Friday, February 7, 2014

PRK DUN KAJANG –  ‘DAWN RAID’ BENTUK BARU

Kadang-kadang aku terfikir bahawa ‘Langkah Kajang’ adalah merupakan ‘ Dawn Raid’ dalam bentuk baru. ( ‘Dawn Raid’ adalah kisah yang berlaku pada 8 September tahun 1981, dimana Malaysia mengejutkan kerajaan British dengan pengambialihan syarikat gergasi British ia itu Guthrie, Sime Darby dan Golden Hope melalui pembelian seluruh saham syarikat terbabit di London Stock Exchange).

Tindakan kerajaan Malaysia yang diterajui oleh DS Dr. Mahathir ketika itu sememangnya tidak diduga oleh banyak pihak. Malah kerajaan British yang diketuai oleh Margaret Thatcher pun tidak sedar tentang tindakan mengejut itu. Langkah Kajang juga merupakan satu kejutan politik yang tidak terfikir oleh ramai orang.  Dan bagi aku merupakan tindakan politik yang diluar dugaan ramai, sehinggakan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat sendiri tidak sedar tentang tindakan itu.  Ini yang dikatakan tindakan ‘outside the box’.

Bagi aku PRK Dun Kajang yang akan diadakan pada 23 Mac 2014 ini tentunya merupakan event yang menarik perhatian seluruh negara. Kesan dan tempiasnya pula mungkin bukan sahaja terkena kepada kerajaan Selangor tetapi mungkin akan merobah senario politik di tanah air.

Aku tidak dapat meramalkan apakah yang akan terjadi. Cuma aku dapat merasakan bahawa PRK Dun Kajang bukan merupakan PRK sepertimana yang pernah kita lihat dan alami. Ia lain dari yang lain. Ini merupakan PRK luar biasa. Anak-anak muda harus terlibat secara aktif dalam PRK Kajang ini samada memihak pada BN  atau pun Pakatan. Yang pentingnya anak muda harus terlibat kerana PRK Kajang akan meletakkan satu garis sempadan antara PRK sebelum dan PRK selepasnya. Akan ada satu acuan yang akan dijadikan acuan untuk negara dan rakyat bagi negara ini.

Dengan sebab itulah agaknya BN amat berhati-hati menghadapi PRK Kajang ini. BN terpaksa berhati-hati dengan ‘booby traps’ yang sudah berada di mana-mana. Dan kadang-kadang pihak BN sudah hampir menduga akan ‘diserang hendap’ dalam keadaan alpa. Dan beberapa ‘bom’ yang ditanam sudah pun diletupkan. Misalnya isu fitnah seks dan liwat DS Anwar Ibrahim yang merupakan ‘bom’ yang menunggu untuk diletupkan sudah pun diletupkan awal-awal lagi. Dan jelas menampakkan ‘senjata’ BN seolah-olah sudah ‘makan tuan’. Justeru BN perlu berhati-hati. Sebagaimana yang aku katakan awal-awal tadi bahawa PRK Kajang adalah luar biasa. Kita tidak boleh menggunakan acuan lama untuk merempuh PRK kajang ini.

Berbeza dengan PRK Permatang Pauh misalnya yang diadakan untuk memberikan laluan kepada DS Anwar Ibrahim memenangi kerusi tradisinya untuk membolehkan beliau ke Parlimen. Pengundi Permatang Pauh dengan pengundi di DUN kajang amat berbeza dari segi latarbelakang kehidupan. Majoriti pengundi Kajang boleh dikatakan terdiri daripada golongan elit yang pastinya tidak boleh ‘digula-gula’ dan ‘diperbodohkan’ untuk memancing demi mendapatkan undi mereka. Kebanyakannya adalah terdiri golongan terpelajar yang amat tahu tentang perkembangan yang berlaku dalam negara.

Dengan sebab itulah agaknya PRK ini dilambatkan demi untuk memberikan peluang pihak BN mengatur strategi yang sesuai untuk menewaskan Pakatan Rakyat di Kajang. Dan bukan pula satu kerja yang mudah untuk menewaskan ‘gergasi’ politik di Malaysia yang menjadi calonnya. Seluruh dunia akan gempar sekiranya DS Anwar  Ibrahim tewas dalam pertandingan ini. Dapat dibayangkan kesan-kesannya sekiranya wujud sebenarnya senario berkenaan di mana  DS Anwar Ibrahim tewas.

Ini merupakan PRK kali pertama yang merupakan pertarungan yang bagi aku tidak pernah lagi berlaku sedemikian. Ia betul-betul menguji keupayaan parti bertanding untuk mempengaruhi pemikiran rakyat Malaysia. Apa tidaknya. Di DUN Kajang terdapat  kira-kira 33,000 pengundi, 48 peratus daripadanya adalah Melayu dan 41 peratus pengundi Cina. Selebihnya adalah pengundi India dan kaum lain. Maknanya pengundi Melayu dan pengundi bukan Melayu adalah lebih kurang sama banyak. Maknanya seseorang calon dalam PRK Kajang perlu mendapat keyakinan dari semua kaum – rakyat Malaysia seluruhnya.

Pakatan Rakyat perlu dengan lebih tegas lagi menunjukkan kepada pengundi tentang hasratnya mewujudkan bangsa Malaysia yang betul-betul-betul mantap tanpa mengira kaum dan agama. DS Anwar Ibrahim perlu terus menaja dan menonjolkan bahawa Pakatan Rakyat sebenarnya parti untuk semua kaum dengan menepati erti kata yang sebenarnya.

Perkara-perkara yang selalu ditekankan oleh DS Anwar Ibrahim dalam ceramah-ceramahnya pada PRU 13 yang lalu adalah seperti,

·     Anak Melayu, anak Cina, anak India, anak Iban adalah anak saya… anak rakyat Malaysia…..
·     PR bukan sahaja akan memberikan pertolongan kepada orang Melayu tetapi juga kepada orang Cina, orang India, orang Iban…..tidak kira bangsa dan kaum…..Kita akan bantu siapa sahaja yang memerlukan bantuan…..
·    Soal Bahasa Kebangsaan tidak boleh dipertikaikan. Apa saja yang tercatat dan termaktub dalam Perlembagaan Malaysia tidak harus dipertikaikan.

      Pengundi Kajang mahu mendengar kenyataan sebegini diucapkan terus disamping kenyataan-kenyataan seperti, ‘ Saya akan terus memperjuang dan mempertahankan rakyat Selangor tanpa mengira samada ia orang Melayu, orang Cina, orang India dan kaum-kaum lain. Akan tetap dilindungi…..”

      Rakyat Malaysia umumnya dan rakyat Selangor khususnya ( pengundi Kajang terutamanya) mahu mendengar kenyataan sedemikian diucapkan terus oleh DS Anwar Ibrahim……

      abuhassanadam
      7 Februari 2014

No comments:

Post a Comment