Tuesday, October 29, 2013

LAWATAN SAMBIL BELAJAR UNTUK ‘MENGHABISKAN BERAS’

LAWATAN SAMBIL BELAJAR UNTUK ‘MENGHABISKAN BERAS’

Biasanya pada setiap hujung tahun akan berduyun-duyunlah para menteri, timbalan menteri dan pegawai tinggi kerjaan Malaysia yang akan berkunjung ke London untuk mengadakan ‘lawatan sambil belajar’. Untuk memperdalami ilmu berkaitan dengan hal pendidikan, tentunya para pegawai akan ke London disebabkan wujudnya Oxford dan Cambridge. Untuk mendapat pendedahan baru berkaitan dengan pertanian, mereka ke London juga. Kononnya ‘orang putih’ begitu mahir dalam hal yang berkaitan dengan pertanian. Untuk hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam juga para pegawai JAKIM akan pergi ke London untuk melanjutkan pelajaran mereka. Aku sungguh tak faham mengapa dalam hal pendidikan Islam juga mereka perlu ke London!!...

Aku tidak langsung menafikan tentang kepentingan sesuatu kursus atau seminar atau conference yang perlu dihadhiri oleh VVIP kita tetapi perlu juga difikirkan tentang ‘cost-effectiveness’nya dan bukan sekadar untuk ‘menghabiskan beras’ sahaja. Ini wang rakyat. Wang orang kampung yang miskin.

Pendek kata para pegawai dari Kedutaan Malaysia London akan begitu sibuk pada setiap hujung tahun. Menyambut kedatangan VVIP dan menghantar pulang setelah beberapa hari berada di London. Kadang-kadang dilihat seolah-olah para pegawai kedutanaan di London tidak mempunyai ‘kerja’ lain selain daripada menjemput dan menghantar pulang para menteri kita. Setiap VVIP mengharapkan mereka ‘ditunggu’ ketibaan mereka di Heathrow, lapangan terbang London.Dan merupakan satu ‘kesalahan’ sekiranya mereka tidak dilayan sedemikian. Boleh ‘diarah’ pulang balik ke Malaysia.Tidaklah semua menteri kabinet Malaysia bersikap demikian.

Hampir empat tahun aku bertugas di London. Dari 1995 sehingga tahun 1998. Berbagai kerenah VVIP dan isteri mereka telah aku temui. Dan secara kebetulan pula pada tahun-tahun berkenaan merupakan tahun-tahun kemakmuran bagi rakyat Malaysia. Boleh aku ibratakan zaman itu adalah seperti keadaan apabila harga getah naik pada tahun-tahun 1950an di mana para penoreh membelanjakan wang tanpa memikirkan buruk baiknya. Membeli peti sejuk untuk digunakan menyimpan baju diseabkan ketiada kuasa eletrik!!...

Lebih kurang begitulah keadaan orang Malaysia yang berada di London London pada ketika itu. Pergilah ke gedung-gedung membeli belah di bandar London akan terdengar suara-suara ‘orang Melayu’ berkomunikasi antara satu dengan yang lain. Di Oxford Street akan dipenuhi oleh orang Malaysia. Pendek kata sekiranya di lemparkan sebiji batu pastinya akan terjatuh di kepala orang Malaysia!!...

Dalam Bajet yang dibentangkan baru-baru ini antara lain menyeru agar rakyat berjimat cermat. Setiap tindakan yang dilakukan perlu mengambil kira kedudukan kewangan negara. Sedap bunyinya saranan itu. Namun bolehkah dipraktikkan atau pun tidak tentulah tidak dapat dipastikan. Mungkinkah hanya merupakan cakap tak serupa bikin. Dapatkan para pegawai kerajaan Malaysia ‘menahan’ hasrat mereka untuk mengadakan ‘lawatan sambil belajar’ ke London, sedangkan semua persiapan sudah diatur.

Dapatkah para menteri dan timbalan menteri menangguhkan pemergian mereka ke London untuk mengadakan lawatan sambil belajar untuk mengkaji sesuatu yang kononnya amat berguna kepada kementeriannya. Dan biasanya setiap menteri akan membawa bersama-samanya beberapa orang pegawai untuk ‘lawatan sambil belajar ‘ itu. Kadang-kadang dalam lawatan sambil belajar itu akan mengambil masa beberapa hari sedangkan seminar yang dihadhiri hanya sehari dan tidak sampai pun dua jam slot yang perlu dihadiri. Selebihnya para VVIP akan menghabiskan masa mereka ( menggunakan hasil cukai keringat rakyat Malaysia) di gedung-gedung membeli belah di London.

Apakah dalam suasana kegawatan ekonomi di Malaysia kini keadaan sedemikian diteruskan?. Apakah setiap kementerian di Malayisa akan membenarkan pegawai mereka melakukan lawatan sambil belajar sebagaimana yang pernah mereka alami.

Zaman pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamed dulu, telah mewajibkan setiap menteri kabinet  yang melakukan lawatan (bercuti) di London diperlukan untuk berjumpa dengan para pelajar. Ada menteri yang melakukan begitu. Berjumpa dengan pelajar dan bertanya khabar. Tetapi ada juga menteri yang hanya datang ke Jabatan Penuntut Malaysia, menandatangani buku pelawat dan selepas sepuluh minit akan terus ‘ghaib’ dan berada di Oxford Street yang tidak berapa jauh dari situ ( Bryanston Square). Apakah sikap menteri yang sebegini akan terus dibiarkan oleh DS Najib dalam suasana kegawatan negara yang sebgini.

Rakyat miskin akan dikenakan berbagai cukai. Orang kampung akan dipaksa ‘mengikat perut’ dengan kenaikan harga barangan yang menjunam. Rakyat berpendapatan rendah akan terpaksa memikirkan tentang bagaimana untuk menyediakan perbelanjaan persekolahan anak-anak dalam keadaan barangan yang sedang meningkat naik.

Namun bagitu ada juga rakyat Malaysia yang ‘bertuah’ yang menggunakan wang rakyat untuk berhibur dan berpesta dengan menggunakan alasan dan helah yang mengatakan bahawa kehadiran mereka di London adalah untuk keperluan negara. Sekiranya amat perlu kehadiran mereka di London itu, sudah tentu direstui oleh rakyat semua. Tetapi pemergian mereka adalah untuk ‘menghabiskan beras’ sahaja.

Insyallah aku juga akan berada di London buat beberapa minggu dengan menggunakan wang dari titik peluh aku sendiri. Disamping aku menghirup suasana nyaman ( sejuk) di sana, akan aku laporkan juga gelagat VVIP Malaysia yang kononnya ke London untuk bertugas tetapi sebenarnya, ‘kerjanya’ adalah menghabiskan wang rakyat yang tertindas.

abuhassanadam

29 Oktober 2013

No comments:

Post a Comment