Saturday, October 12, 2013

SYARATNYA BERAPA HABUAN AKU DAPAT?

SYARATNYA BERAPA HABUAN AKU DAPAT?

Sayup-sayup aku dapat khabar yang para perwakilan UMNO akan membuang undi memilih calon-calon mereka pada peringkat tertinggi hari ini. Walaupun ramai pemimpin yang mengatakan bahawa pemilihan ini tidak akan ‘memecah-belahkan’ UMNO, namun ia merupakan persoalan ‘hidup-mati’ juga bagi mereka yang bertanding. Ini berkaitan dengan soal perut. Soal kenyang ke tidaknya. Sekiranya menang dalam pertandingan nanti maka sudah terbayang akan ‘kekenyangan’ yang akan menjelma. Tidak pula bermakna yang akan tewas nanti akan menjadi ‘lapar’ Tidak. Sebab calon yang bertanding kini sememangnya sudah ‘kenyang’ belaka. Yang diharapkan ialah agar lebih ‘kenyang’ sekiranya menang dalam pertandingan nanti.

Apa pula kriteria yang seharusnya dimiliki oleh seseorang calon itu untuk membolehkan dia dipilih? Tegasnya, mengapa seseorang itu patut dipilih. Para perwakilan UMNO harus tahu dan sedar tentang hal ini, sebab merekalah yang memilih. Dan tanggungjawab mereka bukan ringan juga untuk membuat penentuan ini. Maklumlah yang dipilih oleh mereka akan menjadi pemimpin negara. Dan bukan setakat pemimpin UMNO sahaja. Pemimpin yang mereka akan pilih nanti pastinya pemimpin yang boleh diterima dan sesuai untuk mentadbir sebuah masyarakat Malaysia yang terdiri dari berbagai kaum. Sungguhpun kemunculannya sebagai pemimpin berasaskan tiket dan sokongan orang Melayu tetapi akhirnya akan juga merupakan pemimpin Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan dll.

Kriteria yang digunakan oleh pemilih untuk memilih seorang pemimpin kini tentulah berbeza dengan kriteria yang digunakan pada zaman-zaman kemerdekaan. Aku teringat pada zaman-zaman awal tahun 60an ketika diadakan mesyuarat untuk memilih AJK masjid di kampung aku. Setahun sekali. Ketika itu aku masih kecil tetapi agak faham suasana mesyuarat, walaupun kehadiran aku di situ hanya sebagai ‘pemerhati’.

Apabila aku kenangkan kembali suasa mesyuarat AJK masjid di kampung aku, banyak perkara yang boleh dimenungkan yang agak berbeza dengan suasana kini. Misalnya,

·      Terlalu sukar bagi orang kampung  untuk mencari pengerusi masijid. Ini tidak pula bermakna yang kampung aku ketandusan orang yang berkebolehan. Ada. Bolehlah dijadikan pemimpin setakat untuk menjadi pengerusi masjid. Soalnya ialah mereka tidak mahu menonjolkan diri. Dilantik pun tidak mahu menerima lantikan itu. Mungkin mereka merasakan bahawa mereka tidak layak untuk jadi pemimipin.
·       Keadaan sebegini tentulah berbeza dengan keadaan sekarang di mana, terdapat  ‘tokoh-tokoh’ yang berebut-rebut untuk menjadi ketua dan pengerusi masjid. Ada terdapat ‘pemimpin-pemimpin’ berkenaan terdiri dari mereka yang jarang-jarang menjejakkan kaki di masjid. Apatah lagi mempunyai ‘kelulusan’ yang sesuai untuk menjadi pengerusi masjid.
·      Arwah bapak aku adalah Bendahari masjid buat sekian lama. Kebiasaannya beliau akan menang tak bertanding. Puas beliau menolak supaya jangan dipilih semula. Namun setiap kali mesyuarat, beliau akan dipilih semula. Sebulat suara. Sehinggalah pada suatu ketika dimana aku terpaksa merayu kepada ahli kariah masjid agar arwah dilepaskan dari jawatan Bendahari. Yang agak uniknya mengenai arwah bapak aku ialah, setiap kali diadakan mesyuarat tahunan masjid, beliau akan membentangkan perbelanjaan masjid untuk setahun. Apa yang dilakukannya ialah dengan membuka saputangan ( yang sudah lusuh) yang berisi wang masjid di khalayak ramai. Sambil berkata, ‘ kiralah….’. Sememangnya tidak pernah ‘short’ walau satu sen pun. Malah wang yang tersimpan semenjak beberapa tahun lepas masih ada dalam saputangan itu. Wang yang asal…….

