Monday, August 5, 2019

BIAR TUN M DAN DS ANWAR SELESAIKAN


BIAR TUN M DAN DS ANWAR SELESAIKAN – ORANG LAIN JANGAN CAMPUR

            Mengapa ada pula pihak yang ‘kacau daun’ memandai-mandai beri cadangan agar pentadbiran Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri dilanjutkan sehingga habis penggal. Dan yang anihnya Presiden PAS dan beberapa orang pemimpinnya turut juga memberikan cadangan walaupun sebarang cadangan tidak diminta dan mungkin juga tidak diperlukan. Dan yang peliknya sanggup pula pemimpin-pemimpin PAS ini sanggup mencampuri ‘urusan rumah tangga orang lain’.

            Tidak mungkin Tun Mahathir yang merestui agar golongan ‘pengampu’ini memberikan cadangan dan saranan sedemikian. Tidak mungkin seorang negarawan ulung memberikan cadangan sedemikian yang lebih merupakan ‘mainan anak-anak berhingus’. Tentu sekali bukan Tun M yang bersikap demikian memandangkan kredibility Tun M yang sedemikian. Ataupun mungkin ada ‘suara ghaib’ dar golongan yang berkepentingan yang membisikkan ke telinga para ‘pengampu’ ini agar menyuarakan supaya pentadbiran Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri dilanjutkan sehingga ‘selesai’

            Kenyataan YB Saudara Saifuddin Nasution selaku selaku Setiausaha PKR amat tepat sekali.“There is no use of talking repeatedly about the matter that has been agreed upon long before the last general election. It won’t have a good effect on the people’

         Dah putus lama dah isu berkenaan. Takkan lah Tun Mahathir tak menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Jemaah tertinggi Pakatan Harapan. Sebagai pemimpin agung tentulah Tun Mahathir tidak akan ‘mungkir janji’dan mengabaikan ketetapan yang dibuat dalam majlis tertinggi Pakatan Harapan itu. Lagi pun rakyat sudah diberitahu dan sentiasa ‘didendangkan’ yang Saudara Anwar akan mengambil alih jawatan berkenaan selepas dua tahun. Jelas.

            Tetapi soalnya mengapa masih ada lagi suara-suara sumbang yang seolah-olah mempersoalkan keputusan majlis tertinggi Pakatan Harapan itu. Dan harus juga disedari bahawa kemenangan Pakatan Harapan pada PRU14 yang lalu bukan sahaja kerana kepimpinan Tun M tetapi adanya persetujuan melantik Saudara Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke 8. Dengan sebab itulah Tun M bersungguh benar dan sanggup ‘mencemar’ diri berjumpa dengan Saudara Anwar di penjara untuk mendapat sokongan beliau. Itu bermakna baahwa rakyat bersetuju dengan persetujuan yang telah dilakukan tentang penyerahan tugas Perdana Menteri kepada Saudara Anwar sebagai Perdana Menteri ke8. Ini juga bermakna bahawa sokongan yang diberikan oleh rakyat pada PRU14 adalah juga merupakan sokongan kepada Saudara Anwar Ibrahim. Pasti rakyat akan ‘berkecil hati’ dan sedih pilu sekiranya Tun Mahathir tidak memenuhi janji yang dibuat.

            Rakyat mula memandang serong terhadap suara-suara sumbang yang meminta agar perkhidmatan Perdana Menteri dilanjutkan. Apakah agenda tersembunyi yang ‘memberanikan’ golongan ini untuk menentang keputusan yang telah dibuat oleh majlis tertinggi Pakatan Harapan. Apakah kuasa yang ada pada mereka yang sanggup meminta agar pentadbiran Tun Mahathir dilanjutkan. Apakah tindakan mereka itu boleh dianggap sebagai ‘hidung tak mancung tetapi pipi yang tersorong-sorong’

            Ada yang berpendapat bahawa bagi mereka yang mengemukakan cadangan sedemikian adalah seperti menentang kehendak rakyat sebagaimana yang digambarkan dalam PRU14. Kesannya amat buruk. Mandat yang diberikan oleh rakyat pada PRU14 mungkin ‘ditarik balik’ pada PRU15. Mungkin tidak mudah untuk melakukannya namun rakyat mampu melakukannya apatah lagi dengan ‘kuasa’ yang ada pada sosial media kini.

