Thursday, October 3, 2013

MELAYU TAK TAHU MALU

MELAYU TAK TAHU MALU

Melalui The Malay Mail Online bertarikh 2 Oktober 2013, Tun Mahathir berkata,

“When we have shame, we don’t do bad things, even when there is no one watching…In Japan, if a plane crashes down, the transport minister will resign. Here, a minister will never resign,” Lebih kurang Tun Mahathir mengatakan bahawa sekiranya seseorang itu ada perasaan malu, maka ia tidak melakukan perkara buruk, walaupun tidak sesiapa pun yang memerhatikannya. Di Jepun katanya, sekiranya sesebuah pesawat  ( milik Jepun)  terhempas, maka menterinya akan meletakkan jawatan. Tetapi di sini (Malaysia) seseorang menteri itu tidak akan meletakkan jawatan. Tidak merasa malu walau sedikit pun.
  
Kenyataan yang mengatakan ‘Melayu tak tahu malu’ ini dikeluarkan sendiri oleh Tun Mahathir, bekas Perdana Menteri Malaysia. Suatu ketika dulu beliau mengatakan yang ‘Melayu mudah lupa’. Persoalan terkini yang dikeluarkan sekarang ialah betukah ‘Melayu tak malu’. Mungkin. Tetapi pada pandangan aku bukan semua Melayu begitu. Masih ada orang Melayu yang mempunyai perasaan malu dan bermaruah dan ‘tidak bermuka tebal’, Dan ramai juga orang Melayu di Malaysia ( termasuk bukan Melayu juga) yang ‘tak tahu malu’. Aku tidak mahu memperkenalkan golongan Melayu yang mana yang tak tahu malu dan golongan Melayu yang mana yang ‘tahu malu’ dan bermaruah.

Aku pasti yang rakyat Malaysia dapat mengenali golongan Melayu mana yang ‘tak tahu malu’. Pasti mereka dapat mengenalinya…..

Kenyataan Tun Mahathir sesuai terutama dalam keadaan di mana pihak Audit Negara telah mengeluarkan berbagai-bagai penyelewengan yang telah dilakukan oleh pegawa kerajaan kita dalam soal pembelian barang-barang keperluan jabatan masing-masing. Pendedahan yang dibuat oleh Ketua Audit Negara itu membayangkan bahawa sememangnya ada pegawai kerajaan di negara kita yang tidak bertanggungjawab dan tidak tahu malu langsung. Mereka langsung tidak memikirkan tentang betapa sukar pihak pembayar cukai mengeluarkan wang semata-mata untuk ‘membolehkan’ para pegawai kerajaan melakukan penyelewengan.

Mereka tidak ada perasaan segan dan silu apabila melakukan kegiatan terkutuk itu. Mereka tak tahu malu…

Tun Mahathir ada menyentuh tentang dasar ‘Pandang Ke Timur’ yang pernah diperkenalkan ketika beliau menjadi Perdana Menteri pada awal tahun-tahun 1980an dulu. Seingat aku, bertahun-tahun rakyat Malaysia cuba memahami apa sebenarnya dasar Pandang Ke Timur itu. Sebagaimana yang dijelaskan oleh Tun Mahathir bahawa sebenarnya dasar itu bukan sahaja bertujuan untuk menjalinkan perdagangan dengan Jepun dan Korea selari dengan dasar ‘ Buy British Last’nya, tetapi yang diharapkan oleh Tun Mahathir ialah rakyat Malaysia menghayati nilai-nilai murni yang dimiliki oleh bangsa Jepun dan Korea. Maknanya beliau mengharapkan sangat agar bangsa Malaysia, khususnya orang Melayu meniru cara hidup dan nilai yang diamalkan oleh bangsa berkenaan. Nilai-nilai yang berguna kepada masyarakat.

Malangnya, Tun Mahathir sendiri mengakui yang beliau gagal dalam hal berkenaan. “In the 22 years I was prime minister, I could not witness many changes.” Maknanya bangsa Malaysia, khususnya orang Melayu masih berada di takuk lama. Tidak berubah. Dan mungkin tidak mahu berubah. Sehingga kini masih berpaut kepada nilai-nilai yang tidak membawa kemajuan drastik kepada bangsa Malaysia.

Yang paling jelas ‘melanda’ masyarakat Malaysia kini ialah perasaan tidak tahu malu sebagaimana yang dijelaskan oleh Tun Mahathir itu. Para pemimpin atasan tidak langsung berasa malu. Begitu juga pemimpin pertengahan, Pemimpin peringkat akar umbi juga begitu. Tak tahu malu. Ada diantara mereka yang ‘menggelapkan’ ratusan juta wang kerajaan ( wang rakyat) secara haram tetapi masih mahu bertanding jawatan dalam kepimpinan parti. Langsung tidak ada perasaan malu dan segan.

Yang menyebabkan mereka merasa tidak malu dan segan ialah adanya pengikut mereka yang ‘membuta tuli’. Golongan pengikut ini juga perlu dipersalahkan kerana merekalah maka para pemimpin yang rasuah dan tidak tahu malu itu terus menerus bermaharajalela seolah-olah mereka tidak melakukan kesalahan apa-apa. Para pengikut ini sanggup diperbodohkan semata-mata untuk mencari ‘sesuap’ pagi dan ‘sesuap’ petang wang haram dari pemimpin mereka. Alangkah hinanya bangsaku – Melayu.

Aku tidak mengatakan semua pemimpin Melayu tak tahu malu. Tun Mahathir juga tidak berkata begitu. Laporan Ketua Audit Negara 2012 merumuskan bahawa program Hadiah Anak Masuk University yang diperkenalkan kerajaan Selangor adalah baik dan mencapai sasaran. Maknanya tidak semua pemimpin kita yang tak tahu malu. Ada yang berjaya dan memberi manfaat kepada bangsa dan negara.

Diharapkan para pemimpin yang tak tahu malu itu segera mengundurkan diri dan berilah peluang pada orang lain yang berkemampuan menjalankan peranan itu.

Lagi pun anda sudah cukup ‘kenyang’. Ikutlah rasmi pacat. Apabila sudah kenyang menghisap darah akan getak sendiri.

abuhassanadam
3 Oktober 2013


2 comments:

  1. salam...sy blogwalking kat sini, jemput datang ke blog sy http://ibu2ahmad.blogspot.com. Sy follow kat sini n kalau sudi follow la sy blk yer...

    ReplyDelete
  2. betul tu. yang bela lembu lembu kat condo pun tak tau malu macam lembu jugak tu.

    ReplyDelete