Sengaja aku ketengahkan senario berkenaan untuk dibandingkan dengan keadaan kini. Keadaan masyarakat Melayu ‘Baru’ konon!. Terutamanya orang Melayu yang menjadi ahli UMNO. Tentulah sudah tidak terdapat lagi agaknya manusia yang tidak mahu jadi pemimpin UMNO seperti  yang akugambarkan itu. Dan tentulah tidak ada lagi manusia yang bersifat amanah seperti mana yang dimiliki oleh Nabi Muhammad dahulu. Mungkin jauh panggang dari api.

Rata-rata kita dapat ‘manusia’ kini sudah berani melanggar tatasusila dan adat sopan masyarakat Melayu. Dan yang menghairankan ialah kebanyakannya sudah mengenepikan ajaran agama mereka, walaupun mereka sering mennasihati pengikut mereka agar sentiasa patuh kepada ajaran Islam!....

Jutseru apakah agaknya kriteria yang digunakan oleh para perwakilan UMNO untuk memilih pemimpin mereka. Apakah mereka akan memilih pemimpin mereka berdasarkan kelulusan yang ada pada calon berkenaan? Atau mereka akan membuat pilihan berdasarkan kepada sifat amanah, jujur, ikhlas yang ada pada calon-calon. ( Mungkin terlalu sukar agaknya bagi mereka untuk mencari calon yang sedemikian).

Yang pastinya mungkin para perwakilan akan memilih calon-calon yang boleh memberikan ‘kesenangan’ kehidupan mereka kelak. Mereka mengharapkan calon yang mereka pilih nanti boleh memberikan ‘perlindungan’ dan boleh jadikan ‘tempat bergantung’. Para perwakilan kini sedang ‘mengkaji’ dan ‘menghitung’ senario berkenaan. Bagi mereka agaknya itulah kriteria yang amat penting. Mungkin mereka tidak peduli samada pemimpin yang mereka akan pilih nanti terdiri dari mereka yang telah ‘merompak’ ratusan juta ringgit wang negara yang diagih-agihkan kepada sanak saudara nya. Mereka juga tidak peduli sekiranya pemimpin yang mereka pilih nanti terdiri dari manusia yang zalim, bongkak, tidak berperkemanusiaan. Jauh sekali agaknya  pertimbangan para perwakilan untuk memilih pemimpin yang berpegang pada prinsip Islam yang sebenar yang segala tindak tanduknya sentiasa berlandaskan prinsip Islam.  Itu mereka tidak peduli. Mungkin…..

Mungkin juga agaknya yang lebih penting bagi mereka ialah persolan, “ Berapakah agaknya habuan yang aku dapat?.......”


abuhassanadam
12 Oktober 2013






Friday, October 11, 2013

MALAYSIA BUKAN HANYA MILIK MELAYU

MALAYSIA BUKAN HANYA MILIK MELAYU

Kita dapat rasakan betapa susahnya ‘orang tua’ kita dulu-dulu merangka untuk mendapatkan kemerdekaan negara daripada British. Berbagai-bagai syarat dikenakan oleh British untuk mengelak daripada memberikan kemerdekaan kepada kita. British telah meletakkan satu syarat yang pada pandangan British ketika itu amat sukar dicapai oleh kita, tiga kaum terbesar di Malaysia ia itu Melayu, Cina dan India ia itu ketiga-tiga kaum perlu bekerjasama untuk mencapai kemerdekaan. British tidak terfikr langsung yang ketiga kaum ini boleh bersatu di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman, Tan Cheng Lock dan Sambanthan. British tidak terfikir langsung yang ketiga-tiga kaum ini boleh ‘tidur sebantal dan mimpi yang sama’.

