Friday, October 18, 2013

LAYAKKAH MEREKA (bakal Naib presiden UMNO) MENJADI PEMIMPIN MASYARAKAT MALAYSIA?

LAYAKKAH MEREKA (bakal Naib presiden UMNO)  MENJADI PEMIMPIN MASYARAKAT MALAYSIA?

YB Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, “Saya melihat mereka ( akar umbi) mahukan muka baru dalam kepimpinan parti. Mood orang UMNO ketika ini mahukan orang muda dan orang baru walaupun mereka orang lama tetapi tampil dengan idea baru itu diterima’ Sinar Harian- 18 Oktober 2013.  Aku amat setuju dengan pendapat beliau.

Tentulah agak keterlaluan sekiranya aku membuat kesimpulan yang mengatakan bahawa semua calon yang bertanding dalam merebut jawatan Naib presiden UMNO itu tidak layak. Namun aku terpaksa menyoal diri aku pulak tentang layak tidaknya calon-calon itu dipilih ke jawatan berkenaan. Aku mempersoalkan demikian kerana ‘bench-mark’ yang perlu dilepasi oleh calon-calon berkenaan bukannya mudah untuk mereka melayakkan diri mereka ke tampuk berkenaan sekiranya dikukur dari perspektif umum, sebagaimana yang dikatakan oleh YB Datuk Abdul Rahman Dahlan itu.

Bertolaknya aku mempersoalkan keadaan demikian adalah  berdasarkan kepada keadaan dunia global kini yang memerlukan pemimpin yang bukan calang-calang kebolehan dan kemampuan. Tidak mudah untuk menjadi pemimpin untuk mengharungi Kurun ke21 yang penuh dengan cabaran dan halangan. Atas dasar itulah aku membuat kesimpulan bahawa semua calon yang bertanding untuk merebut jawatan Naib Presiden UMNO itu perlu meletakkan diri mereka setanding dengan pemimpin dunia sebelum layak untuk menjadi pemimpin rakyat Malaysia. Dan mungkin hanya sesuai untuk memimpin ahli pertubuhan UMNO, sekiranya ahli UMNO keseluruhannya berpendapat begitu. Mungkin!....

Tentulah agak keterlaluan juga kenyataan aku yang sebegini. Namun aku terpaksa menyatakan secara jujur dan ikhlas. Apakah adil aku menggunakan kayu ukur sedemikian untuk menentukan layak tidaknya seseorang calon itu.

Ditinjau dari sudut pemikiran adat dan adab orang Melayu lama, jelas menunjukkan bahawa tindakan setengah calon yang dianggap sebagai pemimpin itu bertentangan dengan amalan masyarakat Melayu lama. Walaupun sistem perundangan di Malaysia tidak mensabitkan kesalahan setengah calon yang bertanding, namun pada pandangan masyarakat umum merasakan bahawa calon-calon sedemikian tidak layak untuk bertanding jawatan demikian disebabkan pembabaitan mereka berkaitan dengan soal rasuah dan salah guna kuasa. Itu pandangan masyarakat umum. Namun aku perhatikan pandangan umum berbeza sekali dengan pandangan dan tanggapan ahli UMNO.

Aku berkata begitu kerana telah terbukti bahawa ada calon-calon yang terbukti melakukan kesalahan dan dirasakan ‘bersalah’ oleh sebahagian besar masyarakat di Malaysia dan yang sepatutnya tidak layak memimpin sebuah pertubuhan besar seperti UMNO. Namun begitu perwakilan UMNO masih melantik pemimpin yang sudah jelas terpalit dengan ‘kebusukan’. Atas sebab itulah aku sentiasa merasakan bahwa cara berfikir perwakilan UMNO amat berbeza dengan cara berfikir masyarakat umum di Malaysia. Dengan sebab itu jugalah amat sukar diramalkan siapakah yang akan memenangi pemilihan jawatan Naib Presiden UMNO nanti.

