HINA BENAR KAH MENGGUNAKAN BAHASA MELAYU?
Mungkin baru disedari tentang pentingnya kepimpinan negara memberikan penekanan tentang pentingnya penggunaan Bahasa Melayu (Bhasa Kebangsaan) di medan perbincangan antara bangsa. Hal sebegini sepatutnya disedari oleh kepimpinan negara sudah lama. Mungkin 'sedarnya' sudah lama tetapi tidak diamalkan dan mungkin juga tidak dipedulikan. Mungkin!
Sebenarnya memang sudah agak lama aku 'mengidam' untuk menulis isu tentang orang Malaysia yang begitu gemar menggunakan bahasa Inggeris. Sebentar tadi betul-betul menyebabkan aku terpanggil untuk menulis mengenainya. Kata orang putih, ' it was the last straw that broke the camel's back' (jutaan maaf kerana menggunakan peribahasa Inggeri disebabkan ketiadaan peribahasa Melayu untuk menjelaskan keadaan sedemikian).
Seorang pegawai tinggi kerajaan Malaysia telah menggunakan Bahasa Inggeris untuk menjelaskan tentang sesuatu. Yang menyebabkan aku hairan ialah mengapa si pegawai menggunakan Bahasa Inggeris sedangkan dia bercakap memberi penjelasan kepada majoriti orang Melayu. Apakah si pegawai tidak boleh berbahasa Melayu?. Mustahil. Apakah susah benar menjelaskan sesuatu dalam Bahasa Melayu disebabkan kebanyakan istilah yang digunakan oleh bank menggunakan Bahasa Inggeris. Apakah begitu keadaannya?
Semenjak TS Syed Nasir Ismail masih hidup dan bermulanya beliau menyandang jawatan sebagai Pengarah Dewan Bahasa Dan Pustaka beliau sudah mula menyarankan agar digunakan Bahasa Melayu secara meluas. Kemudian hampir setiap masa para pemimpin kerajaan diseru agar digunakan Bahasa Melayu dalam penyampaian di media eletronik khususya supaya dapat dilihat tentang amalannya. Seruan dan saranan itu semacam tidak dipedulikan oleh kebanyakan pemimpin.
Ramai dikalangan pemimpin kerajaan masih menggunakan Bahasa Inggeris semacam satu kehebatan dan kebanggaan sekiranya menggunakan Bahasa Inggeris dalam menyampaikan sesuatu. Atau apakah mereka merasa terhina sekiranya menggunakan Bahasa Melayu. Tetapi yang anihnya ialah kebanyakan mereka sebenarnya tidak fasih berbahasa Inggeris pun berdasarkan cara mereka menggunakan perkataan dan struktur ayat yang lintang pukang. Tentulah amat memalukan juga perbuatan sedemikian, namun mereka masih mahu berbahasa Inggeris.
Berbanding dengan sikap kaum Cina yang terdidik dari Indonesia. Aku kagum dan terperanjat apabila berhadapan dengan suatu keadaan di mana beberapa orang pemuda Cina berbual sesama mereka menggunakan bahasa Indonesia. Bagi aku itu merupakan pencapaian yang paling hebat sistem pendidikan di Indonesia yang berjaya memertabatkan Bahasa Indonesia dikalangan rakyatnya yang juga berbilang kaum.
Aku tak faham dan sentiasa mencari jawapan mengapa penduduk Malaysia (Melayu ke, Cina ke, India ke) amat suka menggunakan Bahasa Inggeris ataupun tidak suka berbahasa Melayu. Mungkin agak keterlaluan sekiranya aku mengeluarkan kenyataan begini. Tetapi pada umumnya itulah hakikatnya jika diperhatikan sikap orang Malaysia.
Bahasa Inggeris amat penting sebagai bahasa antarabangsa. Aku setuju. Tetapi malangnya ramai juga pegawai kita yang bertugas sebagai diplomat di luar negara tidak fasih berbahasa Inggeris yang menyebabakan orang dari negara lain memandang rendah ke atas kebolehan dan kemampuan pegawai kita. Ini merupakan masalah yang tidak didedahkan secara meluas oleh kepimpinan negara. Disamping itu tidak ramai pemimpin politik di negara kita ( yang terdiri dari para menteri dan timbalan menteri ) yang fasih menggunakan bahasa Inggeris. Dengan demikian tentulah terdapat kelemahan yang amat ketara sekiranya mereka menggunakan hujjah-hujjah mereka.
Harus disedari bahawa kepimpinan negara kita amat lemah dalam banyak hal. Sepatutnya sudah lama harus disedari tentang kepincangan demikian dan sudah lama harus diperbetulkan. Tidak hairanlah jika dibandingkan antara para diplomat ‘zaman dulu’ dengan para diplomat ‘zaman kini’ maka prestasi orang dulu-dulu jauh lebih hebat.
Kesimpulannya dalam hal sebegini, ‘Bahasa Melayu dijunjung Bahasa Inggeris ( dan Bahasa-bahasa lain) dikelek.
Abuhassanadam
28 Februari 2022
No comments:
Post a Comment