British sengaja meletakkan syarat bahawa selagi  ketiga-tiga kaum terbesar ini tidak bersatu, maka kemerdekaan Tanah Melayu tidak mungkin diberikan oleh British. British sengaja meletakkan syarat itu kerana British telah merancang pada peringkat awal pemerintahannya di Tanah Melayu supaya ketiga-tiga kaum ini mustahil dapat bersatu dan berkerjasama. Menjalankan dasar ‘pecah dan perintah’nya.

Bagaimana boleh orang Melayu yang rata-ratanya tinggal di kampung dapat bersatu dengan orang Cina yang kebanyakannya tinggal di bandar dan di kawasan lombong bijih timah. Tentu sekali tidak mungkin. Apatah lagi untuk menyatukan kaum India yang kebanyakannya tinggal di kawasan  ladang-ladang getah kepunyaan British. Tentu sekali tidak mungkin dapat bersatu.

Namun berkat usaha ikhas yang dijalankan oleh ‘orang tua’ kita, maka ketiga-tiga kaum terbesar di Tanah Melayu ini dapat disatukan. Sehaluan. Berjuang untuk memerdekakan negara ini. Sehaluan berjuang untuk menghalau penjajah British dari negara tercinta ini.

Penjajah British seolah-olah tergamam melihatkan perkembangan kerjasama yang dilakukan oleh ‘orang tua’ kita. Mereka berjaya meyakinkan pihak British bahawa sememangnya negara ini dimiliki oleh tiga kaum terbesar – Melayu, Cina dan India. Walaupun tidak dinafikan yang kaum Melayulah merupakan terasnya. Sudah ditakdirkan begitu walaupun tidak dapat dinafikan bahawa itu sebenarnya ekoran daripada tindakan British.

British terpaksa menerima hakikat bahawa sebenarnya Melayu, Cina dan India telah bekerjasama untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu berdasarkan kepada beebrapa perkembangan politik yang berlaku ketika itu.

·      British menguji kerjasama UMNO-MCA dengan menganjurkan pilihan raya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur pada bulan Februari 1952. Keputusannya UMNO-MCA memenangi 9 daripada 12 kerusi yang dipertandingkan. Membuktikan kerjasama itu berjaya.
·      Penjajah British menguji lagi kerjasama tiga kaum di Tanah Melayu pada ketika itu dengan mengadakan pilihan raya negeri pula pada tahun 1954. Parti yang mewakili kaum terebesar memenangi lagi dengan 226 daripada 268 kerusi yang dipertandingkan. MIC menyertai Perikatan selepas ini.
·      Penjajah British menguji lagi kerjasama tiga kaum terbesar ini dengan  mengadakan pilihan raya Majlis Perundangan Persekutuan pada 27 Julai 1955. Keputusannya Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan.

British tidak mempunyai alasan untuk menolak tuntutan kemerdekaan daripada tiga kaum terbesar di Tanah Melayu pada ketika itu. Dan menunjukkan dengan jelas bahawa sememangnya tiga kaum ini yang berjuang bersama-sama mendapatkan kemerdekaan negara.

Dan jangan dilupakan juga bahawa sejarah kerjasama antara kaum ini telah dimulakan oleh Dato Onn Jaafar dan Tan Cheng Lock apabila mereka menubuhkan Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (Communities Liason Committee ) pada bulan Januari 1946 di Pulau Pinang. Maknanya usaha tiga kaum ini telah bermula pada tarikh itu.

Persoalan yang aku ingin kemukakan pada kali ini ialah apakah usaha murni ‘orang tua’ kita yang dimulakan enam puluh tahun yang lalun akan kita persiakan begitu saja. Aku bertanya begitu disebabkan ternampak semacam satu ‘keghairahan’ antara pemimpin kita kini untuk kembali memecah-belahkan kaum-kaum terbesar di negara ini yang sudah sekian lama berpadu. Sudah timbul semacam suatu ‘keseronkan’ pula  bagi setengah pemimpin kita untuk mengadu-domba antara satu kaum dengan satu kaum yang lain.

