KITA JAGA KITA –
JANGAN HARAP ORANG LAIN JAGA KITA…
Entah macam mana aku merasakan bahawa ’cogan kata’ di atas amat sesuai dengan keadaan yang dihadapi oleh masyarakat Malaysia kini. Apa tidaknya. Walaupun ada kedengaran tentang pertolongan yang ’berbagai-bagai’ yang kononnya dihulurkan oleh pihak berwajib (ekoran daripada penularan Covid 19 dan keperluan untuk menjalankan pembelajaran On-Line) namun rakyat di luar bandar yang memerlukan masih merasakan bahawa mereka diabai dan disisihkan daripada mendapat pertolongan.
Dua ’malapetaka’ yang betul-betul menguji kesabaran rakyat khususnya rakyat luar bandar ialah Covid 19 dan keperluan untuk menjalankan pembelajaran On-Line bagi pelajar-pelajar yang menghadapi peperiksaan SPM. Ditambah pula dengan limpahan banjir menokok tambah lagi kesusahan yang ada. Tambah dan menokok penderitaan itu ialah tentang kisah anak-anak terpaksa menghadapi peperiksaan SPM dalam keadaan yang amat mencabar.
Ada terdengar ’suara-suara’ dari pihak berwajib yang kononnya akan menghulurkan bantuan tetapi kadang-kadang bantuan sedemikian ’hilang’ entah ke mana. Ataupun mungkin bantuan ’ hilang’ di tengah jalan atau mungkin segala bantuan itu hanya sampai ke tangan saudara-mara pihak berwajib yang langsung tidak sampai ke tangan golongan yang memerlukan.
Dalam suasana negara yang sebegini ada juga pihak berwajib yang lebih mementingkan pembinaan bangunan dewan daripada menyediakan bantuan untuk membantu anak-anak ke arah persediaan peperiksaan. Kita pun kadang-kadang hairan melihatkan tujuan pihak tertentu ke arah sesuatu yang bukan suatu keperluan mendesak, demi untuk memajukan kehidupan rakyat.
Para pemimpin negara mungkin sibuk memberikan pertolongan kepada rakyat dalam keadaan yang terdesak kini terutama bagi penduduk di luar bandar. Namun begitu rakyat tidak begitu terasa adanya tangan dihulurkan dengan seikhlas-ikhlasnya untuk memberi bantuan. Mungkin bantuan itu ada dihulurkan tetapi tidak kelihatan dan tidak rasa bantuan sedemikian sampai ke pihak yang betul-betul memerlukan. Dan akhirnya rakyat terus merasakan bahawa ’kita jaga kita’ merupakan ’falsafah’ yang amat sesuai untuk diamalkan. Maknanya kita terpaksa jaga kebajikan kita dan tidak mengharapkan pertolongan dari orang lain apatah lagi wakil rakyat yang sepatutnya berusaha meringankan kehidupan rakyat. Kita jaga kitalah…..
Keadaan yang dialami negara kini memberikan kesan yang amat besar kepada rakyat di hari muka. Mungkin kesan dari apa yang berlaku tidak kelihatan dalam sekelip mata, namun kesan jangka panjangnya akan kelihatan pada masa akan datang.
Aku ingin memberikan contoh tentang suatu keadaan kesusahan yang dialami oleh masyarakat Melayu ketika dalam zaman penjajahan British. Walaupun ada perbezaan kesusahan dan penderitaan yang dialami oleh masyarakat Melayu kampung dengan keadaan zaman pendudukan British dari segi mendapatkan peluang pendidikan, namun boleh dijadikan ’sempadan’ agar jangan lagi orang Melayu terjerumus ke kancah sedemikian.
Maksud aku begini. Aku perhatikan ramai orang Melayu semakin kecewa samada yang berada di kampung atau yang berada di bandar dalam usaha untuk mendapatkan peluang pendidikan dalam suasana Covit 19 ini. Bukan anak-anak yang hendak mengambil peperiksaan sahaja yang semacam kecewa, tetapi ibu bapa sendiri bukan sahaja kecewa tetapi sudah sampai ke peringkat berputus asa. Keadaan sedemikianlah yang harus dijauhi dan hendaklah dijadikan cabaran oleh ibu bapa agar keadaan sedemikian tidak menghalang pencapaian cita-cita anak-anak.
Aku teringat akan suasana yang terpaksa dilalui oleh ibu bapa dalam zaman penjajahan British untuk menyekolahkan anak-anak. Ramai ibu bapa yang ’tewas’ dalam usaha memberikan pendidikan kepada anak-anak mereka disebabkan cengkaman kemiskinan. Kebanyakan ibu bapa ’tewas’ sebelum ’berjuang’. Maknanya ibu bapa Melayu sudah awal-awal mengaku kalah dalam hal menyekolahkan anak-anak pada ketika itu.
Tidak ramai orang Melayu pada ketika itu yang sanggup ’bertongkat paruh’ demi berkorban untuk kepentingan pelajaran anak-anak mereka. Ramai orang Melayu terus mengaku ’kalah’ dan ’tewas’ apabila ada diantara anggota masyarakat yang memperlekehkan usaha menghantar anak ke sekolah Inggeris misalnya. Orang Melayu tidak mahu berkorban demi pendidikan anak-anak pada ketika itu sebaliknya mereka sanggup ’bergolok-bergadai’ untuk perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah kepada mereka. Apatah lagi mereka akan terus menerima apa saja yang ’dinasihatkan’ oleh Tuan-tuan guru pada ketika itu yang sentiasa ’menasihatkan’ jangan menghantar anak-anak ke sekolah Inggeris takut-takut ’tergelincir’ iman di dada. Malangnya orang Melayu terus menerima ’nasihat’ sedemikian tanpa usul periksa.
Keadaan sebegini yang membimbangkan dalam keadaan orang Melayu menempuh pancaroba kehadiran Covid 19 ini. Tidak kurang orang Melayu dalam kesusahan samada di bandar atau di kampung. Terlalu ramai ibu bapa yang berada dalam keadaan buntu tentang bagaimana pelaksanaan pembelajaran On-Line anak-anak mereka sekiranya tidak ada perlatan untuk tujuan sedemikian.
Aku harap jangan ada ibu bapa yang tewas dalam hal sebegini. Cabaran sebegini harus diteruskan sebagaimana ibu bapa Melayu dalam zaman penjajahan menghadapi cabaran untuk menyekolahkan anak-anak di sekolah Inggeris walaupun perbelanjaannya begitu besar. Ibu bapa yang gigih dalam zaman penjajahan harus disanjung dan dipuja kerana dengan ’keberanian’ mereka anak-anak mereka berjaya menjadi manusia yang agak berguna kini. Anak-anak merekalah yang menjadi anak merdeka kini dan menjadi kebanggaan negara dan bangsa.
Abuhassanadam
Padang Rengas
26 Januari 2021
No comments:
Post a Comment