SYARATNYA BERAPA
HABUAN AKU DAPAT?
Sayup-sayup aku dapat khabar yang para perwakilan UMNO akan membuang
undi memilih calon-calon mereka pada peringkat tertinggi hari ini. Walaupun
ramai pemimpin yang mengatakan bahawa pemilihan ini tidak akan
‘memecah-belahkan’ UMNO, namun ia merupakan persoalan ‘hidup-mati’ juga bagi
mereka yang bertanding. Ini berkaitan dengan soal perut. Soal kenyang ke
tidaknya. Sekiranya menang dalam pertandingan nanti maka sudah terbayang akan
‘kekenyangan’ yang akan menjelma. Tidak pula bermakna yang akan tewas nanti
akan menjadi ‘lapar’ Tidak. Sebab calon yang bertanding kini sememangnya sudah
‘kenyang’ belaka. Yang diharapkan ialah agar lebih ‘kenyang’ sekiranya menang
dalam pertandingan nanti.
Apa pula kriteria yang seharusnya dimiliki oleh seseorang calon itu
untuk membolehkan dia dipilih? Tegasnya, mengapa seseorang itu patut dipilih.
Para perwakilan UMNO harus tahu dan sedar tentang hal ini, sebab merekalah yang
memilih. Dan tanggungjawab mereka bukan ringan juga untuk membuat penentuan
ini. Maklumlah yang dipilih oleh mereka akan menjadi pemimpin negara. Dan bukan
setakat pemimpin UMNO sahaja. Pemimpin yang mereka akan pilih nanti pastinya
pemimpin yang boleh diterima dan sesuai untuk mentadbir sebuah masyarakat
Malaysia yang terdiri dari berbagai kaum. Sungguhpun kemunculannya sebagai
pemimpin berasaskan tiket dan sokongan orang Melayu tetapi akhirnya akan juga
merupakan pemimpin Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan dll.
Kriteria yang digunakan oleh pemilih untuk memilih seorang pemimpin kini
tentulah berbeza dengan kriteria yang digunakan pada zaman-zaman kemerdekaan.
Aku teringat pada zaman-zaman awal tahun 60an ketika diadakan mesyuarat untuk
memilih AJK masjid di kampung aku. Setahun sekali. Ketika itu aku masih kecil
tetapi agak faham suasana mesyuarat, walaupun kehadiran aku di situ hanya
sebagai ‘pemerhati’.
Apabila aku kenangkan kembali suasa mesyuarat AJK masjid di kampung aku,
banyak perkara yang boleh dimenungkan yang agak berbeza dengan suasana kini.
Misalnya,
· Terlalu sukar bagi orang kampung untuk mencari pengerusi masijid. Ini tidak pula
bermakna yang kampung aku ketandusan orang yang berkebolehan. Ada. Bolehlah
dijadikan pemimpin setakat untuk menjadi pengerusi masjid. Soalnya ialah mereka
tidak mahu menonjolkan diri. Dilantik pun tidak mahu menerima lantikan itu. Mungkin
mereka merasakan bahawa mereka tidak layak untuk jadi pemimipin.
· Keadaan sebegini tentulah berbeza
dengan keadaan sekarang di mana, terdapat
‘tokoh-tokoh’ yang berebut-rebut untuk menjadi ketua dan pengerusi
masjid. Ada terdapat ‘pemimpin-pemimpin’ berkenaan terdiri dari mereka yang
jarang-jarang menjejakkan kaki di masjid. Apatah lagi mempunyai ‘kelulusan’
yang sesuai untuk menjadi pengerusi masjid.
· Arwah bapak aku adalah Bendahari masjid buat sekian lama. Kebiasaannya
beliau akan menang tak bertanding. Puas beliau menolak supaya jangan dipilih
semula. Namun setiap kali mesyuarat, beliau akan dipilih semula. Sebulat suara.
Sehinggalah pada suatu ketika dimana aku terpaksa merayu kepada ahli kariah masjid
agar arwah dilepaskan dari jawatan Bendahari. Yang agak uniknya mengenai arwah
bapak aku ialah, setiap kali diadakan mesyuarat tahunan masjid, beliau akan
membentangkan perbelanjaan masjid untuk setahun. Apa yang dilakukannya ialah
dengan membuka saputangan ( yang sudah lusuh) yang berisi wang masjid di
khalayak ramai. Sambil berkata, ‘ kiralah….’. Sememangnya tidak pernah ‘short’
walau satu sen pun. Malah wang yang tersimpan semenjak beberapa tahun lepas
masih ada dalam saputangan itu. Wang yang asal…….
Sengaja aku ketengahkan senario berkenaan untuk dibandingkan dengan
keadaan kini. Keadaan masyarakat Melayu ‘Baru’ konon!. Terutamanya orang Melayu
yang menjadi ahli UMNO. Tentulah sudah tidak terdapat lagi agaknya manusia yang
tidak mahu jadi pemimpin UMNO seperti yang akugambarkan itu. Dan tentulah tidak ada
lagi manusia yang bersifat amanah seperti mana yang dimiliki oleh Nabi Muhammad
dahulu. Mungkin jauh panggang dari api.
Rata-rata kita dapat ‘manusia’ kini sudah berani melanggar tatasusila
dan adat sopan masyarakat Melayu. Dan yang menghairankan ialah kebanyakannya sudah
mengenepikan ajaran agama mereka, walaupun mereka sering mennasihati pengikut
mereka agar sentiasa patuh kepada ajaran Islam!....
Jutseru apakah agaknya kriteria yang digunakan oleh para perwakilan UMNO
untuk memilih pemimpin mereka. Apakah mereka akan memilih pemimpin mereka
berdasarkan kelulusan yang ada pada calon berkenaan? Atau mereka akan membuat
pilihan berdasarkan kepada sifat amanah, jujur, ikhlas yang ada pada
calon-calon. ( Mungkin terlalu sukar agaknya bagi mereka untuk mencari calon
yang sedemikian).
Yang pastinya mungkin para perwakilan akan memilih calon-calon yang
boleh memberikan ‘kesenangan’ kehidupan mereka kelak. Mereka mengharapkan calon
yang mereka pilih nanti boleh memberikan ‘perlindungan’ dan boleh jadikan ‘tempat
bergantung’. Para perwakilan kini sedang ‘mengkaji’ dan ‘menghitung’ senario
berkenaan. Bagi mereka agaknya itulah kriteria yang amat penting. Mungkin
mereka tidak peduli samada pemimpin yang mereka akan pilih nanti terdiri dari
mereka yang telah ‘merompak’ ratusan juta ringgit wang negara yang
diagih-agihkan kepada sanak saudara nya. Mereka juga tidak peduli sekiranya
pemimpin yang mereka pilih nanti terdiri dari manusia yang zalim, bongkak,
tidak berperkemanusiaan. Jauh sekali agaknya
pertimbangan para perwakilan untuk memilih pemimpin yang berpegang pada
prinsip Islam yang sebenar yang segala tindak tanduknya sentiasa berlandaskan
prinsip Islam. Itu mereka tidak peduli.
Mungkin…..
Mungkin juga agaknya yang lebih penting bagi mereka ialah persolan, “
Berapakah agaknya habuan yang aku dapat?.......”
abuhassanadam
12 Oktober 2013
No comments:
Post a Comment