Saturday, February 8, 2014

PELAKUAN  JIJIK SEBEGITU BUKAN AMALAN ORANG MELAYU / ISLAM

Kaum bukan Melayu, terutamanya kaum Tionghua kena faham bahawa perbuatan yang tidak sopan seperti dalam kes YB Teresa Kok itu bukan amalan dan budaya orang Melayu yang beragama Islam. Orang Melayu tulin tidak begitu perangainya. Perangai sedemikian hanya diamalkan oleh manusia yang hidup zaman Jahiliah atau yag berada dalam ‘Dark Ages’. Orang Melayu tulin sentiasa mengamalkan berbaik-baik dan berbudi bahasa dengan semua orang dan sentiasa menjauhkan diri dari sebarang pergaduhan dan perselisihan. Itu sifat orang Melayu tulin.

Sifat orang Melayu tulin boleh juga dilihat melalui pantun dan peribahasanya. Pantun Melayu yang berkaitan dengan budi terlalu banyak. Antaranya,

Apa guna berkain batik,
    Kalau tidak dengan sujinya;
Apa guna beristeri cantik,
    Kalau tidak dengan budinya.

Ambilkan saya buah delima,
            Masak sebiji di balik daun; 
Budi tuan saya terima,
            Jadi kenangan bertahun-tahun. 

Agaknya sudah ramai rakyat Malaysia berbangsa Melayu tulin merasa malu mengakui dirinya sebagai Melayu disebabkan tindakan beberapa ‘ekor  kerbau ( Lembu) yang membawa lumpur’ itu. Tidak berapa lama dahulu mereka meletakkan kepala lembu dihadapan bangunan kerajaan negeri Selangor. Dan golongan ‘Hidup Melayu’ juga yang menayangkan ponggong mereka di hadapan rumah Dato Ambiga. Di Pulau Pinang ada juga golongan ‘Melayu yang melbihi Melayu’ yang ‘menghadiahkan’ kek berbentu najis kepada YAB Lim Guan Eng di Pulau Pinang.

Yang mendukacitakan ialah golongan yang berperangai ‘jahiliah’ ini menggunakan nama Melayu dan Islam untuk ‘menghalalkan’ tindakan mereka, sedangkan orang Melayu tidak pernah pun memberikan mandat kepada mereka untuk melakukan tindakan yang amat memalukan itu. Mungkinlah mereka mendapat ‘restu’ dari pihak-pihak tertentu yang menyebabkan mereka begitu garang dan berani melakukan berbagai tindakan seolah-olah mereka berada dalam sebuah negara yang tidak berundang-undang. Mereka seolah-olah dibiarkan bermaharajalela melakukan apa saja yang mereka sukai. ‘Beraja di mata, bersultan di hati’.

Aku tidak faham apakah matlamat sebenar dan matlamat akhir golongan ini melakukan tindakan sedemikian? Dan aku juga terfikir bahawa tidakkah golongan ini (ramai juga yang sudah agak berumur – dalam lingkungan 50an) merasa malu melakukan ‘kegiatan’ mereka itu dikhalayak ramai dengan diperhatikan oleh orang awam ‘dengan penuh jijik’. Ataupun tidakkah mereka merasa malu dan segan kepada anak-anak dan isteri mereka yang sudah ‘dewasa’ untuk memahami sesuatu. Dan tidakkah mereka merasa ‘kasihan’ kepada anak-anak mereka yang bersekolah yang sentiasa menerima kutukan dan ejekan dari kawan-kawan akibat daripada tindakan bapa mereka itu.

Aku difahamkan bahawa di Indonesia sememangnya tidak susah ‘mengupah’ golongan tertentu untuk mengadakan demonstrasi. Hanya dengan memberikan beberapa Rupiah saja kepada beberapa orang sudah boleh mengadakan demonstrasi. Apakah begitu juga keadaannya di negara kita Malaysia? Apakah dengan memberikan sedikit ‘habuan’ berbentuk wang kepada golongan ini sudah boleh ‘menggerakkan’ satu demonstrasi di hadapan khalayak ramai. Tidak dapat aku pastikan. Mungkin ‘ya’ dan mungkin ‘tidak’.