            Rakyat mula memandang serong terhadap golongan atau pemimpin yang menyuarakan hasrat agar Tun pentadbiran M dilanjutkan. Perlu disedari juga bahawa rakyat terbanyak tidak pula menyuruh pentadbiran Tun M dipendekkan. Tidak timbul suara-suara sedemikian. Mungkin golongan ini lebih beradab dalam menyuarakan sesuatu pendapat berbanding dengan kumpulan tertentu yang tanpa segan silu meminta Tun M melanjutkan pentadbiran. Walaupun tidak dinyatakan penafian terhadap pengganti, namun ‘sekilas ikan di air sudah diketahui jantan betinannya’. Maknanya golongan ini amat risau dan bimbang sekiranya DS Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri kelapan kelak.

            Tidak siapa yang dapat menafikan ketentuan Allah.

abuhassanadam
5 August 2019




Sunday, August 4, 2019

MALAYSIA BELUM BERUBAH


MALAYSIA BELUM BERUBAH

            Negara Malaysia semenjak selesainya PRU14 nampaknya semacam tidak banyak berubah. Perubahan yang agak ketara ialah ‘runtuh’nya pentadbiran Barisan Nasional dan gugurnya DS Najib Abdul Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia disamping keguguran pemimpin-pemimpin UMNO yang didakwa sebagai korup dan tidak bertanggung jawab. Selain itu tidak nampak sebarang perubahan besar sebagaimana yang telah dijanjikan dalam kempen PRU14 dulu.

            Pentadbiran negara seolah-olah hanya bertukar daripada pentadbiran BN kepada pentadbiran Pakatan Harapan. Semacam tidak nampak perubahan yang besar sama ada yang sedang berjalan ataupun yang sedang direncamankan. Hanya perubahan dari BN kepada PH.  Jikalau sebelumnya para menterinya adalah dari BN, kini para menterinya dipilih dari kalangan parti komponen Pakatan Harapan. Apatah lagi Perdana Menterinya masih lagi Tun Dr. Mahathir Mohamed, bekas pemimpin UMNO yang juga bekas peneraju BN beberapa tahun yang lampau.

            Rakyat sebenarnya menunggu perubahan yang akan dilakukan oleh kepimpinan baru. Dari sebulan ke sebulan ada menteri yang kelihatan masih ‘merayakan’ ‘bulan madu’ yang semacam tidak mempedulikan apa yang harus dilakukan untuk kemajuan rakyat. Ada pula menteri yang begitu ghairah dengan dasar-dasar baru yang tidak tentu arah hendak dituju. Ada pula menteri yang menunjuk pandai dengan dasar-dasar yang boleh ditertawakan  oleh masyarakat dunia dengan dasar yang dikemukakannya.

            Jikalau ditanyakan apakah pembaharuan yang telah dilakukan oleh pentadbiran baru Pakatan Rakyat. Kejayaan yang boleh ‘dibanggakan’ oleh kepimpinan baru ialah mendakwa DS Najib yang berhubung kait dengan IMDB disamping mendakwa beberapa pemimpin lain yang mengsonglap wang negara demi kepentingan peribadi dan keluarga mereka. Selain dari itu agak sukar untuk mengenalpasti apakah sumbangan yang telah dilakukan oleh menteri-menteri Pakatan Harapan.

            Ada kelihatan Menteri-menteri Pakatan Harapan yang seolah terpinga-pinga untuk melaksanakan tugas yang telah diamanahkan kepada mereka. Mereka menunjuk pandai dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang nampaknya hebat berkaitan dengan kementerian yang mereka bertanggungjawab, tetapi belum nampak kesan yang positif. Mereka lupa bahwa sudah lebih setahun mereka menjawat jawatan yang mereka pikul tetapi mereka tidak melakukan apa yang diharapkan oleh rakyat.

