat di Pusat Bandar Damansara. Secara kebetulan bilik aku hanya bersebelahan dengan bilik Azmin di pejabat yang sama.

            Bermula dari tahun 1986 itulah, Azmin terus menerus bersama dengan DS Anwar Ibrahim. Boleh aku ibaratkan ‘seperti aur dengan tebing’ ‘ bukit sama di daki dan lurah sma dituruni’. Dari jawatan sebagai Pegawai Khas, beliau telah dilantik sebagai Setiausaha Sulit kepada DS Anwar setelah berlaku kekosongan menggantikan Saudara Nasaruddin Jalil (arwah). Pendek kata antara Anwar dan Azmin adalah sebagai abang-adik, melayari perjuangan ketika senang dan susah sehinggalah ke hari ini.

            Bagi aku taat setia Azmin kepada Anawar tidak ada tolak bandingnya. Pengorbanan yang dilakukan juga bukan sebarang pengorbanan yang boleh disa-siakan begitu sahaja. Apa tidaknya. Ketika Anwar menghadapi zaman ‘dimalukan’ oleh pemerintah pada ketika itu, maka Azmin sentiasa berada disamping keluarga DS Anwar bersama-sama DS Wan Azizah dan Nurulizzah yang masih dalam belasan tahun. Ikatan perjuangan Anwar’Azmin berterusan sehinggalah kemenangan Pakatan Harapan dan DS Anwar dibebaskan. Rakyat Malaysia begitu bahagia menikmati kemenangan PRU14 dan tentunya rakyat tidak menyangka berlakunya kemelut politik dalam PKR kini.

            “Aku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari’

            Amat sesuai keadaan yang ‘menimpa’ kini disamakan dengan suasana hujan di tengah hari. Aku sendiri tidak menyangka yang keadaan yang wujud kini ( yang kadang-kadang digembar-gemburkan oleh media) kelihatan begitu serious. Aku masih berpegang kepada sangkaan bahawa pertrungan Anwar-Azmin itu hanyalah sebagai ‘perbalahan politik’ tetapi setelah aku perincikan keadaan yang wujud kini, maka sudah dapat aku rasakan bahawa keaadaan sudah semakin serious. Lantas aku memberanikan diri untuk menulis rencana sebegini. Kalau pun tidak dapat menyelesaikan (siapalah aku untuk menyelesaikan kemelut politik sedemikian) sekurang-kurangnya dapat memberikan renungan sejenak kepada kedua-dua tokoh ini.

            Aku dapat rasakan bahawa rakyat Malaysia amat menyayangi kedua-dua tokoh ini. Anwar Ibrahim bukan sahaja merupakan pemimpin bagi rakyat di negara ini malah telah disanjung oleh tokoh-tokoh dunia seperti Nelson Mandela, Lee Kuan Yew, Obama dll. Pastinya bukan rakyat Malaysia sahaja yang menunggu-nunggu giliran beliau untuk memimpin negara ini. Dan sememangnya telah dipersetujui pun bahawa beliaulah yang akan menggantikan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri kelapan.

            Dan kedudukan Azmin semacam sudah ‘berada dalam tangan’ jawatan Perdana Menteri. Cuma beliau hanyalah perlu bersabar buat seketika sementara menimba pengalaman dari Saudara Anwar Ibrahim. Takkanlah tak boleh tunggu seketika sedangkan saudara sudah menunggu puluhan tahun (1986- 2019) bersama-sama dengan Saudara Anwar. Sebenarnya itulah merupakan doa dan harapan rakyat Malaysia. Janganlah hendaknya saudara menghampakan harapan rakyat.

            Kemelut yang berlaku kini sebenarnya amat merunsingkan rakyat terbanyak dan ‘mengembirakan’ pihak pembangkang. Dalam suasana sebeginilah Saudara Azmin (sebagai orang muda) perlu berhati-hati memilih kawan dan rakan. Sejarah telah mengajar bahawa ‘kawan ketawa begitu ramai tetapi apabila menangis hanya keseorangan’. Saudara telah membuktikan bahawa saudara sanggup ketawa bersama Anwar dan begitu juga apabila keluarga Anwar ‘menangis’ saudara juga ada bersama-sama.

            Sekali lagi ditegaskan bahwa aku tidak tahu ‘sebenarnya’ punca ‘perbalahan’ antara dua tokoh ini. Yang dapat aku katakan ialah dalam apa-apa pergaduhan dan perbalahan pun tentulah ada jalan penyelesaiannya. Saudara Anwar tentulah menemui jalan sedemikian dan pasti juga saudara meneyetujui jalan yang telah dirintis.

