Thursday, February 20, 2014

PENDAPAT KASSIM AHMAD SELARI DENGAN PANDANGAN
MUSTAFA AKYOL TURKY

Aku merasa sangsi juga dengan kenyataan beberapa orang yang mahir dalam hal ehwal agama Islam, yang terus menerus menempelak dan melemparkan berbagai tuduhan terhadap Saudara Kassim Ahamd. Aku tidak mahu mengulas dan menyentuh hal-hal yang berkaitan dengan hal agama kerana aku amat sedar tentang kelemahan dan kejahilan  aku dalam hal itu.

Aku sudah agak lama tidak mengikuti perkembangan Saudara Kassim Ahmad dalam hal-hal sastera. Malah aku amat berbangga dengan kejayaan beliau. Banyak perkara yang boleh dibanggakan mengenai Saudara Kassim Ahmad. Seorang intelek Melayu yang sukar mencari galang gantinya. Antara anak Melayu awal yang berjaya menjejakkan kaki di menara gading dan antara anak Melayu yang awal menjadi pensyarah di School of Oriental and African Studies (SOAS), Universiti London. 

Saudara Kassim pernah ‘menggoncang’ dan ‘mengocak’ suasana di negara ini apabila beliau ‘mengagungkan ‘ Hang Jebat yang dianggapnya sebagai wira yang dengan sendirinya menafikan ‘kehebatan’ Hang Tua sebagai wira Melayu. Kesannya agak besar pada ketika itu disebabkan pemikiran feudal masyarakat Melayu sentiasa mengagungkan Hang Tuah yang sentiasa taat setia kepada raja. Saudara Kassim seolah-olah telah mempersoalkan ketaatsetiaan orang Melayu itu. Lantas beliau merasakan bahawa tindakan Hang Jebat adalah bertepatan sebagaimana yang dikisahkan dalam buku Hikayat Hang Tuah itu.

Kassim Ahmad juga pernah ‘mengejutkan’ ramai orang apabila beliau mengungkapkan ‘Tuhan telah mati’ berasaskaan sajak beliau berjodol ‘ Sidang Roh’. ‘Riuh-rendah’  juga buat seketika sehingga dijelaskan oleh Saudara Kassim sendiri sebagaimana yang dijelaskannya melalui temuramahnya dengan Dewan Sastera. Beliau menjelaskan bahawa, Nanti akan padamlah, lampu di menara tinggi, kerana di bawahnya orang kian mabuk, dan tuhan telah mati. Ini saya petik daripada Nietzsche. Maksudnya, ajaran Tuhan itu sudah tidak ada dalam masyarakat kita. Dalam masyarakat yang begitu, maka tuhan telah mati. Sajak itu mesti dibaca secara keseluruhan, barulah maknanya akan didapati’

Apabila aku renung ucapan Saudara Kassim yang disampaikannya pada 16 Februari, 2014 di dewan Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, aku dapati ada juga kebenaran dan lojiknya. Dia mengatakan bahawa,

Orang Islam berjumlah 2.1 bilion di seluruh dunia. Bolehkah kita katakan mereka semuanya mengikut cara hidup Islam yang sebenar? Sekiranya benar, umat Islam hari ini harus berada pada kedudukan nombor 1 dalam dunia, seperti yang berlaku dalam sejarah. Sejarah mencatat dalam zaman pemerintahan Uthman Ibni Affan, khalifah Islam ke-3, setelah 60 tahun Nabi Muhammad wafat , orang Arab yang tidak terkenal itu melonjak naik  menjadi kuasa nombor satu dalam dunia, mengalahkan Empayar Parsi dan sebagian besar Empayar Baizantium, dua kuasa besar dunia pada zaman itu. [7]Tetapi umat Islam sekarang duduk di bawah daripada Britain, Perancis,  Amerika Syarikat, Rusia, China dan India, semuanya negara bukan Islam.”

Antara punca dan sebab terjadi sedemikian, mengikut kata Saudara Kassim adalah disebabkan, ‘Mereka mendewa-dewakan pemimpin ugama yang mereka anggap maksum dan yang telah memutuskan semua soalan dalam kehidupan mereka – apa yang dikatakan ‘penutupan pintu ijtihad’. Dalam puak ahli sunnah wal jamaah, empat pemimpin besar boleh dikenal pasti, iatu : Imam Shafi’e (767-820), Imam Hanafi (699-767), Imam Hanbali (780-855) dan Imam Maliki (711-795). Dalam mazhab Syiah, mereka ada imam-imam mereka pula. Imam-imam ini telah mereka dewa-dewakan berlawanan dengan perintah Tuhan melarang pendewaan seseorang pemimpin atau sarjana, dan, malah, berlawanan dengan ajaran imam-imam besar itu sendiri.