            Aku tertarik dengan kenyataan Peter F. Drucker dalam bukunya, ‘Managing For The Future’ apabila beliau menyentuh sedikit sebanyak mengenai pendidikan pada masa hadapan. Katanya, ‘The right kind of education is a new form of security. However our schools have yet to accept the fact that in the ‘knowledge society’ the majority of people make their living as employees. They work in an organization in which they have to be effective…the ‘knowledge society’ is a society of large organizations – government and businessthat necessarily operate on the flow of information…The ‘educated person’ ought to be the new archetype of the post-business socirty’

            Manifesto Pakatan Harapan pastinya menjanjikan satu harapan baru dalam merangka dan menerajui pendidikan negara ke arah sesuatu yang gemilang. Bidang pendidikan harus dijadikan landasan bagi melonjakkan kemajuan dan pembangunan negara dalam bidang-bidang lain, khususnya dalam lapangan ekonomi.

            Dari segi ekonomi pula, Peter Drucker ada menyatakan dalam bukunya yang sama bahawa, ‘For 60 years, mainstream economic policy in the West was based on the ideas of John Maynard Keynes. Now the assumption of his concept are obselete. Keynes could not see the shape of the global economy which would undercut his theories…indeed before he died, Keynes admitted his theory of the economy could no longer work. But it was too late’.

            Tentulah sudah sampai ketikanya para menteri Pakatan Harapan mengorak langkah (sepatutnya sudah lama mengorak langkah) untuk membuktikan kepada rakyat tentang kemampuan masing-masing dalam mengangkat martabat bangsa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi dalam bidang-bidang tertentu. Dari segi perkembangan pendidikan misalnya menteri yang bertanggungjawab seharusnya merenung jauh akan kesan dasar pendidikan yang diperkenalkannya demi membawa bangsa Malaysia ke suatu era yang dibanggakan.

            Begitu juga dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar seolah-olah belum nampak sesuatu yang konkrit yang dilakukan demi memajukan penduduk luar bandar. Mungkin telah ada. Mungkin!. Namun apa yang diperlukan ialah sesuatu dasar yang innovative yang jauh lebih constructive berbanding dengan apa yang pernah dilakukan dibawah naungan Barisan Nasional yang terdahulu.

            Terdapat juga dasar yang terlampau innovative yang cuba diketengahkan sehinggakan tidak terjangkau oleh pemikiran rakyat Malaysia tentang rancangannya. Melaksanakan kereta terbang misalnya. Rakyat Malaysia tentunya terpinga-pinga untuk memahami dasar dan inovasi yang cuba dilaksanakan. Walau bagaimanapun rakyat terus mengharapkan agar hasrat sedemikian tercapai. Sekurang-kurangnya ada angan-angan walaupun kadang-kadang semacam angan-angan Mat Jenin!

abuhassanadam
4 Ogos 2019





Saturday, August 3, 2019

APAKAH YANG MENYEBABKAN ORANG MELAYU MUNDUR


APAKAH DAP YANG MENYEBABKAN ORANG MELAYU MUNDUR?

            Tak habis-habis kutukan mereka kepada DAP. Yang dimaksudkan dengan ‘mereka’ ialah segelintir golongan pemimpin di Malaysia yang seringkali meletakkan kesalahan kepada DAP yang menyebabkan orang Melayu mundur. Sikit-sikit DAP. Seolah-olah tidak ada langsung kebaikan yang ditonjolkan oleh DAP demi kepentingan orang Melayu.

            Terus terang aku katakan bahawa yang dimaksudkan oleh mereka itu adalah kaum Cina atau orang Cina. Dengan perkataan lain mereka memarahi orang Cina. Dan demi kepentingan politik golongan tertentu maka sasaran mereka adalah orang Cina yang kononnya menyebabkan orang Melayu mundur sebegini.

            Timbul pula persoalan. Betulkah orang Melayu masih mundur. Jawapnya BETUL jika dibandingkan dengan pencapaian kaum-kaum lain di Malaysia. Orang Melayu tetap terkebelakang. Namun sekiranya dibandingkan orang Melayu pada zaman sebelum merdeka, sememangnya orang Melayu sudah begitu maju sekali. Yang kita mahukan ialah kemajuan orang Melayu yang selari dan seiring dengan perkembangan zaman.