            Rakyat paling runsing dan bimbang sekiranya kemelut dalam PKR tidak dapat diselesaikan. Namun begitu ramai juga yang optimis merasakan bahawa penyelesaian dalam PKR ini adalah ibarat ‘ mengejar gunung, hilang kabus nampaklah ia’.

            Insyallah..

abuhassanadam
1 Disember 2019


Saturday, November 30, 2019

MALAYSIA MASIH DI TAKUK LAMA


MALAYSIA  MASIH DI TAKUK LAMA

            Jikalau aku sarankan dengan mengatakan bahawa Malaysia masih ‘di takuk lama’ setelah hampir dua tahun ditadbir oleh Pakatan Harapan, maka akan ada yang ‘melompat’ minta bukti mengapa aku katakan begitu. Memang tidak ada bukti konkrit untuk membuktikan kenyataan demikian kerana itu hanya merupakan persepsi, pemerhatian banyak orang. Dan jika masih mahukan bukti, maka bolehlah digunakan keputusan PRK Tanjung Piai baru-baru ini yang menunjukkan pengundi sudah mula bosan dengan kepimpinan Pakatan Harapan.

            Sepatutnya pentadbiran Pakatan Harapan sudah mula mengorak langkah drasti melaksanakan dasar-dasar yang boleh ‘membuka mata’ para pengundi rakyat Malaysia. Seharusnya para menteri Pakatan Harapan sudah mula bertindak dengan berkesan merencanakan apa yang sepatutnya ‘dihidangkan’ kepada rakyat. Ini tidak. Para menteri dan pelaksana pentadbiran negara masih dalam ‘honey-moon mood’ meraikan kemenangan PRU14 yang masih dirasakan terngiang-ngiang di telinga mereka. Dan yang merunsingkan rakyat Malaysia, sikap para pemimpin Pakatan Harapan seolah-olah sama dan serupa dengan cara pimpinan Barisan Nasional. Masih menunggu peluang untuk ‘mengaut’ apa yang patut ‘dikaut’.

            Belum pun sampai genap dua tahun melaksanakan pemerintahan sudah mula kedengaran kisah-kisah rasuah dikalangan kepimpinan Pakatan Harapan. Sudah mula kedengaran kisah-kisah pemberian projek-projek khas untuk kroni dan mengenepikan tanggungjawab terhadap masyarakat terbanyak. Maknanya perangai lama berulang kembali. Bak kata peribahasa Melayu seolah-olah sepert anjing yang makan tahi kalau pun tidak dimakan maka diciumnya juga’

            Semacam tidak kelihatan dasar-dasar besar dan agung yang dilaksanakan oleh Pakatan Harapan demi untuk memajukan kehidupan rakyat. Mungkin telah banyak projek yang dihasratkan dan diumumkan, namun itu hanya merupakan suatu cadangan dan belum tentu akan mendatangkan keuntungan atau kebaikan kepada rakyat. Projek kereta terbang misalnya. Bagi aku ( yang bodoh tongong ) memang tidak lojik projek ini dilaksanakan di negara ini. Terlalu banyak halangan yang perlu diselesaikan sebelum projek itu dapat dilaksanakan.  Lagi pun apakah faedah yang dapat dinikmati oleh rakyat terbanyak ( rakyat marhaen seperti aku) dengan pelaksanaan projek berkenaan. Dan yang paling ketara sekali ialah seolah-olah tugas Menteri Pembangunan Usahawan ialah melaksanakan projek kereta terbang. Amat malang sekali rakyat Malaysia.

