MENGHADAPI SPM - DULU DAN KINI
Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sudah hampir tiba. Dan aku amat faham tentang kesibukan yang akan dialami oleh para pelajar kita. Bukan sahaja pelajar yang akan menduduki peperiksaan berkenaan tetapi ibu bapa juga sibuk menyediakan ‘persiapan’ yang sesuai untuk anak menduduki peperiksaan berkenaan dan dengan harapan kesan daripada apa yang dilakukan nanti akan mendatangkan kebaikan untuk anak di masa hadapan.
Dalam suasana yang sebegini teringat aku tentang suasana aku dan rakan-rakan aku menghadapi peperiksaan SPM ( dulu dipanggil Senior Cambridge) puluhan tahun yang lampau. Apakah ‘nasib’ sebagaimana yang kami (budak kampung) lalui pada tahun-tahun 1950an itu masih sama keadaannya pada tahun 2022 atau dengan lunak disebut sebagai ‘awal kurun ke 21’. Jikalau ada perubahan, apakah bentuk perubahan yang telah berlaku yang telah mengubah nasib anak bangsa. Dan sejauh mana perubahan itu telah berlaku. Apakah dalam suasana negara merdeka, telah mengubah sebenar-benarnya nasib orang Melayu. Atau apakah masih ‘di takuk lama’?
Aku amat yakin bahawa sebenarnya ‘PENDIDIKAN’ lah yang telah mengubah ‘nasib’ aku dan adik aku dan disebabkan ‘kecerdikan dan kepintaran dan kesedaran’ arwah bapak kamilah yang telah menjadikan kami ‘manusia berguna’ (rasa-rasanya begitulah!). Tidak ramai ibu bapa yang memeiliki ‘pandangan’ serupa ibu bapa aku pada ketika itu yang sanggup ‘berkorban apa saja’ demi memberikan Pendidikan pada anak-anak. Tidak ada contoh yang hendak diikuti oleh mereka (orang kampung ) pada ketika itu.Maksud aku tidak ada ‘tokoh’ yang mereka boleh contohi yang menunjukkan bahawa Pendidikan merupakan ‘tanaman modal’ yang amat berguna pada kehidupan anak-anak pada masa hadapan.
Lantas ‘terbiarlah’ anak-anak kampung ‘melayari’ nasib masing-masing tanpa ada haluan yang boleh menjamin kehidupan mereka pada hari-hari yang mendatang.
Menjelangnya peperiksaan SPM kini terlintas juga difikiran aku bahawa apakah nasib anak kampung masih sama dengan nasib sebagaimana yang aku lalui ketika menghadapi peperiksaan SPM pada suatu ketika dahulu. Yang pastinya ialah bahawa anak-anak aku dan cucu aku tidak menempuh pengalaman yang sama seperti aku ketika menduduki peperiksaan SPM dulu. Syukur. Kesan dan ekoran daripada ‘sumbangan’ Pendidikan yang diberikan oleh datuk nenek mereka kepada aku telah dapat aku mengubah nasibku dan nasib anak-anak dan cucuku.
Berbalik kepada persoalan yang ingin aku ketengahkan ialah apakah masih ada ( atau masih ramai lagi) pelajar-pelajar yang ingin menduduki peperiksaan SPM terpaksa melalui pengalaman pahit yang berbagai-bagai untuk menduduki peperiksaan berkenaan. Biarlah ‘pengalaman pahit’ sebagaimana yang dilalui oleh generasi 1950an, 1960an itu berlalu dan janganlah lagi hendaknya ‘berulang’ peristiwa sedemikian. Itulah sepatutnya hadiah kemerdekaan yang paling berharga diberikan kepada anak bangsa.
Malangnya kita masih lagi mendengar rintihan dan keluhan anak-anak kampung yang kurang bernasib baik mengalami berbagai pengalaman pahit ketika menghadapi pelajaran dan khususnya apabila berhadapan dengan peperiksaan SPM. Apatah lagi apabila ‘bergelut’ dengan pendemik yang melanda negara pada ketika ini. Telinga kita sentiasa ‘dipantak’ dengan kisah-kisah sedih yang dihadapi oleh anak-anak kampung ( yang ditekan kemiskinan) ketika menjelangnya peperiksaan SPM .
Yang sedihnya para pemimpin negara sentiasa meletakkan kesalahan kepada rakyat yang menyebabkan timbulnya keadaan sedemikian. Rakyat yang dipersalahkan apabila anak-anak mereka gagal dalam pelajaran. Betul. Tetapi apakah semua kesalahan diletakkan kepada bahu rakyat. Apakah setelah berpuluh-puluh tahun negara ini mencapai kemerdekaan, rakyat di luar bandar masih belum terbela.
Sampai masanya pengundi di Johor, khususnya yang tinggal di luar bandar memikirkan cabaran ini. Aku merasakan apa yang sedang dihadapi oleh pengundi di Johor adalah satu cabaran. Janganlah sentiasa diperbodohkan dengan kata-kata manis yang kesannya akan merugikan diri sendiri.
Buatlah keputusan yang bijaksana.
Abuhassanadam
2 Mac 2022
No comments:
Post a Comment