Friday, October 25, 2013

CAMERON HIGHLANDS BUKAN KEBUN SAYUR

CAMERON HIGHLANDS BUKAN  KEBUN SAYUR

Ekoran daripada banjir lumpur yang menyelubungi Cameron Highlands, maka tempat ‘peranginan’ ini menjadi buat mulut rakyat Malaysia kini.

Aku yakin tujuan utama British ‘membuka’ Cameron Highlands bukan untuk dijadikan sebagai kebun sayur ( walaupun ada juga disebut oleh Hugh Low untuk menjadikan tempat ini sebagai kebun sayur) dan bukan juga untuk dijadikan tempat bangsa Bangla, Indon, India sebagai tempat ‘mencari makan’. Dan aku yakin juga kerajaan British sanggup mengarahkan William Cameron untuk melakarkan peta kawasan ini pada tahun 1885 dan membina jalan raya yang berbengkang bengkok menuju ke Cameron Highlands adalah untuk memudahkan perjalanan mereka ke sana yang dianggap oleh mereka sebagai ‘negara’ mereka yang kedua kerana cuaca dan hawa sejuknya yang menyamankan.

“Cameron Highlands was a haven for the British who were station in Malaya as it provided relief from the hot and humid tropical climate of the lowlands.Once the road was constructed, wealthy residents and British government officials started building retreats on the slopes of the highlands. Later some settled here permanently and a business community developed……..’ Cameron Highlands.com

Itu tujuan British ‘mewujudkan’ Cameron Highlands. Dan bukan untuk dijadikan sebagai kebun sayur yang terbesar di negara ini yang boleh membekalkan sayur-sayuran kepada penduduk Malaysia dan ada juga yang dieksport ke Singapura. Dan British membina jalan raya bukan untuk menyenangkan para penanam sayur di Cameron Highlands mengangkut sayur-sayuran mereka untuk dieksport.

Jikalau ada pun hasrat British untuk menjadikan Cameron Highlands sebagai pusat pertanian ialah pembukaan ladang tea yang dibuka oleh seorang saudagar British yang bernama J.A Russel pada tahun 1929. Beliau amat yakin tentang permintaan yang begitu tinggi terhadap barangan ini walaupun pada ketika itu sedang berlaku kemelesetan ekonomi dunia. Dan ladang tea ini sudah pun menjadi tarikan yang amat menarik.

Pada tahun-tahun 60an dan 70an sememangnya aku selalu ke Cameron Highlands. Dari Kuala Kangsar bukan jauh mana pun. Kadang-kadang dalam perjalanan balik kampung, singgah semalam di Cameron Highlands. Ikut cara orang putih konon!.. Bercuti. Berehat…. Menikmati suasana  udara yang aman damai. Konon….Sedangkan jikalau dibandingkan suasana di kampung aku lebih enak dan nyaman daripada Cameron Highlands. Tak perlu keluar duit untuk menyewa hotel dan makan untuk keluarga. Semua percuma. Dan dapat mengembirakan hati emak bapak lagi kerana kehadiran anak cucu.

Cameron Highlands sememangnya cantik pada ketika itu. Maklumlah ‘angin’ penjajahan masih menguasai Cameron Highlands. Maksud aku budaya orang putih masih menguasai Cameron Highlands. Maksud aku cara pengurusan rumah-rumah rehat, kawasan-kawasan rekreasi masih terjaga dan tersusun. Tidak ramai yang ‘berani’ datang ke Cameron Highlands untuk bermalam di sini disebabkan bayaran rumah penginapan yang agak mahal. Jikalau adapun pelawat yang datang ke Cameron Highlands akan pulang pada hari yang sama.

Pendek kata Cameron highlands pada ketika itu sememangnya sesuai sebagai tempat percutian bagi orang bandar yang sememangnya mahu ‘lari’ daripada keadaan hiruk pikuk di bandar. Memang kenalah dengan hasrat penjajah British mewujudkan Cameron Highlands sebagai tempat peranginan yang hampir sama dengan suasana di England.

Kini Cameron Highlands sudah berubah wajah. Bukan sebagaimana Cameron Highlands yang aku kenali. Dan kadang-kadang aku terfikir bahawa untuk apa aku pergi ke Cameron Highlands. Sekiranya tujuannya untuk bercuti dan menghirup udara segar disana, maka apakah akan aku dapat menikmati suasana sedemikian di Cameron Highlands lagi sebagaimana yang dapat aku ‘hirup’ pada tahun-tahun 60an dan 70an dahulu.

Kadang-kadang terlintas juga difikiran aku, apakah perlunya aku ke Cameron Highlands untuk menempuh ‘azab sengsara’ kesesakan lalu lintas ( terutama pada musim cuti sekolah) yang hampir sama dengan kesesakan di Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur. Dan sekiranya aku ke Cameron Highlands itu untuk membeli sayur-syuran segar, maka apakah ‘segar benar’ sayur-sayuran di Cameron Highlands itu. Dan jikalau tujuan ke Cameron Highlands itu untuk ‘menyegarkan’ mata melihat kehijauan hutan di lereng-lereng gunung, maka apakah kehijauan yang dapat dilihat apabila lereng-lereng gunung sudah ditarah gondol.

Cameron Highlands Kurun ke 21 amat berbeza dengan Cameron Highlands pada Kurun ke 20. Hanya pengunjung seerti aku yang dapat membezakan Cameron Highlands ‘dahulu’ dan ‘sekarang’. Terlalu banyak bezanya. Dan tidak pula aku bertujuan untuk tidak menggalakkan sesiapa sahaja untuk ke Cameron highlands. Tujuan artikel ini aku tulis semata-mata untuk menyedarkan pihak-pihak tertentu agar memikirkan sesuatu tentang bagaimana untuk ‘memulihkan’ Cameron Highlands supaya dalam jangka masa panjang keadaan suasana nyaman disitu dapat dinikmati juga oleh anak cucu kita kemudian hari.

Keadaan yang tidak ‘berhati-hati’ ini juga boleh menyebabkan berlaku bencana alam dalam bentuk lain pula. Eloklah difikirkan dan tindakan yang perlu diambil.

abuhassanadam
25 Oktober 2013


No comments:

Post a Comment