Thursday, October 24, 2013

PENGUNDI SUNGAI LIMAU LEBIH MATANG

Sebagai anak kampung totok, aku berasa ‘panas’ apabila orang kampung atau anak kampung sentiasa ditonjolkan sebagai sesuatu yang negatif. Ditinjau dari aspek mana sekali pun. Yang tidak boleh berfikir dengan waras, diletakkan ke bahu orang kampung. Yang bodoh, tongong, tolol orang kampung juga dipersalahkan. Yang menyebabkan kekalahan Pakatan Rakyat dalam PRU 13 yang lalu diletakkan punca kekalahan itu pada orang kampung. Pendek kata orang kampung ( seperti aku ) digambarkan dengan imej yang gelap, buruk dan entah apa lagi.

Aku persoalkan juga. Betul ke?

Pastinya ramai yang menjawab akan bersetuju dengan kenyataan yang mengatakan bahawa orang kampung sememangnya lemah, tidak berdaya, boleh ‘dibeli’, tidak boleh berfikir dengan waras, mudah terpengaruh dengan kata-kata manis (walupun mengandungi racun berbisa), dan berbbagai-bagai lagi.

Jadi kesimpulan yang boleh dibuat ialah bahawa masyarakat Melayu 9di kampung-kampung) sememangnya tidak berubah semenjak wujudnya zaman Kerajaan Melayu Melaka sehingga hari ini. Ataupun masyarakat Melayu seperti di Kelantan dan Terengganu misalnya masih ditakuk lama sebagaimana yang digambarkan oleh Abdullah Munshi dalam bukunya ‘Kisah pelayaran Abdullah’. Dan apakah masyarakat Melayu masih lagi digelar sebagai ‘easy going’ dan ‘lazy’ sebagai yang digambarkan oleh R.O. Winstedt dalam beberapa buah tulisannya mengenai orang Melayu dalam zaman penjajahan Inggeris.

Justeru, salah siapa agaknya yang menyebabkan masyarakat Melayu di kampung terlalu ‘liat’ untuk melakukan perubahan. Apakah disebabkan budaya orang Melayu itu sendiri yang menyebabkan ramai orang Melayu di kampung ‘mengelakkan’ diri dari melakukan perubahan. Atau apakah kerajaan sendiri yang patut dipersalahkan kerana tidak menggerakkan perubahan dikalangan masyarakat Melayu luar bandar. Ataupun salah orang bukan Melayu ( kaum Cina misalnya) yang menyebabkan orang Melayu di kampung masih berada pada tahap sebagaimana masyarakat Melayu zaman sebelum kemerdekaan.

Kadang-kadang aku terfikir juga bahawa pihak kerajaan BN sekarang seolah-olah sengaja mahu membiarkan masyarakat Melayu di kampung berkeadaan sedemikian. Membiarkan masyarakat Melayu supaya terus tidak peka dengan keadaan yang berlaku disekeliling mereka. Membiarkan masyarakat Melayu supaya mendapat maklumat mengenai negara hanya melalui sumber berita yang disediakan oleh kerajaan sahaja. Membiarkan supaya orang Melayu di kampung terus ketinggalan dalam keadaan orang lain terus memacu kemajuan sebagaimana yang diperlukan dalam dunia tanpa sempadan ini. Pendek kata seolah-olah pihak kerajaan kini sengaja mahu membiarkan masyarakat Melayu di kampung terus menerus berada di bawah tempurung.

Bagaimana pula halnya dengan anak-anak kampung yang telah mendapat pendidikan hasil daripada beberapa rancangan yang diperkenalkan oleh kerajaan. Ramai yang telah menjejakkan kaki di university-univeristy dalam dan luar negara. Jikalau diperincikan, sememangnya ramai anak Melayu ( dari kampung juga) yang telah mendapat peluang melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat tinggi melalui ikhsan yang diberikan oleh kerajaan melalui Dasar Ekonomi Baru misalnya. Dan tentulah ramai juga para graduan yang mendapat pendidikan tinggi itu yang telah memegang berbagai jawatan dalam kerajaan. Dan ramai juga yang sememangnya anak kampung totok ( seperti aku).

Persoalannya mengapa masyarakat Melayu di kampung masih dianggap sebagai masyarakat yang tidak mahu membuat perubahan. Mengapa masyarakat Melayu di kampung sentiasa dipersalahkan apabila Barisan Nasional berjaya mengekalkan kedudukan mereka dalam PRU 13 yang lalu. Kononnya pengundi Melayu dari kampunglah yang memenangkan Barisan Nasional dalam PRU 13 berkenaan. Kononnya Barisan Nasional telah membelanjakan wang yang begitu banyak untuk menyogok orang Melayu di kampung-kampung untuk mengundi calon dari Barisan Nasional. Dan yang paling ketara sekali ialah kegiatan membeli undi dari kampung-kampung pendalaman Sabah dan Sarawak. Itulah yang merupakan persepsi dan pandangan umum.

Pilihan Raya Kecil Sungai Limau seharusnya cuba menepis segala tohmahan lampau yang mengatakan orang kampung boleh dibeli. Meneps pandangan yang mengatakan bahawa orang kampung tidak boleh berfikir dengan waras dalam menentukan calon mana yang berkaliber. Orang kampung boleh ‘cair’ sekiranya disogokkan dengan kain batik, beras, kopi, gula. Dan anak muda kampung akan mengikut telunjuk siapa sahaja sekiranya ‘diganti tayar motosikalnya’ atau ‘diberikan sepasa seluar jeans’.

Aku mengharapkan pengundi Sungai Limau akan menafikan semua tohmahan dan tuduhan yang aku lemparkan ini. Aku harap orang kampung Sungai Limau tidak begitu. Orang kampung Sungai Limau sememangnya berperibadi tinggi dan tidak boleh ‘digoncang’ pendirian mereka. Orang kampung Sungai Limau tidak mudah diperkotak-katikkan dengan janji-janji palsu yang pastinya akan dijanjikan dengan berbagai-bagai janji. Orang kampung di Sungai Limau akan membuktikan bahawa sebenarnya ‘orang kampung’ tidak sebagaimana yang pernah digambarkan secara negatif oleh kebanyakan orang.

Orang kampung Sungai Limau akan membuktikannya.

abuhassanadam

24 Oktober 2013

No comments:

Post a Comment