Wednesday, October 30, 2013

MELAYU MASIH MUNDUR

MELAYU  MASIH MUNDUR

Berbanding dengan ‘Bumiputera’  di negara-negara Asia Tenggara yang lain dapat aku simpulkan bahawa ‘Bumiputera’ (orang Melayu) di Malaysia masih mundur.

Aku kata begitu berdasarkan pemerhatian aku dikebanyakan negara-negara Asia Tenggara yang pernah aku lawati. Di negara-negara berkenaan, aku perhatikan ‘Bumiputera’nya  terlibat secara langsung dalam merebut peluang ekonomi negara berkenaan walaupun ‘orang lain’ juga diberikan peluang berkecimpung dalam kegiatan ekonomi negara-negara tersebut. 

Di Indonesia misalnya, di mana saja kita pergi akan dapat dilihat bahawa ‘Bumiptera’ Indonesia yang terlibat secara aktif dalam perniagaan. Samada di Jawa, Sumatera anak negeri yang berperanan. Di Filipina begitu juga. Ramai peniaga-peniaga Cina yang terlibat dalam perniagaan di sana tetapi anak negeri ternampak lebih penglibatan mereka dalam perniagaan kecil ataupun besar. Tidak ketinggalan. Di Vietnam ( yang baru saja bebas dari peperangan) begitu juga. Orang Vietnam yang menjalankan perniagaan samada di kedai-kedai bazaar atau pun di kompleks perniagaan yang besar. Di Thailand pula sememangnya semenjak dahulu lagi Pohibul Songgram ( Perdana Menteri Thailand) anti orang Cina. Dengan sebab itulah kebanyakan perniagaanya dijalankan oleh anak negeri. ‘Bumiputera’ Thailand.

Cuma yang malangnya ialah keadaan Bumiputera di Malaysia. Orang Melayu ( seperti aku). Memang tidak dapat dinafikan yang ada orang Melayu terlibat dalam perniagaan tetapi tidak sebagaimana yang terdapat di negara-negara yang aku sebutkan tadi. Memang terdapat ramai orang Melayu yang menjalankan perniagaan di Chow Kit dan di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan membuka Pasar Ramdhan pada bulan Ramdhan, tetapi penglibatan orang Melayu dalam perniagaan tidak sampai ke tahap sebagaimana penglibatan bangsa-bangsa Asia Tenggara yang aku sebutkan tadi.

Aku tidak menyalahkan orang Cina yang menyebabkan keadaan terjadi sedemikian walaupun peranan orang Cina yang menyebabkan Melayu tidak menyerlah dalam perniagaan itu ada. Dan sepanjang perjalanan sejarah Malaysia ramai peniaga Cina yang cuba bekerjasama untuk memajukan ekonomi orang Melayu, walaupun ada terdapat juga peniaga Cina yang cuba mengkhianati dasar kerajaan untuk memajukan orang Melayu. Ada. Tetapi tidak ramai yang bersikap begitu.

Yang jelas kelihatan yang menjadi punca kegagalan orang Melayu dalam perniagaan adalah berpunca dari orang Melayu itu sendiri.Hendak dikatakan bahawa orang Melayu tidak belajar ilmu perniagaan, tidak betul juga. Sudah berapa puluh ribu anak Melayu yang dihantar ke pusat-pusat pengajian tinggi untuk menuntut ilmu ekonomi dan ilmu yang berkaitan dengan perniagaan. Masih juga orang Melayu tidak maju.

Oleh itu aku fikir untuk memajukan orang Melayu memerlukan satu rombakan, satu  ‘reconstruction’ secara besar-besaran. Struktur masyarakat memerlukan  ‘rebuilding’ dan, ‘recasting’. Masyarakat Melayu khususnya memerlukan ‘reorganization’ dan, revamping, dan transformasi yang radikal. Maknanya perlu ‘dioverhaul’, ‘dikorek’ sampai ke akar umbi dan dibangunkan semula. Dengan berbuat demikian kita mengharapkan ‘kut-kut’ akan maju masyarakat Malaysia, khususnya orang Melayu.

Oleh itu apakah jalan penyelesaiannya.

Kerajaan Barisan Nasional yang telah memerintah negara ini sejak zaman berzaman harus ditukar. Rakyat Malaysia dari semua kaum (termasuklah pemimpin UMNO) harus bersifat ikhlas untuk menukarkan kerajaan yang ada. Kerajaan yang ada kini perlu dirombak, ‘dicabut’ sampai ke akar umbi. Kemudian diwujudkan kerajaan baru. ‘Tanam semula’. Macam menanam getah semula. Seluruh rakyat harus ikhlas dan jujur untuk menukar kerajaan Barisan nasional yang ada sekarang.

Memang tidak lojik saranan yang aku kemukakan. Tak masuk akal. Memang tak masuk akal. Itu aku tak peduli. Yang pentingnya aku mahu mengajak rakyat berfikir dengan cara yang paling rasional dan ikhlas termasuklah pemimpin UMNO yang merupakan teras pimpinan Barisan Nasional yang memerintah negara ini. Dan tentulah termasuk juga DS Mohd Najib Tun Abdul Razak dan Tan Sri Mahyuddin Yassin yang aku harap bersama-sama memikirkan  isu yang amat penting ini.

