Thursday, February 27, 2014

MENYEKAT KEMARAAN ANWAR IBRAHIM

‘Langkah Kajang’ pada mulanya dianggap peristiwa kecil dalam sejarah Malaysia. Tetapi dengan berbagai perkembangan mutakhir menampakkan bahawa PRK Kajang bukan lagi seperti PRK yang biasa diadakan sebelum ini. Ia sudah mendapat perhatian bukan saja oleh rakyat Malaysia tetapi sudah menjadi buah mulut para wartawan di CNN, BBC, Aljazeera. Malah sudah ada pemimpin setengah negara di dunia sudah mula berminat untuk mengetahui perkembangan di ‘KAJENG’ (Kajang). Ini disebabkan oleh DS Anwar Ibrahim yang akan bertanding untuk menjadi calon di PRK berkenaan. Maknanya disebabkan yang bertanding itu DS Anwar Ibrahim sudah boleh ‘mengocakkan’ suasana di Malaysia dan setengah tempat di dunia.

Bagi golongan yang tidak beberapa faham tentang sepak terajang politik, tentulah menganggap bahawa PRK kajang hanya merupakan PRK biasa. Namun bagi yang tahu ‘bahana-nya’ ekoran daripada ‘Langkah kajang’ ini  akan mula merasa ‘panik’ dan tidak ketentuan tentang apakah yang patut dilakukan bagi mengawal ataupun menyekat terus keadaan ini. Mengawal ‘kemaraan’ DS Anwar Ibrahim. Dapat dilihat dengan jelas ‘kelaku’ setengah pemimpin UMNO khususnya yang mula ‘gabra’ memikirkan bagaimana menangani PRK Kajang ini.

Langkah melewatkan PRK Kajang oleh SPR  jelas menampakkan tindakan dan tektik yang amat silap. Tindakan SPR itu telah memberikan peluang seluas-luasnya kepada DS Anwar Ibrahim untuk berjumpa rakyat dan menjelaskan dengan sejelas-jelasnya segala kepincangan yang sedang berlaku dalam pentadbiran negara sekarang. Rakyat Kajang sudah betul-betul faham mengenai isu tentang kenaikan harga barang, penglibatan kroni dan anak-anak pemimpin yang begitu ghairah mengaut kekayaaan negara dan berbagai isu lain. Pendek kata penduduk Kajang khususnya dan rakyat Selangor lain umumnya sudah diberikan penjelasan yang amat jelas tentang ‘Langkah Kajang’ ini.

Sememangnya tindakan SPR melewatkan PRK Kajang itu merupakan ‘senjata makan tuan’. Mungkin pada awalnya pihak SPR merasakan bahawa mereka telah ‘berbakti’ kepada kepimpinan BN dengan melewatkan PRK Kajang ini dengan mengandaikan bahawa DS Anwar Ibrahim akan ‘letih dan lelah’ untuk berkempen bagi menunggu hari pengundian. Rupa-rupanya mereka belum faham dengan sebenar-benarnya siapa dia ‘manusia’ yang bernama Anwar Ibrahim. Dalam hal PRK Kajang menampakkan yang SPR telah memulakan strategi mereka dengan kegagalan. Walaupun berbagai  alasan diberikan untuk meyakinkan rakyat mengapa PRK Kajang dilewatkan, namun persepsi rakyat tetap merasakan bahawa tentu ada muslihat tertentu yang menyebabkan PRK berbuat demikian.

‘Langkah Kajang’ bukan sebarang langkah. Ibarat pahlawan yang turun ke gelanggang memerlukan persediaan yang bukan kepalang untuk menentang hulubalang yang bernama Anwar Ibrahim. Apabila BN hanya mengemukakan calon dari MCA sudah menampakkan dengan jelas bahawa BN hanya ‘melepaskan batuk di tangga’. Dengan sebab itulah DS Anwar Ibrahim seolah-olah tidak begitu peduli tentang calon MCA yang akan menentangnya. Tidak pula beliau cuba memperkecilkan calon berkenaan. Yang dipertikaikannya ialah mengapa BN tidak menghantar wakil UMNO untuk bertanding di PRK Kajang untuk menentangnya sedangkan wakil UMNO yang sepatutnya berbuat demikian. UMNOlah yang sentiasa menimbulkan kekacauan dan mengharu-birukan keadaan politik di Selangor. Namun apabila ‘dipelawa’ untuk ke gelanggang, pihak UMNO terus menikus.