Yang menghairankan aku ialah para pemimpin (besar dan gah ) yang tidak bertanggungjawab ini yang menimbulkan angkara sedemikian sedangkan rakyat bawahan terpaut rapat. Kenyataan-kenyataan yang berbau perkauman yang dikeluarkan memberikan bayangan yang pemimpin-pemimpin ini amat tidak bertanngungjawab. Sewenang-wenangnya menyatakan sesuatu yang kadang-kadang menyentuh perasaan si pendengar.

Apakah mereka ini tidak terfikir bahwa kata-kata mereka itu ‘menghiris’ perasaan si pendengar?. Apakah tidak ada langsung perasaan ‘empathy’ mereka terhadap perasaan yang mendengar. Malangnya yang bersikap demikian adalah terdiri daripada pemimpin atasan di negara ini. Mereka lupa bahawa tindakan mereka itu diperhatikan oleh rakyat terbanyak, khususnya generasi muda dan kanak-kanak.

Kadang-kadang aku perhatikan bahwa apa yang diperkatakan oleh mereka tidak sepertimana dengan apa yang dilakukan. ‘Cakap tak serupa bikin’. Mereka menyeru tentang perpaduan tetapi dalam masa yang sama mereka ‘menganjurkan’ perbalahan.

Kegiatan sedemikian seharusnya dibendung segera untuk mengelakkan dia menular. ‘Nasi seharusnya tidak menjadi bubur’. ‘Retak jangan dinantikan belahnya’. Fikirkan tentang kesusahan dan penderitaan yang dialami oleh ‘orang tua’ kita dalam usaha mereka menyatukan rakyat negara ini.

Fikirkan………….

abuhassanadam
11 Oktober 2013


Thursday, October 3, 2013

MELAYU TAK TAHU MALU

MELAYU TAK TAHU MALU

Melalui The Malay Mail Online bertarikh 2 Oktober 2013, Tun Mahathir berkata,

“When we have shame, we don’t do bad things, even when there is no one watching…In Japan, if a plane crashes down, the transport minister will resign. Here, a minister will never resign,” Lebih kurang Tun Mahathir mengatakan bahawa sekiranya seseorang itu ada perasaan malu, maka ia tidak melakukan perkara buruk, walaupun tidak sesiapa pun yang memerhatikannya. Di Jepun katanya, sekiranya sesebuah pesawat  ( milik Jepun)  terhempas, maka menterinya akan meletakkan jawatan. Tetapi di sini (Malaysia) seseorang menteri itu tidak akan meletakkan jawatan. Tidak merasa malu walau sedikit pun.
  
Kenyataan yang mengatakan ‘Melayu tak tahu malu’ ini dikeluarkan sendiri oleh Tun Mahathir, bekas Perdana Menteri Malaysia. Suatu ketika dulu beliau mengatakan yang ‘Melayu mudah lupa’. Persoalan terkini yang dikeluarkan sekarang ialah betukah ‘Melayu tak malu’. Mungkin. Tetapi pada pandangan aku bukan semua Melayu begitu. Masih ada orang Melayu yang mempunyai perasaan malu dan bermaruah dan ‘tidak bermuka tebal’, Dan ramai juga orang Melayu di Malaysia ( termasuk bukan Melayu juga) yang ‘tak tahu malu’. Aku tidak mahu memperkenalkan golongan Melayu yang mana yang tak tahu malu dan golongan Melayu yang mana yang ‘tahu malu’ dan bermaruah.

Aku pasti yang rakyat Malaysia dapat mengenali golongan Melayu mana yang ‘tak tahu malu’. Pasti mereka dapat mengenalinya…..

Kenyataan Tun Mahathir sesuai terutama dalam keadaan di mana pihak Audit Negara telah mengeluarkan berbagai-bagai penyelewengan yang telah dilakukan oleh pegawa kerajaan kita dalam soal pembelian barang-barang keperluan jabatan masing-masing. Pendedahan yang dibuat oleh Ketua Audit Negara itu membayangkan bahawa sememangnya ada pegawai kerajaan di negara kita yang tidak bertanggungjawab dan tidak tahu malu langsung. Mereka langsung tidak memikirkan tentang betapa sukar pihak pembayar cukai mengeluarkan wang semata-mata untuk ‘membolehkan’ para pegawai kerajaan melakukan penyelewengan.

