Tuesday, October 22, 2013

MENGAPA KITA SELALU MENYALAHKAN ORANG LAIN?

MENGAPA KITA SELALU MENYALAHKAN ORANG LAIN?

Selama mana lagi agaknya orang Melayu mahu mengamalkan sikap menyalahkan orang lain. Aku agak sudah terlalu lama orang Melayu bersikap begitu. Menuding jari ke arah orang lain. Orang lain semuanya salah. Tak kena belaka. Yang betul kononnya hanya ‘dia’. Dan ‘orang lain’ yang dipersalahkan yang menyebabkan orang Melayu berkeadaan demikian. Dan tidak pula kelihatan usaha yang bersungguh-sungguh untuk membaiki kelemahan itu.

Dalam zaman penjajahan British, orang Melayu menyalahkan British dalam semua perkara yang menyebabkan mereka lemah. Dalam semua aspek kehidupan. Orang Melayu lemah dalam lapangan ekonomi disebabkan oleh British. Mungkin betul juga. British tidak langsung menggalakkan orang Melayu terlibat dalam lapangan demikian. Orang Melayu lemah dalam lapangan pendidikan.  British juga yang dipersalahkan.

Mungkin ada betulnya tohmahan yang sedemikian. Tetapi tentulah ada juga kesalahan diri orang Melayu itu sendiri yang menyebabkan orang Melayu berkeadaan mundur. Orang Melayu semenjak zaman dahulu lagi aku perhatikan amat berpuas hati sekiranya dia dapat menyalahkan orang lain yang menyebabkan kelemahannya dalam apa juga lapangan. Orang Melayu akan mengeluh dan terus mengeluh untuk menenangkan hati dan perasaannya. “ Nak buat macam mana…….”

Semenjak zaman berzaman orang Melayu dipantakkan benak mereka dengan berbagai ‘hasutan’ yang boleh melemahkan orang Melayu. Antaranya terdapat ‘slogan’ yang mengatakan bahawa ‘orang Melayu sememangnya lemah dalam ilmu matematik dan sains’. Orang Melayu yakin dan percaya!!..... Yakin sungguh. Dan apabila anak-anak Melayu gagal dalam pelajaran demikian, maka ‘slogan’ itulah yang digunakan bagi memujuk hati yang duka lara. Maknanya asalkan ada tempat untuk meletakkan sesuatu kesalahan, sudah memadai untuk mengubati hati orang Melayu, walaupun  masih ketinggalan dan mundur.

Kini teori yang mengatakan orang Melayu sememangnya lemah dalam Matematik dan Sains itu telah ‘dirobohkan’ dengan pencapaian cemerlang anak-anak kita dalam subjek berkenaan.

Guru-guru agama juga tidak kurang memberikan ‘ubat’ dan ‘racun’ kepada orang Melayu sejak zaman berzaman. Guru-guru agama berperanan untuk menakutkan orang Melayu menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah Inggeris pada sekitar tahun-tahun 1940an dan 1950an ( zaman penjajahan British). “ Sesiapa yang menghantar anak-anak belajar di sekolah orang putih maka lambat laun akan menjadi Kristian ( memeluk agama Kristian)……”

Begitulah antara bunyi ‘slogan-slogan’ yang sentiasa ‘didendangkan’ oleh setengah guru-guru agama zaman dahulu yang menyebabkan ramai orang Melayu takut untuk menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah Inggeris. Maka orang Melayu terus ketinggalan dalam lapangan pelajaran terutama untuk meneruskan pelajaran di sekolah Inggeris yang tentunya boleh menjamin masa depan yang amat cerah.  Orang Melayu lantas menggunakan alasan itu untuk tidak menghantarkan anak mereka untuk belajar di sekolah-sekolah Inggeris. Namun begitu orang Melayu tidak juga berusaha untuk menghantar anak mereka untuk belajar di sekolah-sekolah agama ( Sekolah Arab ). Orang Melayu berpuas hati dan terubat perasaannya sekiranya ada alasan yang boleh digunakan untuk dia tidak berbuat sesuatu.

Sehingga kini orang Melayu masih menyalahkan orang lain dalam hal-hal yang menyebabkan orang Melayu itu lemah dalam sesuatu lapangan.  Usaha menggalakkan orang Melayu dalam lapangan perniagaan sudah lama dijalankan oleh pihak kerajaan. Semenjak sebelum merdeka. Orang Melayu masih lemah dan tidak berdaya maju. Banyak sebabnya yang berkemungkinan terjadi sedemikian.Orang Melayu tetap menyalahkan orang lain sekiranya terjadi demikian. Orang Melayu masih tidak mahu melihat kelemahan diri sendiri yang menyebabkan berkeadaan sedemikian. Dan yang menyedihkan tidak pula berusaha bersungguh-sungguh untuk membaiki diri sendiri supaya dapat memajukan diri sendri.

Aku tidaklah mahu menafikan kejayaan yang telah dicapai oleh orang Melayu. Ramai juga orang Melayu yang berjaya. Dalam lapangan pendidikan misalnya tentulah boleh dibanggakan. Itu pun jikalau dibuat perbandingkan antara pencapaian sebelum kemerdekaan dengan zaman selepas DEB. Sememang memberangsangkan pencapaian orang Melayu kini. Namun jika dibandingkan pula pencapaian orang Melayu dengan kaum bukan Melayu, maka pencapaian kaum bukan Melayu lebih memberangsangkan. Apakah orang Melayu masih mahu menyalahkan orang lain yang menyebabkan keadaan demikian?

Akhir-akhir ini sibuk diperkatakan mengenai kisah muda-mudi Islam yang memeluk agama Kristian. Yang ghairah memaparkan berita demikian adalah pemimpin-pemimpin agama dan guru-guru agama. Elok diceritakan perkara sedemikian. Sekurang-kurangnya dapat menyedarkan orang Islam tentang bahaya yang akan menimpa. Namun sekiranya dilihat dari suatu sudut yang lain, bukankah itu merupakan tindakan ‘ meludah ke langit’.

Para ahli agama di negara ini seharusnya menceritakan tentang keadaan itu dan disamping itu dijelaskan juga tindakan-tindakan yang sedang diambil oleh Majlis Agama Islam setiap negeri. Ahli agama tidak harus menyalahkan golongan itu dan golongan ini yang menyebabkan keadaan sedemikian. Tidak perlulah menyalahkan orang lain, walaupun aku tidak setuju sekiranya kesalahan itu diletakkan seratus peratus ke atas bahu ahli agama.

Aku berpendapat bahawa sudah sampai masanya orang Melayu dan kerajaan ( kerajaan pimpinan Melayu ) berhenti menyalahkan orang lain yang menyebabkan kaum Melayu masih mundur dalam segala lapangan. Kita perlu mengakui dengan ikhlas bahawa sebenarnya bangsa Melayu (termasuk aku) sememangnya bangsa yang lemah, berbanding dengan bangsa-bangsa yang maju di dunia.

Berbanding dengan kaum Cina, orang Melayu sememangnya lemah. Untuk menyatakan kepada orang Melayu luar bandar yang kita sudah maju, memerlukan penjelasan yang jitu. Jika dibandingkan dengan orang Melayu sebelum merdeka, memang betul orang Melayu kini sudah boleh dikira maju, tetapi jika dibandingkan dengan kaum lain (Cina misalnya), kita masih lemah dan masih banyak tindakan yang perlu dilakukan.

Kerajaan harus akui hakikat ini dengan ikhlas.

abuhassanadam

22 Oktober 2013

No comments:

Post a Comment