Monday, January 25, 2021

 BERJAYAKAH UMNO MENGHADAPI KEMELUT…

Boleh disifatkan bahawa UMNO kini menghadapi keadaan paling getir dalam menentukan jatuh bangunnya parti keramat milik orang Melayu itu. Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa UMNO menghadapi keadaan paling menyukarkan untuk dia terus membangun dan tegak sebagai parti dalam erti kata yang sebenarnya.

Pengisytiharan Dharurat oleh DYMM Seri paduka Baginda YDP Agung atas nasihat Perdana Menteri sebenarnya membawa ‘malapetaka’ yang amat besar kepada UMNO dan mungkin akan ‘tenggelam’ sekiranya tersalah langkah para pemimpin yang mengemudikan UMNO kini. Apa tidaknya. Dengan pengisytiharan itu sudah memungkinkan UMNO tidak dapat mengadakan persidanagan agungnya untuk menentukan hala tuju parti berkenaan. Dan kebiasaannya di negara ini sekiranya ada ruang yang terluang, maka penentuan sikap dan pandangan akan terselit dan tercelah dalam keadaan sedemikian.

Belum pun beberapa hari pengisytiharan Dharurat itu telah kelihatan dan kedengaran suara-suara sumbang yang menyuarakan pandangan agar kepimpinan tertinggi diganti dan diambil alih oleh kepimpinan muda. Dan suara-suara sebegini tidak akan terhenti dengan begitu saja, malah ia akan berterusan apatah lagi ada tokoh-tokoh yang berperanan menghangatkan keadaan sedemikian. Apatah lagi apabila ’dedak’ berserakan di mana-mana. Bukankah dalam percaturan politik di Malaysia kini ‘dedak’ yang berperanan besar menentukan keadaan?

Perlu difahami bahawa UMNO tidak seperti UMNO ketika berkuasa memerintah negara. Kelihatan UMNO seolah-olah masih tegak seperti dulu tetapi roh dan perjuangan UMNO agak berubah berbanding dengan UMNO ketika berjuang menunutut kemerdekaan dulu. Perjuangan UMNO telah diasuh dengan suatu ikatan yang bukan berdasarkan perjuangan untuk membela orang Melayu dan Islam ( mungkin aku silap) tetapi hubungan dan ikatan ahli UMNO dengan para pemimpinnya telah diikat dengan wang dan dedak (mungkin juga aku tersilap!)

Ketika UMNO berkuasa para ahli UMNO dapat diikat dengan ’tali’ wang dan ringgit dan sememangnya para ahli UMNO tidak akan lari (disebabkan ikatan sedemikian) namun apabila ’ tali pengikat’nya sudah longgar atau sudah tidak ada lagi maka besar kemungkinannya UMNO akan terkulai layu sepertimana parti-parti lain seperti MCA, MIC dan Gerakan.

Sebagai perbandingan parti-parti dalam Pakatan Harapan ( PKR, DAP, Aamanah) akan terus hidup dan kukuh dan tidak mudah ’digoncang’ dan ’digoyang’ disebabkan perjuangan mereka bukan berasaskan dedak tetapi atas satu perjuangan yang kukuh. Walaupun ada usaha yang cuba menodai perjuangan PKR misalnya, namun ia masih tetap kukuh dan teguh. Buktinya dapat dilihat sokongan yang diberikan kepada DS Anwar Ibrahim. Walaupun berbagai usaha dilakukan untuk melumpuhkan perjuangan PKR namuntetap utuh kecuali pemimpin ’plastik’ yang tergoda dan ternoda dengan dedak-dedak yang berserakan.

Walaupun digambarkan dengan berbagai imej namun Pakatan Harapan terus yakin dengan perjuangan yang telah lama dilancar dan terus diperjuangkan. Pakatan Harapan seolah-olahbegitu yakin bahawa satu ketika nanti rakyat Malaysia akan sedar bahawa apa yang diperjuangkan oleh mereka dalam konsep Reform Agenda akan membuahkan hasil juga pada suatu ketika nanti. Berbanding dengan parti PAS yang seolah-olah begitu yakin dengan perjuangan mereka tetapi sebenarnya akan menghadapi suatu dilemma apabila berhadapan dengan PRU ke 15 sekiranya PAS terus bersama Perikatan Nasional dan UMNO.

Perjuangan tiga parti (UMNO, Bersatu dan PAS) belum teruji menghadapi PRU. Kini mereka rancank memikirkan tentang PRU yang akan dihadapi tetapi kurang memikirkan tentang berbagai masalah yang akan merentangi jalan-jalan yang berliku. Apakah UMNO dan PAS dapat bergabung dengan amanya sedangkan puluhan tahun kedua parti ini sentiasa menghadapi berbagai masalah dan berbalah antara satu sama lainApa yang berlaku di Terengganu yang menunjukkan keengganan UMNO untuk bekerjasama dengan PAS dalam PRU 15 akan datang sudah cukup untuk membuktikan bahawa ’persahabatn’ sedemikian tidak berpeanjangan. 

Sekiranya lurus dan ’licin’ jalan yang dihadapi tentulah Arwah Tuan Guru Nik Aziz begitu berhati-hati mengadakan hubungan dan kerjasama dengan UMNO. Malah Tuan Guru bersedia untuk bekerjasama dengan DAP atas keyakinan bahawa DAP lebih secocok dengan PAS atas dasar perjuangan untuk bangsa Malaysia. Sudah terbukti kegagalam sedemikian apabila pernah PAS bergabung dan bekerjasama dengan UMNO pada tahun 1978 dulu, namun ikatan kerjasama itu gagal juga.Mungkin pisang kali ini akan berbuah dua kali!

Persoalan yang perlu diselesaikan ialah dapatkah UMNO bertahan dan wujud seperti sediakala dalam menempuh keadaan yang penuh pancaroba ini. Sebagai seorang yang tersangat sayangkan UMNO aku tidak mahu UMNO tersungkur dalam kemelut yang dihadapi kini, namun berasaskan kepada pengalaman dan ’sepak-terajang’ para pemimpin kini maka keadaan sedemikian semacam tidak dapat diselamatkan. Bagi aku UMNO kini bukan merupakan UMNO sebelum 1980an dan ’jauh panggang dari api’ untuk dibandingkan dengan UMNO ketika menuntut kemerdekaan negara dahulu. Dan tidak juga UMNO sepertimana yang dipimpin oleh guru-guru Melayu yang betul-betul menghayati erti perjuangan untuk memajukan bangsa melayu dan agama Islam.

Aku tak yakin masih ada lagi hasrat dan perjuangan semacam itu dikalangan ahli UMNO kini. Mungkin ada. Tak ramai…

abuhassanadam

Padang Rengas

25 Januari 2021


No comments:

Post a Comment