Golongan yang ‘memperjuangkan Melayu / Islam’ ini menggunakan paltform NGO Islam. Yang mendukacitakan kita bahawa tindakan dan perangai yang ditunjukkan mereka itu tidak langsung membayangkan bahawa mereka mengamalkan prinsp Islam menepati erti kata yang sebenarnya. Dilihat dari mata kasarnya begitulah. Mungkin juga mereka ini terdiri ‘golongan’ lulusan agama dari University Al-Azhar atau pun mungkin juga mereka ini adalah lulusan University Islam Antarabangsa dalam bidang Syariah. Mungkin…

Tetapi yang nampak jelasnya ialah bahwa tindakan mereka itu merupakan satu provokasi – ‘melambai-lambai’ kemunculan semula peristiwa perbalahan kaum ’13 Mei 1969’. Sekirannya itulah hasrat dan tujuan mereka, maka aku amat yakin bahawa hasrat golongan itu ataupun ‘yang sewaktu’ dengannya pasti akan gagal. Maknanya tidak akan berlaku lagi peristiwa yang mereka harapkan itu. Rakyat Malaysia Kurun ke 21 amat berbeza dengan rakyat Malaysia sekitar tahun-tahun 1969. Amat berbeza.

Apa yang dihasratkan oleh pemimpin terdahulu agar wujud perpaduan yang mantap dikalangan rakyat Malaysia sebenarnya sudah wujud. Hanya yang diperlukan hanyalah pemantapan. Dan ternampak semacam segala tindakan ‘jahiliah’ yang dilakukan dalam beberapa bulan akhir ini kelihatah semacam ‘ujian’ ke arah pemantapan perpaduan itu. Ternampak semacam perpaduan kaum di Malasyia kini sudah amat kukuh dan tidak boleh diroboh dan di rungkai.

Misalnya beberapa tindakan ‘jahiliah’ yang dirancangkan tidak mendapat sambutan daripada majoriti rakyat Malaysia. Sungguhpun dianjurkan oleh NGO Islam (kononnya !) namun golongan yang menentang tindakan ‘jahiliah’ itu adalah dari golongan orang Melayu / Islam bersama-sama dengan kaum Cina dan India yang cintakan perdamaian.

Sebenarnya perpaduan rakyat Malaysia telah diuji dan teruji. Aku yakin perpaduan sebenarnya akan wujud.

Mungkin PRK Dun Kajang dapat terus memantapkan perpaduan itu.

abuhassanadam
8 Februari 2014



Friday, February 7, 2014

PRK DUN KAJANG –  ‘DAWN RAID’ BENTUK BARU

Kadang-kadang aku terfikir bahawa ‘Langkah Kajang’ adalah merupakan ‘ Dawn Raid’ dalam bentuk baru. ( ‘Dawn Raid’ adalah kisah yang berlaku pada 8 September tahun 1981, dimana Malaysia mengejutkan kerajaan British dengan pengambialihan syarikat gergasi British ia itu Guthrie, Sime Darby dan Golden Hope melalui pembelian seluruh saham syarikat terbabit di London Stock Exchange).

Tindakan kerajaan Malaysia yang diterajui oleh DS Dr. Mahathir ketika itu sememangnya tidak diduga oleh banyak pihak. Malah kerajaan British yang diketuai oleh Margaret Thatcher pun tidak sedar tentang tindakan mengejut itu. Langkah Kajang juga merupakan satu kejutan politik yang tidak terfikir oleh ramai orang.  Dan bagi aku merupakan tindakan politik yang diluar dugaan ramai, sehinggakan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat sendiri tidak sedar tentang tindakan itu.  Ini yang dikatakan tindakan ‘outside the box’.

Bagi aku PRK Dun Kajang yang akan diadakan pada 23 Mac 2014 ini tentunya merupakan event yang menarik perhatian seluruh negara. Kesan dan tempiasnya pula mungkin bukan sahaja terkena kepada kerajaan Selangor tetapi mungkin akan merobah senario politik di tanah air.

Aku tidak dapat meramalkan apakah yang akan terjadi. Cuma aku dapat merasakan bahawa PRK Dun Kajang bukan merupakan PRK sepertimana yang pernah kita lihat dan alami. Ia lain dari yang lain. Ini merupakan PRK luar biasa. Anak-anak muda harus terlibat secara aktif dalam PRK Kajang ini samada memihak pada BN  atau pun Pakatan. Yang pentingnya anak muda harus terlibat kerana PRK Kajang akan meletakkan satu garis sempadan antara PRK sebelum dan PRK selepasnya. Akan ada satu acuan yang akan dijadikan acuan untuk negara dan rakyat bagi negara ini.