            Sepatutnya para menteri telah mula berfikir untuk melakukan sesuatu yang boleh mencetuskan ‘WOW’ ( pinjam kata orang muda kini) di pemikiran rakyat Malaysia. Sebagai contoh. Pada tahun 1959, ketika usianya baru 37 tahun, Ungku Aziz telah mengemukakan kertas kerja bertajuk ”Rancangan Membaiki Keadaan Ekonomi Bakal-bakal Haji” kepada kerajaan dan sejak itu idea beliau telah dikaji dan diperkembangkan sehingga apa yang kita lihat sekarang ini. Daripada ‘ZERO’, Tabung Haji (TH) sekarang adalah Pengurus Dana Islam terbesar negara dengan dana melebihi RM55 bilion!
            TH juga telah menceburi bidang pelaburan di beberapa sektor seperti perladangan, pembangunan hartanah dan pembinaan, kewangan Islam, teknologi maklumat, minyak dan gas, perkhidmatan pelancongan dan makanan halal dengan keuntungan bersih melebihi RM3 bilion setiap tahun. Pendeposit mereka juga dah cecah 8 juta orang.
            Itu yang aku maksudkan projek ‘WOW’. Dan ketika menjadi Menteri Pendidikan pada zaman kepimpinan Dr. Mahathir ( awal 1980an) Saudara Anwar Ibrahim telah mewar-warkan penubuhan Universiti Islam Antarabangsa dan penubuhan Bank Islam. Tun Dr Mahathir telah menjadikannya satu realiti dan sehingga kini sudah menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Megah berdiri dan dibangga dan dapat dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia dan antarabangsa.
            Tun Ghaffar Baba, seorang pemimpin yang kelihatan betul-betul untuk memajukan rakyat Malaysia (orang Melayu khususnya) telah mengasaskan penubuhan MARA (Majlis Aamanah Rakyat) yang peranannya sehingga hari ini betul-betul boleh dimanfaatkan oleh orang Melayu. Hanya pemimpin yang terkemudian yang telah cuba ‘merosakkan’ pentadbiran MARA yang telah ‘mengabdikan’ diri kepada perjuanagan orang Melayu.
            Sumbangan Tun Ghaffar juga boleh dilihat dari segi penubuhan ITM (Institut Teknoloji Mara). ITM telah direalisasikan sejurus selepas diumumkan penubuhannya. Dan lantas dimulakan operasinya. Menampakkan bahawa pemimpin terdahulu betul-betul ikhlas dalam usaha untuk memajukan orang Melayu. Melalui ITM lah yang telah melatih ratusan (pada awal penubuhannya) dan ratusan ribu pelajar Melayu menjadi golongan professional yang diperlukan oleh negara.
            Tidak salah Menteri Pendidikan kita pada hari ini memperkenalkan pemakaian kasut hitam kepada murid-murid sekolah, namun perlulah juga beliau dan para pegawai di Kementerian Pendidikan melihat sesuatu yang lebih besar demi kemajuan negara kita yang akan menempuh zaman globalisasi ini. Perlulah dilakukan penyelidikan yang jitu demi untu kemajuan negara kita Malaysia.
            Berbanding dengan Menteri Pembangunan Luar Bandar zaman kemerdekaan, apa yang dilakukan oleh Menteri sekarang adalah amat mengecewakan. Jangankan untuk memikirkan pelaksanaan projek sebeasr FELDA, masih tidak kelihatan sesuatu yang konkrit demi untuk memajukan masyarakat luar bandar. Sepatutnya kementerian berkenaan (khususnya menterinya) sudah mula merangka apakah yang sepatutnya dilakukan untuk memajukan masyarakat luar bandar ( orang Melayu) dari segi jangka panjang.
            Apakah pada pandangan mereka orang Melayu luar bandar sudah betul-betul maju dari segenap segi. Tentu sekali tidak. Dan seharusnya dimulakan mengorak langkah dengan segera ke arah itu.

abuhassanadam
30 November 2019

Friday, November 29, 2019

TINDAKAN SEGELINTIR MELAYU MEMALUKAN


TINDAKAN SEGELINTIR MELAYU MEMALUKAN

            Kadang-kadang aku terfikir tentang apakah yang boleh aku tunjukkan kepada bangsa lain bagi meyakinkan bahawa sebenarnya Melayu ini hebat, orang Melayu berbudi bahasa, orang Melayu berjaya dalam lapangan ekonomi, orang Melayu bijak berpolitik, orang Melayu berjaya dalam lapangan pelajaran dan lain-lain. Hampir tidak dapat dikemukakan contoh-contoh yang baik mengenai orang Melayu.

            Yang selalu kita dengar dan dibaca ialah pemimpin politik yang terdiri dari orang Melayu terlibat dengan skandal rasuah, anak Melayu yang ramai terlibat dengan penagihan dadah, graduan Melayu yang ramai menganggur, kehebatan aktiviti Mat Rempit yang hampir keseluruhannya terdiri dari belia Melayu, kehebatan kanak-kanak Melayu yang terlibat dengan basikal lajak dan lain-lain. Pendek kata apa sahaja yang kelihatan ‘negatif’ terpalit kepada orang Melayulah.

            Yang paling merunsingkan sebahagian besar orang Melayu ( yang berfikiran agak waras) ialah sikap segelintir orang Melayu yang semacam tidak dapat berfikir dengan waras. Sikap segelinitr orang Melayu yang menyokong dengan membabi buta ‘pemimpin’ yang terbabit dengan rasuah dan dihadapkan di mahkamah. Seolah-olah golongan ‘pengikut’ yang tolol / bodoh ini sudah melupakan peraturan dan undang-undang yang ada dalam negara yang seharusnya dipatuhi.

