‘ALI BABA’ ADALAH
BUDAYA AHLI UMNO
Sayup-sayup aku dengar tentang usaha untuk menghapuskan amalan ‘Ali
Baba’ dikalangan orang Melayu. Sudah lama benar aku dengar tentang kisah
‘Ali-Baba’. Semenjak awal tahun-tahun 1960an kisah ‘Ali-Baba’ dikalangan orang Melayu
sudah memuncak. Dan memuncak jugalah usaha kerajaan untuk mencegahnya. Namun
tidak berhasil. ‘Ali’ dan ‘Baba’ masih bermaharajalela. Perniagaan ‘Ali-Baba’
sudah merupakan satu budaya dikalangan orang Melayu. Lebih kurang sama dengan
budaya balik kampung apabila menjelangnya Hari raya.
Satu hal yang aku tidak berapa setuju mengenai perniagaan ‘Ali-Baba’
ialah ia sentiasa dikaitkan dengan orang Melayu. Seolah-olah semua Melayu yang
berjaya dalam perniagaan di Malaysia terlibat dalam perniagaan ‘Ali-Baba’. Tak
betul. Ramai juga kawan-kawan aku yang menjadi jutawan, yang terlibat dalam
perniagaan bukan terlibat dalam perniagaan seperti ini. Mereka berjaya dalam
perniagaan yang mereka ceburi dengan daya usaha sendiri.
Yang pastinya, yang menjalankan perniagaan berasaskan perkongsian
‘Ali-Baba’ adalah terdiri daripada orang Melayu ( ahli UMNO). Tidak semua ahli
UMNO yang begitu juga. Tetapi kebanyakannya begitulah.Ini sudah merupakan
pendapat dan pandangan umum masyarakat Malaysia. Masyarakat Malaysia ( Melayu
dan bukan Melayu) menggelarkan mereka sebagai ‘ Jutawan Air Lior’. Mereka
dipanggil sedemikian disebabkan mereka hanya menjalankan pernagaan dengan
menggunakan ‘air lior’ sahaja. Mereka menggunakan ‘connection’ mereka untuk
melobi bagi mendapatkan projek yang disediakan oleh kerajaan. Setelah berjaya
mendapatkan projek berkenaan akan diserahkan kepada rakan kongsi mereka – ‘Baba’.
Bagi ahli UMNO tidak sukar untuk mendapatkan projek kerajaan disebabkan
yang akan menganugerahkan projek sedemikian adalah terdiri dari
‘sahabat-sahabat’ mereka juga yang berkuasa dalam kerajaan. Walaupun ada
peraturan-peraturan tetap yang memerlukan dipatuhi untuk mendapatkan sesuatu
projek kerajaan, namaun pihak berkuasa pastinya pula tahu ‘cara-cara’ tertentu
untuk mengelakkan daripada tertakluk kepada peraturan demikian. Ada syarat-syarat
tertentu untuk menyekat ‘direct negotiation’ untuk mendapatkan projek-projek
tertentu, namun kadang-kadang syarat ini ‘dilanggar’ begitu sahaja, semata-mata
untuk memberikan projek berkenaan kepada ‘rakan-rakan’ dalam UMNO yang
kemudiannya akan ‘meng Ali-Babakan’ kemudiannya.
Bagi aku konsep ‘Ali-Baba’ tidak jelek. Boleh dilaksanakan. Bagi aku tak
salah. Elok diadakan kerjasama perniagaan antara orang Melayu dengan kaum Cina
(khususnya). Orang Melayu sememangnya miskin. Bukan itu saja. Tidak ada
‘business acumen’ untuk menjalankan sesuatu perniagaan berbanding dengan kaum
Cina yang sudah sekian lama diketahui kepakaran mereka dalam menjalankan
pernaigaan. Dengan demikian tentulah tidak salah kerjasama demikian demi untuk
menjalankan sesutau projek kerajaan asalkan perniagaan yang dijalankan tidak
berat sebelah dan dapat sama-sama mendapat keuntungan.
Orang Melayu kena sedar bahawa sememangnya orang Cina sudah lama
terlibat dan berkecimpung dalam perniagaan. Kaji sahaja sejarah orang Cina.
Kaji Tamadun Hwang Ho. Maknanya semenjak 3000 tahun dahulu orang Cina sudah
memiliki satu peradaban besar dunia. Sudah maju dalam berbagai bidang termasuk
dalam lapangan perniagaan. Berbanding dengan peradaban orang Melayu khususnya
dalam lapangan perniagaan dan perdagangan agak jauh tertinggal. Dengan demikian
tidak salah sekiranya orang Melayu belajar dan menumpang ilmu perniagaan yang
dimiliki oleh orang Cina. Syaratnya dengan cara yang betul.
Yang tidak kenanya ialah sikap orang Melayu yang hanya mengaut
keuntungan segera dengan menyerahkan perniagaan kepada kaum Cina dengan harapan
mendapat keuntungan segera. Amalan ini sudah berjalan puluhan tahun lamanya.
Sudah berbagai-bagai langkah diambil bagi menyekat perkembangan yang tidak
sihat ini. Namun kegiatan sedemikian tetap berlaku dan terus berlaku.
Menjelang kemerdekaan telah tertubuh RIDA ( Rural Industrial Development
Authority ) yang bertujuan untuk mengalakkan masyarakat Melayu terlibat dalam
perniagaan kecil-kecilan pada tahun-tahun 1950an. Selepas Tanah Melayu mencapai
kemerdekaan dilancarkan pula Rancangan-Rancangan pembangunan untuk memajukan
Persekutuan Tanah Melayu/ Malaysia. Dan semenjak zaman itu lagi usaha memajukan
orang Melayu dalam perniagaan telah bermula sehinggalah kini. Dan semenjak
zaman itu jugalah konsep perniagaan ‘Ali Baba’ telah berjalan. Dan sememnjak
zaman itu juga usaha membasmi perlaksanaan konsep ini diteruskan dan masih
berterusan. Masih tidak berjaya.
Persidangan Agung UMNO yang akan datang seharusnya juga membincangkan
isu yang amat runcing ini. Memalukan orang Melayu ( ahli UMNO). Sepatutnya
direnungkan kembali kesilapan-kesilapan orang Melayu (UMNO) yang terus tidak
berjaya apabila terlibat dalam perniagaan. Seharusnya ditanyakan diri sendiri
apakah punca-punca yang berlaku demikian.
Namun begitu aku sangsi tentang kemampuan perwakilan UMNO untuk
membincangkan secara ikhlas tentang isu yang amat penting ini. Aku yakin ramai
yang merasakan bahawa mereka amat selesa dengan perniagaan berbentuk ‘Ali-Baba’
yang sedang mereka jalankan sekarang. Pastinya ramai ahli UMNO ( yang
terlibat dengan perniagaan ‘Ali-Baba’)
tidak mahu merungkai cara ‘Ali-Baba’ yang telah memperkayakan mereka. Mereka
tahu bahawa mereka hanya ‘makan kuah’ sedangkan orang lain menikmati ‘isinya’,
namun mereka juga tahu bahawa mereka
tidak perlu ‘susah-susah’ dan ‘memeningkan kepala’ untuk memikirkannya.
Diharapkan sikap sedemikian akan berubah segera…
abuhassanadam
16 Oktober 2013
No comments:
Post a Comment