HANYA SEKATI DAGING
Setiap kali diadakan pilihanraya di Malaysia pastinya aku teringat dan terpancar di fikiran aku tentang cara-cara berkempen yang dijalankan oleh calon-calon yang bertanding pada ketika itu. Tentulah amat berbeza cara perayu undi pada ketika itu berbanding dengan yang berjalan sekarang.
Budaya ‘pilihanraya’ baru saja diperkenalkan pada ketika itu, tentang suasana pilihanraya yang akan aku perkenalkan. Baru saja mencapai kemerdekaan. Tahun-tahun 1960an dan awal 1970an. Jadi sudah tentulah rakyat di Malaysia pada ketika itu amat asing dengan proses pilihanraya yang diadakan. Dan yang pastinya ialah UMNO seolah-olah memonopoli pemikiran rakyat (Melayu) pada ketika itu walaupun ada parti PAS yang cuba memepengaruhi pemikiran orang Melayu namun tidak begitu berkesan walaupun ada kejayaannya.
Yang akan aku kisahkan dalam rencana ini ialah tentang cara berkempen yang dijalankan oleh calon untuk memenangi hati rakyat. Ini cerita benar yang aku saksikan dengan mata kepala aku. Cerita dan kisah seorang wakil rakyat dari UMNO yang berkempen dan mempengaruhi orang kampung aku – Kampung Keroh Hilir, Padang Rengas, Perak.
Ini kisah seorang calon pilihanraya yang bernama Encik Shafie bin Mat Saman. Hebat orangnya. Berkempen dalam pilihanraya dalam tahun-tahun 1960an atau awal 1970an di Kawasan Padang Rengas. Dan yang aku pasti, Encik Shafie Mat Saman bukan orang Padang Rengas tetapi aku difahamkan beliau berasal dari Kawasan Manong, Kuala Kangsar tetapi semacam sebati dengan orang Padang Rengas. Beliau disukai oleh orang kampong persekitaran Padang Rengas.
Masih aku terbayang dimataku bagaimana Encik Shafie mempengaruhi dan berkempen untuk menawan hati Opah aku -Alang Halimah. Aku kisahkan kisah ini untuk menunjukkan kepada anak muda kini tentang teknik dan berbagai cara berkempen menawan hati pengundi.
Encik Shafie pasti akan singgah sebentar di rumah aku sekiranya dia nampak yang Opah aku berada di muka pintu rumah. (Rumah kampung dimana penghuninya sentiasa berada di depan pintu – untuk mendapatkan fresh air agaknya). Tak payah diundang. Dia terus manjat tangga dan terus duduk disebelah Opah aku. Dan secara kebetulan pada ketika itu Opah sedang ‘merojak’ sirih, makanan selingan orang kampung pada ketika itu.
Encik Shafie tanpa diundang terus makan sirih yang ‘dirojak’ oleh Opah.
“Sedap sirih yang dirojak oleh Wan Alang’ katanya. Wan Alang adalah panggilan untuk Opah aku.
Opah hanya tersenyum menerima pujian. Encik Shafie akan terus bersembang dan bersembang dengan Opah tanpa meminta Opah ‘memangkah’ kapal layar, symbol parti UMNO (Perikatan) pada ketika itu. Tidak ada sogokan wang dihulurkan. Tidak ada. Mungkinlah jikalau ada pun ‘rasuah’ Encik Shafie kepada Opah aku ialah dalam bentuk pemberian satu kati daging kerbau menjelang hari raya. Tidak pun pernah dianggap sebagai sogokan rasuah.
Teknik sedemikian ( berbaik-baik dengan pengundi) yang digunakan pada ketika itu. Mungkin prinsipnya ialah, ‘ buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali’. Semacam sudah tertanam perasaan kasih saying antara pemimpin dengan pengikut yang amat sukar untuk ‘diceraikan’ pada ketika itu. Hubungan mesra antara pemimpin-pengikut terus menerus dilakukan dan tidak hanya dilakukan pada musim pilihanraya semata-mata.
Kaedah sedemikian harus dipelajari oleh pemimpin masa kini.
Abuhassanadam
21 Februari 2022
No comments:
Post a Comment