            Terfikir juga aku bahawa orang Melayu pada Kurun ke 21 tidak banyak bezanya dengan keadaan orang Melayu tradisional seperti yang digambarkan dalam cerita-cerita jenaka yang pernah kita baca ketika di sekolah Melayu zaman dahulu. Ramai orang Melayu kini yang wataknya hampir sama dengan watak Mat Jenin. Suka berkhayal dan berangan-angan. Bezanya Mat Jenin berangan-angan di atas pokok kelapa sedangkan ramai orang Melayu kini berangan-angan di kedai kopi. Maknanya orang Melayu semenjak zaman dahulu kala sentiasa memikirkan jalan pintas untuk mencari kesenangan hidup.

            Tidak banyak berbeza dengan keadaan orang Melayu kini. Segelinitr orang Melayu kini sentiasa melihat penglibatan dalam politik itu sebagai jalan pintas untuk mencapai kejayaan. Mereka merasakan dengan cara itulah merupakan jalan yang paling senang untuk mencapai apa yang diharapkan. Dengan sebab itulah sudah ramai orang Melayu kini ‘bermati-matian’ untuk melibatkan diri dalam politik. Dan dapat dilihat dengan jelas betapa kecewanya orang Melayu di seluruh negara apabila Barisan Nasional tewas dalam PRU14 yang lalu.

            Dalam zaman pemerintahan UMNO (Barisan Nasional) ramai orang Melayu yang ‘cari makan’ melalui penglibatan mereka dalam kegiatan politik UMNO. Golongan orang Melayu sedemikian seolah-olah ‘berpesta’ pada ketika itu, dan tidak kira samada mereka berada di kampung-kampung atau di bandar. Orang Melayu hampir lupa daratan. Seolah-olah mereka berbelanja pada ketika seolah-olah wang yang mereka belanjakan itu datangnya dari langit. Dan sebenarnya itulah cara yang paling disukai oleh orang Melayu. Tidak ada kerja tetapi senang untuk mendapat wang dan cara yang paling senang untuk mendapat wang ialah melaui penglibatan dalam politik.

            Watak Pak Pandir, Pak Kaduk, Lebai Malang sememangnya ada dikalangan orang Melayu kini. Watak bodoh/ ‘betul bendul’ Pak Pandir itu digunakan oleh golongan agama untuk menyokong perjuangan politik sempit mereka. Ada yang menggunakan petikan dari Al-Quran untuk mempengaruhi pemikiran orang Melayu yang bukan sahaja Melalyu kampung tetapi Melayu intelek di bandar juga. Disebabkan terlalu jahil dalam hal-hal keagamaan, maka golongan Melayu sedemikian akan menjadi ‘pak angguk’ tentang apa sahaja yang disampaikan kepada mereka.

            Orang Melayu merasa amat ‘bahagia’ dan ‘tenang’ apabila dapat mendengar cerita-cerita dan kisah yang menyenangkan. Orang Melayu pada zaman dahulu telah ditenangkan fikiran mereka dengan ‘falsafah’ yang berbunyi ‘rezeki secupak tidak akan jadi segantang’. Dan guru-guru agama pula sentiasa menyampaikan ‘kuliah’nya disurau-suaru dengan mengatakan bahawa tempat orang Islam ialah di akhirat dan bukan di dunia. Orang Melayu amat senang dengan kenyataan sebegini. Kata-kata sedemikian menjadi  ‘ubat’ yang mujarrab untuk mereka tidak berusaha dan merupakan alasan yang cukup kuat mengapa orang Melayu masih miskin papa kedana. ‘Dadah’ yang disampaikan oleh golongan agama yang sedemikianlah yang mungkin juga merupakan salah satu sebab orang Melayu masih mundur sehingga hari ini. Mungkin!

            Aku tak kata semua Melayu begitu. Dan aku juga dari keturunan Melayu totok, keturunan orang darat (asli) tetapi telah aku buangkan jauh-jauh perangai buruk seperti yang diamalkan oleh segelintir orang Melayu kini. Tentulah aku tidak sebodoh sehingga seperti kerbau dicucuk hidung untuk menyokong ‘pemimpin’ yang sudah terang-terang melakukan kesalahan (walaupun belum dijatuhkan hukuman oleh mahkamah). Apa gunanya otak dan fikiran yang dikurniakan Tuhan sekiranya tidak boleh berfikir dan dapat membuat pertimbangan dengan waras.

            Janganlah orang Melayu terlalu bodoh sehingga meletakkan diri setaraf dengan Pak Pandir, Lebai Malang, Mat Jenin, Pak Kaduk…

abuhassanadam
29 November 2019