Mereka tidak ada perasaan segan dan silu apabila melakukan kegiatan terkutuk itu. Mereka tak tahu malu…

Tun Mahathir ada menyentuh tentang dasar ‘Pandang Ke Timur’ yang pernah diperkenalkan ketika beliau menjadi Perdana Menteri pada awal tahun-tahun 1980an dulu. Seingat aku, bertahun-tahun rakyat Malaysia cuba memahami apa sebenarnya dasar Pandang Ke Timur itu. Sebagaimana yang dijelaskan oleh Tun Mahathir bahawa sebenarnya dasar itu bukan sahaja bertujuan untuk menjalinkan perdagangan dengan Jepun dan Korea selari dengan dasar ‘ Buy British Last’nya, tetapi yang diharapkan oleh Tun Mahathir ialah rakyat Malaysia menghayati nilai-nilai murni yang dimiliki oleh bangsa Jepun dan Korea. Maknanya beliau mengharapkan sangat agar bangsa Malaysia, khususnya orang Melayu meniru cara hidup dan nilai yang diamalkan oleh bangsa berkenaan. Nilai-nilai yang berguna kepada masyarakat.

Malangnya, Tun Mahathir sendiri mengakui yang beliau gagal dalam hal berkenaan. “In the 22 years I was prime minister, I could not witness many changes.” Maknanya bangsa Malaysia, khususnya orang Melayu masih berada di takuk lama. Tidak berubah. Dan mungkin tidak mahu berubah. Sehingga kini masih berpaut kepada nilai-nilai yang tidak membawa kemajuan drastik kepada bangsa Malaysia.

Yang paling jelas ‘melanda’ masyarakat Malaysia kini ialah perasaan tidak tahu malu sebagaimana yang dijelaskan oleh Tun Mahathir itu. Para pemimpin atasan tidak langsung berasa malu. Begitu juga pemimpin pertengahan, Pemimpin peringkat akar umbi juga begitu. Tak tahu malu. Ada diantara mereka yang ‘menggelapkan’ ratusan juta wang kerajaan ( wang rakyat) secara haram tetapi masih mahu bertanding jawatan dalam kepimpinan parti. Langsung tidak ada perasaan malu dan segan.

Yang menyebabkan mereka merasa tidak malu dan segan ialah adanya pengikut mereka yang ‘membuta tuli’. Golongan pengikut ini juga perlu dipersalahkan kerana merekalah maka para pemimpin yang rasuah dan tidak tahu malu itu terus menerus bermaharajalela seolah-olah mereka tidak melakukan kesalahan apa-apa. Para pengikut ini sanggup diperbodohkan semata-mata untuk mencari ‘sesuap’ pagi dan ‘sesuap’ petang wang haram dari pemimpin mereka. Alangkah hinanya bangsaku – Melayu.

Aku tidak mengatakan semua pemimpin Melayu tak tahu malu. Tun Mahathir juga tidak berkata begitu. Laporan Ketua Audit Negara 2012 merumuskan bahawa program Hadiah Anak Masuk University yang diperkenalkan kerajaan Selangor adalah baik dan mencapai sasaran. Maknanya tidak semua pemimpin kita yang tak tahu malu. Ada yang berjaya dan memberi manfaat kepada bangsa dan negara.

Diharapkan para pemimpin yang tak tahu malu itu segera mengundurkan diri dan berilah peluang pada orang lain yang berkemampuan menjalankan peranan itu.

Lagi pun anda sudah cukup ‘kenyang’. Ikutlah rasmi pacat. Apabila sudah kenyang menghisap darah akan getak sendiri.

abuhassanadam
3 Oktober 2013


Wednesday, October 2, 2013

MANUSIA TAK BERHATI PERUT

MANUSIA TAK BERHATI PERUT

Apabila orang kampung aku menggambarkan tentang seseorang yang zalim, tidak bertimbang rasa, ‘busuk perut’. suka menipu, mengkhianati kawan, dan lain-lain, maka mereka melabelkan seseorang itu sebagai ‘manusia yang tak berhati perut.. Justeru apabila berlaku penyelewengan yang berleluasa ekoran daripada pendedahan yang dilakukan oleh Ketua Odit Negara itu, maka hampir semua orang kampung aku mengatakakan bahawa manusia yang berperangan sedemikian rupa sebagai ‘manusia yang tidak berhati perut’.