Rakyat dan pengundi di Kajang sudah tahu dan merasakan mereka beruntung PRK kajang diadakan. Mereka sudah mula merasakan ‘kenikmatan’nya apabila DS Anwar Ibrahim sudi untuk bertanding dan seterusnya mewakili mereka. Mereka sedar bahwa selepas ini Kajang bukan sahaja terkenal dengan sate nya tetapi akan terkenal diseluruh Malaysia dan seluruh dunia kerana wakil mereka adalah Anwar Ibrahim.

Ramai yang merasakan kemaraan DS Anwar Ibrahim sukar sekali disekat dan ‘diempang’. Ibarat menyekat air yang sedang mengalir, walaupun disekat dan diempang, air akan terus mengalir dan mengalir yang berkemungkinan ‘empangan’ akan pecah. Itulah ibratanya PRK Kajang ataupun strategi ‘Langkah Kajang’ oleh Pakatan Rakyat.

Tambah mengukuhkan lagi keyakinaan rakyat bahawa PRK Kajang merupakan episod penting dalam sejarah ialah ternampaknya penglibatan pemimpin-pemimpin besar UMNO, termasuk yang sudah ‘bersara’ mula menampakkan diri melahirkan kebimbangan mereka sekiranya DS Anwar Ibrahim menerajui Selangor nanti. Mereka pastinya dapat lihat kesan dan akibatnya sekira keadaan ini terjadi.

Dengan sebab itulah mereka mula turun padang melakukan apa saja langkah yang boleh menyekat kemaraan DS Anwar Ibrahim. Yang anihnya pula pemmpin-pemimpin UMNO Selangor yang dulunya sentiasa ‘berkokok’ sudah tidak kedengaran kokok mereka. Seolah-olah  mereka sudah diketepikan dan tidak dilibatkan langsung dalam PRK Kajang. Jikalau ada pun penglibatan mereka, kehadiran mereka hanyalah sebagai ‘buruh kasar’ yang sentiasa patuh dan mengikut arahan pihak ‘atasan’. Seolah-olah mereka tidak diperlukan.

Jelas juga menampakan bahawa mereka sebenarnya bukan tandingnya untuk ‘berpencak’ di gelanggang PRK Kajang ini.

Persoalan yang berada di hadapan sekarang ialah dapatkah mereka menahan kemaraan Anwar Ibrahim?

abuhassanadam
27 Februari 2014






1 comment:

  1. Anuar semacam memiliki ketrampilan luar biasa kerana dah puas UMNO nak hapuskannya masih tidak berjaya sama juga Anuar dah buat semuanya masih belum boleh menawan Putrajaya. Ingat semasa Anuar bertanding nak ambil semula Pematang Pauh dulu selepas habis edahnya dari segi undeng-undeng, seluruh jentera UMNO/BN dibawah pimpinan Najib turun menjalankan proses pelondehan Anuar namun Anuar muncul dengan lebih majoriti.. Namun seperti dikatakan pada awal tadi Anuar ada ketrampilan unik yang dapat menggemblingkan majoriti mengundinya. Masa itu pun Madey/Daim/Saiful/Edzam dan ramai mamak PP serta geng-geng UMNO/BN siang malam melalak/melolong menyelar Anuar tapi tak juga mematikan sosok jati diri Anuar, sama halnya juga akan berlaku di Kajang nanti.Cuma kali ini kemenangan Anuar harus menjurus penaklukan Putrajaya.

    ReplyDelete