MEMYAMBUT KEHADIRAN RAMDHAN
( Aku tuiskan coretan ini semata-mata untuk mengingatkan sejarah lama yang berlakau dalam zaman-zaman yang tidak dilalui oleh ramai orang. Dan aku bersyukur kerana Allah masih memanjangkan umurku. Lantas aku coretan sejarah sosial silam untuk dinikmati oleh anak curu ku yang terkemudian. Dengan sebab itulah ini bukan cerita dongeng tetapi kisah dan sejarah yang betul dengan watak-watak yang dihidangkan ialah watak-watak yang pernah wujud di zaman itu. Nama watak-watak yang dihidangkan adalah nama yang betul – masih ada anak cucu watak berkenaan yang masih tinggal di Kampung Keroh Hilir)
Ramdhan hampir menjelang tiba. Ini bermakna umat Islam akan mula berpuasa. Walaupun merupakan saat berlapar dan dahaga namun bagi umat Islam ia merupakan satu bulan yang membahgiakan. Menyeronokkan dan bagi orang kampung kau ia seperti satu bulan yang penuh pesta.
Kenyataan sedemikian tentunya menghairankan terutama bagi mereka yang tidak pernah merasakan kenikmatan kehidupan di kampung pada tahun-tahun 1950an, 1960an. Dan yang aku paparkan ialah suasana kehidupan di kampung pada ketika berada pada bulan Ramadhan. Aku beranggapan bahawa bukanlah aku seorang yang berperasaan sedemikian, tetapi rakan-rakan sebaya aku juga merasakan demikian pada ketika itu.
Biar aku jangan berselindung ketika menceritakan keadaan mengalami saat berpuasa di kampung aku sekitar penghujung 1950an. Sengaja aku pilih ketika itu kerana untuk aku bayangkan keadaan kampung aku selepas negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Aku harapkan juga dengan pendedahan sedemikian dapatlah rakan-rakan aku ( yang masih ada merasa bahagia membaca coretan ini ) dan juga anak-anak yang ingin merasa dan mengetahui suasana pada ketika itu.
Nama kampung aku – Kampung Keroh Hilir. Terletak lebih kurang dua kilometer dari pekan Padang Rengas. Boleh dikategorikan sebagai desa pingitan. Memang ‘kampung’ betul. Dengan sebab itulah aku selalu membahsakan diri ku sebagai ‘Kampung boy – totok’. Dan aku tidak begitu fasih berbahasa Melayu (baku) melainkan aku amat selesa dengan menggunakan loghat Perak. Pekat!!
Berbalik kepada apa yang hendak aku bincangkan. Menyambut kehadiran Ramdhan di kampung aku. Aku terlintas untuk menulis tentang perkara itu disebabkan pada saat beginilah ( empat atau lima hari sebelum berpuasa) orang kampung aku memilih satu hari untuk membersihkan surau di kampung. Tak besar mana pun surau di kampung ku itu. Dan hanya ada 29 buah keluarga. Maknanya ada 29 buah rumahlah. Kesemua penduduk di kampung itu (kecil-besar-tua-muda ) aku kenal belaka. Dan apabila sampi hari untuk membersihkan surau, semua akan hadir. Anak kecil pun hadir. Ia merupakan satu pesta.Penuh dengan keriangan dan gelak ketawa.
Jikalau di teliti dari segi keperluan tenaga kerja untuk membersihkan surau itu, dua orang pekerja sudah memadai tetapi disebabkan keadaan dan suasana di kampung itu ‘memerlukan’ pekerja seramai itu maka ramailah yang datang. Dan berakhir sampai tengah hari juga yang disempurnakan dengan ‘berkelah’- jamuan makan.
“Berkelah’ maksudnya jamuan makan yang berselerak. Maknanya bukanlah seperti menghadiri jamuan khenduri. Hanyalah jamuan nasi dengan lauk-lauk yang dimasak di perkarangan surau berkenaan. Dan lauk-lauk yang dihidangkan juga amat sederhana mengikut kemampuan penduduk di sini. Namun begitu lauk yang dihidangkan adalah seperti Gulai pucuk paku, gulai nangka, gulai pucuk rebung, ikan bakar ( seperti Ikan Keli, Haruan, Puyu, Sepat ) yang diperolehi dengan banyaknya di petak sawah berdekatan dengan surau berkenaan.
Aku masih teringat peranan yang dimainkan oleh beberapa orang ‘tokoh’ yang menghidupkan suasana di kampung ku ini. Encik Kontak boleh dikira sebagai tonggak di kampung ini yang berperanan sebagai tuan Imam yang peranan menjadi imam setiap waktu Maghrib dan Isyak. Pak Din Kayat adalah sebagai Pembantu Imam tetapi beliau jarang-jarang ada Bersama disebabkan beliau bertugas di Kuala Kangsar sebagai Tukang Teket Bas. Abang Zaidun adalah sebagai orang muda yang bertanggung jawab dalam hal-hal anak muda di kampung ku. Sedap suaranya apabila mengaji. Agaknya ramai juga anak dara kampung yang menyimpan perasaan terhdap Abng Zaidun. Orang nya handsoome juga!
Pak Ajid ( Aziz) adalah sebagai ‘pillar’ yang bertanggung jawab ‘menegakkan’ surau ini bersama dengan isterinya Wan Timah (Fatimah). Pak Ajid lah yang menghidupkan surau di kampung ini. Pendek kata sekiranya tidak ada Pak Ajid pada hari membersihkan surau berkenaan, maka besar kemungkinan akan ditangguhkan pada hari yang lain. Pak Ajid juga bertanggungjawab untuk memasak bubur lambuk ( kami panggil kanji) untuk berbuka puasa nanti. Dan upah yang diterima oleh Pak Ajid adalah 0.50sen setiap hari. (Aku masih ingat lagi ‘upah’ ini dimana aku sendiri yang bertanya Pak Ajid dan itulah jawapannya). AlFatihah untuk disedekahkan kepada rohnya.
Selesai ‘berkelah’ makan-makan, ramai-ramai kami akan berehat, bersantai di bawah surau sambil menikmati udara segar yang datang dari Gunung Pondok. Aku tidak dapat membayangkan keindahan pada ketika itu tentang kedudukan surau kami yang terletak berhampiran dengan sawah padi yang terbentang ketika padi menguning dan amat sedap mata melemparkan pandangan kearah sawah padi yang terbentang berlatarbelakangkan Gunung Pondok ( yang kini hampir musnah dimakan oleh kemajuan zaman)
Semacam puas hatilah penduduk kampung aku setelah menjalankan tugas membersihkan surau dan hanya menanti sampainya Ramadhan yang ditunggu-tunggu.
Abuhassanadam
1 April 2022