Sayup-sayup terdengar berita ( dari Malaysiakini) mengatakan bahawa DS
Anwar Ibrahim akan ke Australia minggu ini. Adelaide. Menyampaikan ceramah dan
khutbah Jumaat. Nampak semacam ramai yang ‘gelisah’ terutama pihak yang
sentiasa ‘gelisah’ mendengar nama ‘Anwar Ibrahim’, apatah lagi apabila mendapat
khabar yang DS Anwar akan berceramah.
Kadang-kadang aku tergelak juga apabila membaca berita sebegini.
Golongan ‘yang takutkan DS Anwar’ ini adalah seperti anak-anak kecil takutkan
hantu. Mereka akan ‘menggeletar’ apabila
disebut bahawa ‘di situ ada hantu’. Demikianlah keadaan ‘puak-puak’ ini yang
sentiasa ‘menggeletar’ apabila mendengar nama Anwar Ibrahim.
Aku pastinya ketawa besar apabila mendengar kisah pegawai dari JPA di
Australia yang mengeluarkan surat arahan ( melalui Email ) melarang
pelajar-pelajar di sana menghadhiri ceramah yang akan disampaikan oleh DS
Anwar. ‘Terpancut’ perkataan bxxxx dari mulut aku apabila melihatkan tindakan
pegawai berkenaan. Pegawai ini lupa bahawa seluruh dunia akan tertawakan
tindakannya itu. Nama negara Malaysia akan tercemar. Nama DS Najib sebagai
Perdana Menteri akan tercalar ekoran daripada tindakannya mengeluarkan surat
berkenaan.
Apa tidaknya…..
Malaysia kononnya mengamalkan demokrasi dan sebagai sebuah negara yang
mengamalkan prinsip demokrasi tentunya akan memberikan peluang seluas-luasnya
kepada rakyatnya memperkatakan sesuatu isu tanpa dihalang dan disekat. Apatah
lagi kepada pelajar-pelajar yang akan mendokong cita-cita dan aspirasa negara
pada masa hadapan. Kepada pelajar diletakkan harapan untuk menentukan arah tuju
negara pada masa hadapan. Justeru para pelajar seharusnya diberikan peluang
seluas-luasnya bagi mereka menimba ilmu sebanyak mungkin. Kepada para pelajar
jugalah seharusnya diberikan kebebasan untuk memperkatakan sesuatu, samada baik
atau buruk mengenai pentadbiran kerajaan Malaysia. Mereka sudah ‘dipantakkan’
dengan berbagai isu yang baik-baik mengenai pentadbiran negara. Dan apa
salahnya diberikan peluang kepada pelajar untuk mendengar pendapat yang
berlainan pulak.
Para pelajar seharusnya diberikan kebebasan untuk membuat penilaian.
Mereka bukanya bodoh. Mereka boleh berfikir yang mana betul dan yang mana
salah. Sekiranya apa saja yang disampaikan oleh penceramah tidak secocok dengan
pemikiran mereka, pasti mereka akan menolaknya. Lantas apakah rasionalnnya
pemergian mereka untuk menghadhiri program DS Anwar Ibrahim itu disekat dan
diberikan berbagai amaran. Aku tak faham tentang tindakan sedemikian.
Aku pernah juga berada dalam situasi begini. (Dan untuk pengetahuan
pembaca yang sudi membaca coretan ini, ingin aku tegaskan bahawa tujuan aku
menulis coretan ini bukan untuk bermegah dengan apa yang aku lakukan. Tidak
sekali. Hasrat aku menulis coretan itu semata-mata ( kalau boleh ) untuk dijadikan
panduan kepada pegawai-pegawai MSD yang sedang bertugas agar memberikan
bimbingan dan panduan yang sewajarnya kepada para pelajar kita yang bagi aku
seperti permata yang amat perlu digilap demi masa hadapan negara Malaysia
tercinta)
Aku pernah bertugas sebagai ‘penghulu dan penjaga’ pelajar Malaysia di
United Kingdom disekitar pertengahan tahun-tahun 1990an. Sebagai Pengarah
Jabatan Penuntut Malaysia di London (MSD). Pada ketika itu ada terdapat seramai
35,000 pelajar Malaysia di bawah ‘jagaan’ ku yang bertaburan di seluruh United
Kingdom – Wales, Scotland, Ireland dan England.
Selama tiga tahun setengah aku bertugas sebagai ‘penghulu’ tidak pernah
sekali pun aku cuba menyekat perkembangan aktiviti pelajar. Malah aku
memberikan galakan dengan memberikan berbagai isentif kapada mereka. Ada timbul
berbagai-bagai isu pelajar. Namun dapat diselesaikan dengan baik melalui
perbincangan dan dengan keterlibatan secara aktif para pemimpin pelajar. Ramai
para pelajar pada ketika itu yang menyerlah dan kini sebagai pemimpin
organizasi/masyarakat. Antaranya ialah Saudara-saudara Dr. Fuad Zarkashi , Rafizi Ramli , Dr. Mizan Hitam dan yang amat
menyedihkan aku ialah kehilangan ‘sebutir permata’ yang amat berharga yang
pernah aku ‘gilap’ untuk dijadikan permata menerangi negara, tetapi malangnya
Tuhan lebih menyayanginya. Allahyarham Adlan Benan Omar (mentor kepada Rafizi)
seorang pelajar University Cambridge telah lebih awal meninggalkan kita.
Terlanjur dan ‘terbawa-bawa’ pula aku menceritakan kisah yang agak
terkeluar daripada tajuk. Terus terang aku katakan sehingga kini ‘pelajar’
sememangnya dekat dengan hati ku. Kadang-kadang aku terlalu emosional
mengenangkan ‘ketidakadilan’ yang menimpa pelajar terutama yang berkaitan
dengan kebebasan bersuara mereka. Sebagaimana yang telah aku katakan tadi bahwa
aku telah memberikan kebebasan yang seluas-luasnya kepada pelajar-pelajar
Malaysia di UK pada ketika itu. Dan tidak pernah pula berlaku sebarang aktiviti
‘biadap’ yang dilakukan oleh mereka. Sebarang aktiviti yang dianjurkan oleh
mereka akan dirujukkan kepada aku terlebih dahulu dan tidak pernah pula aku
memberikan jawapan ‘NO’ kepada kegiatan yang aku rasa boleh memberikan manfaat
dan membantu syahsiah mereka.
Aku tidak pernah melarang penceramah-penceramah dari Malaysia datang
untuk menyampaikan ceramah. malah aku amat menggalakkan. Seingat aku pernah beberapa
kali pemimpin dari parti pembangkang datang ke UK untuk menyampaikan ceramah.
Aku benarkan. Malah aku telah menghantar pegawai untuk mengiringi penceramah
berkenaan. Seingat aku, Yang Berbahagia Datuk Haron Din telah beberapa kali
datang ke UK untuk menyampaikan ceramah kepada pelajar yang dihadiri oleh
ratusan pelajar Malaysia.
Aku tidak faham dan terus tidak faham mengapa pegawai JPA di Australia melarang
para pelajar kita untuk mendengar pendapat yang berbeza dari penceramah yang
mempunyai kelaianan pendapat dan berbeza dengan pendapat pihak pemerintah.
Aku sungguh-sungguh tak faham…..
abuhassanadam
17 Oktober 2013
No comments:
Post a Comment