            Awal Kurun ke 21 orang Melayu masih merintih. Tahun 2019 orang Melayu masih meminta-minta, masih mengemis. Bak kata Aminuddin Baki pada suatu ketika dahulu bahawa orang Melayu masih seperti ayam yang mati di kepuk padi dan itik kehausan di air tenang. Aminuddin Baki melafazkan kata-kata ini pada tahun-tahun 1950an dan pada ketika itu beliau menggambarkan tentang keadaan orang Melayu pada ketika itu. Rupa-rupanya orang Melayu masih dalam keadaan yang hampir serupa pada awal Kurun ke 21.

            Kononnya yang menyebabkan orang Melayu mundur adalah disebabkan oleh DAP. Sehingga kini masih lagi ‘didendangkan lagu-lagu’ sedemikian. Dan yang malangnya masih ramai lagi rakyat Malaysia berbangsa Melayu percaya dengan kata-kata sedemikian. Mereka masih terus menerus menyalahkan DAP.

            Tidak pula aku mengatakan bahawa apa yang dilakukan oleh DAP itu semuanya betul. Begitu juga tidak pula aku mengatakan apa yang dilakukan oleh pemimpin Pakatan Harapan kini semuanya betul belaka. Serupa jugalah yang aku tidak meletakkan kesalahan kepada Barisan Nasional yang menyebabkan orang Melayu mundur. Tetapi yang anihnya segelintir pemimpin  Melayu (pembangkang) yang terus menerus meletakkan kesalahan kepada DAP. Dan ramai pula pengikut yang terus menerus membabi buta menerima kenyataan sedemikian dan menyokongnya. Maknanya bagi mereka yang menyebabkan orang Melayu masih mundur adalah disebabkan oleh orang Cina (DAP).

            Kekalahan Barisan Nasional dalam PRU14 yang lalu seharusnya membuka mata seluruh orang Melayu. Orang Melayu harus sedar bahawa kerajaan BN yang dipimpin oleh sebahagian besar orang Melayu tidak dapat memajukan orang Melayu semenjak 60 tahun yang lampau. Ibarat kata Usman Awang, ‘ perahu sudah di air dan pengayuh berada ditangan – kayuhlah…”Sepatutnya pemimpin Melayu sudah cukup matang untuk memikirkan demi memajukan orang Melayu selama 60 tahun itu. Kuasa sudah berada di tangan.

            Apakah ada halangan-halangan yang ditimbulkan oleh kaum Cina yang menyebabkan orang Melayu tidak maju. Apakah orang Cina yang menjadi batu penghalang kepada kemajuan orang Melayu? Orang Cina seolah-olah membenarkan apa sahaja rancangan kerajaan yang bertujuan untuk memajukan orang Melayu. Beberapa rancangan lima tahun kerajaan tetap disokong oleh orang Cina walaupun jelas menampakkan rancangan kerajaan itu menguntungkan orang Melayu. Dasar Ekonomi Baru misalnya tetap berusaha untuk memajukan orang Melayu dan disokong oleh orang Cina. Tamat tempohnya pada tahun 1990. Namun disambung lagi demi untuk terus menerus memajukan orang Melayu.

            ‘Tenggelam’nya Barisan Nasional pada PRU 14 membawa bersamanya ‘menenggelamkan’ beberapa pemimpin Melayu yang menggunakan mandat yang diberi untuk mengkayakan diri dan keluarga masing dan semacam tidak terlintas di hati perut mereka untuk memajukan orang Melayu. Yang tersenarai oleh SPRM hampir tidak kelihatan nama pemimpin Cina. Ada tetapi tidak seramai pemimpin Melayu.

            Orang Melayu sudah hampir ‘tenggelam’ dalam arus kehidupan di bumi ini. Orang Melayu sememangnya amat ketinggalan berbanding dnegan kaum lain terutamanya orang Cina. Malah jikalau dibandingkan dengan orang India pun, orang Melayu masih ketinggalan. Sudah sampailah masanya orang Melayu (termasuk penulis sendiri) tidak menyalahkan orang lain yang menyebabkan orang Melayu mundur. Sudahlah sikap menyalahkan orang lain. Hentikanlah menuding jari yang satu ke arah lain sedangkan empat jari lagi menuding ke diri sendiri.

abuhassanadam
3 Ogos 2019

Friday, August 2, 2019

KEPUTUSAN YANG TELAH DIMUKTAMADKAN


KEPUTUSAN YANG TELAH DIMUKTAMATKAN

            Terlalu ‘menjadi-jadi’ sikap yang ditunjukkan sebilangan kecil pemimpin ‘kerdil’ yang ‘terpekik’ dan ‘terlolong’ mencanangkan yang mereka mahu agar Tun M meneruskan kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri sehingga tamat tempoh penggal.

