APAKAH INI KEMENANGAN JAGUH
KAMPUNG?
Aku
membayangkan keadaan yang berlaku di PWTC ketika pengumuman para ‘pemenang’
pemilihan UMNO seperti suatu keadaan dan suasana ketika Pak Kaduk merayakan
kemenangannya apabila ‘ayamnya’ menang dalam pertandingan sabung ayam. Terlonjak
dan terpekik terlolong. Tahniah sana dan tahniah sini. Salam sana dan salam
sini. Peluk sana dan peluk sini dengan iringan ketwa dan hilai yang
berdekah-dekah. Rupanya hilaian dan ketawa Pak Kaduk itu mengiringi nasib ayam
kalah bersabung dan kampung yang tergadai.
Aku
petik ‘suasana’ demikian,
“……..Wah apatah
lagi ia pun tiadalah sedarkan dirinya seraya bertepuk tangan dan bersorak serta
melompat-lompat lalu menyerukan tuah ayamya itu. Maka oleh tersangat bertepuk
dan melompat itu, habislah pecah bercarik-carik seluar dan baju kertasnya itu,
bercabiran berterbangan oleh angin berkeping-keping kesana kemari
bercampang-camping. Maka Pak Kadok pun tinggallah berdiri ditengah khalayak
yang banyak itu dengan bertelanjang bogel sahaja. Hatta demi dilihat oleh
baginda dengan sekalian orang besar-besar dan rakyat, tentera hina dina
sekalian akan hal Pak Kadok ini, semuanya tertawa serta bertepuk tangan dengan
tempek soraknya kesukaan melihat temasya Pak Kadok itu. Demikian juga baginda
pun tertawa bersama-sama……” petikan dari cerita rakyat Malaysia susunan Muhamad Amir Hamzah
bin Zahinor.
Rakyat
umum mengharapkan bahawa para pemimpin yang dipilih harus sedar bahwa mereka
dipilih hanya oleh sebahagian dari rakyat Malaysia – orang Melayu yang menganggotai
UMNO. Dan sebahgian lagi rakyat Malaysia belum tentu dapat menerima mereka
sebagai pemimpin mereka. Namun disebabkan oleh cara pemilihan untuk menentukan
pemerintahan di negara sudah sedemikian caranya, maka secara kebetulan UMNO
(BN) yang memerintah negara ini. Dan pemimpin UMNO yang terpilih ini secara
langsung pula akan menjadi pemimpin rakyat Malaysia keseluruhannya.
Persoalan
yang ada dihadapan kita ialah, apakah pemimpin-pemimpin yang dipilih ini sudah
betul-betul bersedia untuk menjadi pemimpin rakyat Malaysia dalam erti kata
yang sebenarnya. Jawapan mereka tentulah ‘YA’. Bagaimana pula jawapan dari
rakyat Malaysia yang lain? Aku tidak pasti……
Mungkin
ramai ahli UMNO yang menjawab soalan yang aku kemukakan itu dengan jawapan,’
persetankan pandangan orang lain……bukankah negara ini milik Melayu. Biarlah
orang Melayu yang menentukan jatuh bangunnya dan maju mundurnya..’ Mungkin
begitu jawapan ahli UMNO yang angkuh.
Aku
yakin ramai ahli UMNO yang berpendapat begitu. Aku yakin juga bahawa ramai ahli
UMNO sudah lupa bahawa mereka adalah merupakan sebahagian kecil daripada
penduduk Malaysia yang terdiri dari berbagai kaum itu. UMNO (BN) bernasib baik
dapat meneruskan pemerintahan negara ini disebabkan penentuan kemenangan untuk memerintah negara ini berdasarkan
bilangan kerusi bukan undi popular. Sekiranya berdasarkan undi popular maka
sudah tentu pemerintahan akan berpindah tangan kepada Pakatan Rakyat.
Dan
satu perkara yang juga perlu disedari oleh ahli UMNO bahawa peratus orang
Melayu yang menyokong UMNO tidaklah sebagaimana yang difikirkan oleh mereka.
Hakikat ini jangan dientengkan. UMNO mungkin masih bernasib baik memiliki hati
dan perasaan kebanyakan orang Melayu adalah disebabkan oleh kurang terdedahnya
kebanyakan orang Melayu kepada maklumat daripada media-media sosial. Dan
tentunya masih ramai lagi orang Melayu yang tergolong dalam istilah ‘buta
maklumat’ diukur dari segi suasana masyarakat global kini.
Dengan
perkembangan dunia yang begitu pesat kini, tentulah akan berlaku juga perubahan
cara berfikir dikalangan orang Melayu dalam masa terdekat. Amat ketara tentunya
perubahan cara berfikir dari kalangan anak muda, yang semakin hari semakin
ramai yang terdedah dengan perkembangan yang berlaku diseluruh dunia yang
diledakkan oleh sumber maklumat – media sosial.
Perwakilan
UMNO sudah membuat penentuan tentang siapa yang mereka pilih sebagai pemimpin
mereka. Membayangkan tentang kriteria dan pertimbangan yang telah mereka
gunakan untuk memilih pemimpin mereka. Apakah mereka peka dengan perkembangan
semasa dunia yang boleh dijadikan kayu ukur bagi mereka membuat pilihan
pemimpin mereka. Mungkin. Ataupun mungkin tidak…Mungkin mereka tidak terfikir
langsung bahawa pemimpin yang mereka pilih
itu akan mewakili negara di beberapa persidangan antarabangsa dimana
kehebatan negara Malaysia akan diukur dari segi pemimpin negara yang kita
tampilkan. Ataupun mungkin juga para perwakilan UMNO tidak langsung memikirkan
bahawa yang dipilih nanti akan ‘bersepak-terajang’ di pentas dunia setaraf
dengan pemimpin dunia yang lain.
Mungkin
ada difikirkan hal yang sedemikian oleh para perwakilan UMNO. Namun disebabkan
sudah tidak ada rotan maka tentunya akar juga berguna. Mungkin begitu pandangan
mereka. Yang pastinya mereka memilih seorang jaguh….walaupun dianggap sebagai
jaguh kampung oleh setengah pihak.
abuhassanadam
20
Oktober 2013
No comments:
Post a Comment