MENTERI TIDAK BERADA DI PARLIMEN KETIKA KETUA PEMBANGKANG MEMBAHASKAN BAJET
Banyak sungutan rakyat aku dengar terhadap kepimpinan UMNO
terutamanya pemimpin UMNO yang juga sebagai pemimpin negara. Tuduhan yang
mengatakan pemimpin UMNO mengamalkan politik wang dalam merebut sesuatu jawatan
dalam UMNO sudah merupakan perkara biasa dalam perbualan-perbualan kedai kopi
dan dikalangan para eksekutif. Sudah ‘mangli’ kata orang Utara. Semacam sudah
menjadi asam garam kehidupan dalam budaya UMNO. Dituduh juga bahawa kebanyakan
pemimpin UMNO mengamalkan rasuah dan kronisme. Dan banyak lagi ‘amalan-amalan’
yang bertentangan dengan budaya dan agama yang dilakukan secara berleluasa oleh
pemimpin UMNO. Dari pemimpin kecil di peringkat bawahan sehinggalah ke pemimpin
atasan yang menerajui kepimpinan negara.
Diberitakan bahawa ketika DS Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang
membahaskan tentang belanjawan negara 2014, DS Mohd Najib dan TS Muhyiddin
beserta beberapa orang menteri yang lain tidak berada di parlimen untuk
mendengar ulasan ketua pembangkang itu. Aku tidak tahu sangat tentang prosedur
di parlimen. Mungkin agaknya Menteri Kewangan tidak semestinya berada di
parlimen ketika belanjawan itu dibahaskan kerana berkemungkinan apa perlunya
beliau berada untuk mendengar perbahasan demikian. Mungkin begitu prosedur di
parlimen. Agaknya…
Namun pada amalan yang sudah-sudah, kebiasaannya Menteri Kewangan
sepatutya berada di parlimen mendengar hujah-hujah yang dikemukakan oleh ketua
pembangkang. Sayugia diingatkan bahawa perbahasan di parlimen bukan berbentuk peribadi.
Bukan personal. Menteri Kewangan membentangkan bajet untuk negara dan dibahaskan
oleh DS Anwar Ibrahim selaku ketua pembangkang. Bajet yang menyentuh seluruh
rakyat Malaysia bukan hanya sekadarkan kehidupan ahli UMNO atau ahli Pakatan
Rakyat. Dan seharusnyalah Menteri Kewangan mendengar hujah-hujah yang
disampaikan oleh Ketua Pembangkang demi kebaikan seluruh rakyat dan negara.
Pasti ada perkara-perkara yang tidak kena yang terdapat dalam bajet berkenaan.
Lanatas diperbetulkan. Yang baik diteruskan. Sekiranya ada yang perlu
dibahaskan, maka perlulah dibahas dan dipertahankan. Dan bukan agaknya dengan
cara meninggalkan parlimen.
Lantas tindakan DS Mohd Najib, TS Muhiyuddin Yassin dan beberapa
orang menteri kabinet lain yang tidak hadhir mendengar perbahasan berkenaan rasanya
amatlah tidak kena. Aku tidak dapat ‘mencari’ rasionalnya mereka meninggalkan
dewan yang mulia pada hari berkenaan. Mungkin alasan DS Mohd Najib boleh
diterima kerana pemergiannya bertugas di London. Mungkin. Tetapi bagi
menteri-menteri lain ( mungkin boleh juga dicarikan alasan) tentulah luar biasa
keadaannya dengan tidak hadhir mendengar hujah dari ketua pembangkang, yang
menyampaikan inputnya semata-mata untuk membaiki dan memperbetulkan dimana yang
perlu diperbetulkan dalam bajet berkenaan.
Rakyat umum merasakan bahawa tindakan para pemimpin negara bersikap
demikian tentulah tidak berapa betul. Dan aku mengharapkan begitu jugalah hendaknya
pandangan daripada ahli-ahli UMNO yang berjumlah berjuta orang diseluruh
negara. Rakyat terbanyak mengharapkan ahli UMNO seluruh negara turut menyatakan
rasa sedih dan dukacita terhadap perlakuan yang ditunjukkan oleh pemimpin
mereka yang rata-ratanya merupakan pemimpin tertinggi dalam kerajaan. Menteri.
Timbalan Menteri dan ahli parlimen.