Rakyat umum ( khususnya orang Melayu ) harus menyoal diri masing-masing. Salahkan kerajaan yang ada sekarang dibawah pimpinan Barisan Nasional itu ditukarkan kepada parti lain selain dari Barisan Nasional. Pemimpin UMNO tentunya dengan tegas mengatakan ‘MUSTAHIL’. Tetapi persoalan yang harus kita fikirkan ialah bahawa Barisan Nasional yang telah memerintah negara semenjak kemerdekaan tidak boleh melakukan perubahan drastik untuk memajukan negara ini terutamanya orang Melayu sebagaimana yang aku tegaskan pada awal tadi. Dalam lapangan ekonomi misalnya.

Negeri Selangor dan Pulau Pinang kini maju setelah kerajaannya berpindah tangan. Secara kebetulan di bawah pimpinan Pakatan Rakyat. Bertambah maju dan makmur berbanding dengan negeri-negeri  yang ditadbirkan oleh Barisan Nasional. Kerajaan Kelantan ( yang kekurangan punca hasil) pun maju dibawah pentadbiran Pakatan Rakyat (PAS). Maknanya rakyat perlu sedar dan secara ikhlas hendaklah bersedia untuk menukar kerajaan yang ada sebab kerajaan Barisan Nasional terlalu selesa dengan ‘pencapaian’ mereka. Seolah-olah mereka sahaja yang layak mentadbir negara ini. Seolah-olah orang lain tidak layak dan mampu mentadbirnya. Cara berfikir sedemikian harus dibuang dari pemikiran rakyat Malaysia. Orang Melayu khususnya.

Dan ahli UMNO harus berada di barisan hadapan untuk mengambil langkah menukar kerajaan ini sekiranya mereka betul-betul ikhlas untuk memajukan orang Melayu. Mereka seharusnya mengubah cara berfikir mereka. Mereka perlu merenung jauh ke hadapan demi untuk bangsa Melayu. Mereka harus sedar bahwa UMNO seolah-olah gagal untuk memajukan orang Melayu. Lebih setengah abad kerajaan Malaysia dipimpin oleh BN (UMNO) dan tidak juga dapat memajukan orang Melayu sepertimana yang diperlukan oleh dunia tanpa sempadan yang sesuai untuk wujud dalam era globalisasi dan Abad ke 21 ini.

Rakyat telah memberikan peluang terlalu lama bagi pemimpin BN (Umno khususnya) untuk melakukan perubahan. Aku tidak menafikan tentang perubahan dan kemajuan yang telah dilakukan. Berbanding dengan orang Melayu tahun 1950an tentulah orang Melayu kurun ke 21 maju. Tetapi jika dibandingkan dengan kaum lain di Malaysia, orang Melayu masih jauh tinggal di belakang.Jika dibandingkan dengan orang Melayu Singapura pun kita agak ketinggalan dalam aspek-aspek tertentu.

Mengapa aku berpandanga begitu?

Semenjak zaman berzaman telah dilakukan oleh kerajaan usaha untuk memajukan orang Melayu dalam lapangan perniagaan. Semenjak zaman British lagi Zaaba dan Abdul Rahim Kajai telah memulakan usaha untuk mengaggalakkan orang Melayu dalam perniagaan. Tidak namapk kemajuannya. Kemudian muncul pula Dato Onn Jaafar. Mencadangkan penubuhan RIDA. Tak maju juga. Muncul Tun Abdul Razak dengan usaha yang berterusan memajukan orang Melayu. Menubuhkan FELDA. Kononnya FELDA maju tetapi peneroka FELDA tidaklah semaju mana. Tidak sehebat mana pun.Diperkenalkan pula Dasar Ekonomi Baru. Untuk memajukan orang Melayu. Tak maju juga.

Pihak kerajaan BN (UMNO) bukan tidak berusaha memajukan orang Melayu. Ada. Tetapi aku tak tahu dimana yang tak kenanya. Mungkin cara dan tindakan memajukan orang Melayu itu tidak berapa sesuai dan kena dengan caranya. Mungkin.

Dengan sebab itulah aku mencadangkan agar kerajaan BN (UMNO) yang ada kini perlu ditukar. Digantikan dengan kerajaan lain pada PRU14 nanti. Sekiranya kerajaan yang menggantikan BN itu tidak berfungsi dengan jayanya memajukan rakyat Malaysia ( khsususnya orang Melayu ) maka rakyat Malaysia hendaklah mengembalikan semula Barisan Nasional pada PRU 15.

Mari kita fikirkan bersama.

abuhassanadam

30 Oktober 2013

1 comment:

  1. Ya, saya setuju dengan pendapat saudara. Educated Malays berfikiran sedemikian.
    Tapi yang di kampong kampong yang maseh taat kepada Umno.

    ReplyDelete