Dengan sebab itulah agaknya BN amat berhati-hati menghadapi PRK Kajang ini. BN terpaksa berhati-hati dengan ‘booby traps’ yang sudah berada di mana-mana. Dan kadang-kadang pihak BN sudah hampir menduga akan ‘diserang hendap’ dalam keadaan alpa. Dan beberapa ‘bom’ yang ditanam sudah pun diletupkan. Misalnya isu fitnah seks dan liwat DS Anwar Ibrahim yang merupakan ‘bom’ yang menunggu untuk diletupkan sudah pun diletupkan awal-awal lagi. Dan jelas menampakkan ‘senjata’ BN seolah-olah sudah ‘makan tuan’. Justeru BN perlu berhati-hati. Sebagaimana yang aku katakan awal-awal tadi bahawa PRK Kajang adalah luar biasa. Kita tidak boleh menggunakan acuan lama untuk merempuh PRK kajang ini.

Berbeza dengan PRK Permatang Pauh misalnya yang diadakan untuk memberikan laluan kepada DS Anwar Ibrahim memenangi kerusi tradisinya untuk membolehkan beliau ke Parlimen. Pengundi Permatang Pauh dengan pengundi di DUN kajang amat berbeza dari segi latarbelakang kehidupan. Majoriti pengundi Kajang boleh dikatakan terdiri daripada golongan elit yang pastinya tidak boleh ‘digula-gula’ dan ‘diperbodohkan’ untuk memancing demi mendapatkan undi mereka. Kebanyakannya adalah terdiri golongan terpelajar yang amat tahu tentang perkembangan yang berlaku dalam negara.

Dengan sebab itulah agaknya PRK ini dilambatkan demi untuk memberikan peluang pihak BN mengatur strategi yang sesuai untuk menewaskan Pakatan Rakyat di Kajang. Dan bukan pula satu kerja yang mudah untuk menewaskan ‘gergasi’ politik di Malaysia yang menjadi calonnya. Seluruh dunia akan gempar sekiranya DS Anwar  Ibrahim tewas dalam pertandingan ini. Dapat dibayangkan kesan-kesannya sekiranya wujud sebenarnya senario berkenaan di mana  DS Anwar Ibrahim tewas.

Ini merupakan PRK kali pertama yang merupakan pertarungan yang bagi aku tidak pernah lagi berlaku sedemikian. Ia betul-betul menguji keupayaan parti bertanding untuk mempengaruhi pemikiran rakyat Malaysia. Apa tidaknya. Di DUN Kajang terdapat  kira-kira 33,000 pengundi, 48 peratus daripadanya adalah Melayu dan 41 peratus pengundi Cina. Selebihnya adalah pengundi India dan kaum lain. Maknanya pengundi Melayu dan pengundi bukan Melayu adalah lebih kurang sama banyak. Maknanya seseorang calon dalam PRK Kajang perlu mendapat keyakinan dari semua kaum – rakyat Malaysia seluruhnya.

Pakatan Rakyat perlu dengan lebih tegas lagi menunjukkan kepada pengundi tentang hasratnya mewujudkan bangsa Malaysia yang betul-betul-betul mantap tanpa mengira kaum dan agama. DS Anwar Ibrahim perlu terus menaja dan menonjolkan bahawa Pakatan Rakyat sebenarnya parti untuk semua kaum dengan menepati erti kata yang sebenarnya.

Perkara-perkara yang selalu ditekankan oleh DS Anwar Ibrahim dalam ceramah-ceramahnya pada PRU 13 yang lalu adalah seperti,

·     Anak Melayu, anak Cina, anak India, anak Iban adalah anak saya… anak rakyat Malaysia…..
·     PR bukan sahaja akan memberikan pertolongan kepada orang Melayu tetapi juga kepada orang Cina, orang India, orang Iban…..tidak kira bangsa dan kaum…..Kita akan bantu siapa sahaja yang memerlukan bantuan…..
·    Soal Bahasa Kebangsaan tidak boleh dipertikaikan. Apa saja yang tercatat dan termaktub dalam Perlembagaan Malaysia tidak harus dipertikaikan.

