Friday, December 25, 2020

 ‘PENGHANTAR MAKANAN’ – MENGAPA ‘DIMONOPOLI’ PEMUDA MELAYU?

Penekanan rencana ini tidak rasis cuma didorong oleh perasaan ingin tahu yang membuak-buak tentang mengapa peranan dan tugas menghantar makanan ke rumah-rumah seolah-olah ’dimonopoli’ oleh pemuda Melayu. Apakah sudah ’termaktub’ bahawa tugas dan kerja sebegini hanya ’dikhususkan’ kepada orang Melayu seperti juga tugas sebagai pengawal keselamatan.

Aku tidak pula mengatakan bahawa tugas sebagai penghantar makanan sebagi kerja yang ’lekeh’ dan tidak berprestij, malah aku amat menghargai dan mneghormati anak-anak muda yang sanggup melakukan kerja-kerja sedemikian terutamanya dalam keadaan dan suasana negara yang mengalami keadaan agak meleset (dari segi ekonomi) ini. Ramai anak muda yang sanggup melakukannya demi untuk menyambung kehidupan yang serba kekurangan ini. Dan pastinya ramai juga yang berkelulusan universiti yang sanggup melakukan kerja sedemikian.

Mereka lebih jujur melakukan kerja yang mendatangkan wang yang halal berbanding dengan indidvidu-individu dan para pemimpin yang sanggup melakukan kegiatan haram dengan kegiatan rasuah untuk menyara keluarga yang tidak berdosa. Bagi aku apa yang dilakukan oleh penghantar makanan ini lebih mulia tugas dan peranan mereka berbanding dengan apa yang dilakukan oleh kebanyakan pemimpin kini yang terpalit dengan berbagai kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Tentulah  terfikir juga tentang mengapa anak-anak muda yang berkelulusan tinggi itu sanggup melakukan tugas sedemikian? Dan kita semacam dikejutkan juga tentang kisah anak Melayu yang sanggup bekerja sebagai buruh kasar di Singapura dan berjaya mendapat pendapatan yang lumayan. Dan tentulah kita merasakan satu kerugian kepada negara anak muda yang berpendidikan tinggi dalam sesuatu bidang melakukan sesuatu yang tidak memerlukan kepakaran yang sepatutnya.

Dari lagak dan gaya yang ditinjolkan oleh anak muda yang bekerja sebagai penghantar makanan dengan menggunakan motorsikal menampakkan bahawa mereka amat bahagia melakukan kerja sedemikian. Tetapi mungkin mereka lupa atau tidak memikirkan bahwa sampai bila mereka akan melakukan tugas sedemikian. Apakah tugas sedemikian akan boleh ’membawa’ mereka sampai bila-bila, samapi kepada suatu keadaan yang membolehkan mereka menanggung anak isteri dan menyediakan persekolahan untuk anak-anak mereka pada masa akan datang. Apakah mereka tidak memikirkan hal yang sedemikian.

Yang anih juga ialah sikap dan tindakan pihak kerajaan yang tidak pun mengambil peduli tentang nasib golongan anak muda sebagi penghantar makanan ini. (Mungkin ada!). Apakah para menteri bertanggungjawab ataupun para wakil rakyat yang kononnya bertanggung jawab menjaga kesejahteraan rakayat memikirkan tentang masa depan anak muda yang sedemikian. Apakah mereka akan terus menerus dibiarkan menjadi penghantar makanan dengan tidak menampakan  sebarang daya usaha untuk memajukan kehidupan mereka.

Pasti ada jalan dan caranya untuk memajukan kehidupan mereka untuk keluar dari kehidupan sebagai penghantar makanan itu. Dan sesuatu yang patut disedari oleh kumpulan pemuda Melayu kita ialah tentang mengapa hampir keseluruhan penghantar makanan yang kelihatan di bandar-bandar terdiri dari orang Melayu, sehinggakan masih tidak kelihatan lagi kaum lain seperti kaum Cina.

Tugas penghantar makanan bukan suatu kerja yang tidak sepatutnya dilakukan. Bukan begitu. Ia sudah merupakan suatu industri yang sepatutnya diterokai bersesuaian dengan peredaran zaman Kurun ke 21. Pihak kerajaan, khususnya kementerian berkaitan sepatutnya mencari jalan tentang bagaimana perusahaan ini dapat dijalankan yang boleh mendatangkan pulangan besar kepada pelaksana penghantar makanan itu.

Mungkin sudah ada satu sistem penyelenggaraan yang dilakukan oleh penghantar makanan ini yang boleh memberikan faedah besar dan keuntungan kepada penghantar makanan itu sendiri dan tidak hanya menguntungkan pihak yang boleh mengeksloitasi kegiatan sedemikian. Mungkin. Dan sekiranya sudah wujud sistem sedemikian, tentu juga ada caranya untuk memajukan apa yang telah wujud. Peranan kerajaan pula lah untuk memantapkan sistem yang telah tercipta. Itupun sekiranya para menteri yang bertanggungjawab ingin dan berhasrat dan ingin meneroka idea-idea baru untuk melakukan perubahan.

Abuhassanadam

25 Disember 2020


No comments:

Post a Comment