Monday, October 21, 2013

LIGA MALAYSIA MEMPERKUKUH ‘NASIONALISME KELANTAN’

LIGA MALAYSIA MEMPERKUKUH ‘NASIONALISME KELANTAN’

Hampir setiap perlawanan ( bola sepak khususnya) antara Kelantan dengan lawannya aku ikuti dengan teliti.  Baru-baru ini perlawanan antara Kelantan dengan ATM. Sebelum ini antara Kelantan dengan Johor. Walaupun aku tidak berpeluang berada di stadium bersama-sama dengan penonton, tetapi gelagat dan tempik-sorak peminat Kelantan aku perhatikan dengan penuh minat.

Aku bukan anak Kelantan tetapi ramai kawan dan rakan aku orang Kelantan. Oleh itu aku tahu jugalah sedikit sebanyak denyut-nadi anak Kelantan. Dan kadang-kadang ramai juga kawan-kawan  yang mempersoalkan mengenai ‘kesetiaan’ aku. Mereka tahu yang aku anak Perak jati, tetapi disebabkan  ‘kecondongan’ aku ke arah Kelantan dalam banyak hal, mereka mula mempersoalkan ‘kesetiaan’ aku.

Sebenarnya yang menyebabkan aku menjinakkan diri dengan anak Kelantan adalah berpunca daripada keinginan aku untuk mengkaji mengapa anak kelantan begitu berpadu, bekerjasama antara satu sama lain. Anak kelantan sanggup sehidup semati, Anak Kelantan boleh diibaratkan seperti aur dengan tebing yang mana sekiranya dicubit paha kiri paha kanan sakit.

Aku selalu menasihati kawan-kawan aku ( anak Kelantan) bahawa ‘keakraban’ yang dimiliki oleh anak Kelantan ini merupakan ‘pusaka’ yang paling bernilai dan jangan harus ‘dimusnahkan’ sampai bila-bila. Tidak mudah untuk terus menerus memiliki perasaan ‘keakraban’ yang sebegini. Ini yang aku anggapkan sebagai ‘nasionalisme Kelantan’ – suatu perasaan sayangkan ‘orang Kelantan’ dan akan melakukan apa saja demi untuk kepentingan anak Kelantan dan untuk kemajuan orang Kelantan dan seterusnya negeri dan Sultan kelantan.

Pada tanggapan aku, perasaan ‘nasionalisme’ yang sebegini hanya dimiliki oleh anak kelantan. Dan tidak ‘dimiliki’ oleh penduduk dari negeri lain. Perasaan sayang dan cinta kepada negeri asal wujud juga kepada penduduk dari negeri lain. Tetapi tidak seperti kesayangan dan kecintaan yang ditunjukkan oleh anak Kelantan kepada negerinya. Mungkin aku tersilap membuat andaian yang sedemikian. Namun begitu andaian aku adalah berdasarkan persepsi umum mengenai keadaan yang aku utarakan itu.

Ada juga yang melihat ‘nasionalisme Kelantan’ ini sebagai sesuatu yang negatif. Maksud aku, ada juga yang merasakan bahawa anak Kelantan tidak harus bersikap sedemikian apabila bergaul dan berinetraksi dengan penduduk dari negeri lain. Ada yang berpendapat bahawa anak Kelantan terlalu taksub kepada negeri Kelantan. Maksudnya anak Kelantan harus melupakan perasaan kenegeriannya.

Namun sekiranya diperhalusi dan difikirkan secara kritikal, apa salahnya memiliki perasaan sedemikian? Memiliki perasaan sedemikian tidak pula menyusahkan orang lain, malah kadang-kadang memberikan kesenangan pula. Apa bezanya perasaan ‘nasionalisme Kelantan’ dengan  perasaan sayangkan negara dan bangsa bagi orang Perancis misalnya? (Perbandingan yang aku kemukakan ini mungkin ditertawakan oleh ramai orang – terutama bagi ahli sejarah yang memperdalami konsep ‘nationalism’).

Bagi sesiapa yang pernah tinggal ataupun melawati Paris akan bertemu dengan keadaan dimana orang Perancis amat ‘benci’ kepada sesiapa sahaja yang menggunakan Bahasa Inggeris. Mereka lebih ‘rela’ sekiranya kita bertutur dalam Bahasa Melayu dengan mereka. Mereka akan menunjukkan reaksi yang negatif kepada sesiapa sahaja yang berkomunikasi dengan mereka menggunakan bahasa Inggeris. Maknanya mereka amat bangga dengan bahasa mereka dan amat benci (agaknya) kepada sesiapa pun yang menggunakan Bahasa Inggeris.