Ahli UMNO sudah berjaya memberikan sumbangan yang besar kemenagan BN
dalam PRU 13 yang lalu dan sepatutnya ahli UMNO juga boleh memberikan sumbangan
dalam bentuk memerhatikan gerak geri pemimpin yang mereka pilih itu. Adalah
menjadi tugas ahli UMNO juga untuk menegur dimana yang tidak kena yang
dilakukan oleh pemimpin-pemimpin mereka.
Peranan saudara adalah penting untuk membetulkan kedudukan dalam
negara. Hanya ‘kata-kata’ saudara yang ‘didengar ‘ oleh para pemmpin saudara.
Kata-kata rakyat biasa seperti kami tidak akan dipedulikan oleh
pemimpin-pemimpin saudara. Saudara boleh memainkan peranan dalam hal ini
sepertimana peranan yang pernah dimainkan oleh ahli UMNO pada suatu ketika
dahulu. Misalnya peranan yang pernah dimainkan oleh Tan Sri Syed Jaafar Albar, yang pernah menerajui
Pemuda UMNO. Pemuda UMNO ketika itu digelar GINGER GROUP atau Kumpulan Halia
yang sentiasa pedas dan memijarkan.
“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang wujud ketika ini telah
melalui pelbagai proses kematangan dan cabaran sejak mula
ditubuhkan. Ia telah banyak melahirkan pemimpin-pemimpin Negara yang
berkaliber dan disegani, dan sentiasa menekankan soal kepentingan bangsa Melayu
sebagai intipati perjuangannya. Biarpun pergerakan ini dIterajui silih
berganti, tetapi asas perjuangannya tetap sama, iaitu sebagai kumpulan pendesak
dan pembela terhadap pelbagai isu membabitkan agama, bangsa dan Negara.
Pemuda UMNO sentiasa berperanan selaku sayap kanan kepada badan induk UMNO yang
menjadi tunjang pemerintahan Negara sejak Pilihanraya Umum 1955.
Sejak sebelum mencapai kemerdekaan, pendekatan yang digunakan
Pemuda UMNO sentiasa digeruni dan dihormati oleh kawan dan lawan.
Pendekatan yang sentiasa tegas , lantang dan berani adalah imej sebenar Pemuda
UMNO. Setiap isu yang mencabar kepentingan agama, bangsa dan Negara akan
diladeni oleh Pemuda UMNO) dengan nadanya yang tersendiri, sehinggakan
kadang-kala merunsingkan kepimpinan induk UMNO. Tetapi itulah cara Pemuda
UMNO, yang pantang dicabar dan sanggup melakukan apa sahaja demi maruah agama,
bangsa dan tanahair” Oleh : Mohd Khusairi Abdul
Talib
Ahli UMNO kini
terutamanya pergerakan pemuda harus merenung sedalam-dalamnya kata-kata dalam
petikan di atas. Persoalannya ialah ke mana hilangnya ‘taring’, ‘sengat dan
bisa’ ahli UMNO kini berbanding dengan UNNO zaman lampau. Apakah ahli UMNO kini
sudah melupakan slogan perjuangan asalnya dan menukarkan dirinya menjadi ‘yes
-men’ yang boleh ‘dibeli’ dan diperkotak-katikan.
Seingat akulah,
pada zaman dulu-dulu ( sebelum 1980an) setiap pemimpin UMNO yang terpilih samada
di peringkat Cawangan, Bahagian atau pun peringkat Majlis Tertinggi adalah terdiri
dari pemimpin yang kredibel, bebas dari sebarang skandal atau rasuah. Sememangnya
yang terpilih itu adalah pemimpin yang betul-betul berwibawa ditinjau dari segi
mana sekalipun. Itulah kebijaksanaan yang dipamerkan oleh ahli UMNO terdahulu.
Mereka bebas untuk melakukan pilihan mereka. Dan selalunya mereka membuat
pilihan yang tepat. Walaupun mereka tidak memiliki pendidikan yang tinggi,
namun mereka terdiri dari manusia yang bersih dari sebarang gejala yang
negatif. Lantas mereka juga memilih pemimpin yang tidak rasuah, yang tidak
terpalit dengan mana-mana skandal. Lantas dihormati oleh rakyat terbanyak
termasuk yang bukan ahli UMNO.
Jauh sekali dari
dipengaruhi oleh politik wang sebagaimana yang didakwa oleh Tun Mahathir itu.
abuhassanadam
31 Oktober 2013
No comments:
Post a Comment