Saturday, February 12, 2022

 MENGAPA ANWAR IBRAHIM MENYERTAI UMNO


Peristiwa sedemikian berlaku pada awal tahun 1982, ketika beliau masih muda remaja. Ramai yang memuji Dr Mahathir ketika itu kerana kejayaannya  menarik Saudara Anwar Ibrahim menyertai UMNO. Anwar yang dikatakan sebagai pemimpin yang berpegang teguh kepada prinsip perjuangan tentunya tidak akan mudah dipujuk rayu.


Zaman pentadbiran Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri, Anwar pernah ditawarkan beberapa jawatan penting tetapi kesemuanya ditolak dengan berbagai alasan. Tetapi apabila ‘dipelawa’ oleh Dr Mahathir, beliau terus memikirkan secara positif.


Peristiwa ‘kejayaan’ Dr Mahathir itu dapat disamakan atau hampri-hampir sama dengann kejayaan Presiden Ramon Magsaysay (Filipina) memujuk Lui Taruc, pemimpin Hukbalahap yang menentang pemerintah di Filipina disekitar tahun 1940an dan 1950an. Perbezaannya ialah saudara Anwar sebagai pemimpin yang berlandaskan Islam, sebaliknya Lui Taruc adalah pemimpin Hukbalahap yang asas perjuangannya adalah Komunisme.


Pemimpin-pemimpin Filipina sebelum Magsaysay telah cuba menawan hati Taruc dan kesannya gagal. Namun tindakan Magsaysay telah Berjaya menawan hati Taruc dan bersedia pula untuk makan bersama dan terus menghentikan perjuangan Hukbalahap.


Penyertaan Anwar dalam UMNO pada ketika itu bukanlah disebabkan oleh individu yang mempengaruhinya. Mengikut sumber yang tertentu, Tun Abdul Razak, Datuk Asri Haji Muda ( Presiden PAS ketika itu ) telah menemui dan memujuknya tetapi hampa belaka. Berdasarkan kepada hakikat ini, jelaslah bahawa Saudara Anwar tidak mudah terpengaruh  dengan pujukan pemimpin-pemimpin tetapi sebaliknya akan tertarik dengan apa yang dilakukan atau yang akan dilaksanakan oleh pemimpin-pemimpinn berkenaan yang berkemungkinan boleh mempengaruhi pendiriannya.


Mungkin pada ketika itu Anwar terpengaruh dengan kepimpinan Dr Mahathir dan sikapnya yangsentiasa menggalakkan agar orang Islam sentiasa bekerja keras untuk mencapai kejayaan. Tindakan Dr Mahathir yang cuba menghapuskan rasuah dan mengharapkan sebuah kerajaan yang bersih, disamping berusaha menghapuskan kemiskinan dan mengurangkan jurang antara antara yang miskin dengan yang berada adalah merupakan asas-asas perjuangan Islam. Hakikat sedemikianlah yang mendorong Saudara Anwar menyertai UMNO ( pada ketika itu).


Mungkin tidak pernah wujud dalam sejarah pentadbiran di Malaysia seorang pemimpin tertinggi dengan lantang mengkeritik pemimpin-pemimpin British seperti yang dilakukan oleh Dr Mahathir. Tindak tanduk Dr Mahathir terhadap British itu telah membuka mata setengah pemimpin dunia. Dr. M pernah melahirkan fikirannya dalam bukunya, ‘The Malay Dilemma’ bahawa penjajahan Britishlah yang menjadi punca utama orang Melayu dalam dilemma, menyanggah pandangan British yang seringkali menempelak mengatakan bahawa orang Melayu malas.


Jadi mengikut Dr.M, kalua British boleh menempelak bangsa kita dan dengan lantang pula, mengapa pula kita tidak boleh berbuat demikian. Mengapa kita (orang Melayu) dengan mudah dikeritik apabila menyatakan sesuatu mengenai British sedangkan yang diperkatakan itu berlandaskan fakta sebenarnya.


Dasar dalam dan luar negara yang dilaksanakan oleh Dr. M agak menyimpang dari dasar yang diketengahkan oleh ketiga-tiga pemimpin negara yang lalu, terutamanya dasar yang tidak berkiblat ke Barat. Sebaliknya dasar yang dipopularkan oleh Dr. M ialah ‘Dasar Pandang ke Timur’.


Tindakan Perdana Menteri yang agak menggemparkan dunia ialah keengganannya menghadhir persidangan negara-negara Komanwel. Walaupun timbul kecaman dan kutukan dari negara-negara lain (yang menganggotai Komanwel) terhadap sikap Perdana Menteri, terutama dari Australia, namun Dr M tetap berkeras dan sentiasa berpaut pada prinsip perjuangannya.


Melihatkan keadaan sedemikian mungkin Saudara Anwar merasakan perjuangan dari luar tidak mendatangkan apa-apa kesan seperti yang telah dialaminya semasa menjadi Presiden ABIM dan sebaliknya idealisme telah diperjuangkan juga oleh Dr M dan menampakkan kesan positif. Jadi kemasukannya dalam UMNO tidak bererti bahawa beliau telah mengorbankan prinsip perjuangannya malah telah menbambahkan kukuh lagi.


Malangnya, ‘diharapkan panas sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari’


Abuhassanadam

12 Februari 2022


( Rujuk Berita Minggu, dengan tajuk “PIMPINAN 2M YANG MEMIKAT’ bertarikh 11 April 1982) – oleh Abu Hassan Adam





No comments:

Post a Comment