            Bermula dengan pemimpin besar pembangkang (kononnya!) yang mahu terang-terang agar Tun Mahathir jangan berundur selepas dua tahun, maka kini telah diikuti oleh pemimpin-pemimpin kerdil di setengah negeri. Mereka lupa bahawa yang kesan daripada tindakan mereka itu tidak menjejaskan ‘status-quo’ yakni yang boleh mengubah pendidiran kerajaan.

            Apakah salah  pemimpin tertentu menyuarakan pandangan mereka tentang perlanjutan khidmat Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri itu. Memang tidak salah. Tetapi ‘tidak kena’.

            Tentulah janggal nampaknya pemimpin parti pembangkang ‘masuk campur’ dalam hal parti yang memerintah apatah lagi isu yang disuarakan ialah mengenai kepimpinan Perdana Menteri. Apakah prinsip perjuangan parti berkenaan begitu ‘goyang’ dan ‘longgar’ sehingga sanggup mengorbankan prinsip perjuangan demi menyokong kepimpinan parti lawan.

            Rakyat tahu dan faham apakah motif sebenarnya para pemimpin pembangkang yang menyuarakan hasrat sedemikian. Bak kata peribahasa Melayu, ‘ sekilas ikan dia ir sudah diketahui jantan betinannya’.Saranan dan pandangan mereka semacam tidak ikhlas dan sebaliknya ‘ada udang disebalik batu’. Rakyat pada umumnya dapat ‘membaca’ tentang hasrat dan tujuan mereka  itu yang tidak lain daripada hanya sekadarkan untuk memecah-belah dan memporak perandakan Pakatan Harapan.

            Mungkin kenyataan sedemikian dinafikan oleh mereka dan menafikan sesuatu kenyataan adalah merupakan ‘mainan’ orang politik yang tidak berperinsip.

            Penentuan usia kepimpinan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia telah ditentu dan dipersetujui oleh majlis kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan sebelum PRU 14 yang lalu. Semua ahli parti komponan Pakatan Harapan telah bersetuju sebagaimana mereka telah bersetuju menggunakan logo Parti Pakatan Rakyat untuk digunakan dalam PRU 14 berkenaan. Dan sekiranya ada pula cadangan agar kepimpinan Tun Mahathir dilanjutkan tentulah mesti diputuskan dalam majlis berkenaan juga.

            Begitu jugalah dengan pengganti Tun Mahathir yang ditelah dipersetujui akan dipikul oleh YB DS Anwar Ibrahim. Telah diputuskan sedemikian rupa. Dengan demikian maka rakyat telah memberikan sokongan padu kepada Pakatan Harapan untuk menumbangkan Barisan Nasional pada PRU 14 berkenaan. Rakyat memberikan sokongan kerana majlis tertinggi kepimpinan Pakatan Harapan bersetuju agar DS Anwar akan menjadi Perdana Menteri yang ke lapan.

            Dalam bahasa  yang ‘longgar’nya pihak-pihak tertentu jangan ‘pandai-pandai’ mengubah persetujuan yang telah dicapai dan yang telah mendapat sokongan padu oleh rakyat. Dengan sebab itulah kelihatan Tun Mahathir dan DS Anwar terus begitu yakin dengan apa yang telah diputuskan. Dan entah berapa kali ditegaskan oleh Tun Mahathir bahawa DS Anwarlah yang akan menggantikan beliau setelah tiba masanya nanti.
           
            Disamping itu harus disedari oleh pemimpin Pakatan Harapan bahawa kuasa rakyat jangan diperkotak-katikan. Telah terbukti tentang kekuatan rakyat setelah dipamerkan dalam PRU14  dulu.  Kemenangan Pakatan Harapan dan terlantiknya Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri adalah diatas sokongan rakyat. Dan rakyat juga mahu dan dipersetujui bahawa pengganti Tun Mahathir adalah DS Anwar Ibrahim. Insyallah.

abuhassanadam
2 Ogos 2019