Dan orang Kelantan pun begitu juga. Mereka akan menggunakan loghat Kelantan apabila berkomunikasi dengan anak Kelantan. Jarang aku lihat mereka menggunakan bahasa baku ( atau pun loghat Kuala Lumpur) apabila berkomunikasi sesama anak Kelantan. Namun apabila berkomunikasi dengan ‘orang lain’ mereka akan menggunakan bahasa baku.

Persoalan yang ingin aku terokai kali ini ialah bagaimana perasaan ‘nasionalisme Kelantan’ ini boleh tersemai dan terus bersemadi dalam hati dan perasaan anak Kelantan sehingga hari ini tanpa terjejas walau sedikit pun. Aku mempersoalkan hal demikian kerana melihatkan kesusahan yang dialami oleh pemerintah Malaysia untuk menanamkan perasaan cintakan bangsa dan negara dikalangan rakyat Malaysia kini. Pemerintah Malaysia seharusnya belajar daripada pemerintah negeri Kelantan tentang bagaimana menanamkan sayangkan bangsa dan negara ini kepada rakyat Malaysia.

Sehubungan dengan itu, jangan pula diperkecilkan kemampuan rakyat Malaysia untuk bersatu dalam sebuah negara yang merdeka disayangi. Mengikut pemerhatian aku, tahun 1990an adalah merupakan sejarah gemilang bagi perpaduan di Malaysia. (mungkin ini hanya merupakan pandangan peribadi aku sahaja dan mungkin berbeza pendapat dengan orang lain).

Ada dua peristiwa yang masih berada dihadapan mataku yang menggambarkan tentang perpaduan yang cukup utuh dikalangan rakyat Malaysia pada tahun-tahun 1990an.

·      Kemenangan Malaysia mengalahkan Indonesia dalam pertandingan Thomas Cup pada tahun 1992 betul-betul menampakkan perpaduan yang cukup utuh dikalangan rakyat Malaysia. Sokongan padu bangsa Malaysia kepada pasukan negara pada ketika itu amat tidak berbelah bagi. Seolah-olah bangsa Malaysia bergerak sederap memberikan sokongan kepada pasukan badminton Malysia terutama apabila pangan beregu negara ( Rashid Sidik dan Razif Sidik) dapat menumpaskan pasukan beregu Indonesia)
·      Peristiwa yang boleh dijadikan ukuran tentang kentalnya semangat cintakan negara dikalangan rakyat Malaysia ialah apabila rakyat Malaysia merasa ‘terhina’ apabila tidak meletakkan bendera ‘Jalur Gemilang’ pada kereta mereka dalam bulan kemerdekaan. Hampir semua kereta meletakkan ‘Jalur Gemilang’ di kereta mereka. Dan ‘Jalur Gemilang’ bukan diperolehi secara percuma tetapi dibeli dengan harga RM10.00. Begitu tingginya semangat bangsa Malaysia terhadap negaranya.

Malangnya keadaan sedemikian tidak berlaku sekarang. Mengapa? Aku merasa sedih mempersoalkan perkara ini. Aku tidak tahu jawapannya. Mungkin pihak pemerintah tahu jawapannya dan sedang berusaha untuk  menyemarakkan semula perasaan sayangkan bangsa dan negara itu dikalangan rakyat Malaysia yang tercinta.

Sebaliknya ‘nasionalisme Kelantan’ terus subur bukan sahaja di negeri Kelantan tetapi di mana-mana sahaja yang terdapat anak Kelantan. Stadium Sultan Mughammad akan bergegar lagi pada jumaat ini apabila pasukan Kelantan akan bertemu dengan pasukan ATM lagi. Begitulah semangat yang ditunjukkan oleh anak Kelantan. Boleh juga dikatakan bahawa Liga Malaysia ini terus memperkukuhkan semangat ‘nasionalisme Kelantan’.

Perasaan sedemikianlah harus dimiliki oleh rakyat Malasyia.?


abuhassanadam

21 Oktober 2013

No comments:

Post a Comment