Tahun lepas telah didedahkan oleh Ketua Odit Negara tentang kisah ‘manusia’ yang mendapat pinjaman kerajaan yang berjumlah ratusan juta ringgit untuk membuka ladang lembu. Dan didapati wang sebegitu banyak telah digunakan dengan sewenang-wenangnya. Rakyat begitu marah sekali dengan kegiatan sedemikian. Namun yang peliknya ada pula golongan tertentu yang masih mempertahankan kegiatan yang sedemikian. Ramai juga yang berpendapat mengatakan bahawa ‘ dunia sudah terbalik’ disebabkan ada dikalangan rakyat yang mengiakan perbuatan yang difikirkan ‘salah’ oleh sebahagian besar rakyat.

Tahun ini muncul lagi ‘ manusia yang tak berhati perut’. Menggunakan wang rakyat untuk tujuan menipu. Dan yang menyedihkan kita ialah bahawa kebanyakan yang ‘menipu’ dan ‘ manusia yang tak berhati perut’ itu adalah terdiri dari ‘manusia’ yang pandai-pandai, cerdik, berkelulusan tinggi dari universiti ternama dari luar negara dan dalam negara.

Apakah golongan ini tidak merasa ‘sedih’ atau ‘malu’ atau pun mempunyai perasaan belas kasihan terhadap orang miskin dari kampung yang membayar cukai untuk membiayai segala ‘penyelewengan’ mereka itu. Apaka tidak ada langsung perasaan sedemikian yang terselit di hati dan perasaan mereka. Apakah mereka sudah ‘dibutakan’ oleh Tuhan hati dan perasaan mereka sehingga sanggup melakukan perkara yang terkutuk itu. Apakah mereka sudah tidak mempedulikan ajaran ibu bapa mereka semenjak dari kecil dulu yang selalu memantakkan di telinga mereka bahawa menggunakan wang haram atau wang tipu tidak diberkati oleh Allah. Apakah mereka telah melupakan itu semua.

Aku yakin juga bahawa ada juga diantara yang sanggup melakukan penyelewengan ini terdiri dari mereka yang mendapat gelaran-gelaran daripada pembesar-pembesar negara. Apakah mereka tidak merasa malu menerima gelaran ‘Tan Sri’ atau ‘Dato’ Seri’ atau ‘Dato’ itu seorang pembesar negara sedangkan ‘perangai’ mereka adalah seperti ‘perompak’ dan ‘lanun’ yang bersedia untuk melakukan apa saja demi kepentingan ‘perut’ mereka.

Apakah mereka tidak merasa malu apabila berhadapan dengan ahli masyarakat lain yang tahu akan perbuatan terkutuk mereka itu. Apakah jelas ‘conscience’ mereka apabila mereka berada di tengah-tengah masyarakat yang menganggap mereka sebagai seorang yang dihormati sedangkan mereka adalah merupakan ‘manusia yang tida berhati perut’.

Apakah ‘manusia yang tak berhati perut’ ini tidak merasa kasihan kepada anak-anak dan kaum keluarga yang terpaksa menanggung malu disebabkan oleh perbuatan mereka. Pastinya anak mereka merasa begitu malu ketika berada dikalangan kawan-kawan yang tahu perihal ayah mereka yang merupakan ‘manusia yang tak berhati perut’. Pastinya jiwa anak-anak mereka tersiksa. Namun apakan daya. Disebabkan perangan bapa yang ‘tak berhati perut’ menyebabkan anak yang tersiksa.

Apakah golongan ‘manusia yang tak berhati perut’ ini boleh lena tidurnya apabila mengenangkan wang haram yang selalu disonglapnya. Soalan yang sebegini selalu aku bertanya kepada kawan-kawan ku.

Jawab kawan aku – ‘JIKALAU ANJING SUDAH BIASA MAKAN TAHI, KALAU TIDAK DIMAKAN DICIUMNYA JUGA’.

HINANYA MANUSIA YANG SEBEGINI…


abuhassanadam
2 Oktober 2013