Friday, October 11, 2013

MALAYSIA BUKAN HANYA MILIK MELAYU

MALAYSIA BUKAN HANYA MILIK MELAYU

Kita dapat rasakan betapa susahnya ‘orang tua’ kita dulu-dulu merangka untuk mendapatkan kemerdekaan negara daripada British. Berbagai-bagai syarat dikenakan oleh British untuk mengelak daripada memberikan kemerdekaan kepada kita. British telah meletakkan satu syarat yang pada pandangan British ketika itu amat sukar dicapai oleh kita, tiga kaum terbesar di Malaysia ia itu Melayu, Cina dan India ia itu ketiga-tiga kaum perlu bekerjasama untuk mencapai kemerdekaan. British tidak terfikr langsung yang ketiga kaum ini boleh bersatu di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman, Tan Cheng Lock dan Sambanthan. British tidak terfikir langsung yang ketiga-tiga kaum ini boleh ‘tidur sebantal dan mimpi yang sama’.

British sengaja meletakkan syarat bahawa selagi  ketiga-tiga kaum terbesar ini tidak bersatu, maka kemerdekaan Tanah Melayu tidak mungkin diberikan oleh British. British sengaja meletakkan syarat itu kerana British telah merancang pada peringkat awal pemerintahannya di Tanah Melayu supaya ketiga-tiga kaum ini mustahil dapat bersatu dan berkerjasama. Menjalankan dasar ‘pecah dan perintah’nya.

Bagaimana boleh orang Melayu yang rata-ratanya tinggal di kampung dapat bersatu dengan orang Cina yang kebanyakannya tinggal di bandar dan di kawasan lombong bijih timah. Tentu sekali tidak mungkin. Apatah lagi untuk menyatukan kaum India yang kebanyakannya tinggal di kawasan  ladang-ladang getah kepunyaan British. Tentu sekali tidak mungkin dapat bersatu.

Namun berkat usaha ikhas yang dijalankan oleh ‘orang tua’ kita, maka ketiga-tiga kaum terbesar di Tanah Melayu ini dapat disatukan. Sehaluan. Berjuang untuk memerdekakan negara ini. Sehaluan berjuang untuk menghalau penjajah British dari negara tercinta ini.

Penjajah British seolah-olah tergamam melihatkan perkembangan kerjasama yang dilakukan oleh ‘orang tua’ kita. Mereka berjaya meyakinkan pihak British bahawa sememangnya negara ini dimiliki oleh tiga kaum terbesar – Melayu, Cina dan India. Walaupun tidak dinafikan yang kaum Melayulah merupakan terasnya. Sudah ditakdirkan begitu walaupun tidak dapat dinafikan bahawa itu sebenarnya ekoran daripada tindakan British.

British terpaksa menerima hakikat bahawa sebenarnya Melayu, Cina dan India telah bekerjasama untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu berdasarkan kepada beebrapa perkembangan politik yang berlaku ketika itu.

·      British menguji kerjasama UMNO-MCA dengan menganjurkan pilihan raya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur pada bulan Februari 1952. Keputusannya UMNO-MCA memenangi 9 daripada 12 kerusi yang dipertandingkan. Membuktikan kerjasama itu berjaya.
·      Penjajah British menguji lagi kerjasama tiga kaum di Tanah Melayu pada ketika itu dengan mengadakan pilihan raya negeri pula pada tahun 1954. Parti yang mewakili kaum terebesar memenangi lagi dengan 226 daripada 268 kerusi yang dipertandingkan. MIC menyertai Perikatan selepas ini.
·      Penjajah British menguji lagi kerjasama tiga kaum terbesar ini dengan  mengadakan pilihan raya Majlis Perundangan Persekutuan pada 27 Julai 1955. Keputusannya Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan.

British tidak mempunyai alasan untuk menolak tuntutan kemerdekaan daripada tiga kaum terbesar di Tanah Melayu pada ketika itu. Dan menunjukkan dengan jelas bahawa sememangnya tiga kaum ini yang berjuang bersama-sama mendapatkan kemerdekaan negara.

Dan jangan dilupakan juga bahawa sejarah kerjasama antara kaum ini telah dimulakan oleh Dato Onn Jaafar dan Tan Cheng Lock apabila mereka menubuhkan Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (Communities Liason Committee ) pada bulan Januari 1946 di Pulau Pinang. Maknanya usaha tiga kaum ini telah bermula pada tarikh itu.

Persoalan yang aku ingin kemukakan pada kali ini ialah apakah usaha murni ‘orang tua’ kita yang dimulakan enam puluh tahun yang lalun akan kita persiakan begitu saja. Aku bertanya begitu disebabkan ternampak semacam satu ‘keghairahan’ antara pemimpin kita kini untuk kembali memecah-belahkan kaum-kaum terbesar di negara ini yang sudah sekian lama berpadu. Sudah timbul semacam suatu ‘keseronkan’ pula  bagi setengah pemimpin kita untuk mengadu-domba antara satu kaum dengan satu kaum yang lain.

Yang menghairankan aku ialah para pemimpin (besar dan gah ) yang tidak bertanggungjawab ini yang menimbulkan angkara sedemikian sedangkan rakyat bawahan terpaut rapat. Kenyataan-kenyataan yang berbau perkauman yang dikeluarkan memberikan bayangan yang pemimpin-pemimpin ini amat tidak bertanngungjawab. Sewenang-wenangnya menyatakan sesuatu yang kadang-kadang menyentuh perasaan si pendengar.

Apakah mereka ini tidak terfikir bahwa kata-kata mereka itu ‘menghiris’ perasaan si pendengar?. Apakah tidak ada langsung perasaan ‘empathy’ mereka terhadap perasaan yang mendengar. Malangnya yang bersikap demikian adalah terdiri daripada pemimpin atasan di negara ini. Mereka lupa bahawa tindakan mereka itu diperhatikan oleh rakyat terbanyak, khususnya generasi muda dan kanak-kanak.

Kadang-kadang aku perhatikan bahwa apa yang diperkatakan oleh mereka tidak sepertimana dengan apa yang dilakukan. ‘Cakap tak serupa bikin’. Mereka menyeru tentang perpaduan tetapi dalam masa yang sama mereka ‘menganjurkan’ perbalahan.

Kegiatan sedemikian seharusnya dibendung segera untuk mengelakkan dia menular. ‘Nasi seharusnya tidak menjadi bubur’. ‘Retak jangan dinantikan belahnya’. Fikirkan tentang kesusahan dan penderitaan yang dialami oleh ‘orang tua’ kita dalam usaha mereka menyatukan rakyat negara ini.

Fikirkan………….

abuhassanadam
11 Oktober 2013


No comments:

Post a Comment