Monday, October 28, 2013

BAJET MEMBELAKANGKAN RAKYAT MISKIN

BAJET MEMBELAKANGKAN RAKYAT MISKIN

Berbagai gelaran dan tohmahan yang dilemparkan kepada Bajet Negara 2014. Ada yang mengatakan sebagai bajet untuk kesejahteraan rakyat. Ada yang mengatakan bajet yang menguntungkan rakyat. Yang mana satu yang betul aku tak tahu. Cuma yang dapat aku rasakan ‘tidak patut’ dan ‘tidak bertimbang rasanya’ bajet 2014 ialah apabila diumumkan kenaikan harga gula. ‘Diputarbelitkan’ kenyataan itu dengan mengatakan bahawa subsidi gula akan dihapuskan. Dan tentulah ramai juga (yang tidak berapa cerdik), yang termasuk dalam golongan ‘Pak Kaduk’ ‘termakan’ dengan kenyataan sedemikian. Ada yang berpendapat bahawa dengan penghapusan subsidi akan menguntungkan mereka dan beranggapan bahawa sebenarnya kerajaan sekarang membela rakyat msikin.

Yang menghairankan aku pulak ialah apabila ada pihak yang memberikan kenyataan mengatakan bahawa beliau amat setuju dengan tindakan kerajaan menaikkan harga gulu, agar dapat mengurangkan pesakit-pesakit yang mengidap sakit kencing manis. Kenyataan sebegini juga mempengaruhi ramai golongan ‘ Pak Kaduk’. Mereka yakin dan mereka percaya. Dan di parlimen pula, apabila diumumkan hasrat kerajaan untuk menaikkan harga gula, telah mendapat tepukan gemuruh daripada penyokong kerjaan di parlimen. Aku merasa hairan juga….

Aku termenung sejenak melihatkan keadaan sedemikian. Pada pandangan aku, bajet kali ini merupakan satu pembentangan  yang tidak bertimbang rasa. Semacam tidak langsung mempedulikan perasaan dan hasrat rakyat terbanyak. Orang miskin di kampung. Walaupun ada perkara-perkara yang nampaknya memberi faedah kepada orang kampung tetapi dengan kenaikan harga gula dan harga petrol ( telah dinaikkan lebih awal )sudah cukup untuk menyusahkan kehidupan orang kampung.

Yang aku dengar, ramai yang mengatakan bahawa bajet yang dibentangkan oleh DS Najib baru-baru ini tidak memikirkan langsung tentang nasib orang susah kecuali pemberian BRIM. Maka heboh dan riuh rendah seluruh antero pekikan yang mengatakan kerajaan telah menambah pemberian BRIM. Menunjukkan yang kerajaan amat perihatin terhadap rakyat yang berpendapatan rendah. Maknanya kerajaan begitu ambil peduli tentang nasib orang Melayu yang miskin di kawasan luar bandar. Membela nasib  orang Melayu konon…..

Propaganda kerajaan pula mula menyusup dan menyelinap ke kampung-kampung menerangkan tentang ‘kebaikan’ dan ‘kehebatan’ kerajaan BN memerintah negara. Sentiasa perihatin kepada keadaan kesusahan rakyat. Akan mengangguklah orang-orang kampung mendengarkan penjelasan menandakan ‘setuju’ dengan apa yang diperkatakan oleh ‘pendakwah-pendakwah’ yang memyampaikan ‘dakwah’ kepada mereka.

Ini yang aku katakan bahawa ‘ si tidur makanan si jaga, si bodoh makanan si cerdik’. Sehingga kini, setelah lebih setengah abad merdeka dari penjajah British, masih ramai lagi rakyat di Malaysia ( orang Melayu khususnya – seperti aku ) yang tidak boleh berfikir dengan waras dan rasional. Masih boleh diperkotak-katikan oleh golongan tertentu dengan dakyah-dakyah yang tidak berapa tepat, fakta-fakta yang tidak betul. Namun terus ‘diangguk’ oleh pendengarnya. Tanda setuju. Malangnya nasib bangsa aku.

Pak Ngah aku di kampung diberitahu bahawa kenaikan harga minyak hanya 20 sen bagi satu litter. ‘ Apalah sangat 20 sen’ merupakan hujah yang digunakan untuk meyakinkan rakyat bahwa dengan kenaikan harga minyak itu tidak mendatangkan kesan yang buruk dan menyusahkan rakyat. Mereka tidak sedar bahawa dengan kenaikan harga minyak itu telah memberikan peluang kepada peniaga-peniaga untuk menaikkan harga barangan mereka. Harga ikan di pasar naik. Harga roti canai naik. Dan sekarang harga gula pula naik dengan menjunam.

Seeingat aku inilah merupakan kenaikan harga gula yang paling mendadak. Seingat aku juga harga gula sekitar tahun-tahun 1960an hanya sekitar 60 sen. Harga gula mula meningkat pada tahun 2009 kepada RM 1.45. Terus meningkat dari setahun ke tahun sehinggalah pada penghujung tahun 2013 akan menjadi disekitar RM2.80 sen.

Ketika aku termenung memikirkan nasib suku sakat aku yang ada di kampung, yang nasibnya seperti ayam yang kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang, teringat juga aku tentang rakan-rakan yang sudah ramai juga berada di parlimen dan malah sudah ada juga yang menjadi menteri dan timbalan menteri.

Apakah mereka sudah lupa dan tidak memikirkan nasib orang kampung yang miskin melarat. Apakah mereka sudah lupa tentang nasib orang kampung yang berpendapatan amat jauh bezanya dengan pendapatan mereka. Apakah mereka sudah lupa tempat mereka ‘jatuh bangun’ sebelum berada di keadaan sekarang?

Aku harap mereka tidak lupa. Fikirkan semula tindakan yang telah diambil. Fikirkanlah semula kenaikan harga gula. Fikirkan semula kesan kenaikan harga petrol. Dan yang paling penting fikirkanlah beribu kali tentang pengenalan GST itu. Fikirkanlah…..

abuhassanam
28 Oktober 2013



No comments:

Post a Comment