      Pengundi Kajang mahu mendengar kenyataan sebegini diucapkan terus disamping kenyataan-kenyataan seperti, ‘ Saya akan terus memperjuang dan mempertahankan rakyat Selangor tanpa mengira samada ia orang Melayu, orang Cina, orang India dan kaum-kaum lain. Akan tetap dilindungi…..”

      Rakyat Malaysia umumnya dan rakyat Selangor khususnya ( pengundi Kajang terutamanya) mahu mendengar kenyataan sedemikian diucapkan terus oleh DS Anwar Ibrahim……

      abuhassanadam
      7 Februari 2014

Thursday, February 6, 2014

PENYELEWENGAN 1 AZAM – SAMPAI HATI !!!!!....

Telah diberitakan bahawa telah berlaku penyelewengan Skim 1Azam  (Akhiri Zaman Miskin) yang dikelola Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.Dan telah dikenalpasti juga pihak yang bertanggung jawab melakukan penyelewengan itu tetapi belum lagi didakwa. ‘Mengapa?’ tanya rakyat Malaysia. Mengapa kes yang sebesar dan seberat ini seolah-olah dipandang ringan oleh pihak-pihak tertentu. Apakah memerlukan DS Najib sebagai Perdana Menteri juga untuk melakukan pendakwaan.

Aku terserampak dengan laporan mengenai Projek 1 Azam ini. "Projek 1AZAM diperkenalkan bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan rakyat Malaysia miskin tegar dan miskin, menambah pendapatan sehingga melebihi had garis kemiskinan yang ditetapkan iaitu RM760 sebulan bagi miskin dan di bawah RM2300 sebulan bagi golongan berpendapatan rendah.

Begitu mulia dan murninya hasrat kerajaan mewujudkan Projek 1Azam ini. Mengapa diselewengkan oleh pihak-pihak tertentu. Apakah sudah begitu ramai kalangan rakyat Malaysia yang sudah tidak ‘berhati perut’ sehinggan ‘sampai hati’ menyelewengkan harapan golongan miskin tegar yang kehidupan mereka ‘ kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang’. Apatah lagi apabila memikirkan tentang kenaikan harga barang kini yang sudah barang tentu sekali amat menyusahkan kehidupan mereka.

Dan dalam keadaan yang sedemikian ramai ‘pemimpin’ kita yang hanya ‘menanam  tebu dibibir mulut’ sahaja. ‘Berteriaklah’ mereka ‘ke hulu ke hilir’ yang kononnya mereka amat perihatin tentang penderitaan rakyat. Kononnya merekalah yang bertanggungjawab memperjuangkan kehidupan rakyat miskin. Kononnya merekalah yang tidak dapat tidur saban malam mengenangkan kesusahan yang dideritai oleh rakyat, khususnya rakyat miskin di luar bandar.Begitu licik dan pandainya mereka mengeluarkan ‘air mata buaia’ mereka.

Sedangkan disebaliknya pemimpin yang sebeginilah yang menyelewengkan wang yang diperuntukkan kepada rakyat miskin melalui Projek 1AZAM. Golongan yang sebeginilah juga yang sanggup ‘merompak’ jutaan ringgit wang rakyat yang kononnya untuk menjalankan projek menternak lembu. Golongan ini jugalah yang sanggup membelanjakan wang rakyat untuk projek penyeledikan’ di luar negara sehingga sampai ke Antartika dalam suasana rakyat menderita dengan kenaikan harga barang. Pemimpin yang sebegini jugalah yang sanggup berbelanja puluhan ribu Paun Sterling di Harrods London semata-mata untuk memiliki sebuah beg tangan untuk isteri tersayang.

Aku sebenarnya amat sedih dengan kisah penyelewengan wang 1 AZAM oleh pihak yang amat tidak bertanggungjwab ini. Amat sedih disebabkan wang tersebut adalah diperuntukkan membela rakyat miskin seperti aku dan keluarga aku di kampung. Aku tahu dan faham kehidupan rakyat miskin di kampung. Aku dapat rasakan penderitaan dan kesusahan yang dialami oleh Pak Ngah, Pak Alang aku yang masih ada di kampung berbeza dengan kehidupan yang dilalui oleh para pemimpin yang hanya pandai bermuka-muka mengatakan bahwa mereka sentiasa memikirkan tentang nasib rakyat. Dan yang menambahkan kesedihan aku ialah bahawa golongan miskin luar bandar inilah yang berperanan memenangkan BN dalam PRU 13 yang lalu. Malangnya mereka diainaya kemudiannya.

