ORANG CINA TIDAK BERANI MENGATAKAN ORANG MELAYU BODOH
Mr Lee Kuan Yew yang selalu menggunakan ‘peribahasa’ ini terutamanya
ketika Singapura masih berada dalam Malaysia. Memang betul pun. Orang yang
tidur ( yang tidak tahu apa-apa yang berlaku disekelilingnya – bodoh, tolol,
bengap ) akan menjadi ‘makanan’ orang yang sentiasa jaga ( cerdik, sentiasa
berwaspada, peka, sentiasa sedar tentang apa yang berlaku disekelilingnya).
Tidak mudah untuk ditipu. Tidak mudah untuk ‘dikelentong’…
Agak keterlaluan jikalau aku katakan bahawa yang dimaksudkan oleh
‘mereka’ dengan ‘si tidur’ itu adalah orang Melayu dan yang dimaksudkan dengan
‘si jaga’ itu adalah orang lain. Maaf. Aku ibarat meludah ke langit yang mana
air ludah itu akan jatu ke muka aku juga. Apa tidaknya. Aku orang Melayu totok.
Dan aku memburuk-burukkan orang Melayu. Seolah-olah aku menghina orang Melayu,
bangsa aku sendiri. Keturunan aku. Emak bapak aku orang Melayu tulin. Bapak aku orang Melayu tulin. Emak pun orang Melayu
tulin. Asli.
Tetapi entah macam mana hati aku terdetik untuk membicarakan isu
sebegini. Isu orang Melayu yang agak bodoh, tolol, bangang. Walaupun semua
orang Melayu tidak begitu namun boleh dikatakan secara umumnya masih begitulah,
walaupun sudah lebih separuh abad bebas dari penjajahan British. Mungkin ramai
tidak begitu senang dengan kenyataan aku yang sebegini, namun pada pandangan
aku begitulah.
Orang lain ( kaum Cina dan India misalnya) tidak berani berterus
terang mengatakan orang Melayu bodoh, tetapi pada hakikatnya mereka merasakan
bahawa masih ramai lagi orang Melayu yang tidak berapa pandai. Dalam hati
mereka mengatakan begitu tetapi tidak dilahirkan kerana untuk menjaga hati
rakan-rakan yang berbangsa Melayu. Mereka tahu adat dan sopan. Mereka juga tahu
bahawa orang Melayu amat berbudi bahasa. Hanya orang Cina dan India yang tidak
belajar sejarah Malaysia yang berani menafikan kenyataan bahawa orang Melayu
sememangnya baik dan berbudi bahasa.
Baik dan berbudi bahasa merupakan harta yang amat bernilai kepada
orang Melayu. Dan ada kalannya ‘ harta’ itu juga yang menghancur-leburkan orang
Melayu. Kadang-kadang aku terfikir bahawa tidak ada bangsa di dunia ini yang
mempunyai pekerti dan nilai budi sebaik orang Melayu. Mungkin keterlaluan aku
berkata begitu. Aku dasarkan kenyataan aku ini kepada fakta sejarah yang
mengatakan bahawa orang Melayu tidak pernah menentang kedatangan bangsa-bangsa
asing ke negeri-negeri Melayu. Malah ada fakta sejarah yang mengatakan bahawa
orang Melayu ‘ tidak ada halangan’ langsung untuk bangsa-bangsa asing itu
campurtangan dalam hal ehwal pentadbiran negaranya.
Sejarah kesultanan Melaka misalnya menjadi bukti tentang apa yang
aku perkatakan. Orang Melayu Melaka tidak pernah menentang kedatangan orang
Arab, India dan Cina ke negeri Melaka, sekiranya tujuan kedatangan mereka itu
untuk sesuatu yang baik. Berdagang dan menyebarkan agama Islam. Pihak
pemerintahan Kerajaan Melayu Melaka bekerjasama sebaliknya dengan
saudagar-saudagar Arab, India dan Cina. Berbeza dengan kedatangan Barat
(Portugis) yang kedatangannya sememangnya bertujuan untuk menjajah. Lantas
orang Melayu bangun menentang habis-habisan.
Untuk menunjukkan tentang kebaikan orang Melayu Melaka, pemerintah
Melaka telah memberikan satu kawasan
‘Bukit Cina’ kepada orang Cina dan ‘Tanjung Keling’ kepada saudagar-saudagar India.
Tidak cukup dengan pengurniaan kawasan-kawasan kediaman, orang asing diberikan
juga peranan untuk mentadbirkan negeri Melaka. Ada yang memegang jawatan
sebagai Syahbandar, jawatan penting yang mengendalikan pelabuhan dan ehwal
perdagangan.
Begitulah mulianya hati orang Melaka sehingga jawatan sedemikian
penting diberikan kepada orang asing. Persoalannya ialah apakah ‘bodoh’ namanya
sekiranya orang Melayu bersikap demikian. Mungkin!...Mungkin tidak….Atau apakah
perilaku yang sebgitu sesuai dengan peribahasa yang mengatakan bahawa ‘ si
bodoh makanan si cerdik’?
Sejarah Malaysia telah menunjukkan banyak contoh yang menggambarkan
tentang kisah ‘Si tidur makanan si jaga’. Terlalu banyak contoh untuk
menunjukkan orang Melayu sentiasa ditipu kerana kebodohannya. Atau pun dengan
kata lain boleh disimpulkan bahawa ‘ orang Melayu sentiasa diperdaya disebabkan
kemuliaan dan kebaikan hatinya”.
Satu contoh yang amat ketara yang berlaku kepada kebanyakan orang
Melayu pada zaman penjajahan British ialah tentang ‘penipuan’ yang dilakukan
oleh kaum India (Chetty) terhadap tanah-tanah milik orang Melayu. Disebabkan
‘kesukaan’ orang Melayu berhutang kepada kaum India ( Chetty ), dan gagal pula
membayar hutang ( disebabkan faedah yang terlalu tinggi) telah menyebabkan
banyak tanah-tanah orang Melayu yang terlepas ke tangan golongan ini.
Sehinggakan terpaksa pihak British memperkenalkan undang-undang tanah ‘Malay
Reservation’ bagi menyelamatkan harta orang Melayu.
Sehingga kini kisah ‘sitidur makanan si jaga’ masih lagi berleluasa.
Pengenalan GST misalnya. Pihak kerajaan tentunya akan memperkatakan kebaikan
pengenalan GST ini dan pihak pembangkang pula akan menyanggah kenyataan itu
berdasarkan fakta-fakta yang mereka kemukakan. Sepatutnya masyarakat umum
mengkaji dan menilai kedua-dua kenyataan dan hujah-hujah itu sebelum membuat
kesimpulan. Sekiranya tidak begitu faham tentang pelaksanaannya, diminta lagi
penjelasan demi penjelasan supaya betul-betul faham.
Yang anihnya, masih ramai lagi golongan ‘si tidur’ akan mengangguk
apa saja yang diperkatakan oleh pihak kerajaan. Mereka tidak bersedia untuk
mempersoalkan rasionalnya. Seolah-olah mereka merasakan ‘tidak apa’ untuk
diperbodohkan.
Apakah ini rupa bentuk masyarakat yang diperlukan untuk mengharungi
Kurun ke 21?
abuhassanadam
27 Oktober 2013
No comments:
Post a Comment