Thursday, February 13, 2014

MENGAPA YB TERESA KOK PULA DITAMPAR?

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha PPIM, Dr. Ma’amor Osman yang mengatakan bahawa,’ "I hereby deny the involvement of PPIM in offering money to anyone who slaps Teresa Kok because this is not our stand," (Malaysiakini 12 Februari 2014) meyakinkan aku lagi bahawa segala kenyataan yang dikeluarkan oleh persatuan-persatuan dan pertubuhan mengenai sesuatu isu sebenarnya adalah pendapat peribadi dan orang perseorangan. Maknanya bukan mewakili persatuan atau pertubuhan yang mereka wakili. Dan begitu jugalah keadaan di mana setengah pertubuhan itu dengan senang-senang mengatakan bahwa mereka mewakili orang Melayu dan Islam sedangkan majoriti orang Melayu / Islam amat tidak menyukai  tindakan sedemikian.

Nampaknya isu yang membabitkan YB Teresa Kok masih terus ‘menyala’ dan amat sukar untuk dipadamkan. Dan kenyataan setiuausaha PPIM itu seolah-olah boleh dianggap sebagai satu usaha terselindung untuk memadamkannya, walaupun hanya semalam ketua Wanita UMNO Pulau Pinang Senator Norliza Abdul Rahim membuat laporan polis berkaitan dengan klip video YB Teresa Kok itu.

Bagi aku, apa yang dilakukan oleh YB Teresa Kok, ‘tidak berapa kena’ juga. Aku tonton klip berkenaan beberapa kali. Memang terasa ‘pedas’nya bagi sesiapa yang ‘memakan cili’. Memang terasa kritikan tajam yang terselit disebalik pengambaran sedemikian. Namun bagi aku pula itu merupakan ‘usikan’ biasa dalam keadaan kita berpolitik. Jikalau dibandingkan dengan fitnah dan tuduhan yang berbagai-bagai yang dilimparkan oleh TV arus perdana terhadap DS Anwar Ibrahim, maka Video Klip milik YB Teresa ini hanya sebagai gigitan nayamuk ke atas badan seekor gajah.

Mengapa pihak yang bersungguh-sungguh memarahi YB Teresa Kok ini tidak pula kedengaran walau sedetikpun kritikan mereka terhadap perancang dan pembuat video lucah yang memfitnah DS Anwar Ibrahim. Sekira-nya mereka betul-betul ikhlas dan jujur diatas tindakan mereka, mengapa tidak ada pun sebarang laporan polis dibuat oleh pihak-pihak tertentu terhadap pihak yang memfitnah DS Anwar Ibrahim itu. Apakah mereka tidak dapat merasakan penderitaan yang dialami oleh DS Anwar Ibrahim dan keluarganya ketika beliau difitnah sehingga begitu rupa. Apakah ‘puak-puak’ yang peka terhadap agama ini tidak merasakan bahawa mereka perlu bertindak untuk membenteras kegiatan fitnah-memfitnah terhadap sesama manusia?

Aku amat setuju dengan kenyataan Tun Dr. Mahathir yang mengulas juga tentang video klip YB Teresa Kok itu. Mengikutnya memang begitulah keadaannya bagi seseorang yang berada di puncak pentadbiran negara. Akan sentiasa diperhati dan dikritik oleh rakyat. Ada yang memuji dan tidak ketinggalan juga yang terus mengkritik. Ada kritikan yang pedas dan ‘direct’ dan ada yang mengkritik melalui sindiran.

Kembali semula memperkatakan tentang video klip YB Teresa Kok. Walaupun pada anggapan setengah pihak merasakan klip bideo berkenaan merupakan sesuatu yang ‘mengancam negara’, ‘menghina Melayu dan agama Islam’, namun sekiranya diteliti dan diperhalusi maka jelas bahawa tidak ada langsung hasrat beliau untuk menghina orang Melayu dan agama Islam ataupun memperkecilkan peranan anggota keselamatan dalam memerangi pencerobohan di Sabah. Tidak juga klip bideo itu menyebut nama seseorang tokoh yang terlibat.  Aku tidak nampak langsung hasrat YB Teresa Kok untuk menghina orang Melayu dan agama Islam walaupun watak dalam video klip itu merupakan watak seorang Melayu ( dan tidak pasti pula samada beragamaIslam!!) Yang aku nampak ialah ‘political satire’ yang memaparkan sebahagian kecil episod politik yang berlaku di negara kita pada hari ini yang perlu dihayati juga oleh seluruh rakyat Malaysia yang mahukan negara ini bergerak maju.

Sepatutnya klip video ‘Onederful Malaysia CNY 2014' ditonoton oleh semua pihak terutama yang merasa tidak puas hati dengan pendedahan dalam video klip berkenaan. Dan ‘counter’ yang sepatut dilakukan terhadap video berkenaan bukanlah cara ‘barbaric’ tetapi selari dengan keadaan dunia kini yang mana kita bukan lagi hidup dalam zaman jahiliah atau ‘dark ages’

Aku yakin bahawa ramai yang mengkritik video klip YB Teresa Kok itu tidak melihat dan menganalisis dengan sedalam-dalamnya kandungan video klip berkenaan. Ramai yang mengecam YB Teres Kok (secara pribadi) dan bukannya video klip berkenaan sebenarnya tidak pernah pun menonton video berkenaan. Lantas mereka ‘membuta tuli’ mengikut arahan pihak-pihak tertentu (mungkn) untuk mengadakan demonstrasi.

Sayup-sayup kedengaran puluhan laporan polis dibuat berkaitan dengan video klip YB Teresa Kok. Dan sebelum ini ratusan laoran polis juga dibuat berkaitan dengan ‘sebutan kalimah Allah’ oleh penganut Kristian. Dan kini puluhan laporan juga telah dibuat berkaitan dengan ‘DS Anwar berkempen di Kajang’.

Aku menyoal diri aku. Apakah pihak-pihak yang membuat aduan kepada polis itu betul-betul faham apa yang mereka lakukan itu ataupun hanya sekadar mendapat ‘arahan’ dari pihak-phak tertentu dengan mendapat sedikit imbuhan. Aku berfikiran sedemikian disebabkan terlalu banyak laporan polis dibuat dengan cara yang sedemikian. Aku merasa amat malu kerana yang melakukan tindakan sedemikian adalah golongan yang sepatutnya sudah maju dan berkembang cara berfikirnya.

Bukan berfikiran kolot, feudalistik, ‘barbaric’ seperti pemikiran manusia yang hidup dalam zaman sebelum kedatangan Islam.

abuhassanadam
13 Februari 2014


No comments:

Post a Comment