Masyarakat Malaysia sememangnya tidak boleh meramalkan siapakah yang akan menang nanti sebab kayu ukur yang digunakan oleh perwakilan UMNO amat berbeza dengan kayu ukur yang digunakan oleh masyarakat umum. Sepatutnya calon yang sudah terpalit dengan kes-kes rasuah atau salah guna kuasa tidak harus dilantik untuk menjadi pemimpin UMNO, namun hal yang sedemikian tdak menjadi halangan langsung kepada perwakilan UMNO berdasarkan kepada beberapa keadaan yang lampau.

Kebanyakan pemimpin UMNO tidak merasa segan dan silu untuk melakukan perkara terlarang – yang dilarang oleh agama Islam ataupun yang bertentangan dengan adat dan akal budi orang Melayu. Aku perhatikan hal yang sebegini tidak diendahkan langsung oleh setengah ahli UMNO. Kegaiatan politik wang amat berleluasa dalam budaya UMNO. Ini diakui sendiri oleh para pemimpin UMNO bahawa sememangnya wujud budaya yang dinamakan politik wang dalam pemilihan UMNO dan juga dalam Pilihan raya umum. Walaupun ada usaha pencegahannya namun ia tetap dilakukan secara berleluasa. Mungkin usaha pencegahannya tidak dilakukan secara bersungguh-sunggguh atau mungkin juga disebabkan ‘wabak’ sedemikian terlalu serious sehinggakan tidak terdaya untuk mencegahnya. Ataupun mungkin yang ditugaskan untuk mencegah kegiatan itu juga terlibat dalam kegiatan yang sedemikian sepertimana yang dikatakan oleh orang putih, ‘ you scratch my back and I will scratch yours’. Mungkin….

Kadang-kadang kita ( yang bukan tergolong dalam budaya UMNO) merasa hairan bagaimana seseorang pemimpin yang sudah jelas tercalar kredibilitinya ( dengan bukti-bukti yang kukuh tentang kecalarannya) masih dipilih sebagai pemimpin oleh ahli-ahlinya. Masih diagungkan. Masih disanjung dan dipuja. Dan yang ‘terkena’ dan ‘terpalit’ pula masih tidak merasa malu dan tebal muka untuk menjadi pemimpin. Dan ramai pula para pengikutnya yang mempertahan dan membela perbuatannya yang terkutuk itu. Seolah-olah tidak ada apa kesalahan yang berlaku. Fenomena sebegini sedang menular di Malaysia kini yang mungkin juga mempengaruhi pemikiran generasi terkemudian yang beranggapan bahawa ‘tidak ada salahnya berkelakuan sedemikian’ walaupun sudah jelas kesalahan dilakukan.

Kegiatan perlakuan pemimpin yang sedemikian sedang menular. Dengan sendirinya memperlihatkan bahawa tidak ada salahnya melakukan kegiatan rasuah apabila perbuatan sedemikian seolah-olah sudah disahkan sebagai perbuatan tidak bersalah dan berdosa. Apatah lagi apabila mereka menggunakan kenyataan ‘ keramat’ yang menyatakan bahawa, ‘tidak salah seseorang itu selagi tidak dibuktikan bersalah oleh mahkamah’

Maka akan dilaungkanlah dan dipekik-terlolongkan slogan itu kepada masyarakat umum, walaupun sudah ada bukti jelas yang menunjukkan seseorang pemimpin itu bersalah. Sudah jelas terbukti bahawa seseorang pemimpin itu tersalah laku. Dengan sebab itulah aku mempersoalkan bahawa layakkah calon-calon ini dipilih untuk menjawat jawatan Naib presiden UMNO itu sekiranya diukur dari segi pemikiran masyarakat umum di Malaysia.

Namun begitu sekiranya diukur dari segi pemikiran dan amalan perwakilan UMNO sememangnya kesemua calon-calon itu amat layak untuk menjadi pemimpin mereka berdasarkan tindakan perwakilan UMNO sebelum ini ketika mereka melantik Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan Ketua Puteri UMNO.

Fikirkanlah..........

abuhassanadam

18 Oktober 2013

1 comment:

  1. Akan tiba klimaks,Orang Melayu Malaysia yang solid Pro-Islam dan yang masih terkial-kial didalam pusaran sekular.Fenomena di negara luar akan tiba giliran nya untuk Malaysia merasai bahang tersebut.

    Apa macam ada pendapat dan pandangan lain...???

    ReplyDelete