Memang sedap dan manis bunyinya hasrat Program 1 AZAM. Kononnya program ini telah dijalankan ke seluruh negara berperingkat-peringkat. Program perintis telah dimulakan di Iskandar Regional Development Authority (IRDA) pada akhir Januari 2010. Inisiatif akan diteruskan ke negeri-negeri lain.   Secara keseluruhannya, inisiatif 1AZAM akan menumpukan usaha untuk membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia melalui penempatan semula pekerjaan yang diisi oleh pekerja asing. Kerajaan juga akan memperkenalkan Penetapan Gaji Minimum kepada pelbagai industri dan sektor pekerjaan yang ditawarkan kepada tenaga kerja Malaysia, pasaran kerja bakal menyaksikan pekerja-pekerja Malaysia berpendapatan sekurang-kurangnya RM760 sebulan kepada pekerja berkelulusan rendah dan separa mahir.

Alangkah indah dan ‘merdu’nya hasrat kerajaan itu. Agaknya hasrat sedemikianlah yang telah ‘didendangkan’ oleh para pemimpin UMNO kepada rakyat miskin luar bandar untuk memancing undi pada PRU 13 yang lalu. Justeru rakyat miskin luar bandar tentunya percaya dengan janji manis pemimpin-pemimpin BN itu dan lantas memberikan kepercayaan yang tidak berbelah bagi.

Sayangnya ‘ susu yang dihulurkan dibalas dengan tuba’. Kebaikan dan kepercayaan yang diberikan oleh orang Melayu (miskin) di luar bandar itu terhadap BN (UMNO) dibalas dengan penipuan dan penyelewengan. Walaupun tidak semua pemimpin UMNO yang bersifat demikian, namuun dengan tindakan beberpa kerat
(atau tindakan ramai kerat) telah merosakan nama pemimpin UMNO keseluruhannya.

Ibarat kata orang Melayu ‘seekor kerbau (LEMBU) membawa lumpur habis semuanya terpalit’.

abuhassanadam
6 Februari 2014


Wednesday, February 5, 2014

DS MOHD NAJIB DALAM DILEMMA MEMILIH CALON

Tidak mudah rasanya DS Mohd Najib untuk membuat keputusan tentang siapa yang akan menjadi calon di PRK Dun Kajang. Ini merupakan suasana, ‘telan mati emak, diluah mati bapak’. Terlalu banyak pertimbangan yang perlu dilakukan sebelum sesuatu keputusan muktamad dicapai. Dan kesemua isu yang perlu dikaji dan dipertimbangkan semestinya memeningkan. Seperti menarik benang dalam tepung – takut benang tidak dapat ditarik tetapi tepung yang bertaburan. Seperti memukul ular, takut ular tidak mati tetapi kayu akan patah. Dan sememangnya sudah muncul ‘ular’ yang mendabik dada mahu bertanding di PRK berkenaan.

Sayup-sayup terdengar kisah ‘from wilderness’ tentang ada ‘ular’ yang merasakan dirinya paling layak untuk menentang DS Anwar ibrahim di PRK Dun Kajang nanti. Tidak tahulah aku kelayakan yang dimilikinya yang beliau merasakan dirinya paling layak. Rakyat tentunya merasakan bahawa ‘tokoh’ yang sebegini memang merupakan ‘tokoh’ yang tidak sedar diri. Bayangkanlah sekiranya DS Mohd Najib pun dirasakan tidak begitu ‘berkelayakan’ menentang DS Anwar, inikan pula ‘tokoh’ yang mendabik dada mengatakan dirinya amat layak. Yang anihnya pula, TV arus perdana memberikan ruang untuknya menyatakan ‘hasrat hati’. Bagi aku amat malang…..