Dan apabila beliau menyentuh tentang negara Malaysia pula, beliau mengatakan bahawa, “Negara kita Malaysia, walaupun dikatakan negara Islam, sebenarnya mengamalkan sistem liberalisme. Mengikut kata Kerajaan Pusat, ekonomi Malaysia baik dengan pengangguran sifar dan peratusan inflasi pada tahap minima. Namun demikian, Malaysia boleh dikatakan tiap-tiap hari menunjukkan ketegangan antara kaum dan agama……..


Dalam hal ini aku hanya berani mengemukakan pendapat Saudara kassim Ahamd tanpa menyebelahi mana-mana pihak. Dilihat dari segi rasional dan lojik maka apa yang dikatakan oleh Saudara kassim boleh membuka minda masyarakat Islam yang berada di Malaysia. Maksud aku boleh dijadikan bahan perbincangan.

Dan yang menariknya juga ialah bahawa pendapat dan saranan yang diutarakan oleh Saudara Kassim hampir sama dengan pendapat yang dikemukakan oleh Saudara Mustafa Akyol dari Turkey dalam hal-hal tertentu. Mengikut berita Malaysiakin ( Feb 19 2014) yang berjodol, “ Rulers, scholars can be challenged under Islam’ Mustafa Akyol dari Turkey  mengatakan bahawa,’In Islam, it is not wrong to question the authorities as neither governments nor rulers are sacred ……..Law is sacred. A ruler should abide by the law and if he doesn't, you have the right to question him,"

Kesimpulan yang aku dapat buat berasaskan kepada pendapat dua orang cendikawan ini ialah bahawa masyarakat Islam di Malaysia harus bersifat terbuka dalam menangani isu sebegini. Maksudnya hanya dengan minda yang agak terbuka saja baru kita dapat menyelesaikan apa saja masalah yang kusut ini. Hasrat JAKIM untuk menjemput Saudara Kassim untuk berbincang dan menyelesaikan masalah berbangkit adalah langkah yang wajar dan terpuji. Itulah cara yang sesuai dan berkesan berbanding dengan cara dan tindakan  ‘barbarous’ yang pernah dilakukan oleh NGO-NGO yang menggunakan nama Islam baru-baru ini.

abuhassanadam
20 Februari 2014


3 comments:

  1. Setuju dengan harapan di para terakhir nukilan bahawa " masyarakat Islam di Malaysia harus bersifat terbuka dalam menangani isu sebegini" namun dalam mana-mana masyarakat/komuniti/negara Islam tetap akan wujud perbezaan minda/perspektif yakni ada kumpulan konservati, selalunya kumpulan majoriti dan satu lagi kumpulan 'terbuka' iaitu kumpulan minoriti yang telah menerima gagasan moden atau sekular/logika/rasional dan selalu pentingkan fakta/data dan fakta sejarah yang lebih tepat. Kumpulan konservatif lazimnya tidak berganjak dari premis aqidah iaitu percaya bulat-bulat tanpa bukti yang kukuh, mereka 'overwhelm' dengan ajaran ulama yang lebih petah berbahasa Arab atau melontarkan ayat-ayat Quran dengan satu cara yang 'memukau' telinga penerima yang kureng ilmu atau pendidikan.

    ReplyDelete
  2. Saudara,

    Komen saudara amat bermakna dan meransang minda. Terima kasih.

    ReplyDelete
  3. Pada saya hujah2 Kassim Ahmad amat dangkal dan mudah dipatahkan, tetapi Kassim Ahmad terus dikagumi kerana tiadanya dialog terbuka dalam masyarakat kita. Hukuman dan perlabelan negatif kpd Kassim Ahmad oleh pihak berkuasa sebenarnya mengangkat mertabatnya ke tahap ilmuan dan pemikir yang unggul kerana begitulah yang terjadi dalam sejarah seperti kepada Imam Bukhari, ahli-ahli sains di zaman kegelapan Eropah dan sebagainya.

    ReplyDelete