Tidak mudah bagi UMNO (BN) menghadapi calon seperti DS Anwar Ibrahim. Terlalu gah dan gagah. Terlalu hebat tokohnya untuk ditentang oleh calon BN. Dan sekiranya dilihat dari segi sejarahnya, hampir kesemua ‘pemimpin’ yang ada dalam UMNO kini adalah merupakan ‘anak buah’ DS Anwar Ibrahim, yang juga merupakan ‘pengikut yang setia’ sebelum DS Anwar dianiaya. Ini termasuklah TS Muhyiddin sendiri. Itu belum lagi dikira DS Mohd Zahid Hamidi, DS Mohd Shafie Afdal dan DS Hishamuddin Hussein. Kesemuanya adalah merupakan ‘anak buah’nya. Tak tahulah aku samada beliau meninggalkan mereka atau mereka meninggalkan beliau.

Yang boleh dikira layak untuk bertanding di PRK Dun Kajang tidak lain dan tidak bukan ialah Tun Mahathir sendiri. Takkanlah beliau sanggup ‘mencemarkan duli’……

Kenyataan DS Najib pada peringkat awal kemelut di Kajang ini menampakkan bahawa seolah-olah BN ‘tidak mahu masuk campur urusan Pakatan Rakyat itu’. Beliau pernah dipetik oleh Malaysiakini sebagai berkata, “This is not my problem, this is their (PKR) problem. I have no problem,”. Maknanya semacam DS Najib hanya mahu membiarkan kemelut itu ditangani sendiri oleh PKR. Dan berkemungkinan juga apa yang dimaksudkan oleh PM itu ialah BN tidak mahu bertanding di PRK Kajang. Semacam begitu andaiannya.

Tetapi kini DS Mohd Najib terpaksa terlibat dalam kemelut ini. Mahu tak mahu kena terlibat juga nampaknya. Ketua Pemuda UMNO, YB Khairi Jamaluddin telah menegaskan bahawa UMNO seharusnya meletakkan calonnya sekiranya pihak MCA tidak dapat meletakkan calon yang sesuai di sana. Dan yang menyebabkan DS Mohd Najib agak ‘pening’ ialah apabila Tun Mahathir sendiri menyatakan bahawa BN mesti meletakkan calon bertanding walaupun ada yang merasakan bahawa itu merupakan satu pembaziran. Malaysiakini telah memetik kenyataan Tun Mahathir sebagai berkata,’ "BN should contest. We always contest all by-elections….in out history, we have never given walkover to anyone. We always contest,"

Apabila disebut mengenai pembaziran, bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Saifuddin Abdullah telah lebih awal menegaskan bahawa “Kalau hendak dikatakan membazir, maka Umno lebih awal membazir kerana berlaku dua pilihan raya kecil (PKR) di Selangor suatu ketika dahulu di parlimen Kuala Selangor dan Dun Permatang. Ini bermakna bukan kali pertama ada wakil rakyat letak jawatan bagi memberi laluan pilihan raya kecil diadakan,”
DS Mohd Najib terpaksa membuat keputusan dalam masa terdekat. Satu isu yang merupakan ‘duri dalam daging’ ialah samada meletakkan calon UMNO ataupun calon dari MCA. Masing-masing ada ‘kekuatan’ dari segi rasional mengapa mereka perlu bertanding. DUN Kajang mempunyai 48% Melayu, 41 % Cina dan selebihnya kaum lain. Calon dalam PRU 13 yang lalu ialah dari MCA dan kalah teruk. Justeru pihak UMNO pula merasakan bahawa seeloknya diberikan peluang kepada calon UMNO untuk menguji nasib di situ. Ada juga betulnya. Tetapi sekirannya dirujuk kepada persepakatan dalam Barisan Nasional, calon tradisi di Kajang adalah dari MCA.

Pasti memeningkan kepala DS Mohd Najib memikirkan isu ini. Dan belum lagi isu-isu lain yang akan dihadapi oleh BN apabila beradapan dengan DS Anwar Ibrahim. Terlalu banyak isu yang akan didedahkan oleh pembangkang berbanding dengan BN yang ketandusan isu yang memberangsangkan kecuali fitnah ‘seks dan liwat’ yang dikatakan akan ‘ditayang’ semula sepanjang kempen DUN Kajang ini.

Rakyat Malaysia sudah hampir pasti keputusan PRK Dun Kajang nanti, Insyallah. Namun sebagaimana yang dikatakan oleh DS Dr. Ahmad Zahid Hamidi, ‘ Lawan tetap lawan’  ( Bernama) seolah-olah meminjam slogan yang selalu dilaungkan oleh Pakatan Rakyat.

abuhassanadam

5 Februari 2014